Selama menjadi manusia, antara perkara yang kita tahu, sedar dan faham ialah di sekeliling kita ada ramai manusia. Cuma yang masih sukar ditelah dengan pandangan zahir ialah, bagaimana mahu mengenalpasti sama ada manusia lain melihat kita sebagai manusia atau tidak dan begitu juga sebaliknya.

Siapa yang harus kita percaya? Bagaimana mahu mengenal sisi kemunafikan insan di sekeliling kita?

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Selepas menulis perihal filem seram Turki berjudul Dabbe: Cin Carpmasi yang menyentuh perihal hubungan manusia dan jin minggu lalu, minggu ini aku memilih untuk menulis perihal filem Denmark berjudul The Hunt (TH) atau dalam judul asalnya, Jagten yang dikeluarkan pada 2012.

Sinopsis ringkas, Lucas (lakonan hebat Mads Mikkelsen) merupakan seorang guru lelaki pra-sekolah yang disenangi masyarakat sekeliling dan dikenali sebagai seorang lelaki budiman yang menyayangi kanak-kanak.

Tanpa Lucas sedari, salah seorang pelajarnya yang bernama Klara menyukainya Lucas. Sehinggalah berlaku satu insiden yang menyebabkan Lucas dituduh sebagai seorang pedofilia kerana mencabul Klara.

Berdasarkan judulnya, jika anda terbayang adegan lelaki nerd dan skema menyiat pembulinya seperti dalam Cold Fish (2010), atau seorang ayah yang memburu penculik anaknya dalam Taken (2008), ataupun seorang lelaki memburu pembunuh anjingnya dalam John Wick (2014), maaf ia tidak ada!

Tiada adegan aksi buru memburu tipikal di dalam filem ini. Jadi mengapa ia berjudul The Hunt?

Dua Sisi The Hunt

Aku gemar pada dua sisi filem arahan Thomas Vinterberg yang tercalon dalam kategori Best Foreign Language Film di Anugerah Academy Awards ke 86 ini.

Pertama ialah watak Lucas. Satu perkara yang istimewa perihal sesebuah filem ialah apabila punya watak yang menjadi tunjang penting perkembangan cerita.

Sekadar contoh, lihat watak Amy Dunne dalam Gone Girl (2014), Nina Sayers dalam Black Swan (2010), Tom Stall dalam A History of Violence (2005), Alex di dalam A Clockwork Orange atau Christy Brown di dalam My Left Food (1989).

Kesemua filem ini amat bergantung pada watak utama dan kekuatan visi pengarahnya. Sekiranya watak-watak itu dilakonkan oleh pelakon yang salah atau diarahkan oleh pengarah yang tidak menggali jiwa watak itu, maka ia akan menjejaskan kekuatan penyampaian cerita dan seterusnya gagal memberi ‘aura’ pada watak-watak lain di dalam filem itu. Lihat bagaimana bakat Naomi Watts tenggelam di dalam Diana (2013).

Di sinilah istimewanya watak Lucas yang dilihat menjadi tunjang atau nadi filem ini. Lucas ialah satu watak berat yang menggambarkan cerminan perangai manusia walau secara zahirnya kelihatan ia hanya watak tipikal yang ringkas.

Menariknya, Mads Mikkelsen melakonkan watak ini dengan cukup sempurna sehingga magis kuasa lakonannya seolah membawa seluruh emosi dan jiwa segenap masyarakat ke dalam jiwa seorang Lucas. Lakonannya berjaya membuat Lucas menjadi cerminan refleksi pada insan-insan di sekelilingnya, bukan sekadar papar sisi jiwa satu watak sahaja.

Dan ia membawa kepada sisi kedua iaitu buru. Filem ini akan dianggap biasa sekiranya penontonnya tidak merasai bahang medan ‘memburu’ dengan jiwa sendiri (seperti yang dialami Lucas). Ini kerana buru di dalam filem ini membawa kita ‘berburu’ di fasa kesan dan bukan dramatik. Ia menyelongkar jiwa realiti siapa disekeliling kita.

Tidak sekadar membawa perihal betul atau tidak tetapi persepsi yang terlahir dari apa yang berlaku. Dan di’buru’ tinggalan rasa itu terlalu dalam lukanya apatah lagi setelah melayan karenah rasa ‘mereka’ yang berkeputusan menghukum dahulu. Ini merupakan tunjang rasa TH yang membuatkan ia ‘mahal’ dengan perasaan empati, simpati dan emosi.

Apa yang pasti untuk membawa watak deep Lucas, sang mangsa tuduhan pedofilia bukan satu tugas mudah. Berada di fasa sedih kecewa namun berusaha untuk rasional atas kapasiti sahabat sememangnya bukan watak yang mudah.

Dan pujian sememangnya pada Mads Mikkelsen yang menghidupkan jiwa ‘memburu’ dalam filem ini selain dari watak Klara, anak kecil ‘menggeramkan’ yang cuma ingin jujur dengan perasaan sendiri.

Ringkasnya, ini adalah sebuah filem yang hebat dari tangan pengarah yang hebat dan pelakon yang hebat. Kerana apa yang ada di sekeliling kita secara realitinya, ada di dalam filem ini.

Tontonlah. Kerana tak selamanya kita akan menjadi protagonis kerana kita sendiri tidak tahu adakah kita dianggap protagonis atau antagonis di dalam putar bingkai filem lakonan kita di dunia realiti.

Skor filem: 8.5/10