Minggu lalu kami berkesempatan untuk bertemu secara santai dengan ahli parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad. Untuk pengetahuan semua, Tan Sri Shahrir Samad mula berkecimpung dalam dunia politik sejak beliau berusia 24 tahun lagi.

Kami sangat bertuah kerana Tan Sri dapat meluangkan masa untuk berkongsi dengan kami tentang beberapa perkara terutamanya karier politik beliau yang menarik.

1. Tan Sri merupakan antara setiausaha politik termuda yang dilantik di Malaysia iaitu menjadi setiausaha politik kepada Tun Musa Hitam pada usia 24 tahun. Pernahkah Tun Musa bercerita mengapa Tan Sri terpilih menjadi S/U politik beliau?

Ceritanya ketika itu Tun Musa Hitam dilantik sebagai Timbalan Menteri dan menterinya adalah Tun Dr Ismail. Disebabkan Tun Dr Ismail terlibat dalam pelbagai tugasan, Tun Dr Ismail membenarkan beliau (Tun Musa Hitam) untuk mempunyai seorang setiausaha politik.

Disebabkan latar belakang Tun Musa pun terlibat dengan International Student Body semasa di universti, dia fikir dia nak cari seseorang yang macam dia.

Nak dijadikan cerita, saya telah menulis di sebuah majalah yang turut mempunyai Tun Musa sebagai penulis. Dalam majalah tu, dia tulis sebagai seorang ahli politik. Saya pula menulis dari kaca mata seorang student leader semasa di UM. Jadi di situ Tun Musa Hitam nampak potensi dalam diri saya.

Pada mulanya saya tak bercita-cita pun nak masuk dalam dunia politik. Tetapi ketika itu saya sendiri yang mahu pilih dengan siapa saya bekerja.

Dan saya nampak Tun Musa Hitam sebagai seorang yang dapat membimbing saya dan di masa yang sama saya dapat pelajari banyak perkara daripada beliau. Jadi, tanpa ragu-ragu saya pilih untuk menjadi setiausaha politik kepada Tun Musa Hitam. Siapa tak mahu berkhidmat dan belajar dengan seorang pemimpin muda melayu yang sedang meningkat naik ketika itu.

2. Kita tahu Tan Sri menghabiskan pengajian Universiti Malaya sebelum melanjutkan pelajaran di luar negara iaitu di Lausanne, Switzerland. Semasa bila Tan Sri mengambil keputusan untuk menyambung pengajian sedangkan Tan Sri sedang bekerja sebagai setiausaha politik pada ketika itu?

Saya sambung pengajian ketika di Zaman Tun Hussein Onn, di mana ketika itu saya merupakan setiausaha politik beliau. Masa itu seingat saya kita sedang hadapi persepsi dan pertembungan di antara dua pihak. Pihak kanan dan pihak yang dianggap sosialis. Masa kecoh-kecoh tu, saya rasa inilah masa terbaik untuk saya sambung belajar.

Setahun saja saya sambung belajar. Tak lama pun. Sebab kursus yang saya sambung, MBA cuma ambil masa setahun sahaja. Dari Januari ke Disember. Senang, satu buku diari. (gelak). Dan masa tu, saya tanggung sendiri yuran pengajian saya di sana.

3. Ketika Tan Sri di Switzerland, sempat tak melancong ke negara-negara sekitar?

Kalau dari segi travel, rasanya ketika tu saya tak sempat sangat untuk travel. Saya belajar pun cukup-cukup daripada Januari ke Disember, memang tak ada masa sangat untuk travel.

Tambahan mungkin sebab jurusan MBA ni sesuatu yang serius, jadi saya kena fokus dan tak fikir sangat untuk pergi travel. Lagi satu, pengajian MBA saya ini pun atas tanggungan sendiri, tabung untuk travel pun tak ada. Setakat ronda-ronda Switzerland dan negara jiran itu adalah.

Cuma kelebihan apabila sudah berada di negara luar adalah kita boleh pelajari sesuatu yang baru. Bila sambung belajar pula secara tidak langsung kita ‘recharge’ kembali tenaga dan pemikiran kita.

4. Sekarang kita lihat ramai anak muda yang berkelayakan memilih untuk tinggal dan bekerja di luar negara. Bagi Tan Sri, adakah orang kita sudah hilang nilai patriotisme mereka terhadap negara?

I think there is no problem kalau dia kata dia nak kerja di luar negara. Masalahnya ini tiada kaitan pun dengan nilai patriotisme. Cuma mereka nak kehidupan yang lebih baik, pendapatan yang lebih baik. Isunya sekarang, mereka ada model negara yang mereka suka dan mahu ianya dilaksanakan di Malaysia sebab dah banyak mengembara dan membaca.

Bila semakin berusia, kita rasa macam nak duduk di tempat di mana ramai kawan-kawan kita. Sebab tu ada yang berhijrah ke Australia, London sebab kawan-kawan ramai di sana. Sekarang pun makanan dah tak jadi masalah sebab kalau ramai komuniti Melayu, tak susah nak cari makanan Melayu dan halal.

5. Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang paling diingati adalah ketika Tan Sri memainkan peranan dalam mengurangkan subsidi minyak dengan begitu tinggi. Tidakkah keputusan yang tidak popular ini memberi risiko kepada ahli parlimen seperti Tan Sri?

Pada ketika itu, kerajaan tiada pilihan. Harga minyak mentah melambung naik terlalu tinggi. Jumlah subsidi sudah tentulah besar. Jadi ketika itu kita memikirkan satu solusi yang lebih praktikal di mana kerajaan dapat kurangkan kos subsidi minyak tetapi pada masa yang sama memperkenalkan mekanisme bagi membantu golongan yang memerlukan.

Semasa itu, ada mekanisma di mana anda boleh rebate kembali RM625 setahun untuk kos minyak kereta. Masa ada mekanisma tu orang dah okay sedikit. Tapi siapa saja tak marah bila harga minyak naik mendadak sampai dekat 80 sen kan? Tetapi ketika itu memang kita sedang berhadapan dengan harga minyak dunia yang sangat tinggi.

Pada saya, bilalah harga petrol ini tak jadi isu politik. Sebab harga minyak ini bergantung pada pasaran dunia. Jadi kita dah cuba beri harga minyak yang terbaik.

Di Venezuela, petrol memang sangat murah. Masalahnya Venezuela tidak ada tukaran asing. Jadi bila tak ada aliran masuk dan keluar, kadar inflasi jadi sangat tinggi. Walaupun harga petrol mereka adalah yang termurah di dunia.

Di satu sisi lain pula, Norway adalah salah satu contoh negara dengan kos hidup yang tinggi di Eropah. Kos sara hidup mereka sangat tinggi tetapi ada sebabnya. Mereka mahu jaga sumber asli yang mereka ada. Jadi harga petrol mereka jadi sangat mahal. Mereka dapat pulangan, jadi mereka tukar kepada dana untuk masa depan.

Mereka faham yang mereka tidak mahu spoil masa depan. Jadi biar semua harga mahal. Jadi semuanya akan dapat balik kepada rakyat. Jadi saya harap benda ini boleh berlaku di Malaysia. Kita kena accept the fact harga petrol turun naik ini benda biasa di seluruh dunia yang tak perlu digaduhkan kan.

Buat masa ini, Ron 95 masih disubsidi oleh kerajaan. Saya harap nanti kita akan sampai pada suatu hari, perkara-perkara macam ni kita tak payah gaduhlah seperti petrol dan GST. Semua ini untuk kelangsungan negara kita juga.

6. Pada 2006, Tan Sri telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BNBBC ekoran isu campur tangan anggota Parlimen BN kepada jabatan kastam berkenaan rampasan kayu balak di Melaka. Mengapa Tan Sri berani berbuat demikian? Khususnya menyokong usul yang dibawakan oleh pembangkang.

Cerita dia begini. Seorang MP Melaka ini terlibat dengan banyak dealings dengan kastam dan dia nak Jabatan Kastam Melaka ‘tutup mata’ dengan barang-barang yang dia bawa masuk.

Jadi MP ni banyak buat bisnes kayu balak dan tak gembira sebab kena bayar cukai. Kastam pula bila tak tahan dengan permintaan dan karenah MP ini, kastam bercerita pada press nak kenakan ahli parlimen inilah.

Jadi ketika di parlimen, saya bersetujulah agar ahli parlimen ini dirujuk kepada yang mempunyai kuasa kerana di situlah baru kita dapat cerita sebenar. Bila saya sokong cadangan Lim Kit Siang, MP UMNO yang lain tak setujulah sebab saya sokong usul pembangkang. Jadi saya letak jawatan. Bagi saya, kalau anda dah buat salah dan orang tak suka, kita kena ambil tanggungjawab tersebut. Saya sokong sebab saya nak kekalkan integriti parlimen.

Kalau kita nak jadi negara maju, kenalah ubah diri kita jadi orang maju dulu. Kita tidak boleh mengharapkan perubahan tanpa diri kita yang berubah dulu. Kalau kita suka demand orang letak jawatan atas alasan integriti, kita juga kena bersedia melakukan perkara yang sama apabila wujud keperluan.

Pada saya, episod itu (letak jawatan BNBBC) merupakan ujian integriti kepada saya dan hikmahnya pada 2013 saya menjawat kembali jawatan Pengerusi BNBBC.

7. Apabila Tan Sri kembali menjadi Pengerusi BNBBC, apakah perubahan yang Tan Sri bawakan ke dalam organisasi ini?

BNBBC sentiasa konsisten dalam membawakan isu-isu kepentingan awam. Kita mungkin tidak begitu dikenali orang ramai, bahkan sampai sekarang pun akan sentiasa orang yang tercengang bila diberitahu saya daripada BNBBC.

Tetapi itu tidaklah penting. Yang lebih mustahak adalah peranan yang dimainkan oleh BNBBC bagi menghalusi polisi-polisi kerajaan serta menambah baik undang-undang sedia ada. Lagi pun kita adalah Ahli Parlimen. Orang putih sebut sebagai lawmaker.

Jadi tentunya kita harus memahami latar belakang tentang isu-isu semasa lebih lagi yang melibatkan kerajaan dan yang beri kesan kepada orang ramai. Kita organize sesi taklimat dan soal jawab bersama agensi kerajaan dan GLC seperti Khazanah dan TNB. Pada masa yang sama kita tak lepas pandang sektor swasta yang melibatkan kepentingan awam.

Misalnya dalam isu ride sharing di Malaysia. Orang Uber, Grab dan teksi ada bertemu dengan saya bagi membincangkan masa depan mereka. Walaupun ahli-ahli parlimen BN kebanyakannya tidak terkesan dengan kehadiran servis ride sharing ini, tetapi mereka turut serta bersama saya melawat pejabat operasi pengendali ride sharing app.

Dari situ kita dapat memahami apa yang cuba diubah oleh mereka. Hasil dialog ini juga memberikan kita idea bagaimana untuk membantu kerajaan mencari solusi terbaik di samping menambah nilai kepada orang ramai.

Kita ambil contoh MRT, isu pengangkutan awam yang sangat dekat dengan anda semua. Kita mengambil bahagian, memberi cadangan, kemukakan pendapat sampaikan kita sendiri terlepas pandang untuk diadakan stesen MRT di Parlimen (gelak).

Sama juga halnya dalam isu TPPA. Kita sudah jangkakan isu ini akan dimainkan dan orang ramai menantikan penjelasan daripada ahli-ahli parlimen ketika bersidang.

Menyedari perkara ini, BNBBC mengadakan klinik selama dua hari bagi memberi pemahaman kepada semua ahli parlimen. Bagi ahli parlimen BN, kita sediakan pakar-pakar untuk dirujuk. Ini sama sekali membantu mereka ketika bersidang.

Kita turut bekerjasama dengan third-party validator bagi menghasilkan sebuah buku ‘indie’ yang bercakap mengenai TPPA. Hasilnya, wujud pemahaman di kalangan anak muda. Kesemua ini adalah tindakan pro-aktif yang dimainkan oleh BNBBC dalam membantu kerajaan untuk menyampaikan dasar penting kepada rakyat.

Mesej saya mudah; pintu BNBBC sentiasa terbuka untuk semua orang, literally. Hari ini kalau awak orang muda ada idea yang bagus, kami sedia mendengar dan membantu. Baru-baru ini BNBBC menerima kehadiran ramai usahawan-usahawan muda yang cuba menyelesaikan pelbagai isu. Sejujurnya, saya amat seronok bertemu dengan mereka dan saya akan terus engage golongan muda.

Jadi awak hebahkanlah yang BNBBC sentiasa mengambil berat hal-hal berkepentingan awam. Tidak kiralah dari hal-hal orang muda seperti startup dan fintech sehinggalah kepada isu panas seperti 1MDB.

9. Bercakap mengenai isu 1MDB, nama Tan Sri diseret berikutan pendedahan oleh portal asing yang menyebut Tan Sri menerima wang RM1 juta daripada Presiden Parti. Boleh Tan Sri jelaskan?

Isu terima RM1 juta ini sudah saya jelaskan berkali-kali. Malahan saya bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya perlu. Namun sebagaimana yang telah disahkan sendiri oleh portal asing yang mendedahkan isu ini, wang tersebut tidak berpunca daripada wang RM2.6 billion.

Ia datang dari Presiden Parti yang berikan wang tersebut untuk kerja-kerja politik UMNO Johor Bahru. Ini bukan satu kesalahan kerana ia adalah dana politik. Alternatif yang lain, saya mencari funder di kalangan peniaga yang kemudian mengharapkan saya mencarikan mereka projek? Ataupun saya mencari projek dan menjual dapat komisen. Maaf, itu bukan cara saya.

10. Tan Sri pernah berkhidmat di bawah 5 Perdana Menteri semenjak dari zaman Tun Razak. Apakah perkara yang Tan Sri nampak perbezaan ketara sepanjang berkhidmat dengan mantan perdana menteri sebelum dengan Perdana Menteri sekarang?

Setiap Perdana Menteri mempunyai caranya yang tersendiri yang mana mungkin cara tersebut dirasakan lebih efektif pada ketika itu. Dan walaupun saya boleh kata berada di zaman Perdana Menteri sebelum ini, saya not in a business to compare.

Kalau nak tahu sangat, nanti saya tulis buku. Panjang sangat cerita (gelak).

Tapi apa yang saya boleh kongsikan adalah pada ketika ini, ahli parlimen kini lebih diberi kuasa dalam membuat keputusan. Atau bahasa canggihnya- empowerment. Kami diberikan kebenaran untuk meluluskan projek pembangunan mengikut had yang ditetapkan. Jadi kita ahli parlimen biasa pun boleh buat keputusan. Tak perlu di bawa menteri untuk turun. Contoh seperti memberi peralatan atau menambah kemudahan kepada sekolah-sekolah. Jadi ahli parlimen boleh minta terus dana itu daripada kerajaan.

Sebagai ahli parlimen yang sudah lama, ini antara perkara yang signifikan. We solve the problem on the ground.

11. Apa rahsia Tan Sri dalam menjadi seorang ahli parlimen yang disenangi oleh rakyat dan ahli parlimen yang lain?

Rahsianya kena selalu positif dan tak ada apa yang perlu diselindung. Dulu CNN pernah interview saya kenapa saya tak pernah langsung ditangkap ketika zaman reformasi Anwar.

Saya jawab kembali saya tak rasa saya ada buat apa-apa yang salah di sisi undang-undang. Jadi kenapa perlu pihak berwajib tangkap saya? Memang saya ada juga kritik kerajaan tetapi saya tak adalah sampai susun pasukan atau buat konspirasi untuk jatuhkan pemimpin. Saya cuma buat kerja saya berkhidmat untuk rakyat.

Dalam politik ini ada dua cara untuk kekal. You do your job to impress your boss or you buat kerja untuk rakyat. Dua-dua ada kelebihan bergantung pada apa yang you mahu. (Senyum)

Nak jadi seorang yang negatif sangat mudah. Cukup dengan marah-marah, dah boleh jadi seorang yang negatif. Bagi saya, saya seorang yang optimistik dan sangat bertuah sepanjang karier saya. Dapat peluang kerja umur 23. Selepas itu, umur 28 bertanding dan kemudiannya jadi ahli parlimen. Bila berhenti pun saya dipanggil semula.

Kadang-kadang saya ada juga terfikir, tiada masa yang teruk sangat dan tertekan sepanjang karier menjadi ahli politik ini. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar saja.

Isteri pun banyak membantu dalam beri sokongan moral sepanjang karier politik saya. Alhamdulillah, walaupun ketika saya berhenti dan kembali dalam dunia politik, semuanya berjalan lancar.

12. Ramai yang tahu Khalid Abdul Samad merupakan adik kandung Tan Sri. Tetapi beliau pula bukan di bawah parti UMNO tetapi parti Amanah. Bagaimana Tan Sri menjaga hubungan dengan Khalid Abdul Samad?

Jawapan paling mudah semestinya jangan berbincang tentang politik. (gelak) Hubungan saya dan adik saya baik-baik sahaja. Mungkin kami mempunyai perbezaan ideologi dari segi politik, tetapi sebagai ahli parlimen, kita kenalah sentiasa professional.

Kalau ada perjumpaan keluarga, kita macam biasa. Tak ada masalah. Kita cakap benda-benda lain selain politik. Sebab kalau sebut sahaja berkenaan politik, tiada yang boleh diubah sangat. Lagipun banyak lagi hal-hal lain yang boleh kita bincangkan selain daripada politik.

Tan Sri Shahrir Samad bersama adiknya, Khalid Samad

13. Soalan terakhir untuk Tan Sri. Bagaimana Tan Sri jaga kesihatan supaya sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal?

Tidur awal. Minum banyak air kosong. Bersenam. Berhenti sebelum kenyang. Ini semua amalan yang saya amalkan dari muda. Doa orang ramai pun penting juga. Jangan fikirkan sangat tentang musuh kita. Hidup kena sentiasa positif nanti kita tidur pun senang. Kalau ada masalah, jangan jadi stress. Mesti ada jalan untuk selesaikan.

Beberapa hari yang lalu, Tan Sri Shahrir Samad telah dilantik sebagai pengerusi baharu untuk FELDA. Mengulas lantikan ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat:

“Tan Sri Shahrir mempunyai pengalaman yang luas dalam polisi kerajaan dan pernah menjadi menteri di tiga kementrian. Beliau juga pernah menjadi pengerusi untuk Malaysian Palm Oil Board dan pengerusi untuk Public Account Comitttee (PAC).”

Kami di Vocket mengucapkan selamat maju jaya dengan pelantikan Tan Sri Shahrir Samad ini. Semoga Tan Sri terus sukses dan cool dalam menjalankan tugas baik di Felda dan BNBBC.

P/S : Jangan lupa untuk follow Indienomics untuk perkongsian awesome yang lain.