Nota Editor: Nama diberi oleh kedua ibu bapanya adalah Mohd Syafie bin Borhan. Lahir dan membesar di Chow Kit ini merupakan graduan ijazah Sains Aktuari telah memulakan kerjaya sebagai pegawai Aktuari di PruBSN. Kemudian mendapat tawaran bekerja di Saudi Arabia di Bank AlJazira dengan jawatan terakhir Penolong Pengurus pada umur 26 sebelum memulakan perniagaan butik D’yana.com.my. Dengan izin beliau, kami kongsikan semula perkongsiannya di sini buat manfaat semua.

Ibu bapa saya sangat menekankan ilmu pengurusan wang semasa saya kecil kerana kami bukan dari keluarga yang senang. Semasa remaja, saya juga perasan ramai kawan-kawan saya yang hampir tiada ilmu mengurus wang peribadi. Hutang keliling pinggang walau hanya sebagai pelajar. Dan apabila sudah berniaga dan bertanggungjawab sebagai pembekal, saya perasan ramai usahawan gagal dalam perniagaan bukan kerana tiada jualan tetapi gagal menguruskan wang.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

mohd syafie 3

Izinkan saya untuk berkongsi sedikit pandangan dan pengalaman saya tentang kewangan baik untuk peribadi mahupun syarikat sebagai seorang lulusan Actuarial dan pengarah urusan untuk D’yana.com.my (www.dyana.com.my) dan beberapa syarikat lain untuk mengisi masa penerbangan selama 4 jam ini.

1. MASUK LEBIH DARI KELUAR

Kembali kepada asas. Apa juga yang berlaku, prinsip asas kewangan masih “belanja kurang dari pendapatan”. Memang itu sahaja yang diceritakan dalam hampir semua buku kewangan. Memang itu pun di ajar dalam semua seminar atau kelas. Kenapa? Kerana memang itu kebenarannya!

Terdapat dua kaedah untuk mencapai matlamat ini:

(i) mengurangkan perbelanjaan, dan
(ii) meningkatkan pendapatan.

Dengan menumpu pada 1 atau kedua-dua aspek ini membolehkan kita untuk membesarkan jurang antara 2 angka ini. Dan jurang itu adalah tiket kita untuk “kebebasan kewangan” atau “financial freedom”.

2. TINGKATKAN PENDAPATAN

Bagaimana untuk tingkatkan pendapatan?

Ramai yang akan cakap tiada 1 cara umum untuk tingkatkan pendapatan. Benar. Sesetengah dari kita dilahirkan dengan DNA usahawan dan sesetengah dari kita berfungsi dengan lebih bagus dalam pejabat.

Ada orang yang mempunyai kreativiti yang tiada batas, ada sahaja idea dia. Ada orang pula memang tidak kreatif tetapi jika diberi senarai tugas yang banyak, beliau mampu untuk selesaikan semuanya.

Setiap dari kita dilahirkan dengan kelebihan tersendiri. Tidak semestinya menjadi usahawan lebih baik dari yang makan gaji. Ramai sahaja yang berniaga berpuluh tahun tetapi tidak maju maju berbanding yang makan gaji. Ooopppssss, jadi topik lain pulak nanti.

Tetapi jika kita kaji betul-betul, terdapat beberapa perkara umum yang sesiapa sahaja boleh buat tidak kira apa situasi kewangan mereka atau apa pekerjaan mereka untuk menambah pendapatan.

2a. Tambah Pengetahuan

Tidak bermaksud balik ke sekolah. Maksud saya, terus menerus belajar! Belajar perkara baru! Baca buku berkenaan bidang yang anda minati. Ambil peperiksaan profesional atau sambung master. Tak kira apa jua yang sedang kita usahakan pasti ada benda baru yang boleh kita belajar dan pertingkatkan nilai diri kita.

2b. Tambah Aliran Tunai

Sentiasa cari cara untuk duit bergolek masuk poket kita dari pelbagai cara. Andai anda suka menulis, anda boleh hantar artikel pada majalah dan ada majalah yang membayar untuk artikal yang berkualiti. Anda juga boleh tulis ebook. Atau menjadi pemandu Uber.

Ia juga sebagai langkah menyahut seruan kerajaan untuk melakukan 2 pekerjaan. ‪#‎2kerja‬.

Secara ringkasnya, maksud saya dalam menambah aliran pendapatan ialah jika anda kehilangan pekerjaan anda yang sekarang ini impaknya kurang dan pendapatan keseluruhan anda bertambah.

Saya dulu pernah ambil upah “tolong” fotostat-kan buku. Juga pernah ambil upah perbaiki komputer contohnya.

2c. Jaga Silatulrahim Sesama Manusia

Kita tidak tahu hubungan yang kita bina pada masa lalu mungkin akan membantu kita dimasa depan. Kadang-kadang dari orang yang tidak pernah kita jangka. Oleh itu jika ada orang yang telah lukakan hati kita atau kita terasa berdendam dan terasa mahu cakap buruk tentang orang itu, TAHAN! Sabar!

Anda akan perasan, saban hari kita akan terserempak dengan orang yang pernah kita kenal. Maka, jangan sekali-kali putuskan mana-mana silatulrahim. Ia tidak membantu. Dan sentiasalah hubungi kawan-kawan lama. Facebook kan ada.

3. KESEDERHANAAN DALAM HIDUP

Kebanyakan orang salah anggap antara kesederhaan dengan kedekut. Kesederhaan bukanlah sehingga memakai pakaian yang lusuh penuh bertampal, bawa kereta cabuk yang boleh mati enjin bila-bila masa atau memakai kasut yang bunganya pun sudah tiada.

Penuhi keperluan, tangguhkan kemahuan.

Saya pernah jumpa ramai jutawan senyap yang tidak mewah langsung. Tidak pakai baju berjenama mewah, pakai telefon yang baling orang boleh koma atau beg-beg yang overprice. Namun, wang tunai dalam bank boleh buat anda juling mata mahu kira, hartanah banyak, tidak lemas dengan pinjaman bank dan mereka hidup dalam kenidupan yang berpandukan peraturan mereka.

Berikut adalah cara saya berjimat:

3a. Memaksimumkan Setiap Wang Ringgit

Buat keputusan setiap kali anda berbelanja adakah berbaloi nilai yang anda dapat dengan harga yang anda bayar? Kuncinya adalah, apakah nilai yang anda dapat dengan setiap ringgit yang anda belanjakan.

Contohnya, ada situasi yang kita sedar bahawa kita tidak berapa perlu benda itu boleh buat keputusan untuk tidak beli atau belilah versi yang murah dahulu untuk tengok keperluan. Jangan takut untuk membeli.

3b. Tabiat Yang Merbahaya

Ramai orang mempunyai rutin membeli air latte yang overprice, beli surat khabar yang tidak pernah dibelek atau makan di tempat yang sama setiap hari. Belanja RM5 lebih sehari pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) jika dicampur-campur akan menjadi RM 1300 setahun. Itu sudah bayaran bulanan loan rumah untuk kebanyakan orang. Periksa kembali semua benda yang kita buat setiap hari terutama yang berkaitan dengan wang ringgit. Tanya diri samada itu adalah keperluan atau kemahuan.

3c. Prinsip 10 Saat

Setiap kali mahu membeli barang atau membayar bill, berhenti 10 saat dan tanya diri sama ada kita memang mahu benda yang kita akan belanjakan duit ini? Kita perlukah benda ini? Contoh, perlukah kita ambil pakej yang unlimited SMS bila sebulan kita mungkin hanya hantar 5 SMS sahaja. Teknik ringkas ini akan selalu tunjukkan arah berbelanja kurang.

3d. Janganlah Sampai Diri Sengsara

Kebanyakan masa apabila kita potong perbelanjaan kita, kita tak perasan pun kekurangan itu. Andai kata ada perbelanjaan yang lepas kita potong menyusahkan kita, maknanya ia tidak berbaloi untuk dipotong. Berjimat tidak boleh disamakan dengan kesusahan, ia cuma bermakna anda potong yang tidak perlu.

Saya selalu bersorak gembira andaikata saya tahu saya berjaya untuk berjimat.

4. URUS KEWANGAN ANDA

Apabila anda berjaya meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan, anda akan dapati anda mempunyai lebihan tunai setiap hujung bulan. Lebihan tunai itulah tiket anda kepada kebebasan kewangan. Lagi banyak anda dapat lagi cepat anda mencapai matlamat.

Tetapi! Sentiasa ingat “penuhi keperluan dan tangguhkan kemahuan”. Gunakan lebihan itu untuk stabilkan masa depan. Apa yang patut dilakukan dengan lebihan tunai itu? Begini caranya:

4a. Selesaikan Semua Hutang Yang Kadarnya Tinggi Seperti Kad Kredit

Diri saya sendiri guna kad kredit seperti wang tunai. Sebab malas nak bawa tunai banyak ke hulu ke hilir. Tetapi saya tahu ramai yang guna kad kredit untuk berhutang. Selesaikan itu dahulu. Selesaikan interest yang paling tinggi dahulu, kemudian ke interest yang lebih rendah.

4b. Bina Dana Kecemasan

Dana kecemasan ini adalah duit yang disimpankan dalam akaun simpanan yang bertujuan HANYA untuk digunakan semasa kecemasan seperti kehilangan pekerjaan, kemalangan kereta dan macam macam lagi.

Ukur dana kecemasan ikut belanja kehidupan bulanan. Saya cadangkan simpan minimum 6 bulan punya belanjawan kehidupan. Kalau boleh adakan simpanan cukup untuk bertahan 2 tahun untuk selesa. Mahu berhenti kerja dan mula berniaga? Adakan dana ini dahulu.

4c. Melabur

Jika ada lebihan lagi, melaburlah. Pelaburan bukan kepakaran saya lagi kerana masih mencari rentak dan cuba-cuba, jadi saya tidak mahu tulis banyak.

5. TENTUKAN HALA TUJU HIDUP ANDA

Do you live your life by default or live your life by design?

Kebanyakan orang melihat tujuan semua ini adalah untuk jadi kaya. Semua orang mahu jadi jutawan kan?

Objektifnya begini, ia bukan untuk menjadi kaya, tetapi ia tentang kebebasan. Kebebasan dari hutang. Kebebasan untuk mencuba bende baru dalam hidup. Kebebasan masa untuk beribadah. Kebebasan untuk melancong ke mana sahaja yang kita mahu pergi.

Itu yang kebanyakan orang mahu. Sekurang-kurangnya itu yang saya mahu.

Fuuuhhh… 3 jam menaip sebab sejam makan. Hahaha!

Jika anda rasa penulisan saya ini memberi kesedaran dan manfaat, haruslah dikongsikan bersama orang lain supaya lebih ramai yang mendapat manfaat.

Jangan lupa Share and Tag.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram