Alhamdulillah 22 Disember 2016 yang aku lalu selamat kembali ke Malaysia setelah 6 hari di Nepal. Mulanya aku berat nak pergi sebab tak nampak dimana istimewanya Nepal ni melainkan kalau aku nak mendaki gunung. Dan aku belum bersedia untuk itu.

Tapi mengenangkan aku dah lama tak berjalan jauh ditambah dengan ajakan daripada Pak Ya Sepahtu yang katanya ada kenalan di Kathmandu aku pun setuju. Mungkin juga Pak Ya yang selalu berlakon jadi orang Bangladesh sedang cari ilham nak jadi orang Nepal pula.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sebelum berangkat aku membuat persiapan serba sedikit dengan membeli makanan seperti brahims dan maggi, plug extension, ubat-ubatan dan baju sejuk untuk menghadapi musim sejuk di Nepal.

Kami juga membawa gambar saiz passport berlatar putih untuk visa Nepal yang boleh dimohon setibanya kami di Lapangan Terbang Tribhuvan nanti.

Selain daripada itu, aku juga menukar duit kepada USD dan Rupee Nepal. Duit USD bakal digunakan untuk membayar visa dan pakej lawatan di Pokhara.

Manakala matawang Rupee digunakan secara meluas di Nepal. Jadi aku perlu ada matawang Rupee untuk membeli barangan harian dan ole-ole.

Tapi tidak banyak pusat tukaran wang yang boleh buat tukaran ke duit Nepal. Jika ada pun perlu ditempah terlebih dulu. Dan jika ingin menukar kembali ke Ringgit Malaysia lebih elok tukar sahaja di Nepal untuk mengelakkan kesukaran sekembalinya ke Malaysia nanti.

Pukul 4:15 petang kami berempat terbang dari Malaysia dan tiba di Kathmandu pada jam 7 petang waktu tempatan. Penerbangan ke Nepal mengambil masa lebih 4 jam dengan menaiki AirAsia X.

Tiket penerbangan kami berharga RM1200 seorang. Ada rakan yang pernah sampai ke Nepal memaklumkan jika menaiki pesawat lain seperti Malindo mungkin boleh dapat harga yang lebih murah.

Tiba di lapangan terbang kami disambut kenalan sekampung Pak Ya, Puan Asmah dan suaminya Encik Rosli seorang pegawai imigresen di Kedutaan Malaysia.

Setelah selesai membuat visa Nepal berharga 25 USD seorang untuk tempoh lawatan 15 hari dan membeli satu kad prabayar (pembelian prabayar di Nepal juga memerlukan gambar) kami ke Jhamsikel dan bermalam di rumah Encik Rosli.

Esoknya hari kedua awal pagi kami bertolak ke Pokhara menaiki van pelancong disertai sekali oleh Puan Asmah bersama 2 orang anaknya dan seorang jiran perempuan bernama Nistha.

Memang selepas itu perjalanan kami di Pokhara banyak dimudahkan oleh komunikasi Nistha sebagai orang tempatan dari segi pembelian barang cenderamata dan lain-lain.

Kami mengambil pakej lawatan selama 1 hari di Pokhara termasuk harga penginapan untuk 2 malam berserta sarapan pagi bersama Bardia Tiger Resort Pvt Ltd dengan harga yang lebih murah dengan harga kawan-kawan.

Setelah menempuh perjalanan lebih 5 jam melalui jalan yang sempit dan curam tapi melewati pemandangan sungai dan banjaran yang sangat cantik kami akhirnya tiba di Pokhara dan menginap di Lakeside Retreat.

Esoknya (hari ke 3) sebaik masuk waktu Subuh selesai bersolat, kami bergegas menaiki van menuju puncak tinjau di Sarankot untuk menyaksikan matahari terbit berlatarkan pemandangan banjaran Himalaya.

Kemudian kami ke Tasik Phewa untuk menaiki sampan menikmati pemandangan banjaran Himalaya yang dipantulkan di permukaan tasik.

Selepas itu ke Muzium Pergunungan dengan harga tiket masuk 400 Rupee yang mempamerkan pameran seperti budaya masyarakat Nepal, sejarah, mitos dan banyak lagi.

Akhirnya kami ke Davis Fall, kawasan air terjun (bukan untuk perkelahan) yang mendapat namanya dari seorang kanak-kanak Inggeris bernama Davis yang terjatuh ke dalam lubang yang sangat dalam di situ sekitar tahun 1800an dulu, dan jasadnya tidak ditemui sehingga sekarang.

Di sekitar kawasan Davis Fall ada dijual berbagai cenderamata yang agak murah dan aku membeli keychain berupa pisau Gurkha di situ.

Jadual sehari kami agak padat dan aku agak ralat kerana tidak sempat membuat aktiviti seperti bungy (harga 60USD), paragliding (harga minimum 10,000 Rupee) atau aktiviti lain seperti rafting dan paramotor kerana kekangan masa.

Esoknya (hari ke 4) kami bertolak balik semula ke Kathmandu dan sempat singgah di sebuah masjid di penempatan kecil Muslim sekitar 20 km dari Pokhara. Selesai solat sunat dan beramah mesra kami meneruskan perjalanan.

Dalam perjalanan pergi dan balik kami akan singgah di sebuah restoran halal, Restoran Abdullah yang terletak di sebuah kawasan bernama Mudim.

Sampai di Kathmandu, kami ke Thamel iaitu kawasan yang penuh dengan penginapan bajet dan backpacker. Di sini kami ke Restoran Shafqat untuk makan malam pula.

Difahamkan kakitangan MAS Airlines juga selalu ke sini dan dapat dilihat stiker pendaki gunung Malaysia banyak menghiasi cermin hadapan restoran.

Hari ke 5 siangnya kami hanya berjalan kaki dari rumah Encik Rosli menuju Patan. Kami melihat kawasan bandar Kathmandu yang sesak dan berhabuk.

Di sini termasuk di kawasan simpang yang sibuk tiada lampu isyarat kerana bekalan elektrik yang kerap terganggu. Yang ada hanya polis trafik bertugas mengawal lalulintas.

Cuma istimewa di Kathmandu adalah tahap toleransi dan kesabaran para pemandunya sangat tinggi. Kami singgah di Labim Mall, sebuah pasaraya baru dan sarapan di sebuah kafe di tingkat 3 milik kawan Puan Asmah, bernama Josh.

Beliau merupakan seorang wanita Perancis yang berkahwin dengan warga Nepal. Labim Mall pasaraya yang agak moden dan menjadi tempat lepak golongan muda Nepal.

Di sini juga turut menempatkan sebuah pawagam di tingkat 4. Petangnya pula kami ke kembali Thamel semula dengan menaiki teksi dan membeli lebih banyak ole-ole untuk dibawa pulang seperti baju t, beg tangan, topi nepal, pisau gurkha dan lain-lain.

Akhirnya kami singgah di sebuah restoran mi tarik Cina Muslim untuk makan malam. Di sini juga disediakan ruang untuk solat yang selesa.

Hari terakhir di Nepal setelah singgah di rumah penyelia Encik Rosli dan ke Kedutaan Malaysia kami ke kawasan New Road menaiki teksi.

Masih lagi dengan urusan membeli ole-ole untuk dibawa pulang, di sini banyak dijual kain ela yang cantik-cantik. Pak Ya yang tertarik mencuba sebatang seruling bambu yang banyak dijual di jalanan terus membelinya.

Puas di New Road kami menaiki beca pula ke Thamel. Selesai membeli belah di Thamel kami menaiki teksi menuju Patan Durbar Square.

Sayangnya untuk warga asing dikenakan bayaran sekitar RM40 setiap seorang. Tapi aku yang memang selalu dianggap sebagai warga Nepal juga sementelah bila memakai topi Nepal yang berharga RM10 lebih tu telah lepas kawalan masuk dengan mudah pada awalnya.

Cuma aku tidak meneruskan langkah kerana tidak disertai bersama oleh yang lain. Sudahnya kami hanya mengambil gambar dari luar dan berjalan-jalan menghabiskan Rupee di sekitar Patan sebelum pulang. Malamnya pukul 9 kami menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Baca: Pengembara Dari Malaysia Berkongsi Pengalaman Melalui Saat Gempa Bumi Di Nepal

Apa yang aku telah pelajari

Di Nepal, dalam lawatan yang singkat itu sebenarnya aku belajar banyak perkara. Di Malaysia, istilah orang Nepal tu selalu digunakan untuk mempersendakan orang.

Malah orang-rang berpengaruh juga menggunakan istilah Nepal itu sebagai hiburan. Mungkin bila disebut Nepal, segelintir daripada kita rasa lebih rendah martabatnya.

Tapi bila di Nepal baru aku betul faham sebenarnya orang Nepal ada sejarah yang hebat. Mereka antara orang pertama sampai ke gunung-gumig tertinggi dunia termasuk Everest.

Golongan daripada daerah Sherpa terkenal sebagai para pendaki gunung yang hebat. Manakala dari Gorkha lahir pasukan askar yang merupakan antara yang terhandal di dunia dan terbilang namanya sejak perang dunia kedua lagi.

Gadis-gadis Nepal juga ramai yang lawa-lawa macam selebriti di Malaysia dengan variasi wajah campuran India, Cina dan ada juga yang berupa orang Melayu.

Mungkin ya pembangunan di Nepal tidak serancak dan ketinggalan hampir 20 tahun di belakang Malaysia. Tetapi bagi aku Nepal ada tarikan dan keistimewaan tersendiri yang buatkan aku teringin untuk ke Nepal lagi.

Tips kembara di Nepal

1. Jangan sebut susu, gula, putih dan ronda kepada orang Nepal sebab ia bermaksud kurang baik dalam bahasa Nepal.

2. Visa Nepal boleh dibuat di Lapangan Terbang Tribhuvan dengan harga 25USD untuk tempoh lawatan 2 minggu.

3. Digalakkan memakai topeng atau penutup hidung dan mulut kerana jalanraya di Nepal sangat berdebu.

4. Nepal sesuai dilawati sepanjang tahun kecuali musim hujan sekitar bulan Julai hingga Ogos. Juga tidak sesuai ke Chitwan pada musim panas kerana terlalu berdebu di sana. Juga elakkan ke Nepal di musim perayaan di Nepal pada bulan 10 perayaan Devali.

5. Di kawasan Thamel, Kathmandu ada banyak penginapan bajet yang sesuai untuk backpacker dengan harga dari 3000-3500 Rupee Nepal.

6. Pengangkutan yang selesa untuk bergerak sekitar Kathmandu adalah dengan menaiki teksi. Pastikan menaiki teksi yang bermeter jika tidak menggunakan meter pastikan harga tambang tidak melebihi 500 Rupee.

7. Restoran makanan halal banyak di Thamel seperti restoran Shafqat, Anatolia, Madina dan Lanzhou Noodle. Jika susah mencari makanan halal boleh dapatkan makanan vege yang ada tanda bulat hijau di labelnya.

8. Di Nepal lembu diharamkan dari dimakan. Makanan tradisi Nepal yang boleh dicuba ialah Momo (seperti dumpling) & Chow Mein (seperti mi goreng). Minuman lassi yang paling sedap dan terkenal dijual di kawasan New Road.

9. Untuk membeli belah, lokasi yang sesuai adalah di Thamel, New Road dan Patan kerana harga barangan termasuk cenderamata dijual dengan harga lebih murah di sini.

Barangan seperti keychain, fridge magnet, topi nepal, pisau Gurkha dll banyak dijual di sini. Pastikan anda menawar harga separuh dahulu dari harga sebenar untuk mendapatkan tawaran harga terbaik.

Baca lagi: Panduan DIY Itinerari Ke Annapurna Base Camp (ABC) Di Nepal Dengan Bajet RM1500