1. Bagan Serai dilanda ribut kuat

Angin kencang secara tiba-tiba mengundang ribut kuat di Bagan Serai petang semalam mengakibatkan 11 rumah di situ terjejas. Menurut salah seorang mangsa, kejadian itu berlaku semasa beliau sedang berehat di ruang tamu rumah bersama ahli keluarga lain apabila menyedari bumbung di bahagian dapur rumahnya bergoyang ditiup angin.

Walaubagimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber laporan

2. Br1m bukan rasuah

Membidas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata langkah kerajaan mewujudkan skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan satu amalan rasuah.

Malah, Perdana Menteri berkata, kerajaan Arab Saudi turut menyalurkan bantuan kewangan untuk membantu rakyatnya yang misikin, sekali gus membuktikan tindakan Malaysia memberi bantuan seumpama itu melalui BR1M bukan satu rasuah.

Sumber laporan

3. Rayuan MAS ditolak

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Malaysia Airlines (MAS) berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya menyediakan dokumen awam kepada 76 waris 32 penumpang pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof ketika mencapai keputusan sebulat suara itu turut memerintahkan perayu membayar kos RM10,000.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 September tahun lalu yang memerintahkan MAS menyediakan dokumen umum kepada waris-waris warganegara asing tersebut untuk digunakan dalam kes saman itu, kekal.

Sumber laporan

4. Harga ikan akan kembali stabil April ini

Harga ikan rakyat seperti ikan selar, pelaling dan kembung yang meningkat mendadak mutakhir ini di Perlis dijangka kembali stabil pada April ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ismail Ladin berkata, faktor angin kencang dan laut bergelora menyebabkan tidak ramai nelayan turun ke laut bagi menangkap ikan serta hasil laut lain.

“Kebiasaannya pada bulan depan (Mac) keadaan laut tidak begitu bergelora selain tiupan angin yang sederhana tetapi kini perubahan cuaca dan iklim tidak menentu dan sukar dijangka. Bekalan ikan rakyat iaitu ikan selar, pelaling dan kembung ada tetapi agak kurang berbanding normal,” katanya.

Sumber laporan

5. Thanaseelan mungkin mati akibat kecuaian pihak polis

Hasil bedah siasat ke atas Thanaseelan Muniandy yang mati ketika dalam tahanan menunjukkan dia mungkin meninggal dunia akibat kecuaian pihak polis dan kakitangan perubatan.

Dalam laporan itu, pakar patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Razuin Rahimi berkata penemuan awal mendapati Thanaseelan meninggal dunia akibat keracunan darah kerana ulser gastrik.

Thanaseelan, 43, ditemui tidak sedarkan diri dalam lokapnya di lokap Bukit Sentosa pada 25 Februari dan kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

Sumber laporan