Lelaki ini antara penulis prolifik yang hebat dalam abad ke-20 apabila dia dianugerahkan dengan kreativiti, bakat dan intelektual sehingga dapat menulis hampir 500 buah buku sepanjang hayatnya. Jika mahu mengikut jejak langkah Isaac Asimov, seorang penulis perlu tulis sebuah novel lengkap setiap 2 minggu selama 25 tahun!

Apakah rahsia penulisan Isaac Asimov sehingga dia boleh menerbitkan sejumlah buku yang banyak?

1. Terus Berfikir

Asimov sentiasa berfikir dan terus berfikir agar dapat melahirkan idea-idea baru. Sampai satu tahap dia rasa nak bunuh diri dan ada juga dia bersendirian pada beberapa waktu malam bagi mendapatkan idea. Ia bukan satu kerja yang mudah.

2. Sentiasa Belajar

Asimov bukan calang-calang penulis sains fiksyen kerana dia memiliki kelayakan PhD kimia dari Columbia. Selain itu dia tulis dalam pelbagai bidang kerana tidak menghadkan pengetahuannya berdasarkan sijil yang dimiliki sahaja. Dia meneroka ilmu-ilmu baru.

3. Ketidaksempurnaan Itu Indah

Oleh kerana Asimov suka belajar, jadi dia menentang segala usaha ke arah kesempurnaan. Baginya setiap apa yang dibuat ada draf, ada lakaran sementara, dan ada percubaan. Penulis perlu yakin diri dan menyukai penulisan sendiri kerana jika gagal, lebih mudah bangkit semula dengan sikap ini.

4. Tak Perlu Lawan Kebekuan Idea

Tak sangka Asimov turut mengalami writer’s block di mana sampai satu tahap penulis tak boleh menulis, idea beku dan sebagainya. Bezanya cuma pada reaksi. Asimov akan tinggalkan kerja itu dan membuat kerja lain. Kemudian baru sambung semula kerja tadi.

5. Jalan Terus

Asimov dah tak fikir apa akan jadi pada bukunya selepas diterbitkan. Dia hanya jalan terus dengan projek baru pula. Cara ini beri ketenangan dalam dirinya. Sebab itu sikap jalan terus ini selari dengan sikap tidak kejar kesempurnaan dalam karya. Selain itu, jika karya gagal, dia tiada masa fikirkannya kerana mahu fokus dengan projek seterusnya.

6. Jadi Kebal

Bukan belajar kebal tetapi terima hakikat apabila karya dihasilkan ia tidak akan diterima oleh semua orang. Pasti ada kritikan dan penolakan. Tujahan negatif pasti membuatkan penulis jadi lemah dan mendorong penulis mengejar kesempurnaan. Disebabkan oleh Asimov menolak mengidolakan kesempurnaan, dia pilih untuk bertahan dengan idea-idea yang disampaikan dalam karya.

7. Kreativiti

Asimov percaya kreativiti boleh diproses dengan baik jika berkerjasama dalam kumpulan tidak lebih daripada 5 orang dalam satu masa walaupun masa bersendirian diperlukan dalam proses kreatif. Bagi melahirkan kreativiti, Asimov turut menyarankan seseorang perlu jadi lebih berani untuk menghadapi sebab-akibat. Jangan rasa takut hingga terkongkong dengan idea yang mahu dikeluarkan.