“Meniaga sesama Melayu ni takkan tak boleh tolong?” tanya seorang kakak pemilik rangkaian tadika popular yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara kepada saya.

Beliau datang ke kedai kami dan meminta untuk dibuatkan kad perniagaannya secepat mungkin. Maka bertungkus lumuslah staff saya siapkan bisnes kad untuk beliau.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Bila tunjuk bil yang hanya RM45 beliau melenting. Katanya benda simple dan mudah gitu pun nak caj mahal-mahal. “Macam ni ke nak tolong Melayu berniaga?” herdik beliau lagi.

Di dalam hati saya merasa amat sedih. Seorang pemilik sebuah franchais tadika yang sangat besar memandu kereta hebat namun kedekut untuk membayar servis yang telah diberikan istimewa kepadanya. Kerja lain ditinggalkan bagi membantu beliau yang ingin dilayan segera.

Saya ini peniaga kecil (ketika itu), mana nak bayar sewa kedai, bayar staff, overhead dan segalanya. Dengan caj RM45 untuk rekabentuk segera sekeping kad dan cetak terus 150 keping bisnes kad, berapa sangatlah yang kami untung.

Beliau sebagai seorang Melayu yang berjaya sepatutnya membantu atau menolong peniaga kecil seperti saya. Sebaliknya saya pula yang diminta bagi membantu beliau yang sudah sedia kaya.

Oleh itu, saya dengan seyum paling hensem berkata “Akak ambillah kad ni, percuma jer. Saya sedekah. Saya doakan semoga bisnes akak terus maju dan berkembang. Amin”

Terus saya tinggalkan beliau.

Yang kedengaran selepas itu ialah “terima kasih dik” sambil beliau berlalu ke kereta mewahnya.

Cerita kedua.

“Macam ni ke Melayu nak tolong Melayu berniaga?” kata seorang timbalan naib canselor sebuah universiti kepada staff saya apabila berjumpa beliau untuk meminta bayaran sekitar RM2,500 kalau tak silap.

Katanya caj kami kenakan sangat mahal untuk puluhan bunting dan backdrop yang diorder pada jam 10.00 pagi dan harus digantung siap pada jam 2.00 petang.

Setelah bertungkus lumus maka, pembayaran kami harus ditangguhkan kerana terlalu mahal katanya. Beliau boleh dapat harga jauh lebih rendah dari pembekal lain dan mahukan kami menurunkan harga.

Sangat sedih apabila staf menceritakan perkara tersebut lalu saya telefon beliau dan bertanyakan sendiri tentangnya. Memang benar apa yang diceritakan oleh staff saya. Dia memang berkata yang kami haruslah menolong beliau (sesama amelayu) dengan memberikan diskaun yang terbaik.

Saya katakan pada beliau “Bukankah pihak tuan sebuah institusi yang besar patut menolong peniaga melayu kecil seperti saya ini?”

Beliau senyap seketika dan saya mencelah lagi.

“Tidak mengapalah tuan, bayarlah berapa sahaja yang pihak tuan (universiti) mampu untuk kerja kami tu. Walaupun kami peniaga kecil namun jiwa kami besar. Selebihnya saya halalkan”

“Alah.. Jangan macam tu” balas beliau. Namun saya ucapkan salam dan putuskan talian.

Saya tidak ingat samada kami dibayar atau tidak untuk projek tersebut kerana saya sudah tidak ingin untuk ambil tahu.

Letih juga jadi Melayu ni.

Ini cerita 7 tahun lalu. Teringat balik sebab semalam berlaku lagi.

Saya yakin sebagai peniaga, semua peniaga lain juga tidak kisah untuk memberikan diskaun, namun jaganlah diherdik peniaga kecil dengan ayat sebegitu. Itu sahaja. Sebagai klien awak entitled untuk mintak diskaun tapi sila jaga adab. Mudah.