Perkara menarik tentang berhari raya di Sarawak.

Minggu depan jika diizin Allah maka dapatlah kita menyambut hari raya puasa atau Aidil Fitri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebagai orang Malaya yang tinggal di Bumi Kenyalang ini saya telah melalui suasana hari raya di Sarawak hampir belasan kali.

Maka saya sudah tahu adat dan kelaziman tatkala hari raya disambut oleh masyarakat Islam di sini.

Bagi sahabat saya yang berada di semenanjung saya ingin kongsikan sedikit apa yang LAZIM semasa menyambut Aidil Fitri di Sarawak.

Manakala bagi yang pernah menetap di Sarawak semoga akan tergamit memori anda saat berhari raya di Sarawak.

1. Kelupis

budaya-beraya-di-sarawak-1

Jika di Semenanjung, ketupat lemang menjadi hidangan ruji saat hari raya. Di Sarawak kami sering menyediakan Kelupis sebagai juadah.

Rasanya seakan ketupat pulut cuma ia lebih lembut dan berkanji serta lebih manis rasanya. Selalu dimakan dengan rendang, kari dan sekaya telur.

Hidangan ini memang hidangan asal masyarakat Borneo kerana selain orang Melayu, orang Iban turut memasak kelupis dan ketupat semasa hari gawai.

2. Lemang Periuk Kera

budaya-beraya-di-sarawak-5

Biasanya mudah didapati dikalangan masyarakat Islam Bidayuh. Lemang yang dimasak dengan pulut merah mempunyai citarasa yang tersendiri.

Boleh cuba walaupun bukan masa perayaan kerana periuk kera banyak dijual di Sungai Duyuh Serikin.

3. Kek Lapis

budaya-beraya-di-sarawak-2

Hari raya semestinya perlukan warna-warna. Di Sarawak warna warni hari raya ialah pada kek lapisnya. Sepenuh penuh meja akan tersusun indah kek lapis pelbagai rasa dan warna.

Pada saya KEK LAPIS SARAWAK adalah resepi dinamik. Sentiasa wujud ciptaan kek lapis baru. Malah dalam banyak-banyak makanan di dunia saya kira KEK LAPIS SARAWAK PALING BANYAK NAMA.

Jika hati pari dan kek masam manis sudah menjadi kek klasik, anda boleh temui kek idola cheese, kek Cadbury malah kek Neelofa pun ada.

Baca: 10 Biskut Raya ‘Evergreen’

4. Air Soda dan Sundrop

budaya-beraya-di-sarawak-3

budaya-beraya-di-sarawak-4

Kedua air ini amat mudah ditemui saat perayaan hari raya. Air soda atau lemenet didalam botol hitam ini biasanya dikilangkan di Sibu dan Kuching menjadi pilihan orang Melayu yang ingin mengimbau suasana klasik dan malar hijau (evergreen) dalam sambutan hari raya.

Selain air lemenet, Sundrop turut menjadi pilihan jika tetamu tidak mahu minum air bergas. Sundrop adalah air oren produk tempatan.

5. Baju Melayu

Berbaju Melayu amat trendy di hari raya jika di Sarawak. Malah ada yang memakai baju Melayu hingga hari raya ke 7.

Mereka akan memakai baju pelbagai warna dan sedondon mengikut tema masing masing. Hari raya pertama mungkin hijau, esoknya merah, lusa kuning.

Malah baju Melayu tahun lepas akan dipakai kembali sebagai penaik seri. Saya pernah lihat anak-anak muda makan di Mc Donald pada hari raya ke 4 masih lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.

Saya amat bangga dengan sikap sedemikian di kalangan anak-anak muda. Malah bukan sahaja dipakai orang Melayu malah sahabat Iban dan Bidayuh turut memakai baju Melayu atau baju kurung semasa menziarahi rumah kawan-kawan.

6. Ziarah Pusara

budaya-beraya-di-sarawak-6

Biasanya ziarah kubur di Sarawak dilakukan pada hari raya kedua. Memang meriah suasana di permakaman.

Sanak saudara membaca yassin, berdoa akan kesejahteraan orang-orang tersayang yang mendahului kita.

Namun yang menarik ialah kanak-kanak akan mendapat sedekah wang syiling di tanah kubur.

Orang-orang tua tidak lokek memberi kanak-kanak yang berada di situ wang syiling dan gula-gula.

7. Sadak

budaya-beraya-di-sarawak-7

Semasa takbir dibaca beramai-ramai sambil menanti kutbah, beberapa ahli masjid atau surau di kampung-kampung akan mengikat kain di pinggang dan berjalan di barisan saf jamaah.

Maka jemaah akan memberi derma dengan memasukkan wang di dalam ikatan kain itu.

Kelaziman ini digelar Sadak (seperti nelayan menyadak bubuk). Ia adalah suasana biasa di kampung pesisir laut. Sungguh unik sekali.

8. Bertuntong

Kalau di Semenanjung ramai yang memasang panjut atau pelita di kampung. Tetapi kampung-kampung di Sarawak akan memasang mandong atau bertuntong.

Sama konsepnya mengunakan pelita minyak. Cuma kalau bertuntong mereka akan memasangnya di pintu gerbang masuk ke kampung.

Malah ada wakil rakyat yang berikan peruntukan pada kampung untuk membina gerbang dan dipertandingkan.

Demikianlah sedikit sebanyak saya kongsikan suasana hari raya di Sarawak.
Jika ada salah silap mohon ampun dan maaf.

Baca lagi: 8 Peristiwa Yang Paling Aku Ingat Selama 3 Tahun Berpuasa Dan Beraya Di Perantauan