Hari ini saya nak bercerita tentang kelelakian. Jika mana-mana lelaki tidak ada basic tools ini di rumahnya, maka mereka bukannya seorang lelaki sejati. Awas para isteri. Kenali suami anda. Haha.

Jangan marah, saya acah-acah sahaja sebenarnya. Namun, bagi saya peralatan asas ini seharusnya ada disimpan di rumah bagi keperluan pertukangan asas mahupun do-it-yourself untuk kerja-kerja di rumah dan perkara yang melibatkan kecemasan.

1. Pemutar Skru

Set pemutar skru ini saya rasa benda paling asas yang perlu ada di rumah. Cuba fikir, macam-macam boleh dibuat dengan alat ini. Sekurang-kurangnya mata pemutar skru jenis flat atau philip ada dalam kotak alat kita. Dari segi saiz pula, anda perlu agak-agak sendiri berdasarkan penggunaan di dalam rumah.

2. Tukul

Kebiasaannya tukul digunakan untuk ketuk paku kan. Nak gantung kerangka gambar ke, nak paku dinding ke dan macam-macam lagi. Saya sendiri ada dua jenis, tukul kuku kambing yang boleh digunakan untuk cabut paku dan tukul warrington yang kedua-dua kepala tukul sama.

3. Sepana Boleh Laras

Alat asas untuk penggunaan kemasan bolt dan nuts kat rumah. Beli yang sederhana besar je ataupun bergantung kepada saiz yang anda selalu guna di rumah. Jimat sedikit jika di bandingkan anda membeli satu set spanar tak boleh laras. Melainkan anda memang seorang handyman ataupun mekanik yang memerlukan set spanar yang banyak.

4. Pita Pengukur

Saya kira ianya penting ada apabila anda hendak mengukur ketinggian atau keluasan sesuatu benda. Contohnya nak beli perabut baru, anda perlu kira ukurannya, mana tau takut nanti tersalah beli dan menyebabkan ruang rumah anda makin sempit.

5. Playar

Playar ada banyak jenis dan yang paling asas dan paling dikenali ialah combination pliers sebab ia kombinasi beberapa fungsi seperti untuk menyepit, memulas dan memotong wayar. Jika anda pernah menggunakannya, anda mesti tahu kepentingannya.

Saya sendiri ada tiga jenis playar iaitu combination pliers, needle nose pliers (muncung tirus) dan juga cutter yang saya guna untuk kerja-kerja asas wiring, electrical dan sebagainya di rumah.

6. Gerudi

Impian saya suatu hari nanti saya nak beli cordless drill. Belek-belek harga boleh tahan juga sebab tak pakai wayar kan. Buat masa ini cukup saya ada yang biasa (wired/cable) untuk kegunaan di rumah.

Jenama yang reliable dan berkualiti bagi saya samada Bosch atau Makitta. Saya beli Bosch dan memang berbaloi sangat-sangat.

7. Kunci Allen

Kalau anda beli perabut contohnya katil besi, mesti ia didatangkan dengan satu kunci Allen kan? Jadi. simpan elok-elok kunci Allen itu supaya lain kali mudah nak ketatkan balik. Kunci Allen juga mempunyai pelbagai saiz.

8. Level

Saya beli level ini apabila saya nak gantung TV holder/bracket pada dinding rumah. Takut nanti senget TV saya. Selepas itu setiap kali nak gantung kerangka atau hiasan dinding saya mesti gunakan level supaya tak senget.

9. Teflon Tape

Teflon tape digunakan untuk balut thread paip di rumah. Contohnya pili, dan soket. Selalunya apabila pili paip dah bocor, perlu tukar pili baru dan semestinya perlu letak teflon tape untuk mengelakkan kebocoran.

10. Pen Uji

Alatan asas dalam kerja-kerja elektrikal ialah pen uji. Jadi perlu simpan satu untuk menguji arus elekrik dalam sesuatu litar. Senang untuk anda buat troubleshooting.

11. Tangga

Tangga penting ada di rumah terutama semasa mahu tukar mentol yang terletak di tempat tinggi, tukar kain langsir, cuci kipas dan sebagainya.

Banyak lagi rasanya peralatan yang sesuai disimpan di rumah. Ia bergantung pada kecenderungan dan kepakaran masing-masing. Di sini saya hanya kongsikan perlatan asas yang sepatutnya seorang lelaki miliki dari sudut pandangan saya.