Dewasa ini couchsurfing bukan lagi satu perkara yang asing di kalangan mereka yang gemar mengembara secara backpacker. Ditambah couchsurfing merupakan antara platform yang menghubungkan mereka yang mempunyai minat yang sama dari serata dunia – kembara.

Di sini saya ingin kongsikan apakah misi dan aktiviti yang telah kami lakukan bagi merancak dan menghubungkan traveller tempatan dan dari luar negara melalui Couchsurfing Penang.

Apa itu ‘Couchsurfing’?

Couchsurfing adalah satu perkhidmatan kemudahan dan penginapan antarabangsa percuma yang cuma dijalankan secara atas talian. Pengasasnya adalah Casey Fenton dan berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat.

Konsepnya sangat mudah. Bila anda mengembara ke sesebuah negara, anda boleh meminta untuk tinggal di kediaman mereka secara percuma. Selain itu, anda juga boleh berjumpa dengan orang tempatan atau pengembara lain dengan menggunakan website ini juga.

Kita juga boleh membenarkan pengembara dari luar untuk tinggal di kediaman kita atau bagi yang tidak mempunyai ruang di kediaman, anda juga boleh berjumpa dengan mereka dan membawa mereka melihat bandar anda atau menikmati makanan tempatan.

Laman web ini membenarkan anda untuk memilih fungsi mana yang anda suka. Tapi suka saya nyatakan di sini, bagi sesiapa yang ingin atau cuma mencari tempat tinggal percuma, baik jangan menggunakan Couchsurfing.

Ini bukan objektif sebenar couchrufing. Dalam couchsurfing, kita mencari seseorang yang ingin berkongsi budaya mereka kepada orang lain atau dalam erti kata lain hospitality and culture exchange.

Saya telah menjadi ahli sejak 4 tahun lepas dan di Pulau Pinang saya telah ‘host’ lebih 150 pengembara dari seluruh dunia. Begitu juga bila saya keluar mengembara. Hampir semua pengembaraan saya menggunakan ‘couchsurfing’.

Saya sangat gembira apabila bertemu dengan orang tempatan yang boleh memberitahu kita tentang bandar mereka, dari kaca mata orang tempatan. Saya juga telah menghadiri banyak ‘meet up’ di beberapa negara luar seperti, England, France, Belanda, Sepanyol, Jepun, Korea, dan lain-lain lagi.

Di Pulau Pinang, kami mempunyai satu kumpulan Couchsurfing yang sangat kuat dan aktif dalam mempromosikan Pulau Pinang. Semua sedia maklum yang Pulau Pinang sememangnya terkenal dengan makanan tempatan yang terbaik di dalam negara.

Sebut saja apa yang anda hendak makan, semua ada. Dari Nasi Kandar Dean Maju sampai la ke sarapan di Taman Tun Saadon. Selain makanan, Pulau Pinang juga menyediakan tempat-tempat menarik yang sememangnya terkenal dengan sejarahnya tersendiri seperti, Kek Lok Si Temple, Bukit bendera dan lain-lain lagi. Antara aktiviti-aktiviti yang kami perkenalkan adalah seperti:

1. Perjumpaan Mingguan

Kami mengadakan ‘weekly couchsurfing meet up’ di Georgetown. Setiap minggu kami boleh lihat pelbagai bangsa yang datang dari negara yang berbeza. ‘Weekly meet up’ akan diadakan di tempat atau café yang berbeza setiap minggu.

Anda boleh melihat ‘event’ di dalam www.couchsurfing.com. Semasa ‘meet up’, kami akan kongsikan beberapa tips tentang Pulau Pinang dan aktiviti menarik yang boleh mereka sertai.

Selain itu, kami menggunakan ‘weekly meet up’ ini sebagai platform untuk menyatukan orang tempatan dan orang luar. Atau bagi yang mengembara solo anda tidak perlu risau kerana berdasarkan pengalaman saya dalam ‘Couchsurfing Penang’, anda tidak akan pulang tanpa mengenali ssesiapa. Itu janji saya. Tanya apa saja semasa ‘meet up’, kami akan menolong anda.

2. ‘Couchsurfing Penang’ Facebook Group

Kami telah menubuhkan Facebook group 2 tahun lepas. Sehingga kini group tersebut telah mempunyai lebih 2 ribu ahli dari berbagai pelusuk dunia. Tujuan kami memperkenalkan group ini adalah untuk membantu pengembara lain mendapatkan maklumat mengenai Pulau Pinang serta  membina hubungan antara orang tempatan dan pengembara dalam dan luar negara.

Facebook group ini bukanlah tempat untuk membuat ‘request couch’. Kami juga menggunakan facebook group bagi berkongsi aktiviti yang sedang berlangsung di Pulau Pinang atau aktiviti akan datang.

Segala gambar yang diambil semasa aktiviti yang dianjurkan jugak akan dikongsi di sini. Anda boleh lihat segala macam dan ragam kami dalam facebook group ini. Terima kasih kepada Rohan dan Harn yang tidak pernah penat menjadi jurugambar kami. Boleh lawati FB group Couchsurfing Penang di pautan ini.

3. Instagram

Kami juga mempunyai Instagram ‘Couchsurfing Penang’ untuk terus mendekatkan Couchsurfing Penang dengan pengembara luar. Ini antara laman sosial yang popular di masa. Sila sertai kami di IG ‘CouchsurfingPenang’.

4. Memperkenalkan aktiviti- aktiviti tempatan. Antaranya:

(i) Ahli membawa pengunjung luar ke majlis kenduri tempatan. Ini salah satu aktiviti yang sangat disukai oleh pengunjung luar negara. Selain menikmati makanan tempatan yang sedap, mereka juga dapat melihat budaya tempatan.

Kadang-kadang, anda boleh lihat pengunjung luar menggayakan pakaian tempatan yang sangat segak dan cantik.

(ii) Membawa pengunjung menikmati makanan tempatan. Biasalah, siapa yang tidak tahu Pulau Pinang mempunya tempat makanan terbaik di Malaysia. Jadi, aktiviti wajib kami dalam ‘Couchsurfing Penang.

Aktiviti yang paling terkenal adalah MAKAN. Setiap kali kami bertemu, mesti makanan adalah topik yang penting. Kadang-kadang, sampai bergaduh mencari tempat makanan yang terbaik.

Seorang ahli kami, Masz telah meletakkan satu usaha keras menggumpulkan tempat-tempat makan yang terbaik di Pulau Pinang. Sebenarkan ‘couchsurfing penang’ memang hebat dalam memberi tips dalam bidang makanan di Pulau Pinang atau kadang-kadang sampai tempat-tempat makanan di luar Pulau Pinang.

(iii) Membawa pengunjung ke kawasan-kawasan kampung untuk melihat keindahan di luar bandar. Salah seorang yang selalu membawa pengunjung ke kampung-kampung adalah Ikhwan.

Dengan menggunakan motor beliau membawa mengujung melihat keindahan Balik Pulau, Bukit Genting, Pasir Panjang dan beberapa tempat di luar bandar. Walaupun beliau sibuk belajar tapi dengan semangat couchsurfing, beliau sempat meluangkan masa membawa pengunjung.

(iv) Menganjurkan ‘city tour’. Kami jugak membawa pengunjung-pengunjung melihat sekitar tempat menarik disekitar Georgetown dan ada juga yang menggunakan basikal untuk melihat keindahan tempat bersejarah di Georgetown.

(v) Menganjurkan aktiviti kemasyarakatan. Dalam kita berseronok dan bergembira, ingatlah ada lagi orang di luar sana yang berduka dan memerah keringat mencari sesuap nasi. Jadi, kami di ‘couchsurfing’ Penang tidak melupakan mereka.

Di bulan Ramadan yang mulia, kami anjurkan ‘feeding the homeless’ dengan berjalan di sekitar lokasi yang dikenalpasti untuk mengedarkan bungkusan makanan. Selain itu, aktiviti kemasyarakatan lain dilakukan di luar bulan Ramadan.

(vi) Menganjurkan aktiviti kesukanan. Selain makan yang menjadi aktiviti tradisi dan wajib, kami juga menjaga kesihatan perut dan badan kami. Kami ada juga menganjurkan aktiviti sukan seperti badminton, bowling dan rock climbing.

(vii) Menganjurkan aktiviti di luar Pulau Pinang. Kami juga tidak ketinggalan membawa pengunjung-pengunjung ke lokasi di luar Pulau pinang. Tahun lepas, kami menganjurkan perkhemahan di Pulau Songsong, Yan kedah. Aktiviti diadakan selama 2 hari 1 malam.

Ini merupakan salah satu pengalaman yang menarik di tahun 2016. Kami turut mengadakan BBQ, games, dan lain-lain lagi. Baru-baru ini Ikhwan dan Serry telah menganjurkan road trip to Taiping selama  2 hari 1 malam untuk melihat keindahandi  luar bandar Perak.

(viii) Mengadakan potluck. Satu lagi aktiviti makan yang kami semua pasti akan buat setiap kali ada festival di Malaysia ini. Potluck bererti, setiap orang membawa makanan masing-masing dan makan bersama-sama.

Tanpa mengira apa latarbelakang agama, bangsa, negara dan bahasa, kami duduk semeja makan dan gelak ketawa. Sebab kegembiraan itu sangat senang untuk di cari bagi orang yang mahu mencarinya.

5. WhatsApp

Orang yang pertama memperkenalkan ‘Whatsapp for traveler’ adalah Kla. Kla digelar ‘emperor’ oleh kami semua. Dialah yang aktif mencari contact untuk di ‘add’ dalam WhatsApp group.

Apa fungsi ‘whatsapp’ ini? Kami menggunakan ‘Whatsapp’ ini untuk berkomunikasi dengan ‘traveler’ yang sudah pun berada di Pulau Pinang atau yang akan datang ke Pulau Pinang.

Mereka boleh bertanya apa-apa saja soalan seperti tempat penginapan (jika mereka tidak dapat mencari ‘host’ di sini), pengangkutan awam, tempat-tempat menarik untuk dilawati, tempat-tempat makan menarik dan apa-apa saja.

Ini dapat menjimatkan masa dari mencari di Google dan mencari dalam lonely planet. Tapi WhatsApp tidak boleh digunakan untuk mencari ‘host’.

6. TED Talk

Tahun 2016 adalah tahun yang manis buat Couchsurfing Penang. Kami diberi peluang yang mana sudah lama kami nantikan. Kami dijemput oleh pihak ECO untuk berkongsi cerita sebagai couchsurfer.

Rohan diberi kepercayaan untuk menceritakan kisah dan pengalaman beliau sebagai ‘host’ dan ‘surfer’. Ini salah satu peluang yang menarik untuk mempromosikan lagi couchsurfing kepada warga Pulau Pinang.

Terima kasih diucapkan kepada Masz yang telah membuat kad nama untuk diedarkan kepada penonton. Ikhwan telah menyiapkan 1 video khas ‘Couchsurfing Penang’. Harn sebagai jurugambar. Maklum balas yang kami terima sangat positif. Harap kami terus diberi peluang di masa hadapan.

7. Sharing session

Ini aktiviti baru yang kami harap akan membawa satu lagi lembaran baru pada tahun 2017. Hujung tahun 2016 kami telah mula menganjurkan sesi perkongsian ini.

Kami memberi peluang kepada orang tempatan yang pulang dari luar negara dan yang telah mengembara di luar negara untuk berkongsi pengalaman mereka mengembara di negara orang dengan pelbagai suka dan duka.

Serry telah menjadi orang yang pertama berkongsi pengalamannya mengembara dengan basikal selama 3 bulan di Eropah. Setiap bulan kami mencari sesiapa saja yang ingin berkongsi kisah pengembaraan mereka. Ini termasuk pengunjung luar dan penyertaan serta perkongsian mereka sangat dialu-alukan.

Sesungguhnya kami semua sangat gembira menganjurkan bermacam-macam aktiviti bagi terus mempromosikan Pulau Mutiara dan juga Couchsurfing Penang. Walaupun kami tidak dibayar 1 sen pun untuk semua ini tapi atas dasar minat, kami akan terus mempromosikan ‘Couchsurfing Penang’.

Saya bangga mempunyai satu ‘team’ yang sangat kuat dan boleh bekerjasama. Kami semua seperti satu keluarga yang besar yang saling bantu membantu antara satu sama lain tidak kira apa agama, bangsa dan bahasa. Teruskan semangat ini kawan-kawan di Penang.

Saya ingin kongsikan beberapa tips menjadi seorang ‘host’ bagi yang berminat menjadi ‘host’ di Couchsurfing:

1. Pastikan anda mempunyai niat yang baik bila menyertai Couchsurfing

Niat untuk membantu orang lain, berkongsi budaya kita kepada orang luar, mempelajari benda baru dalam hidup. Saya selalu meletakan diri saya di tempat setiap ‘traveler’. Saya tahu kesusahan orang yang travel gaya backpack.

2. Lengkap profile anda

Semua profile mesti di huraikan secara detail. Ini penting baru orang luar bila mereka membaca profile anda. Kalau boleh sertakan sekali gambar anda, dan ‘couch’ yang anda tawarkan.

3. Mesti ada undang-undang dalam rumah

Jangan selepas pengunjung dah balik, kita mula komplen. Saya tetapkan undang-undang dalam rumah saya, contohnya tidak boleh merokok dalam rumah, tidak boleh bawa alkohol dalam rumah. Anda mesti memberitahu secara jelas dalam profile anda apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

4. Mesti memberi penerangan secara jelas apabila tetamu anda tiba

Luangkan masa 10 minit memberitahu kepada mereka apa yang boleh buat dan apa yang tidak boleh dibuat walaupun anda telah pun menerangkan secara jelas dalam profile.

Ingatlah, mereka telah meredah ke sana sini dan ada yang hitchhike semata-mata hendak ke rumah anda. Mungkin mereka lupa apa yang mereka baca di profile anda. Tunjuk bilik air di mana, dapur, mesin basuh, TV atau wifi.

Apa barang yang boleh dimakan di dapur dan apa yang tidak boleh dimakan. Mungkin makanan dalam peti sejuk itu kepunyaan kawan anda, jadi beritahu saja yang mereka tidak boleh menyentuh barang-barang tersebut.

5. Memberi penerangan tentang kawasan setempat

Jikalau anda sibuk sekalipun, luangkanlah masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk menceritakan keadaan sekeliling rumah anda, di mana mereka boleh membeli makanan, bas ke bandar dan kedai runcit.

Saya telah mengambil beberapa ‘brochure’ di lapangan terbang tentang Pulau Pinang, jadi saya akan berikan kepada tetamu saya untuk panduan mereka seperti peta dan tempat-tempat menarik.

6. Jangan host kalau anda sibuk

Ini akan memberi perspektif yang buruk kepada orang luar. Bagi saya, bila kita menerima tetamu, sekurang-kurangnya luangkanlah masa dengan mereka ntuk berkongsi cerita, mendengar cerita meraka dan mungkin mereka juga ingin mendengar cerita kita.

Tidak guna kalau kita ‘host’ mereka tapi tengok muka pun tidak disebabkan kita sibuk. Lebih baik mereka tinggal di hostel. Saya faham ada beberapa orang yang ‘request’ tempat tinggal sebab mahukan tempat percuma. Tapi tidak semua macam itu.

Lagipun kita tidak tahu benda baik itu bila akan datang. Hari ini kita tolong orang, mungkin esok lusa orang tolong kita atau saudara-mara kita. Kadang-kadang sya juga sibuk dengan kerja. Tapi bagusnya sebab saya kenal couchsurfer lain di Pulau Pinang, jadi saya hubungkan tetamu saya dengan couchsurfer lain dan mereka boleh ‘enjoy’ Pulau Pinang bersama-sama.

7. Tidak semestinya perlu ada bilik kosong untuk tetamu

Ramai ‘traveler’ tidak mengharapkan bilik tidur yang mewah, cukuplah sekadar tempat untuk berteduh. Di atas lantai di ruang tamu depan TV pun boleh sebenarnya. Semasa saya di Dresden, German, host saya sudah maklumkan awal-awal yang beliau tidak mempunya bilik kosong dan cuma ada lantai bersih untuk tidur. Tetapi beliau akan sediakan selimut, bantal dan sebagainya.

8. Sambutlah tetamu anda dengan senyuman

Kita orang Asia penuh dengan adab dan sopan. Jadi lontar senyuman terbaik anda apabila menerima tetamu anda agar rasa penat mereka pun hilang. Anda tetamu saya yang hitchhike dari Thailand ke Pulau Pinang, basah kuyup dan peluh melimpah ruah. Apabila melihat senyuman kita, hilang jugalah penat mereka.

Tips menjadi surfer

Antara tips untuk menjadi ‘surfer’ atau ‘request a couch’ bila anda mengembara adalah:

1. Mesti membaca profile host sebelum request

Ini penting. Ada host yang meletakkan beberapa kod atau kata kunci dan mereka mahukan kita meletakkan kod itu dalam request.

Jadi bila anda request, anda nyatakan beberapa info dalam profile mereka. Contohnya, mereka pernah ke Malaysia, jadi nyatakan dalam request anda seperti,

“You have been to Malaysia, I’m sure Malaysia treated you well with nice hospitality and great food. I would like to hear your experience traveled to Malaysia.”

2. Jangan sesekali ‘copy paste’ request

Tersalah ‘copy paste’ mungkin kita tersalah letak nama host itu. Ini terjadi kepada saya dan beberapa couchsurfer di Penang. Ada beberapa request yang saya terima tapi tidak request atas nama orang lain.

3. Memberi pengenalan diri

Contohnya nama anda, dari mana, berapa lama mengembara, tujuan mengembara, ceritalah sikit pasal bandar atau kampung anda. Tidak semua orang tahu di mana Malaysia itu.

4. Kenapa anda sertai Couchsurfing

Mesti beritahu kenapa anda sertai couchsurfing dan kenapa anda patut diterima sebagai ‘guest’ di rumah mereka. Apa yang anda boleh tawarkan. Contohnya, anda boleh masak masakan melayu atau berkongsi cerita menarik daripada pengalaman travel anda.

5. Boleh berikan akaun media sosial atau nombor telefon

Jika anda mahu mereka menghubungi anda, anda juga boleh letak akaun Facebook atau nombor telefon. Atau bagi yang mempunya blog atau Instagram, nyatakan jugak dalam request anda, jadi mereka boleh lihat perjalanan trip anda.

Kadang-kadang saya dapat jugalah maklum balas dari kawan-kawan saya yang mereka susah hendak dapatkan host bila travel. Jangan kecewa, teruskan mencuba. Sebenarnya bila dapat host itu adalah satu bonus apabila kita mengembara.

Jangan letakkan harapan yang tinggi setiap kali kita ‘request’. Teruskan positif. Bukan hanya dengan Couchsurfing kita dapat berhubung dengan orang tempatan atau berjumpa dengan orang lain apabila travel. Ada bermacam-macam cara lagi.

Kadang-kala bila tinggal di hostel kita boleh dapat kawan atau ‘travel partner’. Janganlah buat sombong, rajin-rajin lah tegur orang. Kadang-kadang bila orang lain bersin dan kita cakap ‘bless you’ juga boleh menghasilkan kawan. Percayalah, semuanya bergantung kepada kita.

Good Luck. Jangan lupa sertai Facebook Group Couchsurfing Penang.