January 12, 2017 4:38 PM

Seorang ibu yang ingin menyediakan bekal untuk suami atau anak-anak, hatta dirinya sendiri pun pasti memilih menu yang perlu masa singkat untuk disiapkan setiap pagi. Maka, telur boleh jadi salah satu bahan pilihan yang tepat memandangkan ia boleh dimasak dengan cepat, kos murah dan berkhasiat.

Berikut 9 cadangan hidangan dengan cara penyediaan yang ringkas dan pantas. Boleh siap dalam 30 minit sahaja.

1. Telur Dalam Mug

Gambar: Frugal Hausfrau

Pukul telur dengan garam dan serbuk lada hitam. Masukkan capsicum, keju dan sosej jika suka. Tuang ke dalam gelas dan masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro. Siap dalam 3 minit. Anda juga boleh pelbagaikan bahan-bahan yang digunakan.

2. Telur Hancur

Gambar: Sunny Queen Farms

Pukul telur bersama sedikit susu segar, garam dan serbuk lada hitam. Masukkan ke dalam kuali panas yang telah dimasukkan sedikit marjerin. Kacau hingga telur kental. Sedia dimakan bersama roti atau croissant. Jika suka telur hancur berempah, pukul telur bersama serbuk kari atau serbuk cili berserta garam. Ia sesuai juga dimakan bersama nasi.

3. Telur Masak Taucu

Gambar: Ezadlieza

Tumis bawang putih, bawang merah, cili merah dan cili hijau bersama sedikit taucu. Masukkan sedikit air untuk kuah. Curahkan kuah ke atas telur mata kerbau atau telur dadar.

4. Sup Telur

Gambar: Felima Zamrud

Rebus air bersama hirisan bawang putih dan bawang merah. Masukkan bunjut sup dan garam. Titiskan sedikit minyak masak. Masukkan telur yang telah dipecahkan. Tutup api bila telur sudah masak. Untuk lebih berkhasiat, tambah sayur seperti lobak merah dan ubi kentang.

5. Telur Bungkus

Gambar: Fromasz Kitchen

Tumis ayam cincang bersama sayur campur (jagung, lobak merah dan kacang pis). Masukkan sos cili dan sos tomato. Balut menu ayam ini dengan telur yang telah didadar nipis dan lebar.

6. Telur Masak Tiga Rasa

Gambar: Aznanie

Tumis bawang putih, masukkan air bersama sos cili, tomato dan sos tiram. Masukkan nenas dan capsicum jika ada. Curahkan kuah ke atas telur mata kerbau.

7. Omelet Sayuran

Gambar: Building Muscle 101

Pukul telur, susu segar dan garam. Masukkan tomato dan capsicum hijau. Masak di atas kuali tanpa lekat.

8. Telur Kacang Panggang

Gambar: Serious Eats

Tumis bawang merah dan kacang panggang. Masukkan air sedikit. Curahkan kuah kacang panggang ke atas telur mata kerbau.

9. Telur Gulung Lada Hitam

Gambar: Foxy Folksy

Goreng telur dadar yang dicampur dengan susu. Pastikan ia nipis dan lebar. Tuang sos lada hitam dan ratakan di atas rataan telur itu. Tabur sayuran campuran. Kemudian gulung dan potongkan telur tadi.

Artikel Berkaitan