Ramai orang muda mengalami masalah dalam mencapai objektif kewangan yang sihat kerana terhalang oleh perkara-perkara yang bersifat “distraction”.

Anda tidak perlu ada ijazah dalam ekonomi atau pengurusan kewangan untuk mengenal pasti faktor-faktor ini. Cukup dengan belajar daripada pengalaman hidup, samada pengalaman diri sendiri atau pengalaman orang-orang lain.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bahkan adalah lebih mudah dan menjimatkan sekiranya anda belajar daripada kesilapan orang lain berbanding membuat kesilapan sendiri dan menyesal di kemudian hari.

Distraction dalam perancangan kewangan boleh disimpulkan dalam 3 kategori utama:

1. Keinginan Untuk Kaya (Cepat)

Jejak sahaja ke alam pekerjaan anda secara perlahan-lahan akan terdedah dengan pelbagai peringkat lapisan orang bekerjaya dan berjaya.

Anda akan mula bergaul dengan golongan-golongan dari peringkat eksekutif, pengurusan, orang-orang politik, pemilik-pemilik bisnes dan yang seumpamanya.

Kesilapan yang dilakukan ramai orang muda pada ketika ini ialah timbulnya kecenderungan untuk mensasarkan gaya hidup mewah yang dipamerkan oleh individu-individu ini namun melalui perspektif yang salah.

Masa ini mereka mula berangan-angan untuk kaya tetapi mereka tidak sedar penat lelah dan kesusahan yang telah dilalui golongan ini untuk mencapai tahap yang sedang mereka nikmati.

Orang muda yang berakal pendek pada ketika ini bakal mudah terjerat dengan pelbagai skim cepat kaya, MLM, dan pelaburan tidak sah.

Paling teruk, mereka ingin “rasa kaya” dengan cepat dan kaedahnya pada ketika itu ialah dengan membuat pinjaman tunai daripada bank atau memohon kredit kad supaya boleh hidup gaya orang kaya tanpa perlu usaha.

2. Keinginan Untuk Bergaya (Berlebihan)

Ada anak muda berbelanja tinggi untuk kelihatan cantik/kacak dan bergaya. Ramai orang muda seperti anda yang terkena kejutan budaya ini sewaktu mula bekerja.

Mereka berhabisan wang untuk bergaya supaya dapat rasa berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kawan-kawan sepejabat. Lebih berprestij syarikat di mana mereka bekerja, akan jadi lebih besar belanja mereka berfesyen.

Tahukah anda, wang yang anda habiskan untuk hidup bergaya seperti merokok dan minum di Starbuck sekiranya disimpan boleh berjumlah ribuan ringgit setahun?

Bayangkan wang ini sekiranya disimpan dalam saham amanah dan dibiarkan selepas 30 tahun dengan compounding interest bakal menjadi satu jumlah yang sangat signifikan.

3. Kecenderungan Untuk Membazir Masa (Umur)

Amalan “nanti dulu, belum masa, lambat lagi, belum perlu” adalah sikap-sikap yang sangat berbahaya jika anda amalkan bermula pada peringkat usia begini.

Akibatnya, segala perkara berkaitan kewangan anda letakkan sebagai sesuatu yang bukan dalam senarai prioriti. Anda kata kepada diri sendiri yang anda masih ada masa beberapa tahun untuk menikmati zaman bujang.

Selepas itu segalanya akan jadi tertangguh. Anda tangguh untuk menyimpan, tangguh untuk bajet wang gaji, tangguh untuk melabur, tangguh tambah ilmu, tangguh untuk naik taraf skil dan lain-lain.

Anda bakal tangguh segala-galanya termasuklah keupayaan anda sebenarnya untuk hidup senang lebih awal.

3 jenis distraction ini boleh mengakibatkan anda terjerumus dalam lebih banyak masalah kewangan dan bakal menggugat perancangan masa depan, antaranya:

1. Hutang bank.

Contoh: hutang kereta yang tidak perlu, hutang personal loan kerana ingin kahwin grand, hutang personal loan kerana masuk skim cepat kaya dan MLM.

2. Hutang kredit kad.

Contoh: membeli-belah perkara-perkara yang tidak perlu dan tidak mampu, untuk bayar ansuran hutang bank yang anda buat dalam contoh pertama (gali lubang lain untuk kambus lubang sedia ada).

3. Tidak dapat membeli rumah kediaman.

Tidak layak membuat pinjaman berikutan 2 hutang yang disebut di atas, tiada wang simpanan untuk deposit rumah baru-baru

4. Tiada simpanan hari tua.

Tiada keupayaan untuk pencen dengan selesa, terpaksa berterusan bekerja sehingga mati

5. Tiada simpanan kecemasan.

Tidak boleh tangani situasi-situasi luar jangka yang memerlukan peruntukan kewangan seperti sakit kritikal dan seumpamanya, terpaksa membuat hutang baru.

Berhati-hati dengan distraction kewangan yang telah disebutkan di atas. Kenalpasti matlamat jangka panjang anda dan rangka satu plan kewangan dan patuhinya dengan berdisiplin.

Perjalanan hidup anda masih panjang. Jangan jadikan ianya terbengkalai hanya kerana pengurusan kewangan yang tidak betul.

Kesanggupan anda untuk menangguhkan kepuasan yang bersifat seketika bakal menentukan kepuasan hidup jangka panjang anda kelak.