Pantang mama gerak sikit, merengek. Terpaksalah mendukungnya ke hulu ke hilir. Apapun syukur alhamdulillah ini di kira cukup baik berbanding sebelum ini. Sekurang-kurangnya dia tidak menggaru sambil menangis.

Dulu sambil nangis tu dia garu satu badan. Tak senang hati nak tinggalkan walau SESAAT. Adakala emergency nak ke bilik air terpaksa tinggal kejap, kena pecut selaju mungkin.

Pergi bilik air itu pun bila sudah tidak tertanggung menahan berjam-jam. Balik dari bilik air tercungap-cungap sambil periksa badan Durrah kalau-kalau ada yang terluka.

Saya pernah suarakan dengan suami apakah lebih baik jika saya pakai lampin pakai buang orang dewasa untuk kurangkan pergerakan saya ke bilik air.

Betapa ianya cukup perit. Ke mana pun saya pergi saya perlu dukung Durrah. Hanya ketika mandi saya tak boleh mandi sambil dukung Durrah.

Peluang untuk mandi perlu di ambil sebaik mungkin sebelum solat Subuh dan sebelum Solat Maghrib. Masa ini bantuan suami amat di perlukan untuk menjaga Durrah sebentar.

Sebelum tinggalkan Durrah tu kadang saya akan warning suami supaya jangan sesekali terlelap, risau suami tak perasan Durrah menggaru sampai berdarah.

Ampun bang. Kena warning bagai. Waktu nak mandikan Durrah juga amat perlukan bantuan suami untuk kawal kaki tangan nya dan saya mandikan dia.

Mandi asal cukup syarat untuk bersihkan badannya. Memang meraunglah setiap kali mandi tu dan pasti akan ada cebisan kulit-kulit Durrah yang tertinggal di tab mandiannya setiap kali selepas mandikannya.

Nak makan minum pun sambil dakap Durrah, sambil baring dan di suap suami pun pernah sebab tak nak Durrah terjaga kalau saya bangun.

Jenuh nak buat kerja sambil dukung dan kawal kedua-dua tangannya. Kadang dah kawal tangan tak sedar dia garu antara kaki pula.

Pernah dulu sambil sidai kain saya kepit tangannya, tak sedar dia garu kaki sampai berdarah-darah. Saya ada beli baby carrier tapi masalah bila pakai baby carrier tu Durrah akan gosok muka kat badan kita pulak.

Waktu ‘me time’ saya adalah waktu solat kerana hanya pada 5 waktu itu mahu tak mahu saya perlu tinggalkan dia sekejap dan fokus untuk solat.

Kalau dia nangis kuat sangat terpaksalah dukung sambil solat. Dukung dengan mengepit kedua tangannya untuk elakkan dia menggaru.

Tak pasal-pasal nanti kain telekung putih tu dicorakkan dengan darah. Hikmah dukung sambil solat ni time nak doa selepas solat memang cukup menginsafkan.

Mendoakan kesembuhan anak sambil menatap anak yang sedang di dakap erat. Allahu Tiada kata yang dapat menggambarkan suasana itu. Ibarat bumi bergoncang mengharapkan bantuan Allah.

Aduhai anak. Dirimu kecil tapi banyak mengajar mama erti ‘syukur’ dan ‘sabar’. Ini bahagian mama yang mampu mama tanggung.

Ada masa saya rasa agak down, cemburu melihat sihat aktifnya anak-anak lain bergerak ke sana ke mari tanpa perlu di dukung sentiasa.

Tapi kata-kata seorang hamba Allah menginsafkan saya. Katanya syukur jika anak kita selalu nak berdukung kerana satu masa nanti dia sudah jauh dari kita, tak nak di peluk cium dan pada masa itu kita akan merindui apa yang kita lalui sekarang.

Sejak dari itu saya cuba sedaya upaya untuk just enjoy the moment. Senyum dalam tangis bila berhadapan dengan orang.

Menjaga anak ekzema cukup mencabar. Jika anda punya keluarga yang berada di situasi seperti saya, berilah sokongan penuh kepada mereka.

Jangan sesekali katakan pada mereka ini semua akibat dosa silamnya, tapi katakanlah Allah sayang mereka, Allah mahu mengangkat darjat mereka suami isteri.

Jangan kusutkan fikiran mereka dengan 1001 cadangan produk itu ini yang kita sendiri pun tidak pasti kandungannya yang mungkin akan memudaratkan lagi kulit hypersensitive si anak ekzema.

Sesekali urut-urutlah bahu, belakang badan mereka. Saya amat terharu dengan layanan ibu mertua saya yang tidak jemu mengunjungi saya. Adakala badan saya diurut-urut.

Allah. Saya malu. Patut saya yang mengurut-urut ibu, bukan ibu yang mengurut-urut saya. Sungguh urutan itu rasa amat melegakan walau cuma sebentar. Terima kasih ibu mertuaku. Semoga beroleh haji yang mabrur nanti.

Terima kasih juga buat semua ahli keluarga, sahabat handai juga yang secara langsung dan tidak langsung sangat banyak beri sokongan moral, kewangan dan sebagainya.

Semoga ibu lain yang berada di situasi sama seperti ini juga terus tabah menjalani hari-hari yang mendatang.

Ekzema ni nampak macam ringan tapi hakikatnya hanya yang berada dalam situasi ini yang faham sakit peritnya sama ada di pihak pesakit ekzema atau penjaga pesakit ekzema.

Saya rasa agak terguris jika ada yang memperlekehkan penyakit ekzema ini. Alhamdulillah kini Durrah sudah beransur pulih.

Kadang tengah mandikan dan pakaikan baju Durrah tu suami kata pada saya tak sangka kulit anak kita dah pulih. Kuasa Allah taala kan. Setahun perjuangan kami merawat anak secara alami.

Nikmat sungguh rasanya setiap kali melihat dirinya tersenyum ceria, bermain dan bergelak tawa.

Mohon doakan Durrah sembuh sepenuhnya dan dapat berjalan tak lama lagi. Durrah mula merangkak di usianya setahun dua bulan sebab masa tu kaki tangan nya mula pulih. Durrah kini nak masuk setahun tujuh bulan.

Buat anakku Durrah, semoga suatu masa nanti kamu baca post ini agar kamu tahu,mama sayang kamu sepenuh hati mama. Sungguh.