Sewaktu saya tulis tentang kritikan sosial dalam Kalau Aku Kaya, ada 2 watak gelandangan yang menceritakan kisah bagaimana mereka jadi gelandangan.

Adi jadi gelandangan kerana hilang punca pendapatan sebagai ahli muzik setelah wujud lambakan cetak rompak menerusi online. Manakala Cha pula jadi gelandangan kerana malu dengan kebodohan dia melabur semua wang dan harta benda untuk skim cepat kaya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Di alam realiti pula, kita lihat ada sebahagian daripada mereka kelihatan cukup sifat dan sihat tubuh badan. Jadi, saya tertarik untuk mengetahui apakah faktor berlakunya fenomena gelandangan, terutama di negara kita.

Dalam pencarian maklumat, saya jumpa preview buku Gelandangan Antara Tret Personaliti dan Religiositi oleh Rafiza Mohamed, terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad di Google Books.

Buku itu ada menulis tentang punca seseorang jadi gelandangan. Faktor-faktor ini telah dikenalpasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2010.

Susunan faktor ini berdasarkan kedudukan peratus paling teratas hingga peratus paling terendah. Ia melibatkan 1837 orang gelandangan menerusi 23 buah port gelandangan di Kuala Lumpur.

1. Tiada pekerjaan (46.6%)
2. Miskin dan berpendapatan rendah (17.7%)
3. Miskin, tua, sebatang kara (10.5%)
4. Penagihan dadah (4.8%)
5. Pengabaian (4.4%)
6. Miskin dan tua (3.6%)
7. Masalah mental (2.2%)
8. Sakit melarat (2.1%)
9. Tiada tempat tinggal (1.9%)
10. Bekas banduan (1.2%)
11. Ketidakupayaan (1.1%)
12. Lari dari rumah (1.0%)
13. Masalah keluarga (0.6%)
14. Kemurungan (0.5%)
15. Penagihan arak (0.5%)
16. Warga asing terdampar (0.4%)
17. Tidak diterima keluarga (0.2%)

Gambar: insan-putih.blogspot.com

Tiada pekerjaan menyebabkan seseorang akan jadi miskin kerana tidak berpendapatan. Apabila tekanan hidup makin meningkat, ada kebarangkalian seseorang akan ditinggalkan oleh ahli keluarga menyebabkan boleh jadi sebatang kara. Jika ada pekerjaan pula, belum tentu pendapatan yang diterima boleh beri keselesaan seperti tempat tinggal.

Pengabaian yang berlaku boleh mendorong seseorang terlibat dengan penagihan dadah dan arak sekiranya tidak kuat dalaman dan psikologi diri. Setelah itu, ada kemungkinan seseorang itu mengalami masalah mental dan kemurungan kesan penangan penagihan sehingga boleh sakit melarat dan hilang keupayaan.

Hal ini boleh juga terjadi kepada bekas banduan, orang yang lari dari rumah, warga asing, dan orang yang dibuang keluarga. Gelandangan itu sendiri bererti seseorang yang tiada tempat tinggal dan merayau sekitar bandar besar. Faktor-faktor ini sepertinya saling berkaitan. Ia bermula dengan tiada pekerjaan.

Pihak kerajaan prihatin tentang isu ini. Jadi, diwujudkan Anjung Singgah berkonsepkan asrama serba lengkap bagi tujuan memberi perlindungan sementara kepada golongan gelandangan terutama bagi gelandangan yang ingin berubah.

Malah, di luar negara pula ada orang menubuhkan syarikat untuk memasarkan hasil kerja seni orang gelandangan di laman web bagi membantu golongan ini mempunyai pendapatan yang boleh jadi jalan keluar dari fenomena gelandangan. Ini boleh di lihat pada artikel ArtLifting.

Sebelum mengakhiri artikel ini, saya sertakan 1 filem pendek tentang tuan kedai dan gelandangan buat tontonan anda semua.