Kisah bisnes Katsana bermula apabila rakan kepada Syed Ahmad Fuqaha, pengasas dan CEO Pixelated Sdn Bhd kehilangan Toyota Vios di tengah-tengah panas matahari. Beberapa hari kemudian, adiknya pula kehilangan kereta.

Dua kecurian kereta dalam minggu yang sama menyebabkan Fuqaha bertanya, “Tiadakah sistem GPS yang baik dalam negara?”

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Hakikatnya terdapat lebih daripada 60 buah syarikat menyediakan perkhidmatan GPS di Malaysia. Ini hanya membuktikan bahawa terdapat permintaan tinggi terhadap solusi GPS dalam negara.

Malangnya, kebanyakan hardware yang digunakan tidak berkualiti. Manakala software pula adalah ‘white-label’, iaitu software yang diambil daripada syarikat lain dan dijenamakan semula. Lebih malang lagi solusi yang ditawarkan adalah ketinggalan zaman dan tidak begitu membantu dalam insiden kecurian.

Penyelesaian Masalah Kecurian

Menurut PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri), kes kecurian kereta berlaku setiap 45 minit di Malaysia.

Selama setahun, Fuqaha memerhatikan SEO dan carian di Google, dan beliau mengenal pasti beberapa carian yang menunjukkan potensi bisnes GPS Tracking di Malaysia.

Ketika itu juga, pada pertengahan tahun 2013, Fuqaha memberi rakan-rakannya set soalan-soalan ringkas tentang GPS Tracking. Jawapan rakan-rakan beliau turut memberi validasi tentang industri baru yang beliau mahu ceburi.

Tambahan lagi, laman web syarikat telah live selama 8 bulan sebelum produk mereka sedia disiapkan, dan mereka menerima banyak maklum balas daripada pelanggan persendirian dan korporat melalui laman web berkenaan.

Pasukan Dan Solusi Sendiri

Pasukan Katsana dianggotai oleh rakan-rakan lama sewaktu beliau berkhidmat di JomSocial. JomSocial adalah platform media sosial untuk platform Joomla yang mempunyai sebanyak 180,000 ahli berbayar dari seluruh dunia.

Setelah JomSocial dijual kepada seorang pembeli antarabangsa, rakan-rakan Fuqaha dari syarikat itu keluar dan menjadi orang-orang penting dalam syarikat-syarikat startup yang lain. Seorang daripadanya adalah Lead Designer di Myteksi, seorang lagi adalah Lead Mobile Developer di Mindvalley, manakala lagi seorang adalah Lead Developer di iProperty.

Setelah beberapa ketika, beliau dan rakan-rakan berbincang untuk memulakan projek mereka sendiri. Akhirnya semua rakan-rakan beliau berhimpun semula di bawah satu pasukan yang sama, dan memulakan Katsana.

Dengan latar belakang kemahiran teknologi yang kuat, pasukan ini mula membina perisian Katsana mereka sendiri, line by line.

Mereka memastikan solusi mereka selamat dan sentiasa diperbaiki. Demi memastikan ketepatan lokasi kenderaan, Katsana menggunakan GPS (satelit Amerika Syarikat) dan Glonass (satelit Rusia).

Apabila ditanya apakah maksud Katsana, Fuqaha menjawab, “Kat mana? Kat sanaaaa…”

Lokasi kenderaan diperbaharui setiap 10 saat, ketika pesaing-pesaing yang lain hanya mampu memberi data setiap 3 minit. Jelas, GPS tracking yang ditawarkan oleh Katsana adalah yang terpantas di pasaran.

Untuk hardware, pasukan ini juga telah membeli 6 peranti berbeza dari China, Taiwan dan Hong Kong. Setelah mencuba selama 2 bulan, kesemua peranti rosak. Akhirnya, mereka mendapatkan peranti berkualiti dari Eropah.

Oleh kerana pada awalnya usaha mereka tidak dibiaya oleh mana-mana pihak, Katsana berusaha mendapatkan sebanyak-banyak jualan ketika baru bertapak. Pada bulan kedua, Katsana mencatatkan jualan sebanyak RM70,000.

Mula Mendapat Perhatian

Selepas produk mereka sudah siap untuk dipasarkan, Pixelated Sdn Bhd melakukan promosi jualan Katsana secara besar-besaran melalui Facebook.

Daripada situ, mereka mula mendapat pelanggan-pelanggan awal.

Pada April 2014, sebuah kereta Honda Civic Type-R pelanggan awalnya dicuri pada pukul 5.30 pagi di Flora Damansara.

Sepanjang kejadian, lokasi terbaru kenderaan tersebut dapat dilihat di skrin oleh pelanggan, pasukan Katsana dan pihak-pihak lain yang terlibat.

Akhirnya, pada pukul 7.00 pagi, kereta pelanggan ini dijumpai semula di Putra Height.

Berita penemuan ini betul-betul viral menyebabkan Katsana mula mendapat perhatian orang ramai.

Pada April 2014, solusi Katsana dipaparkan di Astro Awani sebanyak 2 kali.

Tidak berapa lama kemudian, Pixelated Sdn Bhd memperoleh geran Teraju SUPERB sebanyak RM500,000 untuk penambahbaikan Katsana.

Kejayaan demi kejayaan yang ditempa semakin meningkatkan kredibiliti Katsana di mata pengguna.

Pelanggan Enterprise Dan Korporat

Pada mulanya, Katsana dibuat untuk pasaran pengguna.

Lama-kelamaan, setelah memahami potensi untuk berkembang (scalability ) dan pengurusan pelanggan, Pixelated mula menumpukan Katsana buat pasaran korporat.

Pelanggan-pelanggan korporat memerlukan solusi Katsana diintegrasi dengan sistem mereka sedia ada. Oleh kerana Katsana dibangunkan in-house, dan dengan sumber tenaga berbakat yang ada, Pixelated berupaya membangunkan integrasi dan solusi yang membuat pelanggan korporat tersenyum.

Salah satu pelanggan korporat Katsana memiliki 1,000 kenderaan. Apabila dihimpunkan kesemua kenderaan, Katsana memproses 4.5 hingga 5 juta data setiap hari, pada Mac 2015.

Pada hujung 2015, dengan kedatangan pelanggan GLC yang baru, mereka memproses lebih daripada 22 juta data sehari.

Selain daripada GPS Tracking, Katsana menyediakan solusi Katsana Fleet (pengurusan lori), Katsana Shuttle (pengurusan bas) dan Katsana Marine (pengurusan kenderaan marin) untuk pelanggan korporat.

Sehingga kini hampir 90% pelanggan Katsana adalah pelanggan korporat.

Industri Insurans Motor

https://youtu.be/SjVmJbBns2I

Selain daripada tracking, data Katsana mampu mengenal pasti corak pemanduan dan risk factor setiap pemandu yang terlibat. Pendek kata ia berupaya melakukan nudging dan profiling kepada setiap pemandu.

Katsana merupakan berita baik buat pemegang-pemegang insurans yang memandu secara baik kerana dengan kurangnya risk factor bermakna bayaran premium insurans lebih murah apabila de-tariffication mula diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia kelak.

Ia juga berita baik buat industri insurans motor yang dapat menggunakan data untuk mengenali pemandu, dan juga dapat mengesan kenderaan yang dicuri.

Ini sudah tentu membantu sektor insurans kenderaan yang mengalami kerugian sebanyak RM221 juta pada setengah tahun pertama 2015 disebabkan peningkatan tuntutan kemalangan dan kecurian.

Solusi baru ini akan ditawarkan secara percuma kepada pelanggan-pelanggan insurans.

“Untuk Katsana Insights, kami telah pun berbincang dengan beberapa VCs (venture capitalist) – kami perlu mereka faham apa yang kami usahakan adalah projek jangka panjang dan keuntungan tidak dapat dilihat dalam jangka masa pendek.”

“Untuk seed funding, kami bercadang mengumpul sebanyak US$3juta untuk Katsana Insights,” katanya sambil berkata, mengikut perkiraan, Katsana Insights dijangka memberi pulangan pada pertengahan tahun kedua selepas pelancaran pada bulan November nanti.

“Kami merancang untuk memasang Katsana pada 1,000 buah kenderaan sebulan untuk projek ini,” katanya lagi.

Bagaimana Katsana akan mengubah industri ‘dinosaur’ ini adalah perkara menarik untuk dilihat.

Melihatkan success rate mereka yang mampu menemui semula 46 kenderaan daripada 47 buah yang dicuri, kami yakin Katsana mampu melakukannya.

Peluang Menemui Syed Ahmad Fuqaha

Kami tahu cerita ini tidak lengkap untuk anda mengenali Syed Ahmad Fuqaha dan Katsana.


Justeru, Vocket akan mengadakan satu acara pada 12 November 2016 yang mana beliau bersama 4 orang lagi founder startup akan berada di atas satu pentas untuk berkongsi pengalaman.

Acara yang dinamakan Vocket Talk ini adalah peluang untuk pemilik-pemilik bisnes dan usahawan-usahawan membina “A Million-Dollar Network” di samping mendengar perkongsian daripada Syed Ahmad Fuqaha.

Daftar dan dapatkan tiket anda di sini.

Selain daripada Fuqaha, turut berkongsi pentas VocketTalk 2016 yang akan diadakan nanti ialah pengasas Benang Hijau iaitu Puan Fadzilah Mamat. Beliau pernah berkongsi bagaimana Benang Hijau berkembang sehingga memiliki 18 butik seluruh negara.