Sebelum ini ramai orang berkongsi gambar-gambar sebelum dan selepas penggunaan CGI dalam filem Desolasi. Kali ini, saya mahu ketengahkan kisah selanjutnya berkenaan mereka yang bertanggungjawab dengan CGI filem ke-2 Skop Production yang menggunakannya.

Buat pengetahuan anda, 60 hingga 70 peratus babak-babak Desolasi menggunakan CGI. Ia dilakukan oleh sekumpulan anak muda yang meminati CGI secara serius sejak 2013 lagi.

Dalam video di sebalik tabir, pihak produksi menyatakan mereka turut menerima dana CGI dari Finas bagi menampung sebahagian kos filem ini kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Dana ini telah membuka ruang dan peluang kepada pengkarya filem dan anak tempatan untuk hasilkan visual yang lebih bermutu dengan kesan-kesan khas yang lebih mencabar.

Di kesempatan ini, saya telah menemubual Dinie Shuhaimi, salah seorang ahli Team Viper Studios Sdn Bhd yang membuat CGI bagi filem Desolasi. Ikuti temubual kami di bawah ini.

Apa Itu CGI?

CGI (Computer-Generated Imagery) adalah proses melibatkan digital dan komputer. Sebenarnya lebih umum dikenali sebagai “Visual Effects” ataupun VFX. Sebab ada juga proses VFX yang tidak memerlukan teknologi digital.

Proses VFX adalah proses dimana sesuatu shot dimanipulasi dengan menggunakan pelbagai cara untuk menghasilkan imej apa yang kita mahukan.

Industri filem sangat memerlukan teknik ini sekiranya sesuatu filem mahukan shot yang mustahil untuk dilakukan ketika penggambaraan serta untuk menambah lagi impak pada sesuatu shot.

Di Sebalik CGI Desolasi

VFX dalam filem Desolasi ini dihasilkan oleh syarikat Viper Studios Sdn Bhd. Sebuah syarikat yang ditubuhkan pada awal tahun 2013 yang diasaskan oleh Syafiq Yusof, saya (Dinie Shuhaimi) dan seorang lagi rakan yang bernama Nazrul Afifi. Syarikat ini menyediakan perkhidmatan dalam penghasilan visual effects, graphics dan filem.

Kami terdiri daripada orang-orang yang mempunyai minat dalam bidang ini. Kami pernah menghasilkan VFX dalam filem Abang Long Fadil dan beberapa projek lain.

Sebelum tertubuhnya syarikat ini, ada juga diantara kami yang sudah berpengalaman menghasilkan filem-filem yang lain. Kami juga ada pelajar praktikal dan support team yang terdiri daripada freelancer.

Belajar Tentang CGI

Team kami pernah terlibat dengan beberapa filem dan projek sebelum ini. Jadi, banyak pengalaman yang kami pernah lalui, malah sampai sekarang kami masih mengumpul pengalaman. Ini kerana pengalaman antara cara pembelajaran yang efektif dalam bidang ini.

Dari segi pendidikan, sejujurnya agak sedikit pendidikan formal di Malaysia mengetengahkan bidang ini. Kebanyakan VFX Artist belajar sendiri daripada pelbagai sumber. Antaranya buku, internet, mentor, dan pengalaman.

Namun, apabila ada sesuatu request VFX yang baru atau lain daripada biasa, kami akan buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk pastikan shot tersebut mampu dibuat. Kadang-kadang VFX juga melibatkan sains dan matematik.

Cabaran Dalam CGI Desolasi

Sebenarnya banyak cabaran dalam pembikinan CGI Desolasi. Kalau nak list tak muat. Antara cabaran paling besar adalah shot-nya terlampau banyak dan rumit melebihi kemampuan pekerja. Lebih-lebih lagi apabila kami mendapat kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja. Jadi kami perlu bekerjasama dengan beberapa freelancer dan team support.

Selain daripada itu kami juga menghadapi kesukaran untuk sebahagian shot yang berat dan rumit disebabkan komputer yang tak dapat menampung berat kerja. Kerja 10 minit boleh jadi sejam disebabkan lack (sangkut-sangkut). Yang ini memang tak boleh nak buat apa-apa. Paling-paling pun upgrade komputer sikit. Tapi masih tak cukup.

Tidak Puas Hati Dengan Hasil

Sudah tentu masih tidak berpuas hati. Selagi tidak ke tahap Hollywood selagi itu tak puas hati. Tapi kita kena realistik. Kadang-kadang kami mungkin tahu bagaimana Hollywood boleh buat sehebat itu.

Tapi dari segi pelaksanaan memang tidak realistik jika dibandingkan dengan kemampuan kami dari segi kos, tenaga kerja, mesin dan lain-lain.

Apa yang mampu kami buat, kami akan sentiasa belajar dan update dengan teknologi semasa serta belajar daripada pengalaman dan kesilapan lepas supaya hasil dapat jadi lagi bagus pada masa akan datang..

Idea CGI Untuk Desolasi

Penghasilan VFX ini bermula dengan idea Syafiq Yusof yang ingin menghasilkan sebuah filem yang lain daripada lain yang memerlukan penggunaan VFX yang banyak. Namun ianya memerlukan kos yang besar.

Jadi kami momohon dana CGI Finas yang telah banyak membantu syarikat-syarikat CGI di Malaysia untuk menaikkan bidang ini. Alhamdulillah Finas support kami. Disitulah kami bermula pikul tanggungjawab untuk menghasilkan kesemua shot.

Setiap shot perlu dibincang terlebih dahulu sebelum dibuat. Kami perlu mengutamakan permintaan pengarah terlebih dahulu. Namun begitu kami juga boleh beri apa-apa cadangan mengikut kreativiti masing-masing.

Proses CGI

Dalam VFX, tedapat banyak proses-proses yang perlu dilalui. Proses ini juga perlu seiring dengan proses penghasilan filem iaitu pra-produksi, produksi, dan pos-produksi.

Semasa pra-produksi, kami perlu berbincang dengan pengarah mengenai VFX pada setiap scene dan shot. Kami akan mula buat storyboard, R&D, model, pre-visualisation dan apa-apa yang berkaitan.

Masa produksi (shooting) kami perlu datang juga untuk supervise, pastikan cara shoot sesuai dengan proses VFX.

Kami akan mengambil data untuk kegunaan semasa post produksi seperti gambar, lighting, ukuran kawasan dan lain-lain.

Masa post produksi selepas editing selesai, inilah proses yang paling lama perlu kami lalui. Antara prosesnya adalah rotoscoping, painting, modeling, animation, rendering, simulaton, mapping, matchmoving, compositing dan banyak lagi.

Scene Paling Susah

Antara scene yang susah adalah apabila melibatkan Kuala Lumpur kosong dan masa itu orang memang terlampau ramai. Apabila kamera bergerak ianya lagi merumitkan.

Selain itu scene yang melibatkan simulation dan 3D sangat mencabar. Ianya bukan setakat mmerlukan skill yang tinggi malah komputer pun kena power.

Penutup

Sebelum mengakhiri temubual ini, Dinie berharap semua pihak termasuk orang ramai menyokong industri kreatif tempatan agar boleh berkembang ke arah yang lebih baik di masa depan.

Seboleh-bolehnya elak cetak rompak seperti tonton melalui video yang dimuatnaik di laman sesawang yang secara tidak sah memaparkannya. Jika ini berterusan berlaku, ia boleh mencacatkan pasaran sesebuah produk.

Tak kiralah filem, animasi, ataupun barangan mainan. Kalau boleh belilah yang original. Sekiranya pulangan or market meluas, kos modal boleh bertambah supaya kualiti dapat dinaikkan lagi.

Jika kita mahu karya dan produk tempatan berkualiti, mulakan tunjuk sokongan melalui rasa tanggungjawab dengan membeli yang asli.

Pihak Vocket mengucapkan terima kasih kepada Dinie yang sudi ditemuramah berkaitan CGI Desolasi. Moga terus menghasilkan produk-produk yang menarik kelak.