Setiap hari kelas tuisyen akan bermula jam 8 malam. Menjadi rutin untuk saya memulakan perjalanan jam 7 dan tiba di sana kira-kira 30 minit kemudian (campur traffik jam dan lampu isyarat).

Biasanya, saya hanya membeli makanan di mana-mana kedai berhampiran dengan tempat tuisyen yang sempat saya singgah atau dengan kata lainnya, saya hanya makan malam andai masih mempunyai masa berbaki sebelum kelas bermula.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Semalam, saya lewat dari biasa. Jam sudah pukul 7.22 petang, saya baru terkial-kial hendak menghidupkan enjin kereta. Saya teragak-agak untuk membeli sesuatu sebagai alas perut dek bimbang akan tiba lewat nanti.

Sudahnya, saya paksakan juga diri untuk singgah di kedai berhampiran rumah. Sambil itu, saya pujuk hati agar kekal bertenang andai terpaksa mengharungi traffik yang sesak.

Memang sudah jadi kebiasaan diri, “Bismillahhi lazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardhi wa la fi sama’ wa huwas sami’ul ‘alim” dibaca sebelum memulakan pemanduan ke mana-mana serta berniat semoga Allah memberi kelancaran.

Ia bermaksud: Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Mengejutkan, semasa dalam perjalanan, hampir kesemua lampu isyarat yang perlu dilalui bertukar hijau tatkala kereta saya menghampiri persimpangan. Spot yang selalu saja mengalami kesesakan yang teruk, masih lancar aliran traffiknya.

Dengan izin Allah, saya masih tiba awal di Puncak Jalil (tempat tuisyen) meski bergerak lambat dari Serdang. Benarlah, berdoa kepadaNya buat diri ini yakin dan bertenang.

Apabila bertenang, saya sempat membeli sesuatu untuk makan malam meski hanya seketul roti dan sekotak air milo. Apabila sempat makan, saya lebih fokus untuk mengajar (orang lapar cepat marah dan tidak fokus). Apabila fokus, kelas lebih proaktif.

Sambil memandu, saya reflek semula, andai saja diikutkan hati yang ingin cepat tadi, pasti saya tidak bertemu pengajaran seperti ini. Dek itulah, membuat keputusan kala hati tenang dan rasional akan menarik perkara positif. Hal ini selari dengan yang diriwayatkan dalam hadis Qudsi, Allah bertindak menurut sangkaan hamba-Nya.

Tenang, all is well. InshaAllah.