Kita sedia maklum bahawa orang-orang Yahudi ini sangat terkenal dengan kepintarannya dalam bidang perniagaan. Sebut sahaja nama Dell, Facebook, Levi’s, Google dan banyak lagi nama-nama syarikat besar kepunyaan orang-orang Yahudi. Seantero dunia mengenalinya.

Kenapa bangsa ini begitu hebat, walaupun bilangannya sangat kecil? Apakah tabiat dan prinsip yang mereka pegang serta ajaran yang menjadikan bangsa ini berjaya?

Tidak salah kita mempelajarinya bukan? Ini lima point penting dari buku Fenomena Yahudi: 7 Kunci Kekayaan Berterusan Satu Bangsa yang saya rasa boleh dipraktikkan:

1. Memahami Bahawasanya ‘Kekayaan’ Sebenar Bersifat Mudah Alih – Ilmu

Rata-rata mengetahui bahawa pendidikan itu penting. Ia merupakan pelaburan terbaik demi masa depan. Menurut sejarah, bangsa Yahudi telah banyak kali ditindas dan dihalau dari kawasan mereka.

Jadi apa yang tinggal untuk terus hidup? Ilmu pengetahuan. Ilmu apa yang perlu diajar?

Menurut penulis antara yang perlu ditekankan adalah sejarah – keluarga bangsa dan negara, kebolehan menangguhkan kesenangan, dapatkan pendidikan yang terbaik dan pupuk serta pamerkan budaya membaca.

Ibu bapa perlu membuat persediaan untuk pendidikan anak-anak (dari aspek kewangan dan juga persediaan mental). Dan yang terakhir, walaupun kita sudah bekerja, tingkatkan lagi ilmu melalui bacaan, kursus, seminar dan lain-lain supaya kita sentiasa up to date.

2. Jaga Diri Anda Sendiri Dan Perkara-Perkara Lain Akan Terjaga

Ini mungkin sama dengan “perangai bergantung kepada diri sendiri” yang pernah diketengahkan oleh Pendita Zaaba. Kita perlu berdikari, usahakan sendiri untuk mendapatkan kerja, duit dan sebagainya. Sikap ini yang membuatkan kaum Yahudi boleh sustain dan berjaya.

Apabila setiap dari diri kita boleh berdikari, kita boleh pula membantu kaum kita yang kekurangan. Orang Yahudi panggil charity sebagai tzedakah. Sifat tolong-menolong dan mahukan orang lain juga berjaya adalah penting.

3. Orang-Orang Berjaya Adalah Mereka Yang Professional Dan Usahawan

Target orang Yahudi adalah untuk menjadi golongan professional (terutamanya doktor & peguam) serta peniaga. Kehidupan asal mereka yang susah setelah berhijrah ke Eropah, ditambah pula dengan diskriminasi menjadikan mereka ingin menjadi yang terbaik.

Penulis menyarankan selain kita bekerja, kita perlu ada cita-cita untuk menjadi usahawan. Sambil bekerja, buat bisnes secara part-time, belajar untuk bermain saham dan melabur sehinggalah kita mampu membuka bisnes sendiri.

4. Tingkatkan kemahiran komunikasi

“Chutzpah” atau keyakinan dalam berkomunikasi merupakan sikap penting yang ada pada diri kaum Yahudi. Mereka berani menyuarakan pandangan dan menuntut kehendak mereka secara direct.

Sedari kecil, pandangan kanak-kanak didengari dan mereka digalakkan untuk bertanya. Ibu-bapa memberikan penerangan yang sewajarnya mengikut tahap umur anak dan galakkan mereka untuk membuat persembahan dan bermain sukan.

Kita pula orang-orang Asia ini, memang budayanya dari kecil disuruh senyap, berdispilin katanya sedangkan itu akan membantutkan kemahiran komunikasi.

5. Berbelanja Secara Terpilih, Dan Berjimat Cermat

Perbelanjaan sebagai individu boleh dikawal melalui beberapa cara; seperti menggunakan kereta yang sedarhana dan dijaga servisnya supaya dapat digunakan dalam jangkamasa yang lama, bawa bekal dan kurangkan makan di luar, jangan merokok dan jaga kesihatan kerana kos perubatan adalah mahal!

Yang baik kita ambil sebagai pedoman untuk meningkatkan diri kita bersama.