Semenjak duduk di kawasan universiti, memang jarang bergaul dengan masyarakat berpendapatan rendah.

Maklumlah, hanya golongan yang berpendapatan tinggi dan sederhana yang mampu untuk ke universiti. Kawasan perumahan di sekitar universiti pun selalunya lebih tinggi sewanya daripada biasa.

Hari ini ditakdirkan kereta rosak dan terpaksa menggunakan khidmat uber ke Downtown, kemudian menaiki bas selama 20 minit daripada Downtown untuk ke tempat kerja.

Baru pertama kali sampai ke kawasan stesen bas ini saya sudah merasa seperti di dunia yang baru dengan jenis orang, pakaian dan bau yang sungguh berbeza. Teringat bandar Troy di New York dahulu.

Merasai sendiri perit menahan sejuk -12C untuk menunggu bas, memberikan saya kesedaran kenapa ramai orang berpendapatan rendah memakai jaket yang tebal-tebal, selalunya 2 atau 3 lapisan jaket atau sweater.

Tambahan pula, jaket-jaket nipis tetapi panas sudah tentunya terlalu mahal. Mereka ini tidak mampu untuk berkereta, maka redah sahajalah menunggu bas dalam sejuk pun asalkan dapat tiba di tempat kerja.

Kelihatan seorang lelaki tergesa-gesa mengira duit syilingnya untuk membayar tambang bas. Satu semi satu dikiranya. Penat pemandu bas itu menunggu. Selesai membayar, beliau pun duduk di seberang tempat duduk saya.

Tiba-tiba seorang wanita menegur beliau. Kelihatan mereka memang saling mengenali. Barangkali kerana selalu menaiki bas yang sama untuk ke tempat kerja. Mereka saling bertanya khabar mengenai perihal masing-masing.

Kemudian wanita tersebut memberi sebuah kad kepadanya. lelaki tersebut membelek-belek kad tersebut dan memulangkannya. “Its yours” katanya tanpa sebarang emosi.

Kemudian wanita itu menegaskan bahawa itu adalah hadiah yang beliau hendak beri. Terharunya lelaki itu mendapat pas bas percuma selama 31 hari, sehingga berulang-ulang kali mengucapkan terima kasih.

Saya termenung memikirkan situasi yang saya baru saksikan itu. Barangkali mereka yang berpendapatan sederhana atau tinggi dan mampu berkereta, tidak dapat merasa suasana ‘komuniti’ yang ada pada mereka yang terpaksa mengharungi kesusahan.

Hanya orang yang susah dapat mempunyai empati terhadap orang yang juga susah seperti mereka. Atas sebab itulah kita sering mendengar frasa “those who have less, give more”.

Gaya hidup ‘middle and upper class’ hari ini telah menjadikan kita hidup dalam kepompong kita sendiri dan jauh daripada orang kebanyakan. Jalanraya dipenuhi kereta tetapi semuanya tertutup dalam ‘silo’ masing-masing. Pergi kerja pada pukul 9 pagi kemudian pulang ke dalam kehangatan rumah masing-masing pada 5 petang.

Sebab itulah jurang golongan top 1% semakin hari semakin membesar. Yang kaya tidak pernah ambil tahu perihal kesusahan yang dilalui golongan miskin. Manalah mungkin mereka kesah hendak memberi bantuan kepada yang miskin?

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri” (An-Nisa : 36).

Baca lagi: Nikmat Tuhan Yang Akhirnya Aku Sedari Semasa Dalam Kesusahan Sewaktu Kembara Di Iceland