Lagu tema bersemangat, animasi lebih cantik dan jalan cerita lebih berdebar – 3 perkara baru anda akan rasai setelah menonton BoBoiBoy Galaxy.

Bulan November menyingkap tirai baru, kerana BoBoiBoy Galaxy diperkenalkan menggantikan siri BoBoiBoy yang sebelumnya.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada Jumaat lepas, bertarikh 2 Disember 2016, saya bertemu dengan Animonsta Studios untuk mengenali BoBoiBoy baru ini.

Turut bersama adalah Pengarah Urusan Animonsta Studios Mohd Nizam Abd Razak, Pengarah Eksekutif Mohd Safwan Abd Karim, dan Pengarah Operasi Kee Yong Pin.

1. Surprise!

Evolusi perubahan BoBoiBoy.
Evolusi perubahan BoBoiBoy.

BoBoiBoy adalah karya sulung Animonsta Studios yang dimulakan oleh 4 orang founders iaitu Nizam Razak, Safwan Abdul Karim, Anas Abdul Aziz dan Kee Yong Pin.

BoBoiBoy bermula pada tahun 2011, dengan 13 episod pada musim pertama (2011-2012), 13 episod pada musim kedua (2012-2013) dan 26 episod pada musim ketiga (2014-2016).

Pada awal tahun ini, Animonsta Studios melancarkan filem pertama mereka bertajuk BoBoiBoy: The Movie, di mana rata-rata penonton memberi reviu baik terhadap filem Hero Malaysia ini.

BoBoiBoy Galaxy datang secara surprise selepas BoBoiBoy: The Movie. Seluruh feel cerita ini sudah berubah.

Pada mulanya, saya sangkakan BoBoiBoy Galaxy adalah BoBoiBoy yang sudah remaja. Dan saya jangkakan jalan cerita sudah berubah mengikut selera remaja.

Pengarah, Nizam Razak segera menjawab umur BoBoiBoy Galaxy hanya bertambah 1 hingga 2 tahun berbanding BoBoiBoy asal.

Dari segi fizikal BoBoiBoy Galaxy memang kelihatan berbeza, tetapi sebenarnya, hanya sedikit umur bertambah.

Dari segi jalan cerita, cerita ini masih dibuat untuk penonton kanak-kanak 7-12 tahun.

Kembara mereka semakin jauh, tetapi unsur-unsur lawak dalam BoBoiBoy Galaxy masih menebal seperti dulu. Seronoknya!

2. Apa yang berbeza?

Komander Cici Ko atau nama comelnya Koko Ci, adalah ketua pasukan Tapops.

Jika sebelum ini, BoBoiBoy hanya duduk di bumi. Alien datang menyerang bumi, BoBoiBoy dan kawan-kawan pertahankan bumi.

Adu Du, Ejo Jo, dan Bora Ra menyerang, BoBoiBoy hanya bertahan.

Kali ini, BoBoiBoy dan kawan-kawan sudah tidak lagi di bumi.

Sebaliknya, mereka menyertai Koko Ci atau Komander Cici Ko mengembara ke alam galaksi.

Koko Ci mengetuai pasukan Tapops, atau nama penuh ‘Tracker and Protector of Power Sphera’, dengan misi mencari dan menyelamat power sphera yang lain.

Ochobot, power sphera kesayangan Boboiboy.
Ochobot, power sphera kesayangan Boboiboy.

Barulah mereka tahu, rupa-rupanya, selain Ochobot, terdapat banyak power sphera lain di dalam galaksi.

Power sphera menjadi rebutan alien-alien jahat atas keupayaan mereka yang istimewa seperti mampu memberi kuasa kepada orang lain (Ochobot) atau mampu mencipta kenderaan dengan sekelip mata (Motobot).

3. Sejak bila perancangan untuk BoBoiBoy Galaxy bermula?

Dari kiri: Safwan, Nizam dan Yong Pin.
Dari kiri: Safwan, Nizam dan Yong Pin.

Saya bertanya kepada Nizam, Safwan dan Yong Pin, “Terperanjat saya tengok jalan cerita berubah selepas BoBoiBoy The Movie, lalu menjadi BoBoiBoy Galaxy. Sudah lamakah merancang untuk mengubah jalan cerita?”

Cerita di sebaliknya amat menarik.

Nizam berkata, “Rancangan ini sudah 2 tahun, bermula 2014.”

“Saya dan Yong Pin ketika itu di Jepun, sedang berdiri dalam kereta api. Kami baru balik dari Pokemon Center.”

“Saya perasan Pokemon ni banyak betul merchandise. Pokemon itulah, Pokemon inilah.”

“Kenapa BoBoiBoy tak banyak macam tu?” tanyanya sendiri.

“Takkanlah (nak buat) banyak BoBoiBoy. Memanglah BoBoiBoy banyak kuasa.”

“Tetapi why not, Pokemon kumpul monster, BoBoiBoy pula kumpul power sphera.”

Ting! Dari situ timbul idea untuk membuat cerita baru, dan kali ini ianya lebih berkisar tentang Power Sphera.

4. Universe BoBoiBoy lebih besar

Idea pengembaraan galaksi ini akhirnya menimbulkan semangat baru buat pasukan Animonsta Studios.

Struktur baru ini menjadikan lebih banyak cerita terhasil. Lebih banyak excitement dapat diwujudkan.

Jika sebelum ini BoBoiBoy pasif menunggu di bumi, sekarang BoBoiBoy dan rakan-rakan dapat mencari pengalaman baru di planet-planet baru serata galaksi.

Mereka akan jumpa lebih ramai orang dan alien. Lebih banyak power sphera.

Ada yang baik, ada yang jahat, ada yang neutral.

Pendek kata, BoBoiBoy Galaxy ini sentiasa di tempat baru, lalui pengalaman baru, dan berjumpa ‘orang’ baru. Universe BoBoiBoy lebih besar.

Animonsta Studios belajar banyak daripada IP (intellectual properties) Jepun yang berjaya seperti Doraemon, Pokemon dan Naruto. Ada antara IP ini berjaya mencecah sehingga 700-800 episod. Pendek kata, struktur cerita yang expandable (boleh dikembangkan) boleh pergi jauh.

Animonsta Studios merancang untuk BoBoiBoy Galaxy bertahan sehingga sekurang-kurangnya 300 episod, dengan filem baru dikeluarkan setiap 2 tahun.

Sudah tentu, Animonsta Studios merancang agar BoBoiBoy menjadi satu jenama besar, meniti di bibir kanak-kanak seluruh dunia.

5. BoBoiBoy Galaxy lebih bersemangat.

boboiboy-07

Saya bertanya lagi, “Saya perasan BoBoiBoy Galaxy punya lebih banyak tenaga?”

Pengarah Operasi, Yong Pin segera menjawab, “Yes, our goal is to make the first of that (character) in the world. Tak ada berani buat begitu.”

Karakter BoBoiBoy Galaxy yang berani tetapi lucu sememangnya unik.

Yong Pin sedar kanak-kanak terutamanya kanak-kanak lelaki sukakan action (aksi). Jadi amat perlu untuk mengetahui apa definisi ganas dan action.

“BoBoiBoy seimbangkan kedua-dua ini. Kalau perasan, BoBoiBoy tidak pernah tumbuk secara terus, kebanyakan hanya gunakan kuasa.”

“Setakat ini tiada kes budak-budak pukul adik kerana ikut (BoBoiBoy). Kebanyakannya hanya beraksi dengan kaki dan tangan di udara.”

“Bukan mudah nak yakinkan ibu bapa, tetapi bila mereka sudah menonton di pawagam, barulah mereka tahu BoBoiBoy ini ada value.”

“Kami paparkan nilai-nilai ini dengan gaya natural, lembut tetapi berkesan. Orang dapat merasanya tanpa perlu kami memberitahu.

Ketiga-tiga pengarah Animonsta Studios ini bersetuju mengatakan animasi Malaysia penuh dengan nilai-nilai yang baik.

Perkara ini mengingatkan saya kepada animasi Korea Selatan yang mempunyai nilai-nilai lebih baik berbanding sesetengah animasi barat atau Jepun. Dan ya, Malaysian can do it too!

6. Tema yang boleh dikembangkan ke luar negara

Poster Boboiboy dari siri 1 hingga 3, Boboiboy: The Movie dan Boboiboy Galaxy.
Poster Boboiboy dari siri 1 hingga 3, Boboiboy: The Movie dan Boboiboy Galaxy.

Tanpa sedar, rupa-rupanya BoBoiBoy sudah bertapak di 47 buah negara.

BoBoiBoy Galaxy sudah dipersembahkan kepada beberapa penyiar televisyen luar negara, dan nampaknya, mereka sangat berminat.

Fizikal BoBoiBoy Galaxy

BoBoiBoy Galaxy dengan animasi berkualiti tinggi, cerita kompak, dan fizikal yang tinggi lebih menarik perhatian badan penyiar.

Ketika siri terdahulu, badan penyiar barat tidak dapat menerima fizikal BoBoiBoy yang kecil. Bagi mereka, fizikal BoBoiBoy yang dahulu tidak menggambarkan kanak-kanak berusia 10 tahun, tetapi lebih menyerupai kanak-kanak berusia 6 atau 7 tahun.

Ini adalah di antara faktor mengapa fizikal BoBoiBoy Galaxy dijadikan lebih besar dan tinggi.

Lagipun kali ini, mereka pergi mengembara galaksi, fizikal yang lebih besar adalah lebih sesuai dengan pengembaraan mereka.

BoBoiBoy di negara luar

BoBoiBoy: The Movie, akan disiarkan di pawagam-pawagam Korea Selatan tahun depan. Dijangkakan 100 buah pawagam terlibat. Agaknya bagaimana BoBoiBoy bercakap dalam Bahasa Korea?

Di China pula, siri BoBoiBoy akan masuk ke siaran LeTV, saluran televisyen online mereka. Siri BoBoiBoy juga sudah mula memasuki India.

Dari sini, BoBoiBoy jelas sesuai untuk pasaran Asia. Pada masa yang sama, BoBoiBoy juga mempunyai potensi untuk dijual di Kazakhstan dan Rusia.

Nizam berharap melalui BoBoiBoy Galaxy mereka dapat melebarkan sayap ke dunia barat.

Dan, amat logik bagi mereka yang sudah menyiarkan BoBoiBoy akan meneruskan siaran dengan BoBoiBoy Galaxy.

Hero Malaysia

Walaupun pernah merancang agar BoBoiBoy sampai ke luar, tiada siapa antara ketiga-tiga pengarah di hadapan saya ini menyangka BoBoiBoy akan sampai sejauh ini.

“BoBoiBoy selama ini sinonim dengan Malaysia. Sebut BoBoiBoy, Malaysia. Tidak ramai yang tahu BoBoiBoy sudah pergi lebih jauh. BoBoiBoy mewakili budaya, imej kita. Budaya Malaysia yang futuristik. Malaysia pun ada superhero juga. Malaysia pun alien nak takluk juga, bukan setakat Jepun. BoBoiBoy mewakili imej Malaysia yang progresif, maju dan bermoral,” ujar Nizam.

Pengarah Eksekutif, Safwan menambah, “Lebih-lebih lagi, sekarang kanak-kanak (luar) mula belajar bahasa kita. Sebab nak tonton Youtube kita.”

“..terutamanya dari Filipina dan Vietnam,” sambung Yong Pin pula.

“Pada asalnya mereka kenal BoBoiBoy di Disney channel. Tetapi disebabkan holdback period selama 6 bulan, lambat ditayangkan di negara mereka, jadi diorang tonton Youtube Monsta yang up-to-date,” kata Safwan lagi.

“Macam kanak-kanak Malaysia tonton anime Jepunlah,” jawab Safwan, sambil disambut gelak tawa kami bertiga yang lain.

Mungkin kesemua dalam bilik mesyuarat ini pernah lakukannya dahulu. Haha.

7. Kualiti animasi BoBoiBoy Galaxy semakin baik.

“Kualiti animasi BoBoiBoy Galaxy nampaknya semakin baik. Apakah perkara berbeza yang Animonsta lakukan?”

Skill

boboiboy-00-3d

“Tim sudah melalui 52 episod siri dan satu filem. Secara automatik, pengalaman dan skill meningkat,” ujar Nizam.

“Saya pernah katakan, jangan buat kualiti yang terlalu tinggi, supaya apabila filem baru keluar, tidaklah terlalu tinggi kualiti yang kita kena capai,” ujar Nizam lagi.

“Tetapi naturally, tim sudah buat dengan lebih bagus,” Nizam berkata.

“..laju pula tu,” tambah Yong Pin.

Kualiti animasi BoBoiBoy terevolusi tanpa sedar.

Teknologi yang mereka gunakan, sama sahaja seperti sebelum ini. Animonsta Studios menggunakan aplikasi standard seperti Maya 3D dan Adobe After Effect. Yang membezakan adalah mereka yang menghadap skrin komputer itu setiap hari.

“Selepas filem BoBoiBoy: The Movie, skill pasukan naik mendadak,” Nizam berkata penuh yakin.

Semangat

boboiboy-00-sketcher

Bukan sekadar kemahiran meningkat, semangat pasukan juga melambung tinggi setelah tayangan BoBoiBoy: The Movie.

Sebelum ini, memang ramai memuji siri BoBoiBoy, ada yang menghantar surat dan menulis komen di Youtube Monsta.

Tetapi efeknya sangat berbeza apabila melihat 1.6 juta orang secara fizikal hadir menonton filem ini di pawagam. Ahli-ahli pasukan Monsta yang menyertai production tour di pawagam pasti berkata, “Fuh, betullah BoBoiBoy ini popular.”

Amat rare melihat filem, di mana, di akhir tayangan penonton beramai-ramai bertepuk tangan gembira. Sebagai pendukung filem lokal ini pasti touching dan bersemangat apabila hasil kerja mereka dihargai.

8. Lagu ‘Dunia Baru’ Bunkface

Ketika filem BoBoiBoy: The Movie, Animonsta Studios sudah pun bekerja sama dengan Bunkface untuk lagu tema ‘Masih Di Sini’.

Lagu ini sebenarnya mempunyai 2 tujuan.

Satu, adalah sebagai sambutan kumpulan Bunkface yang ke-10 tahun. Kedua, adalah sebagai sambutan BoBoiBoy yang ke-7.

‘Masih di sini’, menggambarkan walaupun telah wujud selama 10 dan 7 tahun, kedua-duanya masih ada dan still going strong.

Dunia Baru

Pada mulanya, lagu ‘Masih Di Sini’ dipilih untuk digunakan dalam BoBoiBoy Galaxy.

Tetapi akhirnya, Animonsta Studios memilih untuk membuat lagu baru bersama Bunkface.

Bunkface menghadapi tugas sukar, kerana misi mereka adalah untuk mencipta satu jingle yang dapat menggantikan jingle asal siri BoBoiBoy.

“BoBoiBoy Galaxy!” jingle dan irama baru oleh Bunkface yang sangat catchy . Sehinggakan hanya satu episod BoBoiBoy Galaxy diperlukan untuk menggantikan irama asal yang telah masuk ke kotak fikiran kanak-kanak selama 6 tahun.

Ternyata, Bunkface pada kelas mereka tersendiri dalam mencipta lagu-lagu yang mudah diingati.

9. Cabaran terbesar

Bersama-sama Safwan berjalan sekitar pejabat baru Animonster Studios. Markas kotak di belakang.
Bersama-sama Safwan berjalan sekitar pejabat baru Animonsta Studios. Markas kotak di belakang.

Apabila ditanya apakah cabaran terbesar dalam menghasilkan BoBoiBoy Galaxy, jawapannya adalah, “Storyline.”

Storyline

Dalam 30 minit, lebih banyak adventur berlaku. Jika sebelum ini BoBoiBoy akan bersambung-sambung, dalam BoBoiBoy Galaxy, setiap misi akan dihabiskan dalam 30 minit.

Ianya adalah lebih sukar ditulis kerana lebih banyak perkara berlaku dalam tempoh lebih singkat.

Teknikal

Teknikal juga memberi cabaran kerana aset baru harus dicipta untuk setiap 3 hingga 4 episod.

Sekiranya dahulu background hanyalah di sekitar rumah, sekolah atau Tok Aba Kopitiam.

Sekarang, setiap 3-4 episod memerlukan planet baru, aset baru, kampung baru, dan karakter-karakter baru.

Terdapat 5 hingga 6 buah planet baru diperkenalkan. Ini belum dicampur lagi dengan stesyen angkasa, asteroid dan kapal angkasa yang akan ditemui oleh BoBoiBoy di tengah-tengah perjalanan.

Terdapat 15 power sphera baru yang harus diselamatkan.

Dan watak-watak baru, termasuk karakter orang kampung, raksaksa dan orang jahat mencecah sehingga 70 orang.

Untuk BoBoiBoy Galaxy, pasukan Animonsta Studios perlukan 3 hingga 4 minggu untuk menyiapkan 1 setengah hingga 2 episod.

Hasil usaha yang diperlukan adalah dua kali ganda daripada siri sebelumnya, malah lebih susah daripada persiapan membuat filem.

10. Adu Du ada lagi?

Satu lagi persoalan terbesar saya, “Adu Du ada lagi?”

Nizam menjawab, “Ada. Dia mula ada dalam bermula episod kedua. Tetapi dia tidak menyebabkan masalah sekerap siri asal.”

“Dari semasa ke semasa, Adu Du akan menjadi sidekick kepada kumpulan BoBoiBoy.”

11. Komik BoBoiBoy Galaxy

Komik BoBoiBoy dalam genggaman.
Komik BoBoiBoy dalam genggaman.

BoBoiBoy Galaxy diilhamkan daripada konten gaya Jepun. Pada masa yang sama, pendiri-pendiri BoBoiBoy juga terinspirasi dengan bisnes gaya Jepun.

Kebiasaaan di Jepun, komik atau manga dibuat dahulu. Kemudian, barulah diadaptasi menjadi sebuah anime.

Di Malaysia, caranya terbalik. Animasi keluar dahulu, dan akan di-screenshot menjadi sebuah komik.

Pada kali ini, Animonsta ingin kembali ke gaya Jepun yang asal.

Oleh kerana skrip sudah siap, Animonsta memperkenalkan komik kepada peminat-peminatnya. Apabila proses animasi dan render siap kelak, bolehlah pula menontonnya di televisyen.

PTS dengan kerjasama Animonsta juga menerbitkan nomics, iaitu spin-off novel komik Detektif Yaya, khas buat kanak-kanak perempuan.

11. Hero dan jati diri

boboiboy-06

Jepun adalah bukti animasi dan komik mampu menjadi pencetus jati diri yang tinggi.

Anak-anak Jepun kini berani mencipta robot sendiri atas pengaruh bahan bacaan seperti Doraemon.

Anak-anak Korea Selatan juga sudah mula mempunyai hero inovasi melalui watak Eddy the Fox dalam animasi Pororo.

Nizam dan pasukannya berbangga kerana dapat mencipta hero kita, hero lokal kita sendiri.

Sebagai orang dewasa, kita nampak ini sebagai perkara kecil. Tetapi untuk anak-anak melihat seorang hero bercakap dalam bahasa mereka sendiri dan melakukan perkara-perkara yang sinonim dengan kehidupan hariannya, ini adalah satu perkara besar.

We create our own hero for the next generation,” kata Nizam.

“BoBoiBoy sekarang, spark confidence. Mungkin dalam projek lain, akan spark innovation.

Imaginasi, bermula hanya daripada satu percikan. Dengan usaha yang berterusan, percikan ini akan terus membesar dan membesar sehingga menjadi bebola api. Akhirnya marak menyala menjulang tinggi tanpa henti.

12. Merchandising

boboiboy-00-merchant

Barangan BoBoiBoy Galaxy sudah pun mula dijual untuk keperluan back to school.

Selepas BoBoiBoy: The Movie, merchandising atau jualan barangan jenama BoBoiBoy menunjukkan peningkatan.

Ada peruncit di pusat membeli belah ternama yang sebelum ini tidak pernah mengambil barangan jenama tempatan, mula menghubungi Animonsta Studios disebabkan barangannya terbukti boleh dijual.

13. Takara Tomy

Lukisan 3d kenderaan Boboiboy Galaxy untuk Takara Tomy.
Lukisan 3d kenderaan Boboiboy Galaxy untuk Takara Tomy.

Satu perkara yang patut rakyat Malaysia berasa bangga adalah pembuat permainan terkenal Jepun, Takara Tomy berminat untuk menghasilkan permainan BoBoiBoy Galaxy.

Ini adalah pertama kali jenama Malaysia mempunyai pemegang lesen dari Jepun.

Takara Tomy akan menghasilkan permainan kenderaan yang akan dinaiki oleh BoBoiBoy dan rakan-rakan.

Adu Du naik Probe pun ada!

It’s such a huge deal!

Pengumpul permainan sudah pasti mengetahui kualiti dan detailing Tomica yang tip-top.

Vocket amat bertuah kerana menjadi yang pertama mendedahkan rahsia eksklusif ini!

Tarikh jualan masih belum diumumkan, dan sekarang permainan ini masih di peringkat rekaan 3D.

Penutup

Kalau Boboiboy sejenis kuih, apakah dia?
Kalau Boboiboy sejenis kuih, apakah dia?

Sebagai penutup, saya akhiri sesi temu bual dengan satu soalan santai.

“Kalaulah BoBoiBoy Galaxy ini sejenis kuih, kuih apakah dia? Dan kenapa?”

Pengarah, Nizam Razak berfikir sejenak lalu menjawab, “Donut. Sebab donut boleh letak macam-macam topping. Donut pun boleh pergi ke peringkat antarabangsa.”

“Macam BoBoiBoy. Dia ada kuasa 3. Dalam movie ada kuasa 7. Dan ada banyak rancangan lain lagi untuk BoBoiBoy pada masa hadapan.”

BoBoiBoy Galaxy boleh ditonton di TV3, pada setiap hari Jumaat jam 5 petang.

BACA: Reviu BoBoiBoy The Movie Daripada Seorang ‘Bukan Peminat’ Filem Melayu