Buku ‘The Sultan and the Queen’ yang saya tengah usha ini menceritakan kisah tentang keakraban hubungan dan pakatan di antara England dan Turki Uthmaniyyah pada era Ratu Elizabeth I (1558-1603) dan Sultan Murad (1574-1595).

Ya anda tidak silap baca, Khalifah Turki Uthmaniyyah lah yang dimaksudkan. Ketika itu sebahagian besar orang Eropah Barat yang menganut agama Kristian Protestan bukan sahaja tiada sifat Islamophobia (takut pada budaya Islam), malah boleh dikatakan Islamophilia (suka pada budaya Islam).

Mereka kata “Islam lebih dekat dengan Kristian”, “kita (Protestan dan Muslim) penyembah Tuhan yang Esa, Katolik menyembah Triniti”. Orang mula menterjemah dan membaca Al-Qur’an (“Koran”) dan memujinya sebuah kitab yang penuh dengan hikmah. Suka sangat dengan Turki dan Islam punya pasal, orang Eropah mula minum kopi yang merupakan minuman orang Islam (“qahwa”).

Mengapa mereka suka sangat dengan Turki dan Islam? Dan mengapa Turki boleh menjalin hubungan dengan England yang kafir? Kalau waktu itu ada media sosial, akaun Khalifah pasti akan dibanjiri cemuhan seperti “apalah berpakat dengan kafir”, “tak yakin dgn Allah kah”. Keturunan Sultan al-Fatih yang berjaya menawan Constantinople mungkin tidak akan berjaya membalas komen rejimen pahlawan papan kekunci.

Big picture’ di belakang fenomena tersebut ialah Reformasi Protestan yang berlaku 500 tahun yang lalu. Tindakan Martin Luther mengkritik Gereja Katolik dan menyeru Kristian kembali ke ajaran Bible yang murni pada tahun 1517 telah memecah-belahkan Dunia Kristian (Christendom) di Eropah yang pada asalnya bersatu di bawah autoriti Paus (Pope) dan Maharaja Rom Suci (Holy Roman Emperor, HRE).

Gerakan Protestan memberi peluang kepada negara-negara yang sudah lama tidak puas hati dengan HRE (banyak di utara Jerman dan Belanda) menganut Protestan dan menuntut kemerdekaan.

Elizabeth memberi sokongan kepada Belanda untuk merdeka dari Sepanyol yang Katolik, atas nama solidariti Protestan. Maka Sepanyol mengiystiharkan perang ke atas England. Eropah ketika itu huru hara seperti Timur Tengah hari ini.

Uthmaniyyah yang ingin memperluaskan wilayah ke Eropah Timur (yang bersempadan dengan HRE) mula mengambil kesempatan ke atas ‘krisis geopolitik’ ini.

Seawal 1520-an, Khalifah Sulaiman I (memerintah dari 1520-1566) telah memeterai kerjasama dengan Raja Francis I dari Perancis untuk memerangi HRE. Walaupun Perancis negara Katolik, namun Francis melihat HRE sebagai ancaman kerana mengepungnya dari 2 arah (Jerman dan Sepanyol).

Jadi, Uthmaniyyah akan membantu Perancis keluar dari kepungan tersebut dengan menyerang HRE dari arah timur. Kerjasama Murad dan Elizabeth juga bertujuan untuk melemahkan kuasa laut Sepanyol.

Maka, England dan Belanda mula menggunakan macam-macam alasan untuk meyakinkan rakyat mereka tentang kerjasama dengan ‘infidel’. Malah di Belanda ada slogan ‘Liever Turks dan Paaps’ (lebih baik Turki dari Paus).

Dulu mereka menjadi Islamophilia kerana tujuan politik, hari ini mereka menjadi Islamophobia pun kerana politik. Jangan kita sesekali terpedaya dengan dakwaan ‘pertembungan tamadun’, ‘pertembungan agama’ dan sebagainya.

Umat Islam dulu pandai memanipulasi orang kerana celik geopolitik, umat Islam hari ini pula mudah dimanipulasi kerana jahil geopolitik. Eropah dulu adalah simbol mundur, lemah, fanatik sementara orang Islam adalah simbol maju, kuat, rasional. Keadaan hari ini terbalik. Ingin Muslim kembali jadi kuat? Maka kita perlu meneliti balik ilmu geopolitik dan diplomasi yang telah tenggelam oleh zaman.

Baca lagi: Perang Dunia Belum Bermula Dengan Pembunuhan Duta Rusia Ke Turki