Sewaktu selamat tiba di Space Hotel, Melbourne, ada suara yang menegurku menggunakan bahasa ibunda dari belakang. Seorang anak muda, awal 20-an, berkulit sawo matang lengkap berpakaian tebal menyelimuti diri. Aku tersenyum dan menjawab salam beliau.

Aku tidak terkejut kerana Australia memang dipenuhi ramai rakyat Malaysia. Selesai berkenalan, aku mengajak lelaki yang bernama Shah tersebut ke dapur hotel kami sambil menikmati teh panas percuma yang disediakan.

Aku sapukan Nutella pada roti yang dibeli semasa turun dari Skybus di Southern Cross Station tadi. Roti dibakar buat hidangan makan malam pertama di bumi kangaru ini.

“Dah berapa lama kat sini? ” berbasi-basi memulakan bicara sambil menyuapkan roti bakar Nutella ke mulut dan menghirup air teh English Breakfast.

“Dah 3 hari bang saya kat sini. Jalan-jalan bandar ni je. Abang berapa lama kat sini?” soal anak jati Pahang ini.

“Aku 4-5 hari je kat sini. Esok nak pergi Great Ocean Road. Ko tak ke mana-mana?”

“Great Ocean Road? Kat mana tu?” soal beliau. Pelik bin ajaib. Bagaimana orang yang datang ke Melbourne tidak tahu Great Ocean Road. Aku beritahu lagi tentang Philips Island. Sekali lagi beliau tercengang. Aku lagi tercengang.

“Esok mungkin nak jumpa sepupu. Kemudian tengoklah macam mana. Dia kerja kat ‘farm’ ayam kat sana.” Ok baru aku tahu tujuan sebenar beliau ke sini. Mahu mencari kerja rupanya.

“Banyak ke kerja kat sini?”

“Banyak bang. ‘Farm’ ayam tu banyak nak cari orang. Eh, abang kena apa-apa tak masa kat airport tadi? Saya hampir-hampir tak lepas bang. Dia ‘check’ bag saya jumpa kopiah.

“Kemudian?” soalku, tertanya-tanya.

“Dia tanya saya, are you a Muslim? Saya cakap yes I am. Dia tanya saya, tahu ke masjid kat mana kalau nak solat. Saya cakap saya tak tahu tapi saya akan cuba cari. Kalau tak jumpa masjid, saya solat la kat mana-mana pun.”

“Lepas tu dia tengok boarding pass saya. Kan pada boarding pass tu ada tarikh bila kita beli tiket. Saya beli tiket flight sehari sebelum saya datang sini bang. Jadi dia pelik la. Dia tanya baru semalam awak beli tiket dan hari ni terus terbang datang ke sini? Saya cakap saya rasa nak terbang, saya beli lah tiket ” tergamam aku.

Ko ni betul-betul kaya ke atau mungkin terdesak? Aku dulu pun pernah buat macam ni juga tapi lagi ekstrem. Beli tiket pagi, petang terus terbang ke Bali.

Memang Australia terkenal dengan pemeriksaan yang sangat ketat di lapangan terbang mereka bagi mengelakkan kemasukan bahan-bahan terlarang dan orang yang tidak sepatutnya ke negara mereka.

Keadaan menjadi lebih rumit buat warga Malaysia yang sememangnya masuk untuk tujuan kembara atau belajar atau bekerja secara sah.

Baru-baru ini, mungkin 4-5 hari sebelum aku ke sini, pihak berkuasa Australia telah menahan lebih kurang 34 orang rakyat Malaysia yang bekerja secara haram di sebuah ladang di New South Wales.

Kedatangan aku ke Australia memang tepat pada masanya. Boleh merasai sendiri bagaimana Australia Border Force membuat kerja di lapangan terbang.

Dengan janggut sejemput, sebuah backpack Deuter 65L dan sebuah lagi American Tourister 20L, aku melangkah yakin ke kaunter imigresen untuk pemeriksaan passport dan ‘incoming passenger card’ yang telah siap diisi semasa di dalam penerbangan sebentar tadi.

Baca: 6 Tip Mencari Salji Pada Musim Sejuk Di Melbourne

trip-ke-melbourne-1

trip-ke-melbourne-3
Albino kangaroo?

trip-ke-melbourne-13

trip-ke-melbourne-14

trip-ke-melbourne-16

trip-ke-melbourne-4

trip-ke-melbourne-5

PEMERIKSAAN 1

“Why did you tick YES on the question number 1?” tanya pegawai tersebut.

Soalan pada incoming passenger card tersebut merujuk kepada adakah aku membawa sebarang bahan-bahan terlarang seperti ubat-ubatan, steroid, bahan pornografi, senjata atau dadah terlarang.

Aku tandakan YES kerana aku tidak pasti adakah ubat-ubatan yang aku bawa menjadi satu kesalahan.

Ini kerana kalau di Malaysia, ada undang-undang mengenainya. Pegawai tersebut menukarkan jawapan YES aku itu kepada NO kerana ubat-ubatan tersebut boleh dibawa dengan selamat.

Berhati-hati ya kawan-kawan. Kalau tidak pasti pada kenyataan, tandakan sahaja YES.

PEMERIKSAAN 2

Baru 5 kaki aku keluar dari kaunter pemeriksaan passport tadi, aku disapa oleh seorang lagi pegawai beruniform.

“Hello” tegurnya ramah.

“Hi” jawabku sambil tersenyum.

“Where are you from?” tanya beliau sambil mencatatkan sesuatu pada sekeping kertas. Setelah mendapat jawapan daripada aku, ditanya lagi soalan seterusnya.

“Are you travelling by yourself?”

“Yes, I am.”

“How long you will be here?” aku jawab dengan tenang sambil menunjukkan butir-butir penerbangan yang telah dicetak awal. Ditanya pula di mana aku akan menginap. Kemudian aku keluarkan salinan tempahan hotel yang telah dibuat.

Pemeriksaan berakhir di situ. Fikirku mungkin sudah selesai dan aku boleh masuk ke bumi Australia dengan tenang. Lega.

trip-ke-melbourne-6
Teringat masa kat Aberdeen Uni. Rasa nak sambung PhD weh. View from the dome, State Library Victoria.
trip-ke-melbourne-7
Dockland.

trip-ke-melbourne-8

trip-ke-melbourne-9

PEMERIKSAAN 3

Aku terus berjalan mencari pintu keluar. Aku sekali lagi ditanya oleh seorang pegawai lelaki mengenai barangan yang aku bawa. Aku cakap aku tak bawa apa-apa yang salah.

Setelah mengambil ‘incoming passenger card’ daripada aku, aku dibenarkan terus berjalan ke pit stop seterusnya.

Hati tidak tenang teringatkan sesuatu di dalam backpack . Setelah 5 langkah aku berjalan, aku berpatah kembali kepada pegawai lelaki tersebut.

“Excuse me sir, I have some instant noodles in my bag. Is it ok?” tanyaku gusar.

“Yeah, it should be ok. It’s good for you in this cold weather” tersenyum aku dengan jawapan beliau. Lalu aku meneruskan langkahku.

PEMERIKSAAN 4

Rupa-rupanya ada lagi. Kali ini lebih terperinci. Aku rasakan pemeriksaan kali ini ialah pemeriksaan semula daripada jawapan aku kepada pemeriksaan yang sebelumnya. Mungkin kalau aku memberi jawapan yang tak sama, nahas akibatnya.

Sebelum pegawai wanita ini meneruskan pemeriksaan, beliau terlebih dahulu inginkan ‘declaration’ daripadaku. Biar aku terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Lagi senang faham. Hehe.

“Adakah semua barang yang kamu bawa ini merupakan kepunyaan kamu?

“Ya.”

“Adakah kamu mengaku kamu tahu apa yang ada di dalam beg kamu?”

“Ya.”

Waktu jawab YA, macam-macam bermain-main dalam fikiranku. Aku ada bagi beg aku pada sesiapa tak? Aku ada bawa barang orang tak? Ada orang minta aku simpankan barang tak? Aku ada tinggal beg aku di mana-mana tanpa pengawasan aku tak?

Soalan-soalan tersebut tiba-tiba terlintas, takut-takut ada bahan terlarang di dalam beg. Aku hanya menarik nafas, tenang dan bercakap yang benar sambil berdoa di dalam hati agar semuanya ok.

“Kamu seorang ahli kesihatan professional ya?” beliau merujuk kepada ‘incoming passenger card’ yang aku tulis. Aku menggangguk.

“Apa kerja yang kamu buat?”

“Saya terlibat dalam pemantauan industri ubat di Malaysia.”

Pegawai tersebut tenang tetapi seolah-olah tidak puas hati dengan jawapanku. Ye lah, kalau ahli kesihatan professional, mestilah kerja di hospital atau institut kesihatan yang lain.

Dibukanya sebuah kotak besi yang berisi business card. Bila aku ceritakan yang aku pernah kerja di hospital sebelum ini dan beliau melihat business card aku, baru beliau berpuas hati.

Diselak-selaknya passport merah aku kemudian melihat beberapa cop imigresen dan visa daripada pelbagai negara pada setiap helaian buku merah tersebut.

Ketika pegawai wanita tersebut memeriksa pasportku, datang pula seorang pegawai lelaki mengambil telefon bimbitku dan meminta akses kepada telefonku.

Aku letakkan ibu jariku untuk unlock telefon tersebut dan beliau terus membelek semua yang ada di dalamnya. Daripada text message, whatsapp, gambar-gambar, apa yang aku google, semuanya diteliti. Alhamdulillah semuanya bersih.

“Jadi kamu banyak mengembara ke luar negara ya?” soal pegawai wanita setelah membelek passport.

“Ya, saya. Sebelum ini saya belajar di UK. Jadi saya mengambil peluang untuk mengembara ke seluruh Eropah pada setiap cuti semester.”

“Berapa lama kamu di UK?”

“Setahun”.

“Kamu ada kenal sesiapa di Australia?”

“Tiada puan”

“Jadi kamu akan menginap di Space Hotel. $124 untuk 4 malam. Murahnya,” tanya beliau sambil melihat tempahan hotel aku.

“Ya, murah. Walaupun namanya hotel, tapi sebenarnya saya hanya duduk di dalam sebuah dorm. Itu sebab ianya murah.” Jawabku memberi penjelasan.

Beliau kemudiannya memintaku meletakkan backpack Deuter 65L aku ke mesin pengimbas.

“Apakah yang ada di sebelah sisi beg kamu? Seakan-akan bersinar-sinar?”

Aku cuba untuk membuka zip beg tersebut tetapi dihalang oleh beliau. Jadi di sini, beliau seolah-olah cuba mendugaku kerana sebelum ini aku sudah isytihar yang aku tahu apa yang di dalamnya.

“Adakah kamu ingat?” soalnya inginkan kepastian.

“Oh ya. Ianya syampu dan gel mandian!” jawabku yakin. Gel dan syampu berkenaan aku ambil dari hotel di Malaysia semasa menginap di sana.

Memang aku selalu ambil botol kosong syampu dan sabun yang aku habis gunakan untuk tujuan menginap di dorm seperti ini yang kadang-kadang tidak menyediakan alat mandian. Lagipun cecair yang dibenarkan dibawa ke dalam kapal terbang hanyalah 100ml.

trip-ke-melbourne-10
Aku jumpa sorang mamat dari Eropah ni. Dia ingat Aussie ni banyak beza dengan Eropah. Bila datang, tengok lebih kurang je. Huhu. Kesian dia. Creative?
trip-ke-melbourne-11
Melbourne city.
trip-ke-melbourne-12
State Library of Victoria

trip-ke-melbourne-15

Selesai pemeriksaan bagasi tersebut, maka tamatlah sudah kisah pemeriksaan di lapangan terbang ini. Nak kata berpeluh tu, takde lah berpeluh pun. Berdebar sikit-sikit tu ada la.

Bukan apa, kadang-kadang ada benda yang kita rasa tak salah, tapi rupa-rupanyq salah di sisi undang-undang mereka. Sebab itu kena buat kajian betul-betul sebelum ke sesebuah negara.

Yang paling tak syok kalau kena hantar pulang ke Malaysia tanpa sempat melakukan kembara. Kan sedih macam tu.

Mengakhiri cerita sebelum aku melangkah keluar, pegawai wanita tersebut bertanya,

“Kalau kamu tak kisah, saya nak tanya satu soalan. Saya lihat kamu datang ke sini seorang diri. Adakah kamu belum berkahwin?”

“Belum” jawabku ringkas sambil tersenyum dan meninggalkan Tullamarine Airport dan mencari Skybus menuju ke Southern Cross Station.

Baca lagi: 12 Tip Travel Dan Memandu Sendiri Di Melbourne, Australia