Saya ada pengalaman membeli kenderaan lelong. Dan ini langkah-langkahnya:

1. Sebelum

Sebelum memasuki proses lelongan kenderaan, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat berkaitan senarai kenderaan dan tarikh lelongan di beberapa laman web (rujuk di penghujung artikel).

Berdasarkan kepada senarai dan tarikh, mereka yang berminat boleh melihat kenderaan di stor-stor yang dinyatakan di dalam iklan berkenaan.

Kenderaan-kenderaan ini perlu dibuat pemeriksaan bagi memastikan kenderaan yang bakal dibida dalam keadaan yang memuaskan dan paling penting adalah nombor siri kenderaan dan nombor siri enjin adalah sama seperti yang termaktub di salinan geran kenderaan berkenaan.

Sekiranya terdapat perbezaan mungkin kenderaan berkenaan telah dibuat pengubahsuaian tanpa kebenaran.

2. Hari lelongan

Setelah berpuashati dengan keadaan kenderaan dan berminat untuk masuk lelongan, kita perlu membuat persediaan untuk hari lelongan.

Semasa hari lelongan, pembida perlu menyediakan deposit seperti yang dikehendaki. Syarat-syarat berkaitan deposit mungkin berbeza di antara satu rumah lelongan dengan rumah lelongan yang lain. Maka anda perlu alert dengan syarat-syarat berkaitan dengan deposit ini.

Terdapat rumah lelongan memberi kebenaran menggunakan tunai dan kad kredit untuk tujuan deposit membida. Jumlah deposit bidaan berbeza untuk kereta dan motor.

Semasa pendaftaran, deposit perlu diserahkan untuk membolehkan pembida memasuki lelongan. Selepas pendaftaran, kad bidaan bernombor akan diserahkan dan anda sudah boleh menunggu kenderaan yang ada minat untuk lelongan.

3. Anda pembida berjaya

Sekiranya anda berjaya membida pada hari lelongan, satu dokumen kontrak akan diserahkan kepada anda. Di dalam dokumen berkenaan dinyatakan harga yang anda menang dan baki yang perlu dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sekiranya tewas tidak perlu bimbang, deposit anda dikembalikan sepenuhnya.

4. Pasca kemenangan

Seusai menang lelongan, kenderaan berkenaan hendaklah dibuat pemeriksaan oleh pihak Puspakom bagi memastikan ia sah dan selamat digunakan. Ia boleh dilaksanakan secara on site inspection oleh pihak Puspakom dengan sejumlah bayaran yang ditetapkan.

Sekiranya kenderaan gagal dalam pemeriksaaan oleh Puspakom maka pihak pembida boleh menuntut kembali deposit yang telah dibayar dengan syarat kenderaan dibuat pemeriksaan oleh wakil pihak lelongan. Tiada deposit dikembalikan sekiranya pemeriksaan kenderaan dibuat selepas keluar dari rumah lelongan.

Selepas dokumen Puspakom diperolehi, baki bayaran perlu dibuat kepada pihak bank atau institusi kewangan di mana kenderaan berkenaan diberi biaya.

Selepas semua pembayaran dijelaskan, pihak pembiaya pinjaman akan memberikan segala dokumen yang diperlukan untuk tujuan pendaftaran kenderaan berkenaan kepada pemilik yang baru.

Dokumen berkenaan dan pemilik yang baru perlu dibawa ke JPJ untuk tujuan pertukaran nama. Pastikan sebelum ke JPJ, kenderaan berkenaan telah diinsuran ke nama pemilik baru sebelum geran dan cukai jalan dikeluarkan oleh pihak JPJ.

Setelah selesai pertukaran nama dan geran serta cukai jalan diperolehi maka kenderaan berkenaan sudah boleh bergerak di atas jalan.

Pastikan anda servis kenderaan berkenaan bagi memastikan ia selamat dari sebarang kerosakan kerana kenderaan ini lama terbiar dan terdedah di dalam stor yang terbuka.

Tip tambahan berkaitan kos

1. Semak harga pasaran kenderaan sebelum membida apa-apa kenderaan bagi memastikan kenderaan dibida tidak melebihi harga pasaran.

2. Bawa mereka yang pakar berkaitan enjin kenderaan tidak mengalami kerosakan kritikal yang boleh menambah kos pemilikan kenderaan.

3. Anggaran kos untuk caj lelongan, pertukaran nama, insuran baru, kos runner untuk Puspakom dan JPJ adalah RM1500 (kos untuk kereta Puan Bibah -Viva – saya.)

Nota penting

Mohon saya tambah untuk manfaat bersama. Pinjaman tidak boleh dibuat sama sekali sama ada selepas tender dimenangi.

Ini kerana di dalam kontrak tender, bayaran penuh perlu diselesaikan dalam masa 14 hari oleh pembida yang menang, dan pihak bank tidak akan memberi pinjaman. Tiada istilah yakin boleh lulus bank.

Ini kerana pihak bank tidak akan sesekali memberi pinjaman ke atas kenderaan lelongan. Kecualilah pihak pembida membuat pinjaman peribadi untuk selesaikan baki bayaran tertunggak di dalam akaun kenderaan tersebut di dalam bank. Saya harap dapat membantu.

Laman web kenderaan lelong

1. Lelongtips.com.my
2. G-mart.my
3. Shimfa.com
Dan beberapa lagi….

Suasana di dewan lelongan