Nota Editor: Nota ini ditulis oleh Tuan Ammar Roslizar, penulis di SekolahKL.co dan dikongsikan semula di Vocket dengan kebenaran beliau. Semoga nota ini menjadi motivasi anda, anak-anak muda, untuk mula berniaga.

Mengapa Ramai Anak Muda Mula Berniaga?

Sudah lama mahu kembali menikmati Nasik Lemak Camam (NLC) di Sg Ramal Dalam, pagi ini Tuhan kabulkan. Rasa sambalnya Premium, harga pula memang murah; hanya RM1. Sangat sesuai ditempah untuk majlis korporat mahupun keramaian.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebenarnya, Chef NLC (Hisham Mahir) adalah seorang graduan arkitek daripada Manchester. Seperti juga saya yang mempunyai Masters dalam Political Economy daripada University of Sydney, kami akhirnya memilih perniagaan sebagai sumber materi kehidupan.

nasi-lemak-camam
FB Ammar Roslizar

Soalnya, mengapa ramai anak muda mula memilih perniagaan sebagai sebuah kerjaya?

Kerana 3 perkara.

Pertama, kerana jati diri anak Melayu. Kedua, kerana psikologi generasi. Dan ketiga, kerana realiti masa kini.

Saya akan kupas satu persatu.

Pertama, kerana jati diri anak Melayu.

Sejarahnya, kita adalah bangsa pedagang. Saya ingin mengajak kamu semua mengimbau sejarah Raja Kuning, iaitu seorang Raja wanita daripada Kerajaan Patani.

Sama seperti Aceh, Kerajaan Patani mempunyai 4 orang raja wanita.

Sederhananya, Patani gemilang diangkat oleh seorang raja wanita iaitu Raja Hijau. Tapi, Patani juga merudum teruk disebabkan oleh seorang raja wanita iaitu Raja Kuning.

Raja Kuning merupakan raja terakhir untuk dinasti pertama Patani iaitu Dinasti Seri Wangsa, sebelum berpindah ke Dinasti Kelantan.

Sejarahnya, Raja Kuning merupakan seorang pemerintah yang sangat gemar berniaga. Semasa pemerintahan baginda, tidak pernah baginda menggunakan hasil mahsul kerajaan buat perbelanjaan seharian apatahlagi tergamak nak beli cincin, walaupun sebenarnya baginda berhak berbuat demikian.

Tetapi, Raja Kuning hidup menggunakan wang hasil perniagaan bunga dan tanaman.

Baginda juga adalah raja pertama yang membina sebuah kapal perdagangan dan melantik nakhoda yang digelar Saudagar Raja untuk berniaga ke seluruh pelusuk negeri.

Nah, sejarahnya kita adalah bangsa pedagang. Ia mengalir dalam darah & DNA kita.

Namun, sejarah jugalah yang telah menjadikan kita bangsa penumpang di negeri sendiri.

Kedua, kerana psikologi generasi.

Menelusuri sejarah perjuangan Kemerdekaan membuatkan kita lebih memahami struktur masyarakat kita. Sejarahnya, struktur sosial kita lebih disusunatur berdasarkan bangsa-ekonomi berbanding berdasarkan prinsip-nilai.

Faktor susunan sosial inilah yang telah mencetuskan idea Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang maqasid-tujuannya untuk menghapuskan struktur sosial berteraskan bangsa-ekonomi agar kita memeluk kembali wawasan hidup berteraskan prinsip-nilai.

Kerana itu, DEB adalah sebuah polisi makro yang saat mula dirumuskan, sudah pula ditetapkan tarikh tamatnya oleh para pembuat dasar ketika itu sendiri.

Lalu dihantar ibu ayah kita pergi belajar di luar negara, supaya kebijakan tanah air kita dapat diteruskan oleh mereka.

Apa pula yang terjadi di peringkat mikro?

Bagi atok nenek kita, yang terpenting ialah bebas daripada penjajah agar punyai jaminan keselamatan politik-sosial. Merdeka bagi mereka bermakna tiada lagi penjajah. Juga, tiada lagi anak gadis yang bakal dirogol.

Selepas menikmati jaminan politik melalui Merdeka 1957, yang terpenting bagi generasi ibu ayah kita adalah jaminan ekonomi.

Sebab itu, ibu ayah kita adalah generasi yang sanggup buat apa sahaja kerja, asalkan dapat membawa rezeki pulang ke rumah demi anak dan isteri.

Jangan pelik, sebab itu jugalah antara pesanan mereka adalah 'kerja kerajaan supaya terjamin masa depan'. Ini sangat benar, mengikut psikologi generasi mereka.

Kata kunci bagi dua generasi sebelum kita masih lagi sekitar persoalan 'jaminan' iaitu 'security'.

Saat tiba generasi kita, jaminan politik-ekonomi-sosial itu sudahpun secara minimum dipenuhi.

Jadi, apa selepas 'security'?

Selepas security ialah sebuah kebebasan (freedom).

Generasi kita adalah sebuah generasi yang sangat mementingkan nilai kebebasan.

Sebab itu ramai anak muda berniaga. Kerana bagi mereka, berniaga bukan sangat soal kaya dan miskin.

Tapi berniaga ialah satu bentuk kebebasan. Ini kebanggaan anak muda.

Dan ternyata, ini berlawanan dengan psikologi ibu ayah kita yang merasakan bahawa perniagaan adalah sebuah ketidaktentuan (insecurity).

Kalau kita perhatikan wilayah politik dan sosial juga begitu. Anak muda mula memperkatakan tentang kebebasan akademik & kebebasan bersuara.

Kerana psikologi generasi ini jugalah, buku-buku indie mula memakan sedikit demi sedikit market share industri buku, yang sehingga hari ini membingungkan pemain lama industri tersebut.

Kerana apa yang ditawarkan oleh indie itu tepat dengan permintaan anak muda yang mahukan kebebasan.

Kerana itu juga, saya sering menasihatkan mereka-mereka yang mahu memasuki pasaran indie agar memahami ini dahulu.

Takut-takut, nak masuk market indie, tapi termasuk market sinetron. Erti kata lain, indie-poser.

Kalau kata kunci untuk generasi kita adalah kebebasan, apa pula kata kunci untuk generasi anak-anak kita?

Agar kita nanti bersedia mendepani zaman, saya titipkan secara ringkas di sini bahawa kata kuncinya adalah 'kesejahteraan hidup bersama'. Soalnya bukan lagi 'kebebasan aku'. Mereka sudah semakin peduli kepada lingkungan mereka; merentasi agama, bangsa dan tanah air.

Di sinilah nanti maqasid-tujuan DEB akan tercapai, iaitu bila struktur sosial lebih berteraskan prinsip-nilai, berbanding bangsa-ekonomi.

Jika kamu memerhatikan trend kedepan, kamu pasti mengangguk tanda bersetuju.

Anak-anak kita mula sukakan aktiviti relawan. Sesetengah daripada mereka, berjaya mengkahwinkan aktiviti relawan & perniagaan.

Sehingga nanti, akan tiba satu generasi di mana berniaga itu benar-benar menjadi gaya hidup. Bahasa canggihnya, micro-entrepreneurship. Iaitu, semua orang adalah peniaga. Sama seperti zaman Nabi SAW.

Saat itu, lelaki yang tidak tahu berniaga barangkali sebuah keaiban dan kehinaan, sama seperti jika seorang lelaki di zaman Paleolitik tidak pandai berburu.

Ketiganya pula, kerana realiti masa kini.

Padang permainan telah pun berubah. Dan asas perubahan tersebut adalah Internet.

Internet adalah sebuah wilayah yang masih belum diterokai secara sempurna. Malah, ia mungkin wilayah yang takkan pernah diterokai secara sempurna.

Kerana wilayah Internet adalah wilayah yang mengatasi sifat ruang & waktu. Ruang & waktu inilah yang membatasi wilayah fizikal, tetapi tidak membatasi wilayah Internet.

Kerana itu, bagi kita yang digelar 'digital native', kita punyai 'unfair advantage' di dalam padang permainan yang baru ini.

Internetlah yang membingungkan para pemain lama bagaimana anak muda boleh kaya dalam tempoh hanya 6 bulan hingga 1 tahun.

Internet juga lah yang telah memberikan kita sebuah motivasi untuk berjaya di dalam dunia perniagaan. Kerana itu ramai anak muda mula berniaga.

Padang yang baru ini milik anak muda. Lahir-lahir sahaja, kita tidak mengenal padang yang lain selain padang ini.

Sebelum pemain lama tahu bermain di padang baru ini, elok kita mengikis sebanyaknya emas-emas yang bertaburan. Orang lama ada modal & kenalan yang ramai.

Tapi, kita anak muda hanya ada ketangkasan dan keberanian. Go fast or die.

Perhatikan.

Apabila faktor sejarah, faktor psikologi & faktor realiti bertemu dalam satu masa yang sama, ia merupakan ramuan lengkap untuk menghasilkan sebuah tapak kepada suatu fenomena.

Dan fenomena itu lah yang kita sebut sebagai 'Mengapa ramai anak muda mula berniaga?'

Oh ya, tapak lengkap itu takkan berjaya dibangunkan tanpa sebuah faktor lain, iaitu faktor manusia.

Dan yang saya maksudkan dengan manusia itu ialah 'anak muda'.

Berniagalah..

Sekiranya nak belajar mengembangkan perniagaan, boleh baca lebih banyak karya penulis di Sekolah KL.

BACA: Takut Berhenti Kerja Untuk Mula Berbisnes? Ini Jawapan Untuk Anda

BACA: Fenomena Termakan Cakap ‘Si Buaya’ Semasa Memulakan Bisnes

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram