1. Pertamanya, kita perlu membuang stigma bahawa animasi Malaysia adalah untuk kanak-kanak. Ya, Boboiboy adalah hiburan untuk semua lapisan masyarakat Malaysia. Kenapa kita boleh layan animasi dari luar contohnya Frozen(sampai kita boleh hafal lagu-lagunya) tanpa ada banyak dolak-dalik tetapi bila bercerita soal animasi Malaysia, kita kata ia hanya untuk kanak-kanak sahaja. Nampak macam double standard je kan?

2. Ia adalah sebuah animasi ‘road movie’ yang mengisahkan tentang Boboiboy dan kawan-kawannya mengembara ke Pulau Terapung untuk menyelamatkan Ochobot daripada Geng Tengkotak. Plotnya lebih kurang sama dengan filem Geng Pengembaraan Bermula(Upin, Ipin dan kawan-kawannya masuk ke hutan yang penuh misteri), cuma pada saya mungkin pendekatan dan perwatakan dalam Boboiboy lebih menarik minat saya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

3. Oh ya, anda tak perlu tengok semua siri tv Boboiboy untuk faham filem ini.

4. Pada saya filem ini adalah sebuah filem berkonsepkan 1 Malaysia. Ada watak melayu, ada watak cina, ada watak india dan watak-watak ini saling-melengkapi antara satu sama lain tanpa ada sebarang prejudis.

5. Melalui filem ini juga, kita faham bahawa kadangkala nilai kemanusiaan melangkaui batasan kejahatan. Kita boleh lihat melalui watak Papa Zola menyelamatkan Jerung Berkaki. Dia boleh sahaja melepaskan jerung tersebut jatuh ke gaung tetapi dia mengambil risiko untuk menyelamatkan jerung tersebut dan akhirnya jerung itu menjadi team Boboiboy. Nampak tak konsep kalau kita buat baik natijahnya pun akan baik.

6. Ada satu babak yang saya suka dalam Boboiboy The Movie ini iaitu babak Gopal mahu melompat pergi ke gua. (Babak ini mengingatkan saya kepada babak dalam filem Geng Pengembaraan Bermula time Rajoo, Upin dan Ipin nak jatuh gaung). Gopal boleh sahaja memilih untuk tidak melompat tetapi kita nampak efikasi, jatidiri, motivasi dan semangat setiakawan Gopal untuk melompat melepasi gaung tersebut. Kita sedia maklum watak Gopal bukanlah watak yang mempunyai fizikal yang kuat tetapi dia menggunakan sepenuh kudrat yang ada semata-mata mahu menyelamatkan Ochobot. Inilah nilai yang perlu kita baca dalam filem BTM ini. Ya, dan semua watak-watak muda belia ni sanggup meninggalkan ‘the comfort zone’ harian dorang untuk melawan kejahatan, kekejaman dan penindasan.

7. Filem ini juga bercerita tentang ‘semangat melawan’ anak-anak muda. Dewasa ini kita ada banyak filem tentang anak muda tetapi boleh dikatakan hampir kesemuanya hanya menjurus kepada anak-anak muda dari perspektif yang negatif seperti mat rempit, minah rempit, lumba kereta haram, remaja yang bergelumang dengan kancah maksiat, kisah cinta remaja, gangsterisme, gay, lesbian etc etc. Industri kita amat kurang filem-filem yang memberikan motivasi kepada anak muda seperti filem Laskar Pelangi(2008). Pada saya, filem BTM ini adalah satu filem yang bagus untuk kita bercakap soal kesetiakawanan dan tentang semangat untuk bangkit melawan apabila kita ditindas.

7.1 Di saat remaja kita masih dok bergaduh siapa power antara budak ravers atau hipster, Boboiboy dan kawan-kawannya dah bercakap soal nak menyelamatkan bumi wink emoticon

7.2 Namun, nilai dan elemen paling power dalam filem ini ialah tentang persahabatan dan menepati janji. Nilai ini adalah penting dan wajib diterapkan dalam kehidupan tanpa mengira siapa pun anda ataupun status anda.

Boboiboy_The_Movie_-_63

8. Dialog dalam filem ini sangat bersahaja dan lawak terutamanya dialog-dialog Papa Zola. Ko tak perlu dipaksa untuk ketawa terbahak-bahak dalam beberapa scene yang melibatkan Papa Zola. Dan kalau anda perasan watak Cici Ko macam Korea Utara punya pemimpin. Comel tetapi berbahaya.
Dan cuba ko tengok nama watak-watak dalam filem ni; yoyo oh, gaganaz, ochopot, kikita, macam slang-slang harian kita yang diterbalik-balikkan.

9. Saya membesar dengan menonton kartun seperti Doraemon, Dash Yonkuro, Shin Chan, Dragon Ball, hinggalah ke siri animasi tempatan seperti Usop Sontorian, Keluang Man dan Anak-Anak Sidek. Kalau anda nak tahu, filem animasi ni dah lama mula bertapak di Malaysia bermula dengan siri animasi Sang Kancil yang dipelopori oleh Pak Hassan Muthalib pada tahun 1983. Ko masih ingat dialog ‘jangan monyet, jangan!’? Kemudian muncul pulak individu bernama Kamn Ismail mencetuskan gelombang baharu dalam industri animasi tanahair dengan buah tangannya seperti Usop Sontorian dan Keluang Man. Kini, kita ada nama-nama seperti Nizam Razak dan Usamah Zaid disebalik siri animasi Upin Ipin, Boboiboy dan terbaharu Ejen Ali. Kalau ko nak tahu, Nizam Razak inilah yang menjadi tulang belakang kepada kemunculan Upin & Ipin yang menjadi fenomena di Malaysia then dia tinggalkan Les Copaque untuk founded syarikat baharu, Animonsta Studio dan melahirkan Boboiboy. Hebat betul individu bernama Nizam Razak ni!

10. Dalam sejarah industri animasi tempatan, filem yang mendapat kutipan terendah ialah filem Cheritera(2001) yang hanya sekadar mendapat kutipan sebanyak RM2000 dan filem animasi yang mendapat kutipan tertinggi ialah Geng Pengembaraan Bermula(2009) dengan kutipan sebanyak RM6.2 juta.

11. Animasi Upin & Ipin dan Boboiboy ini sebenarnya mengajar kepada kita bagaimana strategi pemasaran adalah penting untuk meraih perhatian umum khalayak penonton di Malaysia. 2 siri animasi ini bermula dengan siaran TV dan saluran youtube untuk mengumpul jutaan peminat, then bila mereka diriliskan dalam bentuk filem, kita nampak bagaimana impak positifnya.

12. Kita sememangnya tidak boleh membandingkan filem BTM ini dengan animasi-animasi keluaran Disney ataupun Pixar yang memperuntukkan bajet hingga jutaan ringgit. Dengan bajet hanya sekitar RM5 juta, saya kira filem Boboiboy ini telah memberikan kepuasan tontonan bagi saya. Apa yang penting bagi saya ialah filem Boboiboy ini filem animasi acuan Malaysia. Segalanya adalah berteraskan budaya Malaysia, rakyat berbilang kaum Malaysia, jatidiri rakyat Malaysia dan semangat setiakawan rakyat Malaysia.

13. Saya kira pembikinan sesebuah filem animasi adalah merupakan sesuatu kerja yang amat rumit dan komplikated. Syabas saya ucapkan kepada Nizam Razak dan teamnya, Animonsta Studio kerana Boboiboy The Movie telah meletakkan industri animasi kita pada tahap yang membanggakan.

14. Sehingga hari ini, Boboiboy The Movie telah meraih kutipan melebihi RM14 juta sekaligus meletakkan ia sebaris dengan filem box-office yang lain.

15. Secara keseluruhannya pada saya filem ini sangat bagus dan sewajarnya ditonton oleh setiap lapisan rakyat Malaysia. Ia cukup rempah ratusnya. Ada elemen lucu, sedih, konflik, twist, ‘kesegaran’ dan ada nilai murni yang anda akan dapat apabila menonton filem ini.

16. Kepada seluruh rakyat Malaysia yang belum menonton atau yang sudah menonton, ayuhlah kita menonton filem ini kerana siapalah yang akan menyokong industri perfileman Malaysia, kalau bukan kita.