Tempoh hari saya berkunjung ke rumah Puan Meriza Anna dan Tuan Azrul Rahim bagi meraikan majlis rumah terbuka mereka. Selain itu, dapat juga menyerahkan buku Mat Cleaner UK yang ditempah.

Sebagai bekas cleaner, sudah tentu saya juga tertarik dengan bisnes Maideasy yang mereka usahakan. Selain memecahkan stigma negatif terhadap kerjaya sebagai tukang cuci, ini juga satu platform untuk golongan bumiputera mencari pendapatan untuk sara hidup.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Tukang cuci di sini memang semuanya rakyat Malaysia. Ada di kalangan mereka yang kurang berkelayakan akademik, ada yang sukar mendapat pekerjaan di tempat lain akibat masalah kesihatan dan lain-lain.

Waktu berbual dengan Puan Meriza, antara yang kami bincangkan ialah bagaimana mentaliti sebahagian orang Melayu yang inginkan kejayaan dengan cepat, kaya berjuta-juta jadi ukuran ‘berjaya’, dan kaya berjuta-juta itu jadi matlamat hidup.

Sedangkan ramai yang terlupa bahawa kejayaan itu bukan diukur dengan wang ringgit. Bahkan perjalanan mengubah nasib hidup dan melangkaui segala rintangan itulah yang sepatutnya jadi satu nikmat.

Saya juga berbincang dengan beliau untuk menulis tentang cleaner di Maideasy yang mempunyai latar belakang yang cukup unik untuk kita jadikan inspirasi dan iktibar.

Salah seorang dari tukang cuci itu mempunyai suami yang mengidap kencing manis hingga kakinya dipotong. Si isteri tercari-cari pekerjaan yang memungkinkan dia menjaga suaminya dan dalam masa yang sama menyara hidup sekeluarga. Lalu dia memohon untuk menjadi tukang cuci separuh masa

Ada juga yang mengidap penyakit gout, namun dalam kesakitan di bahagian kaki itu, masih gigih juga menjadi tukang cuci untuk mencari pendapatan seharian.

“Why don’t you interview them?” kata Puan Meriza sambil menunjuk ke arah 4 orang anak muda yang sedang makan semeja di satu sudut.

“They are our permanent cleaners. Maybe you can start with their stories.”

Perlahan-lahan saya bangun dari kerusi dan menuju ke meja tempat mereka makan.

“Assalamualaikum,” saya menegur sambil bersalaman dengan mereka semua.

Sambil duduk, saya teruskan perbualan.

“Saya ada tulis buku Mat Cleaner UK tu, yang saya bawa untuk Puan Meriza. Saya ingat nak tulis juga tentang cleaner kat Malaysia ni. Puan Meriza kata awak semua ni cleaner permanent eh?”

Kesemua mereka mengangguk.

“Kenapa pilih kerja jadi cleaner?” saya cuba mencungkil.

Anak muda di kiri saya menjawab, “Sekarang nak cari kerja pun dah susah. Lagipun kami tak ada kelayakan. Saya ada UPSR je. ”

“Oh macam tu,” saya pula yang mengangguk.

Korang takde rasa terhina ke kerja cleaner ni?”

Mereka ketawa kecil. Mungkin soalan saya agak provokatif sedikit, tapi sengaja saya tanyakan begitu sebab itulah pandangan serong yang selalu diterima oleh tukang cuci.

“Tak langsung. Kitorang happy je buat kerja ni. Tak ada lah stress mana. Lagipun kami memang suka kerja-kerja cleaner, bersihkan rumah orang, tolong orang pindah barang ni.”

“Jaga kebersihan semua ni pun memang sebahagian dari iman, kan? Kalau rumah kotor, pejabat kotor, siapa yang nak bersihkan? Cleaner juga.” kata anak muda yang duduk berhadapan dengan saya.

“Betul tu,” pantas saya menjawab. Kalau boleh kaitkan dengan tuntutan agama, itu sudah bagus.

“Saya dulu pun cleaner juga. Masa saya belajar, saya jadi part time cleaner waktu cuti musim panas. Itu yang saya tulis pengalaman saya dalam buku tu,” giliran saya pula bercerita.

“Saya sebenarnya kagum dengan awak semua. Biasanya budak-budak muda jarang yang nak berkuli dan kerja jadi cleaner. Selalunya nak kerja kilang, atau kerja di KFC, McD, Starbucks. Yalah, nanti balik raya bila orang tanya kerja apa, boleh jawab dengan bangga.”

“Tapi kamu ni bagus. Kamu tak rasa kerja cleaner ni sesuatu yang hina, malahan satu pekerjaan yang mulia. Dan kamu bila tak ada kelayakan akademik, kamu tak duduk diam buang masa bahkan cari kerja yang berfaedah kepada masyarakat. Jarang jumpa budak muda yang fikir positif macam kamu semua ni.”

“Masa saya buka kilang dulu, ramai budak muda yang datang kerja di kilang saya hanya fikir short term, mahu kaya cepat, tak mahu berkuli dan bina skill. Bulan pertama dapat gaji terus beli telefon pintar. Bulan kedua dah beli sport rim motor. Bulan ketiga dah tukar ekzos.”

“Kalau kita tengok pekerja Bangladesh, dulu mereka datang sini semua bermula jadi kuli. Tapi sekarang semua dah buka kedai sendiri. Tengok di Plaza Imbi, banyak kedai repair komputer sekarang milik orang Pakistan dan Bangladesh. Dulu semua tu kerja dengan tauke Cina, jadi kuli 2-3 tahun. Bila dah pandai, akhirnya mampu buka kedai.”

“Sebab itulah, saya memang suka nak tulis pasal kisah cleaner kat Malaysia ni. Saya tengok ramai yang boleh kita jadikan inspirasi.”

“Kita ubah mentaliti dan cara pandang rakyat Malaysia melalui kisah kamu semua ni. Biar orang tahu bukannya hina jadi cleaner. Dan biar orang tahu, tak salah berkuli 2-3 tahun untuk bina skill dan tambah nilai dalam diri kita.” saya menyudahkan sesi ceramah ringkas malam itu.

“Betul tu bang, tapi masalahnya jenis-jenis ni semua tak baca buku. Abang tulis buku pun diorang tak baca macam mana?”

Kami serentak ketawa beramai-ramai. Betul juga tu. Nak ubah mentaliti, tapi target market pula tak baca buku.

“Macam tu saya buat movie jelah, mungkin diorang tengok kot,” kata saya berseloroh.

“Haa, bagus tu bang. Nanti bolehlah panggil kami 4 orang jadi pelakon. Glamour kami nanti,” kata anak muda di sebelah kiri saya.

“Haha, boleh boleh. Korang semua jadi pelakon utama nanti. Baru best kan. Ini cerita cintan cintun karipap cintalah suamiku sotonglah. Baik buat cerita pasal cleaner. Lagi bermanfaat.”

Saya menyudahkan perbualan malam itu dengan satu harapan, agar kisah-kisah rakyat marhaen seperti ini dapat ditulis dan disebarkan kepada semua lapisan masyarakat.

Pertama, untuk dijadikan inspirasi tentang kehidupan dan survival. Kedua, supaya pihak yang berkemampuan boleh menghulurkan bantuan atau sokongan yang sewajarnya.

Semoga usaha ini menjadi kenyataan. Tak jadi buku pun tak mengapa, asal ada yang mendapat manfaat darinya.