Seperti yang kita tahu, mengejar ‘Doktor Falsafah’ bukanlah semudah ianya disebut. Banyak kisah suka duka yang perlu dilalui sebelum mereka berjaya menggapai peringkat tertinggi dalam bidang pengajian akademik ini.

Kali ini saya ingin berkongsi catatan daripada Dr Shamshuritawati Sharif, seorang pensyarah di UUM. Menurut Dr Shamshuritawati, beliau berjaya menamatkan PhD 4 tahun lepas setelah melalui cabaran dan pengorbanan yang bukan sedikit.

“Fokus tesis saya adalah dalam multivariate hypothesis testing, salah satu bidang dalam statistik dan dianugerahkan PhD (Mathematics) oleh UTM.”

Apa yang menarik tentang doktor yang berusia 40 tahun ini ialah, beliau merupakan satu-satunya yang berjaya masuk ke universiti daripada 6 beradik. Sebagai anak kampung yang bersekolah di luar bandar, mendapat keputusan 4A1B dalam UPSR sudah dikira sebagai satu pencapaian yang sangat baik.

SPM Pangkat 2 dan hampir gagal pengajian Master

Setelah cemerlang dengan 11 aggregat sewaktu SRP, beliau hampir kecundang sewaktu SPM apabila hanya mendapat gred 2 (26 mata). “Mujurlah saya mendapat tawaran Diploma Statistik di ITM Shah Alam pada tahun 1995. Inilah penyelamat saya sehingga apa yang saya capai kini.”

Selepas menamatkan ijazah, Dr Shamshuritawati menyambung ke peringkat Master Decision Science, UUM Sintok Kedah pada tahun 2001 dan berjaya tamat dalam tempoh 2 tahun. Namun menurut doktor ini,  sebelum itu beliau pernah melanjutkan pengajian dalam Master in Statistics, Universiti Malaya untuk satu semester.

“Keputusan mendukacitakan walaupun tidak dibuang universiti kerana tiada strategi dalam pembelajaran. Satu pengajaran besar buat saya. Boleh dikatakan sebagai kegagalan ke 2 saya selepas SPM.”

Namun siapa sangka rezeki beliau tetap masih ada. Selepas  menamatkan master, Dr Shamshuritawati dilantik menjadi pensyarah tetap di UUM pada tahun 2003. Dan kemudiannya pada tahun 2009, beliau mengambil keputusan menyambung pengajian ke PhD, pada dasarnya adalah atas kehendak dan arahan majikan.

Ikuti perkongsian Dr Shamshuritawati bagaimana daripada arahan majikan, beliau berjaya menukar perspektif hingga akhirnya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Nota saya untuk calon PhD

“Bukan dilarang membuat cita-cita yang baru tetapi berfikirlah dengan wajar, yang akan datang itu disyukuri yang telah ada itu lebih disyukuri lagi”, kata Hamka.

PhD adalah ijazah tertinggi dalam bidang pendidikan. Satu tangga yang paling atas iaitu fasa terakhir dalam aras pengijazahan. Sudah tentulah proses ke situ menjadi agak sukar dan akan bertambah sukar jika segala persiapan dan persediaan perlu melepasi proses halangan demi halangan. Sebagai muslim, kita panggil ujian dan musibah.

Syarat untuk permohonan kemasukan PhD juga adalah ketat. Pelbagai syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu iaitu keperluan universiti juga persediaan lain seperti IELTS dan TOEFL.

Syarat paling minimum calon hendaklah memiliki Ijazah Sarjana yang bersesuaian dengan bidang yang ingin diceburi dengan CGPA minimum 3.0. Terdapat juga universiti yang menetapkan syarat yang berbeza, ada juga yang boleh melompat daripada Ijazah Sarjana Muda terus ke PhD.

Secara umumnya, ada calon yang mendaftar PhD kerana kemahuan diri sendiri, dan ada calon yang mendaftar PhD kerana ketetapan majikan. Satu masa dahulu, majoriti pelajar PhD adalah di kalangan ahli akademik yang mendapat biasiswa penuh tajaan kerajaan. Masa kini, ramai yang sudah mempunyai kesedaran untuk melangkah jauh dengan wang poket masing-masing.

Saya? Saya mendaftar kerana ketetapan majikan. Setelah berkali-kali cuba meloloskan diri daripada ‘hukuman’ sambung pengajian, akhirnya saya mendaftar juga pada penghujung tahun 2009.

Setiap staf di jabatan saya akan diberikan tahun sasaran untuk melanjutkan pengajian. Saya tiada pilihan. Sudah penghujung. Hukum paksa. Itu pendapat saya ketika itu.

Hal tersebut membuatkan diri kita tidak akan pergi jauh kerana kita lakukan atas keterpaksaaan. Ohh…tidak! Dari sisi pandangan saya, keterpaksaan itu perlahan-lahan akan menjadi kerelaan jika kita berkemahuan untuk tranpose hal tersebut.

Apa maksudnya? Maksudnya, dalam sesuatu keadaan tertentu kita akan berjaya walaupun dalam keterpaksaan.

Pada tahun 2009, saya dan dua tiga orang rakan yang lain adalah antara mereka yang terakhir berangkat melanjutkan pengajian. Perjalanan ke satu dunia yang sangat menakutkan. Menakutkan dengan cerita penuh kegagalan.

Rata-rata dipenuhi dan dihumban dengan kisah supervisor yang mengagalkan pelajar, tidak membantu pelajar, ego, keras hati, pilih kasih, jangkaan berlebihan, sibuk, dan pelbagai sifat dan sikap negatif telah digambarkan. Perasaan ketika itu seumpama hendak pergi berperang lagaknya. Mungkin gagal. Mungkin berjaya.

Jika ingin berjaya perlu dekatkan diri dengan mereka yang ada semangat untuk berjaya.

Pesan pada diri, ini bukan masanya untuk kita bersenang-senang. Kata ustazah, kehidupan di dunia bukan untuk bersenang-senang. Hidup bersenang-senang dan kekal selamanya adalah di sana nanti.

Bagi saya, kita mungkin tak mampu untuk tinggalkan harta berjuta, mungkin juga tidak mampu untuk membentuk anak untuk menjadi anak yang soleh, tetapi sebagai ahli akademik kita mampu meninggalkan ilmu yang bermanfaat.

Perkara yang paling mudah. Tak ada PhD pun, boleh kan? Ya boleh. Itu kata-kata dari sudut hati kecil yang kotor apabila kita sudah tidak mahu berjuang. Hidup ini satu perjuangan serta jihad. Jihad melawan nafsu sangat sukar sebenarnya. Bukankah begitu?

Aku Cuma ada 3 tahun. Tiada lebihan masa.

Persediaan sebelum memohon PhD

Akibat daripada cerita-cerita negatif, jiwa menjadi sangat tidak tenang. Mencari penyakitkah aku? Saya mula membaca kisah-kisah kejayaan. Mula menyertai bengkel menulis buku, bengkel menulis artikel, dan satu dua bengkel yang membuka minda kepada kenapa kita perlu punya PhD.

Saya cuba membantu diri untuk memperkuatkan keputusan yang dilakukan. Masuk ke kelas malam untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Pergi paling lewat. Pulang paling awal.

Malu jika rakan-rakan sekelas tahu saya adalah salah seorang pensyarah tetapi lemah berbahasa Inggeris. Selama tiga bulan ke kelas berbayar setiap malam. Pengorbanan masa dan wang tidak terkira.

Dalam hal ini, yang penting adalah persetujuan bersama pasangan masing-masing jika sudah berkahwin. Saya ketika itu masih bujang. Nampak mudah bukan?

Tetapi yang dinamakan masalah, semua orang punya masalah. Mustahil jika dia tiada masalah. Kadang-kadang cuma tidak dizahirkan melalui wajahnya sahaja. Satu MOU bersama mak dan ayah yang sudah berusia lebih 70 tahun telah dipersetujui bersama sebaik sahaja memutuskan untuk kekal bersama majikan.

Setelah mula bekerja pada usia 23 tahun, kami tinggal bersama. Kehilangan mereka daripada pandangan anak mata adalah proses yang sangat sukar untuk saya. Bagaimana dengan kebajikan mereka? Bagaimana dengan sakit demam mereka? Makan minum? Biar Allah yang jaga. Tawakal.

Ini satu aspek yang penting untuk calon PhD. Memahamkan pasangan dengan tugas kita, memahamkan kita dengan tanggungjawab pada universiti. Bukan mudah untuk pasangan memahami kerjaya seorang pensyarah yang perlu menjalankan penyelidikan dan penyeliaan pelajar. Setiap usaha mesti ada kejayaan walaupun hasilnya kecil sahaja. Betulkan?

Mak ayah, saya ada 3 tahun untuk belajar. Mak dan ayah mesti faham jika saya tak dapat balik dan menjaga mak ayah seperti selalu.

Untuk capai kejayaan kita bukan sahaja perlu lakukan pengorbanan tetapi mungkin ada yang terkorban dan mungkin juga ada org lain yang berkorban untuk kita juga.

Memilih topik atau supervisor?

Saya bertuah kerana punya seorang rakan yang mencadangkan supervisor untuk saya. Seorang lelaki yang berusia 60 tahun. Pensyarah kontrak di Universiti Teknologi Malaysia. Dekat sahaja. Masih dalam Malaysia.

Jarak antara Skudai ke Sanglang, Kedah sekitar 700km. Saya tahu saya orang yang bagaimana. Jadi saya harus tegas dengan keputusan saya.

Kenduri cukur jambul, kenduri doa selamat, kenduri akikah, kenduri korban, kenduri kahwin, dan segala bentuk kenduri sungguh banyak dalam masyarakat kita. Alhamdulillah bersyukur kerana mereka berkongsi rezeki.

Tetapi kita kenal diri kita bagaimana. Saya seorang yang cepat hilang fokus. Tidak tahu menolak kenduri, lagi-lagi kenduri di Kedah sangat mabeles dengan hidangan daging lembu. Yummy!

Penyelidikan saya bermula 6 bulan sebelum mendaftar pengajian. Semua artikel berkaitan topik PhD sudah dibaca sebelum mendaftar secara formal (tetapi belum difahami secara terperinci). Perhubungan dua hala antara saya dan supervisor berjalan lancar sejak sebelum mendaftar.

Oleh kerana saya sedia maklum bahawa saya seperti tukul dan pahat, saya tidak memilih topik. Saya memilih supervisor. Ini bahaya. Tetapi itu lebih bahaya jika saya memilih topik. Mungkin supervisor belum mendalami bidang tersebut. Padahal saya perlukan tukul untuk mengetuk pahat tadi.

Keadaan tidak begitu indah seperti impian kita. Rakan saya memutuskan untuk tidak teruskan bersama beliau lagi. Kami tidak akan berkongsi supervisor yang sama. Glup! Fuhhh positif bertukar negatif. Istikarah banyak-banyak. Saya beralih ke USM. Berbual dengan bakal supervisor yang baik.

Awak boleh menjalankan penyelidikan di USM selama 18 bulan, dan baki 18 bulan lagi di Royal Imperial College London. Ijazah akan dianugerahkan oleh mereka.

Glup! Sekali lagi perlu membuat keputusan dalam tidak pasti. Istikarah dan istikarah lagi. Akhirnya saya kekal di UTM dengan pelbagai strategi. Ya kena ada strategi. Paling penting menjaga hubungan baik dengan supervisor, keduanya, tidak berhenti berfikir mencari alternatif kepada penyelesaian masalah.

Bina keyakinan dalam diri kita terlebih dahulu. Jika tidak, mana mungkin orang lain boleh yakin dengan kita.

3. 6 bulan pertama adalah fasa untuk menggilap kemahiran penyelidikan
Apabila mendaftar, bulan pertama kita perlu terus bergerak. Untuk bergerak kita perlu ada momentum yang sangat kuat.

Determination dan perseverance adalah dua perkara yang penting untuk lonjakan motivasi menyiapkan tesis. Apa sahaja keadaan yang berlaku hendaklah dijadikan motivasi untuk kita siapkan dengan kadar segera.

Banyak membaca kisah kehidupan yang memberikan inspirasi dan tamparan kesederan. Cuti belajar bukan masa untuk berlengah-lengah, bukan masa untuk lebihkan keluarga berbanding sebelumnya.

Bila dah dapat PhD, terasa hilang semua tekanan yang ditanggung selama ini.

Jika dia boleh, kenapa tidak kita?

Produk akhir pengajian kita adalah tesis. Sehebat manapun kita, menulis tesis itu wajib (ada universiti yang tidak mahukan tesis tetapi itu adalah kes minoriti).

Untuk menulis, kita perlu ada kemahiran menulis, melaporkan, mengkritik dan berhujjah. Gilap kemahiran penyelidikan semahu-mahunya pada masa ini. Ingat, kita cuma ada 3 tahun. Tidak lebih. Mungkin kurang.

Bila menyentuh tentang masa, sudah tentulah yang membantu kita adalah pengurusan masa. Hidup kita mesti ada gaya orang bisnes. Menyelesaikan PhD pun lelahnya setara dengan menjalankan bisness sendiri.

Orang bisnes gila membuat penyelidikan tentang produk
Kita gila membuat penyelidikan bidang kita
Orang bisnes hadir Coffee talk di Golf Club
Kita hadir Coffee talk di conference
Orang bisnes pulun tingkatkan jualan
Kita pulun tingkatkan bilangan artikel
Orang bisnes menjaga imej produk
Kita menjaga imej artikel
Orang bisnes terkenal kerana branding
Kita terkenal kerana citation
Pelanggan suka produk yang unik
Penyelidik lain suka dapatan kajian yang unik
Pengagihan barang mesti meluas
Pembentang artikel mesti meluas
Pemilik cepat pasarkan produk baru, jualan kencang
Penulis cepat dapatkan topik baru, acceptance cepat
Kita sama dan mereka sama. Tiru kegilaan orang bisnes.

Ilmu ini luas sangat. Apa yang kita ada mungkin cuma di hujung jari sahaja.
Kecil. Cari dan habiskan pencarian itu. Biar yang kecil jadi signifikan.

Apa yang saya fikirkan sepanjang tiga tahun tiga bulan pengajian PhD adalah tentang mengahargai diri bahawa kita insan terpilih. Bukan semua orang mampu memegang jawatan sebagai pensyarah universiti.

Kakitangan kumpulan A yang boleh memohon kenaikan pangkat bila-bila masa tanpa perlu menunggu arahan mengisi borang oleh pihak JPA.

Kita kena buktikan kepada mereka diluar sana bahawa kita juga mampu sebenarnya. Bukan untuk meninggi diri. Tetapi untuk kemajuan agama kita.

Cuma apapun ujian dan musibah, ingatlah bahawa Allah sentiasa ingin uji kita. Jika gagal sekalipun, itu bukan gagal dalam kehidupan secara total, tetapi gagal dalam menyeimbangkan kehidupan.

Itu sahaja puncanya kita terbabas menyelesaikan PhD. Apapun anugerah PhD ini rezeki dariNya, maka kita tidak boleh lari daripada menghambakan diri meminta rahmah dan kasih sayangNya.

Tekanan yang pernah dilalui

Oleh kerana Dr Shamshuritawati menyiapkan PhD beliau di universiti tempatan, pastinya cabaran sedikit berbeza berbanding mereka yang melanjutkan pengajian di luar negara.

Berikut merupakan antara tekanan yang dilalui oleh doktor ini serta bagaimana beliau menanganinya:

1. Saya menerima tekanan hebat ketika PhD kerana perlu selarikan penulisan artikel dan penulisan tesis. Sepanjang pengajian, saya berjaya menghasilkan 12 conference articels dan 5 journal articles.

Bagi individu yang tiada pengalaman menulis, ini sangat meruntun kesabaran saya. Saya pula menetapkan untuk habis PhD dalam masa 3 tahun. Rasa takut tak habis on time, tapi saya ambil ini sebagai motivasi untuk habiskan PhD mengikut masa.

2. Tekanan persekitaran tiada, kerana saya sudah masukkan diri saya dalam gua. Saya tidak bercampur dengan mereka yang negatif, saya hanya bercampur dengan supervisor dan juga rakan satu supervisor serta  satu jabatan sahaja.

3. Tekanan tanggungjawab sebagai anak. Saya cuba menjadi anak yang terbaik untuk mak dan ayah. 700km bukan jarak yang dekat. Jika naik flight pun, saya perlu satu hari kerana dua flight yang berbeza. Yang lain, alhamdulillah.

Minat berniaga

Untuk pengetahuan, selain daripada menjadi pensyarah sepenuh masa, Dr Shamshuritawati juga merupakan seorang usahawan. Pada awalnya beliau menolak untuk bercakap tentang ini.

Namun bagi saya, ia juga satu perkara yang wajar dikongsikan dan mempunyai nilai inspirasi tersendiri.  “Ayah saya kerja kampung, tukang rumah, nelayan, jual buah di pasar malam. Semua kerja dia buat. Tapi semuanya kuli orang. Dari situ saya berazam, saya tak nak jadi kuli orang. Mak pula surirumah tetapi sentiasa cari idea untuk bantu ayah tambah pendapatan. Mak tak pernah merungut walau ayah hanya tinggalkan duit belanja RM5 sehari.”

Bagi Dr Shamshuritawati, kemahiran dalam bidang statistik yang beliau miliki boleh dijadikan satu perniagaan. Anntara yang dilakukan oleh Dr ini adalah menjadi penceramah bengkel statistik untuk pascasiswazah dan terkini beliau sedang menulis buku Statistics for Nonstatistician.

Perniagaan lain yang dijalankan oleh beliau adalah membela, memproses dan menjual ayam kampung yang dibela secara organik dengan membawa jenama Ayam Omar. Selain daripada itu, beliau juga turut menjual biskut raya, kek kukus buah, gel Amani dan tudung. Kesemua ini dilakukan secara kecil-kecilan.

“Mungkin saya terikut perangai mak, tak suka merungut dan tak letih buat banyak kerja pada satu masa,” ujar doktor gigih ini menutup perkongsian.

Baca lagi: Nazri Berjaya Tukar Stress Kepada Gembira Sewaktu Buru PhD Di Oxford Dan Ini Rahsianya