Bagi sesetengah individu, travel adalah cara bagi mereka untuk lari seketika daripada rutin dan masalah hidup. Bagi yang lain pula, travel dan melancong ke luar negara merupakan salah satu daripada cara merawat dan merehatkan minda.

Namun ada pula yang sanggup bersusah payah travel cara bajet, dan sanggup memikul beg yang berat kerana sebab yang berbeza. Itulah yang telah saya lihat di dalam diri 3 anak muda ini.

Dan mungkin kerana pengalaman yang telah ditempuhi telah melayakkan mereka dipilih bagi menyertai misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria di Timur Tengah anjuran MyCorps Middle East di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Daripada 1,110 permohonan dan melalui proses temuduga, akhirnya 45 sukarelawan dipilih bagi menyertai misi selama 2 bulan di Turki, Jordan dan Lubnan. Misi ini akan bermula pada Disember 2016 hingga Januari 2017.

Mari saya kenalkan anda dengan 3 anak muda yang bakal menggalas tanggungjawab besar ini – Cik Nadia Rahmat, Azmeer Faiq dan Ahmad Zikri.

Gadis yang berasal dari Shah Alam ini mungkin sedikit asing bagi anda. Tetapi jika anda pernah mengikuti kisah beliau yang travel dengan keretapi ke Dari Kuala Lumpul ke Chiangmai di Vocket, mungkin anda akan ingat. Ye, beliau adalah cik Nadia Rahmat atau adakala membahasakan diri sebagai Cik Jirapah.

Baca: Perkongsian Itinerari Lengkap Cik Jirapah Travel Dengan Keretapi Dari Malaysia Ke Chiang Mai

misi-syria-mycorps-5

Menurut Nadia, disebabkan majikan beliau tidak dapat memberikan pelepasan cuti tanpa gaji selama 3 bulan, beliau nekad meletak jawatan demi menyertai misi ini.

Anak muda kedua yang ingin saya kenalkan kepada anda ini juga tak kurang menarik. Kisah beliau yang ditahan di lapangan terbang Norway dan kemudiannya dihantar pulang ke Malaysia pernah disiarkan di Vocket.

Baca: Kami Dipenjara 3 Hari Di Norway Dan Dihantar Pulang Ke Malaysia Kerana Sekeping Tiket

misi-syria-mycorps-8

Ye, beliau adalah Mohd Azmeer Faiq Mohd Rusli, merupakan anak ke 3 daripada 5 beradik dan berasal dari Kedah.

Bagi anak muda ke 3 ini pula, saya sering mengikuti perkembangan beliau di Facebook terutama perkongsian gambar-gambar menarik hasil bidikan lensa kamera sewaktu mengembara.

Menggunakan akaun Facebook Ahmad Zkri, Ahmad Zikri yang berasal dari Kedah, anak sulong daripada 4 beradik ini merupakan seorang fotografer bebas.

misi-syria-mycorps-12

Melihat kesungguhan mereka berkongsi tentang misi bantuan kemanusian ini telah menarik minat saya untuk menemuramah dan seterusnya berkongsi tentang pandangan serta harapan mereka seleps terpilih untuk menyertai misi ini. Berikut jawapan yang telah diberikan kepada Vocket.

Apakah yang mendorong anda untuk sertai misi ini?

Nadia
Setiap tahun saya sering membuat kerja amal ke Phnom Penh, Kemboja sejak dari tahun 2013. Selain kerja-kerja amal dan sukarelawan sampingan setiap tahun, saya mempunyai angan-angan untuk menyertai kerja amal di serata dunia tanpa mengira bangsa, agama dan negara.

Peluang dan pengalaman yang tidak seberapa sewaktu menyertai kerja sukarelawan yang lepas mendorong saya untuk turut serta dalam misi ini, seterusnya menambah ilmu di dalam bidang kemanusiaan.

misi-syria-mycorps-4

Azmer Faiq
Sebelum saya ke UK, saya telah merancang untuk ke kem pelarian di Calais, Peranchis bagi menyertai misi kemanusiaan persendirian saya di sana bersama pasukan Kitchen-in-Calais.

Kemudiannya saya juga merancang untuk ke Timur Tengah atas tujuan ingin menunaikan umrah. Namun, seminggu selepas saya sampai di UK, dikhabarkan berlaku kekecohan di Calais. Dan ini menyebabkan saya terpaksa menangguhkan perancangan tersebut.

Kemudian beberapa bulan lepas itu saya terpaksa pulang ke tanah air serta merta menyebabkan perancangan saya gagal sama sekali.

Jadi, oleh sebab dua elemen yang terkandung dalam misi ini iaitu KEMANUSIAAN dan TIMUR TENGAH mendorong saya menyertainya sebagai platform bagi menyambung misi saya yang gagal dilaksanakan sebelum ini.

misi-syria-mycorps-10

Zikri
Saya mempunyai minat yang mendalam dengan kerja kemanusiaan tetapi tidak pernah ada pengalaman.

Saya juga ingin menjadi jurugambar yang memainkan peranan penting dalam isu ini kerana saya yakin sekeping gambar juga boleh memberikan impak yang besar, mampu mengubah sudut pandang dan menimbuūlkan rasa kemanusiaan.

misi-syria-mycorps-13

misi-syria-mycorps-16

Adakah pengalaman travel yang lepas turut menjadi salah satu faktor untuk anda terpilih dalam misi ini? Jika ye boleh ceritakan sikit?

Nadia
Ya. Ramai orang ingat saya travel untuk bergembira semata-mata. Tetapi hanya sedikit yang tahu bahawa saya travel dengan niat untuk beramal.

Tujuan saya travel ke tempat-tempat baru selalunya untuk ĵsurvey dan kajian bagi mengumpul maklumat dan seterusnya kembali semula ke sana bersama pasukan kecil saya dengan membawa bantuan amal.

Setiap kali travel, di dalam bag saya tidak lekang dengan gula-gula yang akan diberikan kepada kanak-kanak yang saya temui disepanjang perjalanan saya. Malahan ketika temuduga untuk pemilihan sukarelawan MyCorps Middle East ini, saya telah bentangkan portfolio pengalaman sukarelawan saya.

3 panel yang menemuduga saya tertarik dengan pengalaman saya melawat Perkhemahan Nomad di Ladakh, India.

misi-syria-mycorps-6

Azmer Faiq
Ya, selama 7 bulan perjalanan, apa yang saya rasa menjadi faktor saya terpilih dalam misi ini mungkin dari segi persediaan terhadap kehidupan dan budaya yang berbeza diluar sana.

Ia juga berkaitan dengan bidang yang saya pelajari semasa di universiti. Oleh sebab itu pengalaman travel yang lepas juga membantu saya melihat dan mempelajari perkembangan manusia secara lebih jelas.

Zikri
Ya pengalaman travel turut menjadi salah satu faktor saya terpilih kerana saya selalu travel secara backpacker ke kawasan-kawasan yang mencabar dan untuk jangka masa yang lama.

Contoh paling terbaru saya travel selama 3 bulan setengah bermula daripada China dan merentasi Pakistan dan India. Cabaran semasa mengembara sangat penting sebagai salah satu persediaan untuk kerja kemanusiaan kerana ia bukanlah semudah seperti yang disangka.

misi-syria-mycorps-17

misi-syria-mycorps-3

Apakah negara terbaru yang dilawati sebelum misi MYCorps Middle East?
Nadia: Filipina
Azmer: United Kingdom
Zikri: Negara India, masuk secara byland menyeberangi sempadan China, Pakistan dan India.

Boleh terangkan tentang projek kutipan dana yang sedang dijalankan oleh kalian bertiga serta sukarelawan lain bagi misi kemanusiaan ini?

Nadia
MyCorps Middle East sedang melancarkan kempen MyCorps For Syria : Winter Mission dengan sasaran kutipan RM100,000. Hasil kutipan ini akan digunakan bagi memberi bantuan kepada mangsa pelarian yang bakal menghadapi musim sejuk tidak lama lagi.

Dengan keupayaan dan kewangan mereka yang terhad, paara pelarian ini sangat-sangat memerlukan bantuan dan sumbangan daripada kita.

Setiap seorang daripada kami para sukarelawan juga digalakkan mencari dana secara individu menggunakan kreativiti dan kelebihan masing-masing.

Saya memilih untuk menjual koleksi The Beatles saya, iaitu permainan Monopoly The Beatles : Limited Edition demi membantu pelarian Syria. Koleksi ini sebenarnya saya beli di Perth, Australia pada tahun 2009 dengan harga AUD99. Harga bidaan dibuka pada RM100. Dan semalam bidaan ditutup pada harga RM1,100.

Azmer Faiq
Projek kutipan dana saya sekarang ini saya lebih ditumpukan kepada ahli keluarga, kawan-kawan terdekat dan juga kawan FB serta orang awam.

Buat masa ini saya sedang menyiapkan video teaser tentang kesedaran terhadap Syria yang saya harap dapat membantu untuk kutipan dana.

Zikri
Saya memilih untuk menjual dan memberikan hasil karya fotografi saya bagi penyumbang yang memberikan sumbangan melebihi RM500.

misi-syria-mycorps-11

misi-syria-mycorps-20

Pesanan buat pembaca Vocket

Nadia
Sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia terutamanya para “keyboard warriors”, memberikan soalan “Kenapa nak bantu orang luar, sedangkan ramai lagi orang susah dalam Malaysia ni”.Kerja amal, bantuan kemanusiaan tidak mengenal bangsa, agama, negara dan masa.

Kita kini terlampau selesa berada di atas, tanpa ada rasa ingin menjenguk ke bawah. Hamka pernah berkata, “Manusia itu asalnya tanah, makan hasil tanah, berdiri atas tanah, akan kembali ke tanah. Tapi, mengapa masih bersifat langit?”

Menjadi sukarelawan, bekerja untuk kemanusiaan, adalah antara jalan terbaik untuk kita mencari identiti kita, merendahkan ego serta membuat refleksi pada diri sendiri dan bertanya kepada diri apakah tujuan kita hidup? “If not now, then when? If not you, then who?”

Azmer Faiq
Saya terkesan dengan satu benda yang selalu bermain di fikiran semasa kembara saya yang lepas. Apabila berada di suatu bumi asing, bersama orang asing, bahasa asing, ia membuatkan saya rasa sangat-sangat kerdil dan kecil. Siapa yang menarik tangan saya untuk mambantu?

Kita semua tidak sempurna, namun keberadaan kita semua di sini adalah untuk saling menyempurnakan apa yang tidak sempurna itu. Sebarkanlah kebaikkan.

Biarpun kita tidak mengenali siapa yang kita bantu itu. Pesan saya, “Jika tidak mampu memberi manfaat, usahlah memberi mudharat.”

misi-syria-mycorps-22

misi-syria-mycorps-15

Zikri
Kita hidup di dunia hanyalah sementara. Jadi lakukan kebaikan yang sebaiknya walaupun kebaikan itu kecil tapi sangat bernilai bagi orang yang memerlukan.

Jika di dunia kita tak punya apa-apa kerana kita selalu membantu orang lain, pasti di syurga nama kita diangkat nanti.

Buat para remaja dan golongan muda, luangkanlah masa anda untuk sertai misi kemanusiaan kerana ia mengajar kita agar sentiasa rendah hati, memahami situasi, tak cepat melatah serta mengajar kita menjadi manusia yang cekal.

misi-syria-mycorps-23

Menurut ketiga-tiga anak muda ini, menerima sokongan serta galakan tidak berbelah bagi daripada ahli keluarga merupakan sesuatu yang turut menjadi faktor mengapa mereka teruja untuk meneruskan misi ini.

Mereka turut dihantar mengikuti program “Pre-departure Training” selama 3 minggu sebagai persediaan fizikal dan mental sewaktu berada di lapangan dan menjalankan kisi bantuan nanti. Mereka juga turut didedahlan dengan pengetahuan tentang sejarah Syria, adat, budaya serta penjagan keselamatan diri.

Mereka juga berharap kesemua 45 orang sukarelawan yang akan mewakili Malaysia ini dapat tetapkan niat, ikhlas dan istiqamah di dalam perjuangan dan “jihad” kecil ini. Semoga misi kali ini dapat menjadi pembuka jalan bagi mereka untuk menyertai berbagai misi kemanusian lagi di masa depan.

misi-syria-mycorps-2

Buat Nadia, Azmeer dan Zikri, kami di Vocket mendoakan agar kalian dan rakan-rakan dapat melaksanakan misi ini dengan jayanya. Anda boleh ikut perkembangan dan update terkini sepanjang misi ini berlangsung nanti di Facebook Page MYCorps: Middle East

Dan jika anda turut ingin menyumbang untu misi kemanusiaan ini, boleh hubungi Nadia, Azmeer ataupun Zikri di akaun Facebook mereka atau di Facebook Page MyCorps.

Sementara itu, jom layan video yang dihasilkan oleh 3 anak muda ini sebagai intro tentang diri mereka.

Sesungguhnya di dalam setiap kembara itu ada hikmah dan pengajaran yang bakal diperolehi bagi mereka yang memerhati, menghalusi dan bersedia untuk mengutip kebaikan dari setiap langkah dan perjalanan.