Aku merupakan seorang graduan dari Universiti Islam Antarabangsa di Gombak yang bergraduasi pada 2008. Alhamdulillah pada tahun yang sama, rezeki aku dapat kerja sebagai majistret. Mula-mula aku di-posting-kan di Mahkamah Kota Bharu dan kemudiannya rezeki aku di Mahkamah Ayer Keroh.

Ya, macam dalam filem P.Ramlee bertajuk Kassim Selamat; “Kau nak kahwin dengan siapa? Lawyer? Majistret? Doktor? Apa… Ahli muzik?”

Majistret ini dalam hierarki sesebuah daerah dikira orang nombor dua selepas Pegawai Daerah, kemudian barulah OCPD iaitu Ketua Polis Daerah. Tugasnya ialah untuk mengurus tugas-tugas judiciary iaitu kehakiman.

Tugas lain majistret ialah sebagai tuan koroner/pengadil yang mana sekiranya berlaku kematian mengejut (sudden death) dan juga kematian dalam tahanan/penjara, maka majistret ialah jawatan yang ditakdirkan untuk mengadili keadaan tersebut berdasarkan fakta-fakta yang ada.

Masa itu tahun 2010. Aku tak ingat berapa haribulan dan bulan apa, dan aku jalankan tugas seperti biasa iaitu mendengar kes-kes yang didaftarkan pada pagi itu.

Tiba-tiba, Jurubahasa Mahkamah menerima panggilan telefon daripada pegawai penjara Sungai Udang, mengatakan terdapat kematian banduan dan memohon agar tuan majistret hadir di Hospital Melaka.

Dengan erti kata lain, semasa banduan dihantar ke hospital kemungkinan besar sudah berada dalam keadaan sakit dan uzur dan bukannya keadaan di mana banduan meninggal dunia di penjara yang membuatkan keadaan lebih sukar untuk diterangkan sebenarnya.

Setelah kes selesai, lebih kurang pukul 10.30 pagi aku terus menuju ke bilik mayat Hospital Melaka.

Perkara pertama aku lakukan adalah untuk bertemu dengan OCS Balai Sungai Udang dan Warden Penjara untuk aku mengetahui sedikit sebanyak fakta tentang arwah ini.

Dia merupakan tahanan reman untuk kes Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan memiliki dadah. Kemudiannya aku bertemu dengan doktor. Aku diberitahu bahawa arwah ini mengalami pneumonia iaitu jangkitan kuman pada paru-paru.

Seterusnya, antara yang perlu aku lakukan adalah untuk melihat keadaan jenazah tersebut samaada terdapat unsur-unsur jenayah atau tidak.

Aku pergi menuju ke tempat arwah ditempatkan ditemani oleh polis, dan pekerja bilik mayat serta doktor forensik yang bertugas. Setibanya di bilik mayat tersebut, mata aku melihat pada kaki arwah terlebih dahulu.

Ini bukan kali pertama aku ditugaskan sedemikian, maka antara petua orang tua-tua yang aku perolehi adalah dimulai dengan melihat pada kaki jenazah.

Dan sehinggalah aku melihat ke arah muka arwah, aku terpaku. Arwah seakan-akan tersenyum. Inilah kali pertama aku mengalami keadaan seperti ini. Ya, seperti membaca majalah Mastika. Tapi ini yang aku alami sendiri.

Tidak nampak kekusutan di muka arwah dan ya memang aku masih ingat bahawa riak wajah arwah lain daripada yang lain. Subhanallah.

Setelah didapati tiada sebarang unsur jenayah, aku terus keluar dan menuju ke kaunter bilik mayat. Aku tandatangani 1 buku biru dan membuat catatan pada buku. Alhamdulillah mayat arwah boleh dituntut keluarga untuk diuruskan pengkebumian.

Setelah aku keluar dari bilik mayat, aku bertanya pada OCS Officer InCharge Station (ketua polis balai) tentang waris arwah. OCS bawakan aku berjumpa dengan abang arwah.

Aku bertanya perihal arwah kepada abangnya. Arwah ini dulu duduk di Muar. Menurut abangnya, sepanjang hidup arwah, dia bujang dan duduk dengan mak.

“Arwahlah yang menjaga ibu di kampung.”

Kemudian, abangnya beritahu aku tentang pengurusan jenazah arwah.

“Persiapan kubur semua dah gali, selepas sembahyang Jumaat akan kebumikan.”

Aku tersentak lagi. Subhanallah. Hari ini, pagi ini ialah pagi Jumaat. Beruntung arwah akan mendapat ramai makmum yang akan menyembahyangkan kelak selepas solat Jumaat.

Aku kemudiannya minta diri, dan terus menuju ke kereta ku. Sepanjang perjalanan pulang ke Mahkamah Ayer Keroh, aku terfikir, mungkin dia berkerja, dia tak kacau orang, tak curi harta orang, dia jaga mak dia, ya, redha mak dia. Wallahua’alam.

Allah Maha Mengetahui segalanya dan Allah jua yang menerima taubat seseorang hamba-Nya serta yang berhak menghakimi amal perbuatan hati kita.

Kesudahan kita? Tak tahu macam mana. Semoga Allah rahmati kita semua. Al-Fatihah buat arwah tersebut.

Yang utama dalam amal – Ikhlas.