CEO syarikat pembayaran kad kredit Gravity Payments, Dan Price berasa dia harus melakukan sesuatu untuk menangani ketidak-seimbangan pendapatan (income inequality).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tiga minggu lalu, Dan Price mengurangkan gajinya sebanyak USD $930,000 setahun.

Isu ketidak-seimbangan pendapatan yang semakin meningkat telah berada dalam fikiran Dan Price buat berbulan-bulan lamanya. Sehinggalah suatu petang semasa sedang mendaki bukit sambil berbual bersama-sama dengan rakannya, beliau mendapat tahu rakannya itu bergelut dengan kenaikan harga sewa rumah, dan sedar yang beliau harus melakukan sesuatu untuk pekerja-pekerjanya sendiri.

Price mengambil keputusan untuk menaikkan gaji minima ke tahap USD $70,000 setahun. Sebelum kenaikan itu, purata gaji di Gravity Payments adalah USD $48,000 setahun. Kenaikan gaji ini melibatkan 70 orang pekerja, dengan 30 daripadanya mendapat 2 kali ganda dari gaji asal.

Kenaikan ini dapat berlaku disebabkan pengurangan gaji Price, iaitu USD $70,000 setahun berbanding USD $1 Juta sebelumnya. Selain itu, kenaikan gaji pekerja-pekerja juga akan ditampung oleh jangkaan keuntungan buat tahun ini iaitu sebanyak USD $2.2 Juta.

“Ketidak-seimbangan pada masa kini adalah lebih teruk berbanding Great Recession,” Dan Price berkata. “Saya telah berfikir tentang hal ini dan berpendapat – inilah masanya. Saya tidak boleh melalui hari baru tanpa melakukan sesuatu tentang perkara ini.”

Penurunan gaji ini tidak akan memberi impak besar kepada kehidupan Price. Beliau telah menabung sejak memulakan Gravity pada tahun 2004. Beliau juga berkata beliau tidak bercadang untuk mengganti kereta Audi beliau yang berumur 12 tahun. Dan juga berkata beliau masih mampu untuk belanja kawan-kawan sebulan sekali dengan gaji baru beliau.

Daripada melihat ini sebagai hal kebajikan, Price melihat tindakan ini sebagai satu pelaburan. Mengikut teori beliau, pekerja akan lebih bermotivasi disebabkan gaji yang lebih tinggi yang akhirnya akan menarik lebih banyak perniagaan dan menyebabkan pengendalian pelanggan menjadi lebih baik.

“Ini adalah satu penyelesaian kapitalis kepada masalah sosial,” kata Price. “Saya fikir ia akan berbaloi, saya benar-benar fikir begitu.”

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram