Aku amat yakin dan pasti semua tahu lagu hit dari kumpulan rock lagenda May berjudul Sendiri. Ya. Ia disiulkan hampir di setiap generasi.

“Does it depress you? To know how alone you really are?” – Joker.

Jika diamati liriknya, kisar kisahnya seolah perihal mempersoal tindakkan sang kekasih yang meninggalkan kekasihnya. Dan lantas ia diluah dalam nada derita betapa sakit dan tertekannya ‘sendiri’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bagaimana jika yang dipersoal tindakkannya itu sesuatu yang terlalu sukar untuk dipersoalkan?

Desolasi

Sinopsis ringkas. Aiman (lakonan Syamsul Yusof) merupakan seorang pelukis yang berdepan dengan konflik hidup. Akibat tekanan, dia mengharapkan yang semua konfliknya selesai dengan cara yang paling mudah.

Begini. Walaupun banyak perkara yang aku ingin sentuh, tetapi aku hanya ingin ke beberapa perkara yang bagi aku menarik.

Pertama, trailer. Oleh kerana filem ini masih menghitung hari tayangan, secara jujurnya, kita akan menonton trailer dahulu. Lalu, apa yang kita lihat pada trailer filem ini sebelum kita menonton filem ini sendiri nanti?

Kekuatan kesan khas? Jalan cerita yang meyakinkan dan unik? Atau mungkin kekuatan seni lakon pelakonnya? Atau juga mungkin petikan sinematografi dan skor bunyinya?

Bagi aku, ini merupakan kekuatan filem ini iaitu trailer-nya sendiri. Ia dibina dengan rempah komersial yang cukup kuat untuk membina hook mudah yang akan menyeret penonton ke panggung. (Atau mungkin tempias Munafik juga?).

Ya, siapa yang tidak akan tertanya-tanya bagaimana manusia di KL lesap? Siapa juga yang tidak akan tertanya-tanya kenapa boleh jadi begitu?

Semua soal tanya ini merupakan ‘modal’ utama untuk filem ini kerana melalui trailer-nya sahaja, ia telah berjaya membina buakkan rasa untuk membayar harga tiket di pawagam, demi untuk sebuah jawapan.

Namun, setelah kita diberikan ‘kail’ trailer yang enak, ada filem ini ‘cukup’ untuk memberikan kita jawapannya?

Ini membawa kepada faktor kedua iaitu Syafiq. Sejujurnya, sejak dari filem pertama Syafiq lagi iaitu S.A.M, aku merasakan yang Syafiq sudah memberi bayangan yang dia punya ‘selera’ besar.

Selera besar itu bukan bermaksud dia ingin versatile dengan boleh mengarah hampir apa sahaja genre, tetapi berbeza dengan Shamsul, Syafiq punyai jiwa teroka yang lebih luas. Dan di dalam filem ini, Syafiq telah membuktikannya.

Malah tidak keterlaluan jika aku katakan, durasi setengah jam awal filem ini adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan Skop Production.

Melalui awalan filem ini, dapat dilihat betapa Syafiq cuba mengadunkan rasa bagaimana ‘sendiri’ itu. Ia seolah gambaran perang permainan emosi di dalam ritma dan rentak ‘sendiri’.

Dia cuba memaparkan jiwa desolasi antara garis soal kritik buntu pada Sang Pencipta dan khilaf kecamuk anggapan pada makna sebenar ‘neraka atau syurga’ pada kehidupan.

Dan maksud itu bagi aku berjaya dibawa oleh Shamsul yang berjaya memberi bayangan jawapan yang menarik pada setiap soalan dari trailer-nya.

Dibantu dengan kekuatan kesan khasnya yang bagi aku penyempurna (dan bukan sekadar gebangan kosong ia hebat dengan kesan khas CGI) bagi setiap kacau bilau jiwa seorang watak utama, semua itu cukup ampuh sebagai rencah kuat untuk menumbuhkan ‘akar’ pada punggung-punggung audien.

Dan ini membawa kepada faktor ketiga iaitu acuan Skop. Ya. Terlalu ramai yang skeptikal pada Skop Production. Ya, mesej yang terlalu literal atau mungkin penggunaan bahasa skrip yang terlalu buku teks. Dan filem ini masih begitu acuannya seperti juga filem-filem Skop terdahulu.

Tetapi, sesuatu yang aku gemar pada filem ini, ia dibuat di dalam acuan jawapan yang mana ia acuan paling ideal untuk majoriti penonton Malaysia.

Bermaksud, walaupun filem ini bergerak dengan selirat persoalan yang cuba dibelit putar, tetapi ia sentiasa berada di dalam acuan jawapan yang bagi aku merupakan adunan menarik untuk penonton yang mahukan apa yang dipanggil hiburan.

Mengapa? Kerana ini juga merupakan formula sama yang untuk Munafik bukan?

Kerana itu sejujurnya aku kuat merasakan yang Syafiq sepertinya ‘terdesolasi’ kerana aku terasa dia seolah mahukan filem ini menyampaikan maksudnya secara abstrak dan bukan secara literal dengan mesej yang terlalu jelas.

Malah aku agak terasa ada ‘beberapa perkara’ dan watak (mungkin) yang sengaja di ada-adakan demi meraikan mesej hingga mengaburkan asbab desolasi itu sendiri.

(Aku gemar babak awal Aiman sendirian menconteng dinding dengan cat hitam secara emosi melalui tangan seni yang seolah menggambarkan desolasinya Syafiq dalam memperjuangkan ideanya!)

Ya, filem ini mungkin akan menimbulkan contradict antara cara fikir kualiti dan populariti. Pasti akan ada yang pengkritik dan pencandu filem mempersoalkan betapa idea Desolasi ini terlalu I am Legend di dalam acuan pesan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.

Apatah lagi dengan perbandingan awal dari poster hingga ke babak. Namun harus diingat, landasan cara fikir kita yang akan menentukan filem ini menarik atau tidak.

Ini kerana ekspektasi mungkin akan membunuh rasa, tetapi jika meraikan eksperimentasi dan semangat muda Syafiq, filem ini sepatutnya mampu mengejutkan lena industri kita.

Movie Addict

Tonton dan raikanlah. Mungkin anda tidak akan Hanyut di dalam lautan Interchange, tetapi mungkin akan membuat anda merasai semangat ‘bersendiri’ di dalam industri yang pernah (atau sedang) terhibernasi di dalam angkasa desolasi kerana ini ialah naskah manis untuk yang meraikan perubahan.

Terima kasih kepada Movie Addict dan Skop Production atas jemputan Pre Screening Desolasi (2016) tempohari.