Ada seorang staff baru datang Riyadh pada bulan Disember 2006. Kalau tak silap. Dia baik punya stok semua baju nipis lengan pendek dalam bagasi. Dari kemeja sampailah tshirt.

Sampai di King Khaled International Airport (KKIA), dia menggigil kesejukan. Terus demam berhari-hari. Aku tanya kenapa tak bawa baju sejuk tebal. Dia fikir Arab Saudi negara padang pasir. Jadi terlampau panas 365 hari setahun.
Aku tanpa simpati terus ketawa.

Arab Saudi memang negara padang pasir. Tapi ramai lupa subjek geografi yang dipelajari di sekolah dulu.

Pertama. Padang pasir ni bukan iklimnya sentiasa terlalu panas. Ada juga sejuknya. Kalau masa musim panas, ia akan jadi terlalu panas. Kalau masa musim sejuk, ia akan jadi terlalu sejuk.

Aku sendiri pernah merasa suhu bawah kosong di Riyadh semasa musim sejuk, dan aku juga pernah dapat suhu lebih 45 darjah semasa musim panas.

Kedua. Arab Saudi pula bukan terletak di garis khatulistiwa macam Malaysia. Ia terletak di garisan Sartan di hemisfera utara. Kiranya kedudukan Arab Saudi hampir sama dengan China dan bawah sikit dari wilayah selatan US. Jadinya, memang tak hairanlah kalau Arab Saudi dilanda musim sejuk dan panas.

“Tapi kenapa kami pergi umrah tak sejuk macam tu pun?”

Sebenarnya, wilayah Jeddah dan Makkah sejuk. Tapi tak sesejuk wilayah Riyadh. Mungkin disebabkan kedudukan mereka yang hampir dengan pantai. Manakala Riyadh berada di tengah semenanjung Arab.

Jeddah dan Makkah juga berada di kedudukan lebih selatan dari Riyadh atas peta. Ditambah pula “elevation” Jeddah dan Makkah yang dikira lebih rendah berbanding Riyadh.

Okay. Semalam ada satu wilayah di Arab Saudi dilanda salji. Nama dia Tabuk.
Aku jamin dalam beberapa jam lagi berita mainstream Malaysia akan keluarkan cerita ni. Macam tahun-tahun lepas. Lepas tu akan ada blog macam OhBohjan akan sensasikan cerita. Dan ada individu pula yang up status FB dan spin cerita pasal ni.

Macam biasa, ayat macam ni akan ada:

“Nak kiamat!!! Nak kiamat!!!”

Semuanya nak tunggang agama. Padahal dia nak kejar like dan traffik. Bukan nak beri informasi. Jadi, baik aku terangkan sebelum anda kena spin dengan malaun macam ni.

Tabuk ni terletak antara kawasan paling utara di Arab Saudi. Lagi utara dari Riyadh. Dan beraltitud lebih 700 meter dari aras laut. Adalah tidak menghairankan salji turun di kawasan Tabuk pada musim sejuk. Ia bukan fenomena luar biasa. Dan pernah berlaku banyak kali sebelum ini.

Sampaikan orang di sana tenang-tenang buat snowman kalau salji turun. Ada juga yang buat parodi bergaya macam orang belajar universiti dekat Eropah.
Cumanya salji tidaklah konfem turun di Tabuk ni setiap tahun. Bergantung pada cuaca dan saljinya pula mungkin tak setebal di kawasan Eropah atau juga mungkin turun berhari-hari.

Yalah Eropah tu lagi utara kedudukannya kan. Sekarang anda dah tahu?

Sekian,
Bekas perantau padang pasir.