Tak lama lagi Tahun Baru Cina akan tiba. Ucapan Gong Xi Fa Cai bermaksud “selamat dan sejahtera” akan banyak didengari di kalangan orang Cina khususnya.

Selain itu, jamuan yee sang dan kuih bakul begitu dekat dengan perayaan ini turut memeriahkan suasana. Sebut tentang yee sang, saya nak kongsi pengalaman seorang kawan berkenaannya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dia pernah rasa yee sang, sekali, sewaktu belajar di sebuah pusat bahasa Inggeris yang rata-rata pelajar dan stafnya berbangsa Cina.

Jadi, sambutan Tahun Baru Cina di situ agak meriah dan dia pun berkesempatan tumpang sama berkongsi kemeriahan mereka. Buat pertama kalinya dia berpeluang merasa hidangan yang dipanggil yee sang atau ‘Prosperity Toss Salad’.

Apa Itu Yee Sang

Yee sang, merupakan salah satu makanan popular orang Cina yang berwarna-warni dan lazimnya dihidang semasa Tahun Baru Cina.

Hidangan ini merupakan sejenis menu tradisional orang Cina dan memberi simbol kepada kejayaan, kemewahan dan kesihatan yang baik. Biasanya dimakan beramai-ramai dan disajikan dalam satu pinggan yang besar.

Yee sang boleh dikategorikan sebagai salad yang terdiri daripada beberapa jenis sayuran yang dihiris nipis, kepingan ikan mentah dan dimakan bersama sos istimewa. Terdapat juga yee sang yang mengandungi abalon, kepingan kulit popia rangup dan sayur jeruk.

Adat popular semasa menikmati yee sang adalah dengan menyepit sayur-sayuran dan kepingan ikan mentah tersebut lalu diangkat setinggi yang boleh dengan menggunakan penyepit. Kemudian semua bahan digaul bersama dengan sos.

Dikatakan signifikannya adat ini adalah untuk dilimpahi kekayaan, kemewahan dan kejayaan yang melimpah ruah pada tahun berkenaan. Dikatakan semakin tinggi yee sang diangkat, semakin banyak kekayaan dan kemewahan yang akan diperolehi.

Jadi, kita dapat lihat betapa gembiranya orang Cina di musim Tahun Baru Cina sambil mengangkat yee sang setinggi yang boleh bersama sanak saudara pada majlis makan besar.

Teknik Sebelum Makan Yee Sang

Saya pernah baca 1 artikel tentang 9 tertib sebelum makan yee sang. Ia bukan sekadar menjulang tinggi yee sang. Ada cara yang perlu dilakukan dan ada kata-kata pengharapan yang perlu diucapkan.

1. Angkat bahan-bahan Yee Sang seperti hirisan lobak merah, lobak putih, buah pic, oren, tembikai dan timun. Kemudian letak di bahagian tengah sambil sebut “fat chai yi sen”. Yi sang bermaksud kemakmuran.

2. Limau nipis diperah di atas bahagian ikan sambil berkata “ta ci ta li” yang bermaksud “semoga kebersamaan, ketenteraman selalu ada pada keluarga”.

3. Seterusnya, rempah ditaburkan di atas ikan dan dikacau rata sambil ucap “fung thiaw yi sun” yang bererti “semoga selalu diberi kemudahan dan kelancaran dalam hidup”.

4. Kemudian baru letak ikan di atas yee sang sambil sebut “nien nien yiu yi” yang bermaksud “semoga tiap tahun rezeki selalu bertambah”.

5. Selepas itu minyak dituang di atas yee sang sambil cakap “yu man fu thien” yang bererti “semoga kekayaan anda terus bertambah”.

6. Ia disusuli dengan minyak bijan pula di atas yee sang sambil kata “thien thien mie mie” yang bermaksud “semoga kedamaian dan kebahagian selalu menyertai anda”.

7. Letak keropok di atas yee sang sambil ucap “wang cing man ti” yang bererti “semoga kehidupan sentiasa bersinar bagaikan emas”.

8. Diakhiri dengan letak halia di atas yee sang sambil sebut “hong win tang ho” yang bermaksud “semoga keberuntungan selalu menyertai anda”.

9. Kemudian barulah seluruh ahli keluarga berdiri dan mengacau Yee Sang bersama sambil mengucap “lo hey lo hey lo kow fong sang sue hey”. Ayat itu bermaksud “silakan aduk yee sang, makin tinggi makin tinggi kemakmuran”.

Keadaan menjadi riuh dan ketawa gembira saat masing-masing cuba mengangkat tinggi yee sang.