Sebagai pelajar yang ditaja oleh kerajaan Malaysia di luar negara, selalu terngiang-ngiang di kepala tentang harapan dan tanggungjawab yang diletakkan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia.

‘Suara-suara’ itu mengingatkan supaya mereka yang belajar di luar negara dapat mencedok, menyedut, dan mengambil manfaat dari segi ilmu, teknologi, peradaban, sistem, nilai dan budaya baik negara lain untuk dibawa balik,diamalkan dan diaplikasikan di Malaysia.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Sepanjang tempoh 6 tahun berada di United Kingdom (UK), banyak sangat perkara, benda dan nilai baik yang saya dapat di sini. Yang buruk pun banyak juga tapi yang itu tak perlu nak bawa balik ke Malaysia, hehe.

Dalam banyak-banyak benda baik tersebut, saya tertarik untuk berkongsi tentang sistem kerja ‘part-time’ dan ‘job sharing’ dalam sektor kerajaan dan sektor swasta di UK.

Sistem Kerja Di UK

Sistem kerja ‘part-time’ dan ‘job sharing’ ini memberi peluang kepada mereka yang mempunyai komitmen lain seperti keluarga, bisnes dan lain-lain untuk bekerja separuh masa.

Sebagai contoh:

1. Isteri boss/supervisor saya bekerja dalam sektor ‘social work’, iaitu memberi sokongan kepada masyarakat atau individu yang mempunyai masalah hidup. Beliau bekerja part-time 60%.

Maksudnya, beliau hanya bekerja dari hari Isnin hingga Rabu sahaja, manakala tugas kerja pada hari Khamis dan Jumaat akan dilakukan oleh orang lain. Beliau akan dapat gaji 60% daripada gaji full-time.

2. Rakan saya bekerja sebagai doktor. Beliau baru mendapat anak pertama (first time daddy). Oleh sebab itu beliau telah menukar skim dari kerja full-time ke part-time 80%.

Sekarang beliau hanya bekerja 4 hari dalam seminggu, berbanding 5 hari sebelum ini. Jadi beliau mempunyai lebih banyak masa bersama anak dan isteri. Apabila anak sudah semakin besar, beliau boleh menukar kembali ke skim full-time.

3. Pegawai tadbir dan kerani di universiti saya juga melakukan part-time/ job-sharing. Mereka bekerja part-time 50%.

Pegawai A bertugas hari Isnin hingga Rabu tengahari, manakala Pegawai B bertugas dari Rabu tengahari hingga Jumaat.

4. Terdapat sebilangan guru di sini yang membuat part-time. Sebagai contoh, Mr. Edward mengajar subjek Kimia dan Mr Smith mengajar subjek Biologi.

Mereka bekerja part time 60%. Mr. Edward bekerja pada hari Isnin hingga Rabu, manakala Mr Smith bekerja dari hari Rabu hingga Jumaat. Jadi mereka hanya datang ke sekolah dan mengajar untuk tiga hari sahaja.

Sistem ini adalah fleksibel. Sebagai contoh, tahun ini nak kerja part-time 60% sebab baru dapat anak. Tahun depan kerja full time 100% semula sebab anak dah besar. Lagi dua/tiga tahun bila dapat anak kedua tukar balik ke part-time 60%.

Haa, menarik kan?

Bayangkan Jika Berlaku Di Malaysia

Pada pandangan saya, sekiranya sistem ini boleh dilaksanakan di Malaysia, memang terbaik terutamanya kepada golongan wanita yang mempunyai anak.

Zaman sekarang, golongan wanita terpaksa bekerja untuk membantu suami menyara keluarga. Tetapi mereka terpaksa bekerja full-time kerana tiada option part-time termasuk wanita yang mengandung.

Sekiranya ada option ini, mungkin mereka hanya perlu kerja part-time 60% sahaja iaitu 3 hari seminggu, jadi mereka akan mempunyai masalebih bersama anak-anak. Gaji part time 60% daripada gaji penuh full-time mungkin sudah cukup untuk membantu suami mereka.

Kalau anda perasaan, sekarang ini ramai yang melakukan dua kerja. Golongan ini mempunyai kerja tetap full-time seperti guru, pensyarah, doktor, jururawat, eksekutif dan lain-lain.

Pada masa yang sama mereka melakukan kerja tambahan part-time seperti jual barang, business online, jadi ejen takaful/insurans, ejen unit trust dan sebagainya.

Kesemua kerja part-time ini memerlukan mereka berjumpa pelanggan/klien, sentiasa menyemak website/WhatsApp untuk berurusan dengan pembeli dan pergi ke pejabat pos untuk pos barang jualan.

Ia dilakukan pada waktu malam dan hujung minggu sahaja sehingga terpaksa mengorbankan masa mereka bersama keluarga demi tuntutan kerja tambahan ini. Ada juga curi waktu bekerja makan gaji.

Dengan sistem ‘part-time’ dan ‘job-sharing’ ini dilaksanakan di Malaysia, sudah pasti ianya memberikan kebaikan kepada golongan yang melakukan dua kerja ini dengan pembahagian masa bekerja ‘part-time’ 60% untuk kerja tetap mereka dan selebihnya buat kerja tambahan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, kebaikan sistem part-time/job sharing ini adalah:

1. Beri peluang kepada mereka yang mempunyai komitmen lain bekerja part-time dan dapat gaji tetap sara keluarga,
2. Buka lebih banyak ruang pekerjaan. Secara tak langsung boleh mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.
3. Beri kemudahan kepada golongan wanita mengandung dan mempunyai anak kecil.
4. Bantu kurangkan kos ‘nursery’ anak dari 5 ke 3 hari dengan ibu bekerja 2 hari, ayah bekerja 3 hari seminggu.
5. Bantu kurangkan stress/tekanan/bebanan kerja.
6. Bantu tingkatkan produktiviti pekerja yang bosan dengan persekitaran sama.

Tetapi, sistem kerja part-time ini tidak sesuai untuk semua pekerjaan, terutamanya yang terlibat dengan pengurusan tertinggi seperti pengarah, pengetua, pengurus, dan segala macam ketua. Pening kepala pula kalau ada 2 orang ketua.

Sistem ini hanya sesuai untuk pekerja biasa dan bawahan sahaja yang mempunyai kerja tambahan dengan pulangan yang setimpal.

Jadi, tidak tergugat kewangan keluarga jika pilih option tersebut. Ia juga boleh jadi 1 transaksi masa dari kerja makan gaji ke arah berniaga.

Agak-agak boleh tak dilaksanakan di Malaysia?