Apabila menonton drama Korea berlatarbelakangkan suasana dinasti diraja, tertanya dimanakah kerabat diraja Korea pada masa kini. Jawapan itu ditemui sewaktu menonton sebuah filem faction (fakta dibaurkan dengan fiksyen) bertajuk The Last Princess (2016).

https://www.youtube.com/watch?v=cSINxwvkhPU

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ia mengisahkan kehidupan seorang puteri diraja dinasti Joseon terakhir bernama Princess Deokhye dari kecil sehinggalah dia tua. Puteri Deokhye lahir pada 25 Mac 1912 di Changdeok Palace, Seoul iaitu dua tahun selepas Joseon diambil alih oleh Jepun. Puteri Deokhye ialah puteri bongsu kepada Raja Gojong bersama gundik, Yang Gui-in (gelaran Boknyeong).

Dari kiri: Crown Prince Yeongchin, Sunjong, Gojong, Eombi (salah seorang isteri Gojong) dan Princess Deokhye. (Gambar: koreajoongangdaily.joins.com)
Dari kiri: Crown Prince Yeongchin, Sunjong, Gojong, Eombi (salah seorang isteri Gojong) dan Princess Deokhye. (Gambar: koreajoongangdaily.joins.com)

Raja Gojong menaiki takhta pada usia 11 tahun (1863) ialah maharaja ke-26 dan kedua terakhir dalam dinasti Joseon. Oleh kerana Gojong masih kecil, ayahnya Heungseon Daewongun menjadi pemangku diraja. Hal ini berlaku kerana Gojong dijadikan pewaris takhta oleh maharaja sebelumnya.

Heungseon Daewongun menjalankan reformasi yang kurang berjaya dan mengamalkan dasar tertutup pada kuasa Eropah dalam soal ekonomi kecuali dengan China yang dianggap paling kuat waktu itu. Dia bersara selepas Raja Gojong dipengaruhi oleh Permaisuri Min, isteri Gojong.

Selepas itu, ramai pegawai baru yang dilantik terdiri dari kerabat Permaisuri Min dan kebanyakannya menyokong idea dasar ekonomi terbuka dengan pihak luar. Dasar terbuka diamalkan dan membuatkan Korea berada dalam keadaan tidak stabil.

Pada tempoh itu, Perjanjian Jepun-Korea 1876 atau Perjanjian Ganghwa dimeterai antara wakil Empayar Jepun dan kerajaan Joseon. Kemudian Permaisuri Min dibunuh oleh agen Jepun pada 1895.

Dia dibunuh kerana menjadi ancaman bagi Jepun selepas Permaisuri Min sedar akan penguasaan Jepun ke atas Korea dan mahu memohon sokongan dari Rusia atau China. Pada 1897 dinasti Joseon dinamakan Empayar Korea sebagai tanda bebas dari China atas pengaruh Jepun. Raja Gojong menjadi maharaja pertama Empayar Korea dengan menggunakan nama Maharaja Gojong.

Maharaja Gojong dan anaknya, Putera Sonjung.
Maharaja Gojong dan anaknya, Putera Sonjung.

Selepas ketenteraan Jepun memenangi Perang Rusia-Jepun pada 1904-5, satu lagi perjanjian dimeterai antara Korea dan Jepun. Oleh kerana itu, Maharaja Gojong menghantar 3 orang duta ke Konvensyen Keamanan Hague 1907 bagi meminta sokongan. Kesannya Gojong dipaksa turun takhta oleh Jepun dan digantikan oleh anaknya, Sunjong.

Gambar keluarga diraja Joseon sekitar 1915. Dari kiri: Prince Uichin; Emperor Sunjong; Princess Deokhye, (anak perempuan tunggal Emperor Gojong); Prince Youngchin, (anak ketiga Emperor Gojong); Emperor Gojong; Queen Yoon, (isteri Emperor Sunjong); Queen Consort Kim, (isteri Prince Uichin); and Lee Geon,(anak lelaki pertama Prince Uichin) (Gambar: chosun.com)
Gambar keluarga diraja Joseon sekitar 1915. Dari kiri: Prince Uichin; Emperor Sunjong; Princess Deokhye, (anak perempuan tunggal Emperor Gojong); Prince Youngchin, (anak ketiga Emperor Gojong); Emperor Gojong; Queen Yoon, (isteri Emperor Sunjong); Queen Consort Kim, (isteri Prince Uichin); dan Lee Geon,(anak lelaki pertama Prince Uichin). (Gambar: chosun.com)

Dalam filem The Last Princess, Maharaja Gojong tidak menyukai perjanjian-perjanjian tersebut kerana ia berat sebelah dan akan membunuh dinasti Joseon dan Korea.

Akhirnya Gojong meninggal dunia pada 21 Januari 1919 di Istana Deoksugung pada usia 67 tahun. Spekulasi pada waktu itu tersebar bahawa dia diracun oleh pegawai Jepun.

Sebelum Gojong meninggal dunia, dia merancang pertunangan rahsia antara Deokhye dengan anak saudara Kim Hwangjin (court chamberlain), Kim Jang-han agar anaknya terlindung dari ancaman Jepun. Tapi pertunangan itu gagal dan puteri dihantar ke Jepun.

Puteri Doekhye bersama suaminya, So Takeyuki.
Puteri Doekhye bersama suaminya, So Takeyuki.

Selepas tamat belajar di Jepun, Deokhye dikahwinkan dengan bangsawan Jepun, So Takeyuki yang telah diatur oleh Empress Teimei pada 1931 walaupun mendapat tentangan daripada abangnya, Putera Mahkota Yi Un. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu mendapat seorang anak perempuan bernama Masae (nama Korea: Jeonghye).

Sebenarnya Deokhye tidak gembira tinggal di Jepun sehingga menyebabkan dia mengalami masalah mental dan demensia. Saya sendiri boleh menangis melihat penderitaan Deokhye yang digambarkan dalam filem.

Selain itu, penderitaan orang Korea dibawah penguasaan Jepun juga membuatkan saya rasa ada baiknya Korea diambil alih oleh Amerika Syarikat selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Walaupun Korea sudah bebas dari cengkaman Jepun pada 1945, kerabat diraja Korea tidak dialu-alukan oleh kerajaan baru Korea termasuk Deokhye.

Situasi itu menyebabkan Deokhye yang sudah lama mahu pulang ke tanah air kecewa kerana dihalang kembali ke Korea sehingga dia sakit semula.

Lantaran itu perkahwinannya berakhir selepas 20 tahun dan anak tunggalnya mati bunuh diri kerana tak dapat terima perceraian ibubapanya.

Puteri Deokhye ketika tiba di Seoul, Korea setelah 37 tahun berada di Jepun.
Puteri Deokhye ketika tiba di Seoul, Korea setelah 37 tahun berada di Jepun.

Selepas 37 tahun meninggalkan bumi Korea, Deokhye, 50, dijemput pulang oleh kerajaan Korea Selatan pada 26 Januari 1962. Sebelum itu, pemimpin kerajaan dipujuk oleh wartawan yang menjumpai puteri itu di Jepun.

Kim Eul Han terpaksa berbuat demikian kerana pada mulanya kerajaan Korea Selatan tidak mahu terima kepulangan puteri terakhir dinasti Joseon kerana risau berlaku kekacauan politik.

Babak-babak sambutan kepulangannya di Lapangan Terbang Incheon itu lagi sekali buat air mata ini mengalir kerana boleh merasai betapa rindunya dia pada tanah air walaupun dia ada masalah mental.

Deokhye tinggal di Istana Changdeok, Seoul bersama keluarga abangnya, Putera Mahkota Yi Un sehingga meninggal dunia pada 1 April 1989.

Mungkin ada yang kata, kerabat diraja Korea masih ada sehingga ke hari ini. Ya, memang ada. Antaranya ialah Puteri Yi Haewon, anak kedua Putera Yi Kang.

Putera Yi Kang ialah anak lelaki kelima kepada Maharaja Gojong. Anda boleh baca sendiri tentang Puteri Haewon dan statusnya di Korea Selatan.

Mungkin juga ada yang tanya bahagian mana yang fiksyen dalam filem The Last Princess. Anda boleh tonton filem tersebut untuk mengetahuinya. Hehe. Klu: Kim Jang-han.