Dari kecil, lelaki ini sudah berniaga.

Diajar oleh bapa sendiri untuk berdikari, lelaki ini mula berniaga kacang ketika bersekolah rendah untuk mencari wang sendiri. Ibu beliaulah yang membungkus kacang goreng dan kacang putih pedas.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Lelaki yang diberikan nama Nor Mohd Hafiz Mansor atau lebih dikenali sebagai Hafiz Mansor menjual kacang-kacang pada harga 20 sen ketika masih kecil.

10 sen diberi kembali kepada ibunya, manakala 10 sen lagi digunakan sebagai belanja hariannya.

Minat beliau berniaga berterusan sehingga darjah 6, sekolah menengah dan sehinggalah ke politeknik.

Berbagai-bagai jenis perniagaan beliau lakukan seperti jual kad, MLM dan burger. Ada yang mendapat sambutan dan ada yang gagal.

Fasa hidup beliau ketika ini ada diceritakan panjang lebar dalam e-book beliau bertajuk “Bagaimana Bankrup Menjadikan Aku Kaya”.

Tamat Belajar

Hafiz tamat belajar pada tahun 2006. Semasa sedang menunggu peluang pekerjaan, beliau melukis komik secara sambilan untuk Majalah JOM. Gajinya bergantung kepada hasil kerja, dan secara purata beliau mendapat hanya RM400 sebulan.

coolhijab-07

“Aku tak kisah sangat gaji sikit sebab aku percaya gaji akan meningkat naik kalau kita rajin,” katanya bersahaja. Akan tetapi jodoh beliau di Majalah JOM juga tidak panjang, kerana tidak berapa lama kemudian penerbitan itu ditutup.

Pelbagai kerja beliau lakukan selepas itu untuk menyara hidup. Salah satunya adalah sebagai pelayan di Restoren Ani Sup Utara.

Ketika bekerja, dia diketawakan oleh rakan-rakannya.

“Ada diploma. Last-last kerja dengan kita yang tak belajar. Hahahahahahaha koh koh kohh,” gelak kawannya.

Kejam.

Hikmah Rajin Bekerja

Hafiz tidak mempedulikan kata kawan-kawannya. Beliau terus bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Rupa-rupanya ada mata yang memerhati.

Seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Encik Malek dan bertanya beberapa soalan kepadanya.

“Aku dah lama perhatikan cara kau bekerja, cara kau layan pelanggan. Aku nak ambil kau bekerja dengan aku,” katanya.

Encik Malek menawarkan pekerjaan di kedai handphone dengan gaji asas RM500 dan tempat tinggal.

Pada mulanya, Hafiz menolak kerana beliau tidak sanggup meninggalkan rakan-rakan baik yang menyewa rumah dengannya sekarang.

Tetapi setelah 3 kali Encik Malek memujuk, akhirnya Hafiz beralah.

Encik Malek Ajar Bisnes

Hafiz bekerja bersungguh-sungguh sehingga menjadi orang kepercayaan.

Encik Malek mengajar Hafiz tentang bisnes.

Dari satu kedai, perniagaan mereka berkembang ke cawangan yang baru. Hafiz juga dilantik sebagai pemegang saham di cawangan baru ini.

coolhijab-08

Hafiz rajin bekerja sehingga akhirnya berjaya membuka 2 lagi cawangan.

Dirudung Awan Mendung

Awan mendung mula datang apabila Hafiz mula belajar mengambil pinjaman perniagaan.

Perniagaan semakin berkembang, jualan sudah mencecah 6 angka sebulan. Dengan profil kewangan yang baik, beliau memohon pinjaman untuk mengembangkan perniagaan.

Proses memohon tidak mudah. Beliau terpaksa memohon dua lagi pinjaman, iaitu pembiayaan kereta dan pinjaman mikro (RM10 ribu) untuk mendapatkan pinjaman pertama yang bernilai RM50 ribu.

Pada mulanya pinjaman-pinjaman ini diuruskan dengan baik.

Encik Malek juga menjual pegangan sahamnya kepada Hafiz untuk mengusahakan perniagaan lain.

Tetapi yang benar-benar membuat Hafiz terjerat adalah apabila beliau dan rakan-rakan memulakan perniagaan kereta sewa. Hutang baru diambil atas nama Hafiz.

Hafiz mula gali lubang tutup lubang. Pendapatan duit sewa kereta tidak diterima. Duit jualan kedai handphonenya mula digunakan untuk membayar hutang kereta.

Cashflow masih tidak cukup. Ada kedai yang terpaksa dijual.

Hafiz tidak selesa dengan keadaan ini dan membuka satu demi satu usahasama baru untuk menutup ketidakcukupan yang berlaku. Tiada satupun benar-benar berjaya.

Muflis Dan CoolHijab

Sehinggalah beliau mula mengusahakan CoolHijab. Itu pun kesilapan demi kesilapan berlaku sehingga memakan wang-wang terakhir yang beliau ada.

Pihak bank telah lama memanggil beliau, meminta beliau menjelaskan pinjaman.

coolhijab-12

Ketika sedang sibuk mencari duit melalui CoolHijab, beliau dimufliskan akibat hutang-hutang lama.

Beliau menjadi sangat stres, kerana tidak berupaya menjelaskan hutang-hutang beliau on time.

Selepas muflis, langkah Hafiz terhenti. Beliau sedih dengan apa yang berlaku. Kekasih yang disayangi meninggalkan dia. Hafiz menangis.

Setelah seminggu, Hafiz tersedar, ini bukanlah cara yang sepatutnya. Akhirnya Hafiz berhenti bersedih dan keep hustling on!

Produk beliau benar-benar menyelesaikan masalah-masalah rambut dan kulit khas buat wanita berhijab. Ini menyebabkan produk CoolHijab semakin diterima ramai.

Dari 1000 buah kotak, jualan meningkat ke 3000, 5000 buah kotak sebulan dan seterusnya.

Jualan mencecah 6 angka dalam masa 3 bulan. Beliau juga mula menarik perhatian media massa.

coolhijab-10

Syarikat berpindah operasi ke pejabat yang lebih selesa. Hafiz juga mula membeli kereta yang lebih selesa.

Jika semua berjalan lancar, beliau bercadang keluar daripada kemuflisan pada tahun ini.

Dikecam Netizen, Facebook Di-Block

Hafiz dikenali ramai sebagai orang yang suka berjenaka dan bersatira.

3 minggu yang lepas, beliau menulis tentang negeri tempat tumpah darahnya, Perlis dalam gaya beliau yang lucu tetapi pedas.

coolhijab-11

Ramai yang menyangka beliau cuba memperlekehkan Perlis.

Hakikatnya, sebagai anak tempatan, beliau sedih melihat Perlis tidak dibangunkan seperti negeri-negeri lain.

Penulisan beliau menyebabkan beliau dikecam dan dipulaukan warga netizen.

Ramai yang ‘report’, sehingga Facebook beliau di-‘block’.

CoolHijab Dan Pengiktirafan Antarabangsa

Walau apa pun yang berlaku, Hafiz dan pasukannya jalan terus.

Facebook beliau kini sudah aktif kembali.

Beliau terus berusaha membangunkan syarikat.

Terbaru, CoolHijab produk syarikat Dyazara Secret Marketing memenangi Gold Medal 2016 Japan Design & Invention Expo-JDIE yang berlangsung di Jepun pada 26-28 Ogos 2016.

coolhijab-medal

Turut dicalonkan pada pertandingan itu adalah 1400 penyertaan lain dari seluruh dunia dalam pengkelasan jenama dan inovasi tersendiri.

CoolHijab bukan sahaja memenangi anugerah di atas, tetapi juga satu Anugerah Khas dari Poland yang diberi nama International Innovation Achievements – Haller Pro Inventio Foundation.

Pasukan CoolHijab dianggotai oleh Hafiz Mansor, Mohamed Zarimi Mohamed Zahidi, Azinuddin Che Mud dan Professor Madya Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah dari UniMap Perlis.

Anugerah disampaikan oleh Mr. Hsieh Hsin-Ming dari World Invention Intellectual Property Associations.

coolhijab-09

2 anugerah, bertanding dengan ribuan produk antarabangsa, oleh anak tempatan kita sendiri.

Syabas bette! Syabas! Hafiz Mansor dan pasukan CoolHijab, anda mencapai sesuatu yang luar biasa. Kami berbangga dengan anda!

Semoga lebih ramai anak muda mencontohi sikap hustle on dan inovasi pasukan hebat ini.

Kisah yang kami ceritakan ini adalah ringkasan hidup Hafiz Mansor yang telah dipendekkan dengan sangat ekstrim.

Dapatkan cerita penuh beliau dalam sebuah ebook 400 halaman bertajuk “Bagaimana Bankrup Menjadikan Aku Kaya” di sini.

coolhijab-05