Ditulis Oleh:
Yusri Jamaluddin
January 10, 2017 12:16 PM

Saya singgah ke sebuah sekolah rendah di Lansing, Michigan. Ketika masuk ke kelas, saya kagum kerana seluruh dinding dan papan kenyataan dipenuhi dengan kata-kata semangat berbentuk “I believe“(saya percaya), “I can“(saya boleh) dan “I will“(saya akan).

Sistem pendidikan di Amerika memang menerapkan satu pemikiran yang optimis dalam minda anak-anak kecil mereka di bangku sekolah.

Mereka diajar untuk menggunakan bahasa “I can“, “I will” dan “I believe” dalam suasana pembelajaran mereka supaya terzahir tindakan daripada pembudayaan bahasa tersebut.

Apabila anda melihat, mendengar, dan membudayakan penggunaan bahasa yang optimis, minda separa sedar akan menghadam perkataan tersebut membentuk sikap yang akhirnya membentuk tindakan yang menjadi respon kepada pemikiran tersebut.

Sebab itu kebanyakan mereka ini apabila dewasa menjadi orang yang lantang memberi pendapat, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan berani berpegang kepada pendirian masing-masing walaupun orang lain tidak bersetuju.

Pemikiran sebegini juga telah melahirkan masyarakat yang umumnya meraikan setiap kejayaan walaupun kecil. Kegagalan dilihat sebagai sebahagian daripada proses, bukannya penghalang kepada kejayaan.

Untuk pengetahuan anda, sistem pendidikan Amerika menggunakan pensel daripada sekolah rendah sehinggalah ke peringkat pengajian PhD sekalipun. Falsafah disebaliknya ialah setiap kesalahan boleh dipadam dan diperbaiki.

Budaya startup yang telah melahirkan syarikat seperti Facebook, Tesla, Apple dan banyak lagi syarikat-syarikat ternama semuanya lahir di Amerika, bermula daripada pemikiran dan budaya yang sebegini.

Di Malaysia, saya kira belum terterap budaya sebegini secara menyeluruh. Umumnya masih ramai yang mempunyai rasa pesimis dalam apa jua perkara yang dibuat, tidak kiralah untuk diri sendiri, mahupun untuk orang lain.

Lihat sahajalah kejayaan Faiz Subri di peringkat antarabangsa. Telah menang anugerah dan berdiri sama tinggi dengan atlet peringkat dunia pun masih ada yang pesimis mahu mencari kesalahan sekecil-kecil zarah untuk dikritik.

Jika kita mahu berjaya, kita harus pertama sekali percaya bahawa kita mampu lakukannya. Faiz Subri telah menunjukkan bahawa orang Melayu mampu ke persada antarabangsa dan sepatutnya beliau menjadi inspirasi bagi kita untuk melakar nama masing-masing bagi bidang yang anda ceburi.

Kedua, kita harus sentiasa memberi galakan kepada orang lain. Kejayaan yang kecil jika disertai dengan galakan dan motivasi, mampu membuka pintu bagi kejayaan yang lebih besar.

Manakala apa-apa perkara yang disertai dengan cemuhan pasti tidak akan menggalakkan sebarang respon positif melainkan dendam. Itu teori psikologi yang tak perlu kita rungkaikan pun.

Maka dengan ini saya ucapkan tahniah atas Faiz Subri kerana menghidupkan kembali makna kepada slogan yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri kita, “Malaysia Boleh!”

Baca lagi: Faiz Subri Rangkul Anugerah FIFA Puskas 2016 Di Zurich

Artikel Berkaitan