Pada 4 Ogos 2016 merupakan salah satu hari bersejarah buat Syarikat Muda Osman atau lebih dikenali dengan SMO Bookstores di atas pembukaan cawangan ke-24 di Kuala Terengganu.

Syarikat yang bermula pada tahun 1939 di daerah Pasir Mas ini mempunyai sejarah yang panjang. Ianya dibuka oleh Haji Muda Osman dan diteruskan oleh anak-anaknya Tuan Haji Hassan, Tuan Haji Othman, Tuan Haji Yusoff.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Cawangan Kuala Terengganu
Cawangan Kuala Terengganu

Kini perjuangan syarikat keluarga ini diteruskan pula oleh generasi ketiga iaitu cucu-cucu Haji Muda Osman iaitu Tuan Haji Ahmed Azim Othman, Tuan Haji Noor Hisham Yusoff dan Tuan Haji Ahmed Azman Othman.

Sepengetahuan saya, teramat-amat jarang syarikat yang dimiliki oleh orang Melayu mampu sampai ke generasi ketiga.

Namun sayang, semasa saya berjumpa dengan Pengarah Urusan SMO, Tuan Haji Ahmed Azim Othman dan Pengurus Jualan, Tuan Hussin Na beberapa minggu yang lepas di Shah Alam, saya tidak sempat menyungkil rahsia tersebut bisnes keluarga ini sehingga mampu bertahan lebih 70 tahun sehingga kini.

Pihak pengurusan tertinggi SMO bersama rakan strategik sewaktu mengadakan lawatan kerja di pesta buku London pada April lalu
Pihak pengurusan tertinggi SMO bersama rakan strategik sewaktu mengadakan lawatan kerja di pesta buku London pada April lalu

Namun pertemuan tanpa dirancang tersebut ada mutiara-mutiara berharga yang wajib saya kongsikan. Antara beberapa pengajaran yang saya sempat kutip ialah:

1. Lokasi Adalah Perkara Utama Dalam Bisnes Retail

Beliau menyebut kepada saya dalam bisnes retail iaitu B2C, perkara paling utama ialah lokasi, kedua adalah lokasi dan ketiga barulah barangan yang dijual.

Sebagai contoh cawangan terbaru SMO di Kuala Terengganu ini, beliau dan tim telah mengintai selama lima tahun untuk mendapatkan lokasi yang terbaik. Ya selama lima tahun tuan-tuan dan puan-puan. Selama lima tahun digunakan untuk meninjau, menyelidik, membaca tabiat pengguna setempat, mengkaji kuasa pembeli dan pasaran sehinggalah beliau mendapat lokasi ini.

Meskipun crowd atau trafik orang ramai adalah keutamaan, namun ianya bukanlah satu-satunya faktor. Memahami tabiat dan tingkah laku pengguna adalah paling utama.

Beliau memberikan contoh, salah satu cawangan SMO di Lembah Kelang terpaksa ditutup setelah hampir dua tahun beroperasi. Jumlah jualannya suam-suam suku sahaja meskipun kawasan cawangan tersebut sangat sibuk trafiknya dan tempat parking pula sentiasa penuh setiap masa.

Cawangan SMO tersebut dikelilingi oleh butik-butik dan kedai pakaian yang terkenal. Selain itu, ianya juga berhampiran dengan beberapa buah IPT yang mempunyai puluhan ribu pelajar. Fikir beliau, lokaliti tersebut adalah sangat strategik untuk bisnes kedai buku SMO beliau.

Meskipun trafik lokaliti berkenaan tersebut sangat sibuk, namun didapati orang ramai yang datang ke lokaliti berkenaan bukanlah penduduk setempat atau pelajar yang menjadi sasaran sebenar beliau.

Menurut beliau, orang ramai yang berkunjung ke lokaliti berkenaan adalah orang luar yang datang ke situ untuk berkunjung ke butik-butik pakaian yang sangat terkenal itu. Ini menyebabkan kesesakan dan trafik yang sangat tinggi di lokaliti berkenaan sehingga menyebabkan penduduk setempat dan pelajar tidak suka berkunjung ke lokaliti berkenaan disebabkan faktor kesesakan.

2. Tiada Faktor Nostagia Dalam Bisnes

Dalam bisnes, tiada faktor nostagia atau sentimental. Dalam membuat keputusan bisnes, pihak pengurusan syarikat tidak boleh ada sentimen ini. Apa-apa keputusan, faktor utama adalah bisnes, bisnes dan bisnes. Tidak lebih dan tidak kurang.

Sebagai contoh, penutupan cawangan SMO di Lembah Kelang tersebut adalah faktor bisnes semata-mata. Meskipun lokaliti tersebut sangat bagus dari segi trafik dan beliau sendiri telah mengintai dan mengkaji pasaran di lokaliti tersebut selama beberapa tahun, tiada faktor sentimental dalam keputusan bisnes.

Begitu juga cawangan-cawangan lain, jika jumlah jualan hanya suam-suam suku sahaja, beliau tidak akan teragak-agak untuk menutup cawangan tersebut.

3. Jangan Ego Dalam Bisnes

Bisnes adalah aktiviti berkawan-kawan. Aktiviti ber-networking. Ertinya kita saling lengkap melengkapi. Pendiri bisnes tidak harus ada sikap ego dan berasa besar kepala.

Secara khusus beliau berpesan kepada anak muda yang berkecimpung dalam bisnes, jika bisnes mereka menunjukkan sedikit kejayaan, jangan merasa megah dengan kejayaan tersebut.

Sebagai contoh beberapa orang anak muda yang pernah berbisnes dengan beliau, ada yang sudah mulai sombong hanya beberapa kejayaan kecil dicapai.

4. Dalam Bisnes Yang Penting Ialah Growth, Bukan Profit Semata-Mata

SMO Bookstores adalah contoh terbaik. Menurut beliau, SMO bermula dengan sedikit demi sedikit. Langkah demi langkah. Dari satu cawangan kepada cawangan yang lain. Memang lambat dan slow namun apa yang penting ialah growth atau pertumbuhan dan bukannya profit semata-mata.

Sudah banyak syarikat-syarikat di Malaysia dan bahkan negara-negara lain yang mencanak jumlah jualannya secara tiba-tiba namun beberapa tahun kemudian hilang entah ke mana.

Bisnes yang tiada sistem atau SOP, memang tidak mampu growth. Bina SOP. Bina sistem. Latih pasukan. Bisnes adalah berkaitan dengan sustainable. Kelangsungan bisnes dalam jangka masa panjang. Bukan dalam jangka masa pendek.