Sehingga kini saya telah pun menjelajah ke ke 47 negeri (termasuk Hawaii) di USA sejauh 68,000 km, selama 2 tahun.

Ada lagi 3 negeri dari 50 negeri dalam AS yang tinggal untuk dilihat iaitu Oklahoma, Arkansas, dan Alaska.

InshaAllah kalau panjang umur dan murah rezeki, penghujung musim panas tahun ini akan selesailah semua 50 negeri dalam Amerika Syarikat yang saya jelajahi.

Baca kisah awal pengembaraan saya: Bagaimana Saya Habiskan 3 Bulan Travel Sejauh 4000km Di USA Dan Merentas 4 Zon Masa

tip-memandu-di-usa-6

Berikut saya kongsikan 10 tip buat anda yang merancang mahu travel secara ‘road trip’ di negara yang sangat besar ini:

1. Kenderaan

Saya memandu keliling USA dengan kereta terpakai yang dibeli yang tidak banyak ragam dan murah harganya.

Sepanjang 2 tahun memandu keliling negara ini(ke 47 dari 50 negeri semuanya), saya juga ada beberapa kali menyewa kereta.

Tips: Cari kereta sewa di kayak.com untuk perbandingan harga di bawah tab “Cars”. Biasanya yang murah ialah dengan syarikat Fox Car Rental dan Alamo (boleh Google untuk alamat web mereka).

Setakat ini, saya berjaya menyewa kereta Mustang basic(tanpa GPS atau kamera belakang) dengan harga USD18/hari dan kereta Mustang convertible dengan harga USD36/hari dengan 2 syarikat ini.

Akan tetapi ini semua banyak bergantung pada masa dan lokasi anda. Biasanya yang terbaik ialah bila anda ambil kereta di LAX (lapangan terbang di Los Angeles), Las Vegas, atau mana-mana lapangan terbang dalam negeri Arizona, Utah, Colorado, dan Florida.

Kalau boleh, sewaktu tempah kereta sewa, tempahlah set GPS sekali. Sekurang-kurangnya kalau anda tak ada telefon berinternet, anda takkan sesat di jalanan kerana di AS banyak jalanraya panjang tak ada servis seperti minyak dan motel!

Awas, tak semua syarikat benarkan anda pandu kereta keluar dari negeri. Sentiasa periksa dan tanya sebelum bergerak keluar atas jalan.

Saya tak galakkan anda menyewa caravan/RV kerana struktur jalan dalam negara, dan kebanyakan taman-taman negara tak benarkan pemanduan kenderaan jenis ini di sesetengah jalan di dalamnya, rugi kalau tak dapat masuk sesetengah tempat tercantik.

2. Minyak

Harga minyak ialah berbeza mengikut negeri, daerah, bandar, hatta stesen minyak bersebelahan pun berbeza harga minyaknya.

Untuk itu, bila anda sudah berada di Amerika Syarikat, eloklah kalau anda ada data/internet di telefon bimbit supaya anda boleh gunakan aplikasi Gas Buddy, sebuah aplikasi untuk mencari minyak paling murah mengikut tempat atas peta kawasan di semua negeri, bandar, dan daerah di Amerika Syarikat.

Secara purata, harga minyak paling mahal ialah di California(lebih kurang USD2.90 ke USD3.50 segelen).

Selain California, harga minyak di negeri pantai timur seperti negeri New York dan New Jersey adalah antara yang sedikit mahal berbanding negeri-negeri lain (lebih kurang USD2.70 ke USD3.00 segelen).

Negeri-negeri lain, purata harga minyak ialah USD2.00 ke USD2.70 segelen. Sekarang ini sebenarnya ialah masa terbaik untuk berkereta atau ‘road trip’ di Amerika Syarikat, kerana minyak sedang sangat murah berbanding sewaktu saya mulakan perjalanan 2 tahun lepas iaitu 1 gelen = 3.78 liter.

tip-memandu-di-usa-1

3. Undang-undang jalanraya

Pemanduan ialah di sebelah kanan (stering kereta di sebelah kiri). Di sini, undang-undang jalan raya sangat ketat.

Akan terasa bezanya dengan memandu di Malaysia (melainkan anda memandu di bandar besar seperti Los Angeles, New York City atau Orlando).

Pemandu di sini adalah yang paling berhemah saya pernah jumpa dalam dunia kerana saya telah memandu di banyak negara.

Jaga kelajuan anda. Polis ada di mana-mana dan denda untuk lebih had laju ialah dari USD300 hingga USD900!

Juga, pemandu di sini akan secara automatis menjaga jarak di antara kereta di depan dan di belakang, janganlah bawa perangai buruk memandu di Malaysia ke sini iaitu dengan mengisi tempat kosong yang tadi dijaga.

Sebelum bergerak ke jalanan, berlatih memandu kereta sewa anda. Ambil masa, kerana percayalah, saya sendiri pertama kali pun ambil masa seminggu untuk jadi biasakan diri kerana tak mudah untuk pandu di sebelah kanan jalan!

Jangan ambil mudah akan perkara ini.

4. Keadaan jalanraya

Lebuhraya di AS jika di antara bandar adalah panjang dan membosankan. Akan tetapi sistem lebuhraya di AS sangat berbeza dan banyak.

Kebanyakan lebuhraya di AS ialah melalui jalan perkampungan / pergunungan  / gurun yang sangat cantik dan memukau, contohnya Highway 1 atau Pacific Coast Highway di California melalui jalan pantai dari Los Angeles ke San Franciso, Highway 163 dari Bluff, Utah ke Kayenta.

Arizona melalui Monument Valley, Highway 6 & 120 dari Bishop, California ke Yosemite National Park, California melalui Lee Vining dan Pergunungan Sierra Nevada, Highway 62 & 230 dari Klamath.

Oregon ke Crater Lake National Park, Oregon(pemandangan seperti dalam gambar).

Dan banyak lagi yang lain, terutamanya di pantai barat AS yang terbaik, iaitu West dan Southwest.

Berbeza dengan pandangan popular, Route 66 bukanlah satu highway yang lurus atau ‘intact’ lagi.

Oleh itu adalah agak mustahil untuk anda memandu dari mula ke hujung R66 tanpa putus kerana sistem highway itu telah diganti dengan highway baru yang lebih cepat dan selamat tapi dengan pemandangan sama cantik.

Jalan R66 yang paling popular yang masih wujud ialah Las Vegas Boulevard atau The Strip!

Baca: 7 Tips Selamatkan Diri Oleh Lelaki Melayu Yang Pernah Sesat Di Gurun Amerika

tip-memandu-di-usa-4

5. Penginapan

Walaupun anda berada di kawasan gurun, akan terdapat 1 atau 2 motel / hotel dalam kawasan dengan harga sekitar USD40-70/malam akan tetapi janganlah harap kemudahan 5 bintang.

Cari motel/hotel menggunakan booking.com kerana terbukti ia adalah laman paling murah dan boleh dipercayai untuk mencari motel / hotel tanpa terlebih dahulu buat pembayaran.

Saya sangat bergantung dengan booking.com lebih dari 4 tahun mengembara dan yang terbaik bagi saya sewaktu mengelilingi AS ini juga ialah mencari homestay/apartment/rumah melalui Airbnb kerana liputannya yang luas.

Dengan harga motel/hotel, anda boleh dapat sebuah rumah, bahkan untuk 4 orang dengan 1 harga! Berbaloi kan?

Sila ke Airbnb.com dan pastikan anda ada kad kredit berfungsi untuk membolehkan anda menempah rumah percutian anda sekarang.

6. Makan dan minum

Di bandar-bandar besar akan terdapat banyak restoran/food truck halal. Di sini kami bergantung pada aplikasi Yelp untuk mencari makanan halal.

Cuma taip di ruangan ‘search’ dengan kata kunci seperti ‘halal food’ dan sebagainya dan Yelp akan senaraikan yang ada, dekat atau jauh.

Yelp ini bukan untuk cari restoran saja, untuk cari kemudahan seperti kompleks membeli belah, kedai buku dan sebagainya juga boleh.

Seperti yang saya kata di atas, kalau telefon ada internet lebih baik. Perjalanan anda akan jadi lebih mudah.

tip-memandu-di-usa-5

7. Cuaca

Bergantung musim, musim bunga, musim panas, dan awal musim luruh ialah masa tercantik dan selamat untuk memandu sekitar AS.

Musim sejuk pula agak sukar kerana jalanraya menjadi licin dan 6 kali lebih berbahaya.

Jalanraya akan juga jadi lebih padat dengan kenderaan sewaktu musim panas (musim cuti sekolah/penggal di AS) dan harga motel/hotel/Airbnb juga lebih mahal ketika musim panas.

Sekiranya anda memandu/melawat negeri-negeri utara seperti Montana & Wyoming, salji akan turun tak semena-mena walaupun di tengah-tengah musim panas.

Oleh itu sentiasa sediakan pakaian sejuk seperti satu jaket dan sentiasa pakai/bawa kasut. Seperti di San Francisco, California juga, cuaca akan tiba-tiba jadi sejuk dan berkabus.

Maka bila di sana apabila hendak keluar dari penginapan, bawalah jaket walaupun di pintu terasa panas dengan matahari memancar terik.

8. Ketahui apa yang anda ingin lihat

Ada yang suka lihat gurun, ada yang suka ke pergunungan, ada yang suka lihat laut dan ke pantai, ada yang suka ke bandar. Ketahui destinasi dan jenis suasana macamana yang anda suka.

Kalau nak lihat alam, West dan Southwest(California, Oregon, Nevada, Arizona, Utah, Colorado, New Mexico, Texas) adalah kawasan / negeri-negeri yang terbaik untuk lihat keindahan alam campuran (gurun dan separa gurun serta padang pasir dan padang kaktus).

Manakala kalau anda suka pergunungan, tengah-tengah negeri California hingga ke utara(Yosemite National Park hingga ke Lassen National Park di Redding termasuk Pergunungan Sierra Nevada di utara Death Valley National Park).

Montana, Wyoming, Colorado adalah negeri-negeri yang terbaik untuk merasai dan lihat pergunungan cantik serta sejuk dan bersalji walaupun di musim panas.

Pantai timur pula seperti negeri New York, yang menjadi tumpuan ialah Niagara Falls iaitu 4-5 jam pemanduan dari New York City, dan juga premium outlet seperti Woodbury yang terdapat dalam perjalanan.

9. Bayaran masuk ke tempat-tempat menarik

Bayaran masuk ke taman-taman negara yang popular di AS seperti Grand Canyon, Yosemite dan Zion adalah lebih tinggi dari bayaran masuk ke taman-taman negara lain dalam AS(USD30 per kereta tak lebih dari 7 orang, sah untuk 7 hari).

Maka dengan itu jika anda ingin masuk ke lebih dari 3 taman negara, sangat digalakkan untuk membeli pas tahunan berjumlah USD80 untuk kemasukan tanpa had selama setahun. Lebih jimat dan praktikal.

Pas tahunan ini boleh dibeli di pintu masuk mana-mana taman negara. Cuma sebut yang anda hendak beli ‘annual pass’ (pas ini cuma sah untuk kereta yang penumpangnya tak lebih dari 4 orang).

Sila lawati laman web taman-taman negara AS di www.nps.gov untuk maklumat setiap taman negara ini (maklumat kemasukan, cuaca, penutupan jalan dsb)

tip-memandu-di-usa-3

10. Pastikan cukup rehat

Jangan pandang rendah akan saiz negara ini. Sepanjang 2 tahun saya keliling AS ke 47 negeri, saya telah memandu sejauh 68,000 km, itupun tak termasuk pemanduan di Hawaii yang jauh dari tanah besar dan pemanduan di negeri Alaska yang lebih besar dari Malaysia.

Amerika Syarikat ialah negara ketiga atau keempat terbesar di dunia dari segi jumlah penduduk dan saiznya manakala Malaysia pula ialah di tangga ke 66 dari segi saiz / keluasan negara.

Negeri California sahaja sudah lebih besar dari seluruh Semenanjung. Maka dengan itu, rehat secukupnya.

Elakkan memandu di waktu malam kerana jalan luar bandar tidak berlampu dan akan terdapat banyak haiwan liar melintas jalan serta bangkai-bangkai haiwan yang besar-besar yang boleh menyebabkan kerugian buat anda.

Rancang perjalanan seawal mungkin, juga untuk mengelakkan kesesakan untuk masuk ke taman-taman negara di musim panas (contoh: panjang barisan mereka yang beratur untuk masuk ke Grand Canyon di pintu selatan pada musim panas ialah sejauh 5 km, masa menunggu ialah 1-2 jam).

Diharap tips di atas membantu anda. Selamat datang dan selamat menikmati keindahan alam di USA!

Baca lagi: 9 Tip Travel Di New York Buat Anda Yang Ingin Ke Sana