January 12, 2017 5:32 PM

Mempunyai anak yang ramai sememangnya rezeki yang tak ternilai. Namun, kadangkala pening juga ibu bapa dibuatnya dek pelbagai kerenah dan perangai terutama apabila mereka sedang membesar.

Saya juga adik-beradik ramai. Kagum lihat bagaimana ibu bapa uruskan kami semua. Diakui memang mencabar kerana kedua ibu bapa bekerja, dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak yang berusia antara usia 1 bulan hingga 9 tahun seramai 6 orang.

Kami pula memutuskan untuk tinggal di rumah selepas beberapa insiden yang tidak “sedap” sewaktu tinggal di rumah pengasuh. Ibu bapa pernah ambil orang gaji, namun tidak membantu malah menyesakkan fikiran ibu bapa apabila ada yang suka bergayut telefon dan bawa lari barang ibu.

Jadi, nak kongsi beberapa tip yang boleh dijadikan panduan bagi menguruskan anak yang ramai dengan tenang. Ini bukan metod ibu bapa kami tapi gabungan beberapa tip universal. Tentang bagaimana ibu bapa urus kami adik-beradik itu, lain kali saya cerita OK.

1. Ajar Anak Berdikari

Ibu bapa boleh ajar atau beri panduan pada anak yang lebih dewasa untuk melakukan kerja rumah sendiri. Bagi yang masih kecil (2-4 tahun), boleh mula diajar kerja rumah yang sesuai dengan umur mereka.

Biasanya kerja rumah yang mudah boleh diberikan supaya anak dapat berdikari dan ibu bapa boleh fokus kepada kerja rumah yang lebih penting. Anak-anak yang lebih dewasa juga boleh bantu menyelia adik-adiknya melakukan kerja rumah.

2. Sediakan Kalendar Atau Jadual

Apabila ada ramai anak yang sudah bersekolah, pastinya setiap seorang mempunyai aktiviti atau program masing-masing pada hari dan waktu yang tertentu.

Untuk mengelakkan ibu bapa terlepas pandang, boleh satukan semua aktiviti anak ke dalam satu kalendar atau jadual. Kesemua aktiviti boleh direkodkan pada papan notis di rumah atau aplikasi di telefon.

Dengan cara ini, ibu bapa dapat merancang dan menyusun perjalanan hari tersebut dengan lancar dan tersusun. Salah satu contoh aplikasi telefon yang boleh digunakan ialah Google Calendar.

3. Asingkan Pakaian

Urusan pakaian memang biasa buat ibu pening kepala. Jika masih ada isu dengan pakaian yang masih tidak selesai, boleh cuba kaedah pengasingan baju berikut.

Untuk stoking atau pakaian dalam, boleh terus dimasukkan ke dalam ‘meshbag’ selepas digunakan dan boleh dimasukkan terus ke dalam mesin basuh untuk dicuci. Amalan begini selain memudahkan, dapat bantu elakkan pasangan stoking hilang.

Bagi pakaian yang sudah kering pula, boleh terus diasingkan ke dalam bakul yang berlabel nama setiap ahli keluarga. Ya, asingkan pakaian setiap ahli keluarga.

Anda juga boleh jemur pakaian pada penyangkut baju dan terus digantung dalam almari setelah kering. Anak-anak juga mudah mencari pakaian masing-masing. Jadi tak perlu lagi pening nak mencari baju atau membuang masa mencari pasangan stoking setiap pagi.

4. Masak Menu Mudah

Memasak boleh mengambil masa yang lama jika tidak dirancang. Jika berniat untuk masak sendiri, boleh pilih menu yang mudah dan buat rancangan menu seminggu.

Menu seperti ‘one-pot dish’ (protein dan sayur dalam satu periuk) amat sesuai, memudahkan dan menjimatkan masa. Anda juga boleh rujuk artikel ini, 6 Tip Masak Sendiri Tanpa Berpenat Di Dapur.

Jika mampu membeli peralatan memasak seperti periuk tekanan elektrik, ketuhar gelombang mikro, ketuhar, pembuat roti dan sebagainya, ia boleh membantu memudahkan kerja memasak dan ada lebih masa untuk keluarga.

5. Elak Rancang Jadual Terlalu Ketat

Beri sedikit ruang dalam jadual anda. Sekiranya merancang sesuatu majlis, atau perjalanan ke mana-mana, pastikan ada ruang masa bagi kejadian yang tak dijangka.

Anak yang ramai akan menimbulkan pelbagai ragam. Jadual yang terlalu ketat boleh menimbulkan tekanan bila tidak dapat diikuti.

6. Buat Aktiviti Rumah Bersama

Masak, mengemas atau menguruskan pakaian boleh dilakukan bersama-sama untuk menjimatkan masa. Ibu bapa boleh bahagikan tugas mengikut umur anak. Lebih baik jika semua anak dapat turut serta.

7. Beli Baju Tema Warna Sama

Jika anda ibu yang tidak boleh lihat anak memakai baju dan seluar yang tak sepadan, dan dalam masa yang sama anda tak sempat nak melipat dan menyusun baju anak, anda boleh beli baju anak yang tema warnanya sama. Jadi jika padanan baju dan seluar tersebut bukan yang betul, anda kurang sakit mata melihatnya. Hehe.

Artikel Berkaitan