Ada orang bukan tidak mahu memasak, tetapi diri merasakan proses memasak itu ambil masa terlalu lama dan meletihkan. Perlu siapkan rencah, membasuh pinggan serta kuali dan mengemas dapur pula. Serba remeh dan memenatkan. Jadi, untuk mudah, lebih baik beli sahaja makanan di luar.

Namun jauh di lubuk hati, terutama bagi yang sudah berkeluarga, pasti ada harinya hendak juga memasak di rumah untuk menjamu keluarga dengan air tangan sendiri. Kan?

Apa kata anda cuba tip ini jika anda ingin tetap memasak untuk keluarga, dalam masa yang sama tidak meletihkan semasa di dapur.

1. Pes Perencah Segera

Gambar: fromthegrapevine.com
Gambar: fromthegrapevine.com

Pes perencah segera buatan sendiri pastinya lebih terjamin kualiti dan rasanya berbanding yang disiap pek. Sebenarnya boleh saja dibeli yang ada di pasaran tetapi pada sebilangan orang mungkin rasanya tidak kena selera dan berasa mahal pula untuk kuantiti pes yang sedikit.

Antara pes perencah yang mudah disediakan adalah pes kari, gulai lemak, sambal tumis, asam pedas, masak lada hitam, tomyam dan paprik. Semua pes perencah ini boleh dimasak di hujung minggu dan disimpan beku atau dingin di dalam peti sejuk.

Ketika hari sibuk atau bekerja, yang mana anda tidak banyak masa untuk memasak, cuma keluarkan pes perencah tadi dan panaskan sahaja. Kemudian masukkan bahan-bahan mentah. Proses memasak menjadi mudah dan makanan sedia dihidang.

2. Kuih-Muih Sejuk Beku

Anda boleh buat sendiri atau membeli kuih-muih yang sudah siap dipek. Semua mudah kerana kini sudah banyak jenis kuih yang ada di pasaran sama ada kuih yang sedia untuk digoreng atau dikukus.

Jika anda mampu membuatnya sendiri, anda boleh sediakan beberapa adunan dan disimpan dalam peti sejuk. Jika selesa membeli yang sudah siap, boleh dibuat stok.

Kuih-muih yang sering menjadi pilihan adalah donat, karipap, samosa, pau dan popia. Cuma keluarkan sahaja daripada peti sejuk dan terus goreng atau kukus. Selalunya proses ini hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Cara ini sesuai untuk menyediakan sarapan untuk anak-anak, atau setelah balik kerja.

3. Rencah Sedia Dimasak

Gambar: cozinhatecnica.com
Gambar: cozinhatecnica.com

Jika tidak suka siapkan pes perencah, boleh cuba siapkan rencah-rencahnya saja. Contohnya, cili sudah siap dikisar bersama bawang, sayur-sayuran siap dipotong atau bahan-bahan mentah siap disiang. Ikan dan ayam yang sudah dibersihkan dan dipotong, boleh siap digaul dengan garam dan kunyit sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Semasa hendak memasak, keluarkan, nyah beku dan terus digoreng sahaja. Tetapi, kalau ada rancangan hendak memasak sup, asingkan ayam tadi, tak perlulah digaul dengan garam dan kunyit. Nanti sup akan terasa lain pula. Dengan cara menyiapkan rencah sebegini, bahan mentah juga tahan lebih lama dan anda tidak perlu menghabiskan banyak masa di sinki (untuk kupas bawang, potong sayur dan sebagainya).

4. Masak Sambil Basuh Pinggan-Mangkuk

Ini gaya mak-mak di dapur dulu. Sambil memasak, contohnya menunggu ayam sedang digoreng, atau sup mendidih, basuhlah segala pinggan mangkuk yang ada di dalam sinki.

Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan tempoh membasuh, yang mana kebanyakan orang paling tidak gemar memasak disebabkan masalah begini. Basuh sikit-sikit tak terasa penatnya. Tak perlu tunggu sehingga selesai memasak untuk membasuh semua pinggan, mangkuk dan kuali.

5. Menu Sedia Dimakan

Gambar: honeywerehome.com
Gambar: honeywerehome.com

Jika berasa terlalu kesuntukan masa, atau tidak mahu berpenat di dapur setelah balik kerja, lebih mudah siapkan terus menu yang lengkap. Menu seperti kari ayam, ikan masak kicap, sambal tumis sotong, udang masak paprik adalah contoh menu yang boleh disejukbekukan.

Apa yang anda perlu buat adalah memasak ia lebih awal. Setelah siap dimasak, sejukkan sebentar dan masukkan menu tadi ke dalam bekas dan disimpan beku. Tiba masa hendak makan, hanya perlu nyah bekukan, panaskan di atas dapur atau menggunakan mikrowave.

6. Resipi 15 Minit

Resipi yang ringkas dan pantas boleh dicari di internet atau dengan membeli buku dan majalah resipi yang memberi panduan memasak dalam masa yang terhad. Lazimnya bahan-bahan yang digunakan juga tidak banyak dan proses memasak yang terlibat hanyalah ringkas sahaja.

Jika anda kreatif, resipi tersebut boleh diolah mengikut bahan-bahan yang ada di dapur anda sahaja. Adakalanya yang ringkas itu lebih sedap.

Semoga bermanfaat.