Travel ke Afghanistan telahpun dilakukan oleh beberapa traveller Malaysia. Tapi bagaimana pula jika menyertai latihan praktikal di hospital di negara ini? Ia semestinya satu pengalaman yang hanya dapat dirasai oleh segelintir mereka yang sanggup saja.

Namun itulah yang telah dilakukan oleh Dr Siti Fatimah Zaharah Zulkapli atau lebih mesra dipanggil Akiey di kalangan rakan-rakan. Gadis yang berasal dari Alor Gajah, Melaka ini merupakan graduan perubatan dari Palacky University, Olomouc, Czech Republic.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut Akiey, beliau baru saja selesai menjalani internship sebagai House Job Doctor di salah sebuah hospital di Kabul, Afghanistan. Namun secara peribadi, saya lebih mengenali Akiey  kerana minat mengembara beliau.

Baiklah, tanpa buang masa mari kita berkenalan lebih lanjut dengan Akiey yang akan berkongsi tentang diri beliau serta pengalaman menarik sewaktu menjalani latihan praktikal di Afghanistan baru-baru ini.

Cubaan bersungguh-sunnguk peluk Iceland. Ya Rabbi cantiknya ciptaan Tuhan! Sangat unik Iceland ni, tak pernah terfikir akan sampai sini.

Sejak bila minat mengembara. Dan kenapa? Masih ingat ke mana tempat pertama pergi?

Minat untuk travel sejak kecil. Saya masih ingat lagi, pada zaman persekolahan, saya lebih gemar menaiki bas ke sekolah petang berseorangan. Walhal ibu saya adalah guru di sekolah saya.

Sebolehnya saya ingin menaiki bas meskipun ibu akan ke sekolah dengan kereta. Saya dari kecil suka merayau dengan basikal di sekitar kampung dan bas ke bandar. Mungkin dari situ, sudah melatih diri berdikari dan lebih berani.

Kami sekeluarga pernah menetap di Lancaster, United Kingdom ketika ayah menyambung Masters di sana. Pantang ada cuti sekolah, ayah akan membawa kami adik-beradik semua berjalan-jalan sekitar UK. Pulang di Malaysia pun juga begitu.

Aktiviti travel semakin giat sejak saya menyambung pelajaran perubatan ke Czech Republik. Meskipun telah habis pengajian, saya masih meneruskan travel addiction saya dan terbaru, saya berada di Afghanistan yang merupakan negara ke 53 saya. Alhamdulillah

Apa pula yang mendorong Akiey untuk memilih doktor sebagai kerjaya?

Secara jujur, cita-cita sejak kecil adalah menjadi seorang pemandu Formula 1 terhebat di dunia. Harapan ibu ayah pada saya pula adalah untuk menjadi seorang doktor pakar.

Meskipun pada awalnya, niat saya cuma hanya menuruti kemahuan keluarga, tetapi Alhamdulillah, berkat doa ibu ayah, saya temui minat dan misi kehidupan dalam perjalanan saya menjadi seorang doktor.

Memang benar bahawa keberkatan hidup itu terletak bersama keberkatan dan restu ibu ayah. Doa ibu ayah makbul. Saya sangat bersyukur dengan pilihan ini.

Banyak impian dan angan-angan juga dapat saya realisasikan sepanjang perjalanan menjadi seorang doktor terutamanya dalam aspek travel. Dan minat memandu juga saya telah salurkan pada bisnes ‘travel agency’ di mana saya adalah pemandu dan juga tour guide untuk pelanggan-pelanggan saya di sekitar Eropah.

Travel agency adalah kerja separuh masa yang saya jalankan dan kini menjadi salah satu sumber wang untuk saya menampung perbelanjaan hidup di Eropah.

Alhamdulillah, saya tidak menyesal bahkan teramat bersyukur dengan keputusan ini. Sememangnya doa ibu ayah tiada hijab dan banyak sangat hikmah kehidupan saya pelajari sepanjang perjalanan saya menjadi seorang doktor.

Minat terhadap bidang ini semakin bercambah hari demi hari dan kini saya berazam untuk memberikan yang terbaik dalam bidang yang saya ceburi ini.

Peluang Jalani latihan perubatan di Afghanistan

Saya berkhidmat di Blossom Health Care Center, Kabul, Afghanistan. Saya bertugas sebagai House Job Doctor dalam tempoh yang sangat singkat bagi saya, iaitu sebulan.

Perancangan untuk ke Afghanistan bukanlah dirancang setahun lalu. Niat untuk datang ke Afghanistan sudah lama membakar dalam tetapi ilham untuk menjalankan praktikal di sini muncul ketika saya pulang ke Malaysia baru-baru ini.

Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana telah merealisasikan impian saya ini pada usia yang masih muda dan sihat fizikal.

Sejujurnya, saya membayangkan 5-10 tahun akan datang, saya berkhidmat sebagai doktor sukarelawan di negara bergolak seperti Afghanistan, mahupun mana-mana negara dalam situasi mendesak yang memerlukan doktor.

Jadi, internship di Afghanistan ini bagaikan suatu mimpi, dan Tuhan sangat penyayang! Terlalu banyak pengalaman berharga telah saya perolehi sepanjang perkhidmatan saya sebagai House Job Doctor di Afghanistan dan ianya pasti adalah pengalaman paling manis dan bermakna dalam perjalanan karier medikal saya.

Kenapa Afghanistan?

Keazaman untuk datang ke Afghanistan didorong oleh berbagai niat. Saya memilih Afghanistan pada mulanya kerana ingin tahu bagaimana sistem pengurusan kesihatan di negara dunia ke 3 seperti di Afghanistan.

Negara Afghanistan sedikit sebanyak memberikan vibes atmosfera bekerja di negara perang. Secara umumnya Afghanistan sudah pun diistiharkan bebas daripada peperangan.

Tetapi masih ramai masyarakat luar yang tidak tahu bahawa masih berlalu perang antara tentera Afghanistan dan pihak Taliban di beberapa daerah. Menurut warga tempatan, Kabul yang merupakan ibu negara adalah daerah paling selamat, namun ada juga kejadian pengebom berani mati baru-baru ini di bandar ini.

Bukan niat saya untuk menakut-nakutkan pembaca, tetapi inilah realiti yang harus anda tahu serta risiko yang perlu diambil kira sebelum merancang datang ke Afghanistan.

Secara peribadi saya juga dalam proses istikharah kerana keliru dalam memilih apakah jalan terbaik yang harus dipilih untuk karier medikal saya pada masa akan datang.

Saya ingin meneroka kemampuan dan kecenderungan saya. Saya berharap perjalanan saya di Afghanistan ini akan memberikan panduan lebih jelas dengan misi hidup saya pada masa akan datang. Alhamdulillah saya temuinya di Afghanistan.

Tapi, apa sebenarnya yang membuatkan saya datang ke Afghanistan adalah keinginan untuk bertemu dan berinteraksi dengan orang tempatan terutamanya wanita disebalik burqa (atau Chadori).

Sifat ingin tahu yang membuak-buak dan mencari kebenaran tentang kehidupan warga Afghanistan yang dikatakan hidup tertindas terutamanya kaum hawa sepertimana yang digambarkan di media dunia.

Saya ingin korek kisah hidup mereka. Saya ingin lihat wajah di sebalik kain dan jaring biru. Saya ingin berinteraksi dengan wanita-wanita ini.

Penerimaan keluarga

Tiada ibu bapa yang tidak akan melatah jika anaknya mahu ke negara bergolak, tambahan pula saya seorang wanita yang travel secara solo. Saya juga tidak mahu ibu dan ayah terlalu risau dengan keadaan saya, tetapi hati sudah nekad untuk menjayakan misi personal saya ini.

Setelah urusan dengan pihak hospital dari Kabul selesai, baru saya memberitahu ibu saya. Ibu pada awalnya tidak mahu saya pergi kerana risau.

Bahkan sehari selepas saya memberitahu ibu, telah berlaku kejadian suicide bomb di Kunduz yang melibatkan kematian beberapa tentera Amerika. Berita itu membuatkan ibu lagi tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk ke Afghanistan.

Namun, Alhamdulillah, pertemuan pertama kali saya dan ibu bersama Kak Ida di Shah Alam telah berjaya meleraikan kerisauan beliau. Somehow there’s magical words shared by Kak Ida that soften my mother’s heart.

Mungkin kerana Kak Ida yang juga seorang ibu lebih memahami jiwa ibu saya, lantas berjaya memujuk ibu saya untuk meredhakan pemergian saya ke Afghanistan. Percaya atau tidak, selepas pertemuan ibu, saya dan Kak Ida di Shah Alam, ibulah yang menemani saya ke Embassy of Afghanistan di Wisma Sin Heap Lee.

Saya juga telah memberitahu Angah, abang saya tentang misi rahsia saya ke Afghanistan. Angah tidak bersetuju dengan kerja gila saya. Katanya, jika sudah ada cop visa Afghanistan dalam passport, pergerakan travel untuk negara-negara tertentu akan terbatas dan hanya mendatangkan masalah.

Saya faham kerana beliau lebih arif dengan hal-hal seperti ini kerana Angah telah pun ke negara bergolak seperti Selatan Sudan untuk urusan kerja.

Di sini, saya turut ingin memohon maaf kepada ayah saya, Tn Hj Zulkapli Othman, kerana anaknya ini tidak memberitahu niat untuk ke Kabul sehinggalah saya menjejakkan kaki pada hari pertama saya bekerja di sini.

Langkah degil saya ini tidak patut diikuti oleh rakan-rakan ya. Saya cuma tidak mahu ayah dan ibu risau dengan anak perempuan dia ini. Alhamdulillah, kedua ibu bapa saya sudah dimaklumkan dan respon mereka sangat positif.

I would like to give a HUGE thanks to my parents and family who’ve been incredibly supportive with what I’ve been doing for the past years up till now. Thank you for not giving up on me! (Okober 2, 2016 sebelum berlepas ke Iran)

Permandangan bentuk muka bumi Afghanistan dari langit.

Perasaan sewaktu pertama kali menjejak kaki di Afghanistan

MasyaAllah, gembira tak terhingga, excited macam pergi ke bulan! Saya memang tak tidur sepanjang perjalanan dari Dubai ke Kabul. Mata bulat sepanjang penerbangan!

Tambahan pula, saya terlalu asyik melihat struktur mukabumi Afghanistan dari pandangan langit (dalam kapal terbang). Subhanallah negara ini sungguh kaya dengan gunung-ganang yang sungguh cantik!

Saya masih ingat saat-saat saya menjejakkan kaki di luar lapangan terbang Hamid Karzai Kabul. Saya telah diingatkan oleh seorang rakan yang pernah travel di Afghanistan untuk tidak tunggu di luar lapangan terbang kerana kecenderungan polis untuk mengesyaki sesuatu.

Namun ketika itu, saya harus mencari contact saya iaitu Dr Bahar, Pengarah Perubatan Hospital yang akan menjemput saya di airport. Saya gagal menghubungi beliau dan beliau juga tidak dapat menghubungi saya.

Di ruang letak kereta, terdapat banyak askar tempatan dan askar Amerika. Mereka memerhatikan saya dengan pandangan pelik. Baru saya sedar keliling saya cuma saya seorang sahaja wanita yang berlegar di airport.

Tambahan pula, ketika itu saya memakai turban dan mungkin itulah menampakkan lagi jelas saya adalah orang luar yang baru tiba di bumi Afghanistan.

Setelah beberapa ketika, saya didatangi beberapa pegawai askar.
‘Where are your from?’
‘Who are you waiting for?’

‘I’m from Malaysia. I am waiting for a friend to come and pick me up here in the airport. Can you help me? This is his number , I can’t reach him.’

Cuak juga. Badan besar-besar tentera-tentera yang mengelilingi saya. Dan ketika itu hanya saya seorang wanita di kawasan tersebut.

Lelaki itu menggunakan telefon bimbitnya untuk menghubungi Dr Bahar. Mereka tidak meninggalkan saya dan menunggu sehingga kedatangan pemandu Dr tersebut.

And that was a very good introduction and how I was welcomed by the people of Afghanistan!

Menerima layanan baik sepanjang di Afghan

Bumi Afghanistan tidaklah seperti yang digembar-gemburkan di media. Apa yang media tidak ceritakan adalah betapa normalnya kehidupan masyarakat di sini. Ye, normal bagi masyarakat sini.

Afghanistan kini berada di fasa pemulihan selepas terhentinya sejarah panjang peperangan di negara ini. Telah ramai rakyat Afghanistan yang keluar dari negara ini sebagai pelarian mencari perlindungan ke serata dunia.

Populasi pelarian terbesar adalah terdiri daripada rakyat Afghanistan. Namun rakyat yang masih tinggal di negara ini masih berharap Afghanistan akan kembali hebat sepertimana ia merupakan pusat ilmu terunggul selepas Baghdad pada zaman kegemilangan Islam suatu ketika dahulu.

Nama makanan ini Bolani, rupanya seperti roti canai. Rasanya sungguh berbeza dan enak sekali!
Bertandang ke rumah Dr Farid, pakar Orthopedik bersama rakan-rakan doktor yang lain.
Layanan yang diterima. MasyaAllah orang-orang Afghanistan sungguh berhati baik dan amat menghargai tetamu. Sampai ke sudah layanan first class!

Hari-hari mereka akan bertanyakan keadaan saya. Daripada pengarah hospital, askar hingga pakcik kedai depan hospital pun, jika mereka terserempak dengan saya, pasti mereka akan menegur,

‘Dr Fatimah, how are you?’

Hari-hari ada sahaja orang belanja makan, minum dan pelbagai bentuk kasih sayang ditonjolkan oleh orang-orang tempatan kepada saya. Rasa macam selebriti segera pula di sini. Hari-hari mereka akan bertanyakan keadaan saya.

Di hospital pula, kesemua doktor dan pekerja sudah dimaklumkan kedatangan saya, dari Malaysia yang berkhidmat sebagai House Job doctor di Blossom. Terlalu banyak ilmu baru saya perolehi di sini.

Doktor-doktor sudi melayan setiap persoalan saya dan memberikan tunjuk ajar. Dr Mansoor Jamal, pengarah hospital sendiri bertemu dengan saya sebagai tanda menghargai kedatangan saya dari jauh. Mereka sangat humble dan suasana kerja seperti ini sebenarnya adalah dream work place saya!

Saya merasakan kehadiran saya di sini sangat diterima oleh orang-orang tempatan. Jemputan datang makan ke rumah mereka dan jemputan kahwin ada sahaja setiap minggu. Perut saya pun sangatlah bahagia di sini. Setiap masa kenyang!

Paling kanan sekali, Dr Mansoor Jamal, pengarah Blossom HCC.
Doktor Farid, pakar orthopedik sangat pemurah dan suka belanja makanan sedap!
Colleagues dan guru saya, Dr Fraidoon dan Dr Bahar.

Pengalaman manis semasa di Afghanistan

Dalam tempoh sebulan ini, terlalu banyak pengalaman manis dan saya sendiri tidak tahu nak pilih memori mana satu untuk diceritakan.

Paling best dari segi pengalaman bekerja di sini adalah saya dapat mengendalikan pembedahan pertama saya! Jika ikut realiti HO-ship di Malaysia, saya harus berebut dengan HO dan MO lain untuk mendapatkan tempat sebagai Assistant Surgeon.

Jika ikut realiti surgery residency pula, saya hanya akan dapat mengendalikan pembedahan sendiri kebiasaannya bermula pada Y2 surgery residency!

Tetapi internship di Afghanistan ini telah melakarkan memori terindah dalam karier medikal saya kerana saya dapat mengendalikan pembedahan sebagai surgeon meskipun saya masih sangat baru dalam profession ini.

Alhamdulillah saya cukup bersyukur dengan peluang yang Allah berikan. Saya sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh doktor di sini. Sesuatu yang saya tidak rancang dan bayang pun sebelum saya menjejaki Kabul!

Pertama kali melihat Hartmaan Procedure bersama Dr Fraidoon dan Dr Bahar untuk kes Intestinal Obstruction.

Melihat sendiri majlis perkahwinan orang Afghanistan juga adalah satu pengalaman sangat berharga. Di Afghanistan, majlis diadakan berasingan antara lelaki dan wanita.

Biasanya majlis bermula dari jam 5 petang hingga tengah malam. Majlis mereka amatlah sakan dan sangat meriah! Di luar dewan, semuanya nampak normal.

Kebanyakan kaum wanita dengan pemakaian burqa dan chadori dan hanya kelihatan beberapa sahaja yang datang dengan pakaian warna warni. Saya ingat itulah cara pemakaian mereka ke majlis undangan perkahwinan.

Sangkaan saya meleset!

Melangkah masuk ke perkarangan dewan, saya lihat kaum wanita yang datang dengan burqa dan litup penuh dengan Chadori menanggalkan chadori mereka dan tampil dengan baju penuh kerlipan. Wajah mereka dihiasi solekan menonjolkan kecantikan wanita Afghan. Memang saya culture shock!

Tidak alami sebarang peristiwa kurang menyenangkan

Alhamdulillah tiada mimpi ngeri. Saya berdoa agar dijauhkan pengalaman ngeri, pahit, kes pelik ataupun berhantu. Di Afghanistan, soal keselamatan adalah isu serius.

Ketika keberadaan saya di Afghanistan, pihak pengurusan hospital sangat menitik berat keselamatan saya. Ke mana sahaja saya pergi, saya wajib memberitahu pihak hospital.

Askar yang menjaga hospital juga sudah dimaklumkan untuk melaporkan jika saya keluar bersendirian di luar kawasan hospital. Ini berikutan beberapa laporan kejadian penculikan warga asing di Kabul.

Sewaktu di minggu kedua saya di Kabul, seorang doktor pakar kulit warga Afghanistan yang bermastautin di Austria yang pulang ke Kabul telah dilaporkan diculik. Hal ini menyebabkan pihak hosptal risau tentang keselamatan kepada saya.

Sememangnya ada ketika saya merasakan saya seperti di dalam penjara! Saya hanya dibenarkan keluar dengan izin Dr Bahar, dan tidak dibenarkan sama sekali keluar berseorangan.

Saya terpaksa akur kerana memikirkan kesan buruk yang lebih besar jika apa-apa menimpa saya. Jadi, setiap kali cuti bekerja iaitu hari Jumaat, rakan-rakan doktor  akan menemani saya keluar.

 

Menyambut kedatangan saya pada malam pertama di Kabul dengan menjadi Assistant Surgeon untuk Cholecystectomy! Happy!

Peristiwa lucu

Mata sepet saya ini telah membawa banyak memori lucu. Sudah banyak kali orang tempatan menyalah anggap saya adalah orang Afghanistan, iaitu dari kaum Hazara.

Petah mereka berbicara bahasa Pashto dengan saya kerana mereka ingat saya doktor wanita kelahiran Afghanistan. Selalunya saya anggukkan sahaja sampai rakan-rakan doktor lain meng’kantoi’kan saya.

Pernah waktu saya di lapangan terbang, kamera GoPro saya tertinggal di salah satu check point. Setibanya saya di kaunter imigresen, seorang polis datang bertanya secara tiba-tiba, “did you have your camera?”

Ya Rabbi! Baru saya sedar GoPro saya hilang! Kemudian polis itu membawa saya ke luar lapangan terbang.

“Okay, you stay here. Someone will come and give you your camera.”

Terus saya teringat pesanan salah seorang rakan doktor di hospital supaya berhati-hati dengan barang berharga. Katanya, “if you leave your things in Afghanistan, you will never get it back!”

Saya ini memang cuai jugalah orangnya. Dalam sejarah hidup travel ini, memang banyak kali juga saya asyik hilang barang. Tetapi rezeki saya berjumpa dengan orang-orang baik. Saya akan dapat barang saya balik.

Dan siapa sangka, di Afghanistan kisahnya terbalik. Saya sendiri tidak perasan barang saya hilang dan polis di lapangan terbang yang datang kepada saya dan tanyakan jika saya kehilangan kamera.

Alhamdulillah, GoPro saya dapat balik dan ini adalah gambar kenangan saya bersama pegawai polis di lapangan terbang.

Perbezaan ketara yang dapat dilihat di sana

Banyak bezanya. Negara dunia ketiga seperti Afghanistan sememangnya jauh dibelakang dari segi aspek peralatan moden perubatan jika dibandingkan dengan Czech, Germany mahupun Malaysia.

Pertama, banyak penyakit yang tidak atau jarang ditemui di negara lain boleh di lihat di Afghanistan. Penyakit Pulmonary Tuberculosis adalah sesuatu yang normal ditemui di hospital.

1 daripada 5 pesakit adalah suspek untuk TB. Untuk vaksinasi di Afghanistan, ramai di kalangan rakyat mereka tidak mendapat suntikan vaksin. Penyakit berjangkit seperti Polio juga ada di beberapa daerah di luar Kabul.

Organisasi perubatan luar negara, penggiat perubatan dan sukarelawan medikal seperti dari Eropah, Amerika telah banyak masuk ke kawasan luar bandar terpencil bagi menjalankan misi perubatan vaksinasi dan rawatan percuma.

Insititusi perubatan dan hospital di bandar-bandar juga banyak ditubuhkan oleh negara-negara maju seperti American Medical Centre (Amerika), DK-German Medical Diagnostic Centre (Jerman), French Medical Institute for Children dan dan juga badan-badan NGO luar seperti Cure International Hospital, serta banyak lagi.

Surgical cases banyak juga yang menarik. Terdapat pesakit yang tinggal jauh di pedalaman, di luar Kabul memerlukan rawatan pembedahan segera terpaksa travel beberapa hari untuk sampai ke hospital.

Namun akhirnya kondisi kesihatan beliau menjadi lebih teruk apabila tiba di hospital. Menurut rakan-rakan doktor, kelengkapan alatan pembedahan juga memerlukan penambah-baikan.

Untuk aspek psikologi pula, diagnosis untuk masalah dan simptom depressi adalah lebih tinggi di kalangan wanita di negara ini. 60 ke 80% wanita di Afghanistan menderita dengan masalah anxiety dan depression.

Dari segi aspek diagnostik medikal, kemudahan seperti MRI, CTscan, Sonography, Endoscopic ada di hospital dan klinik swasta.

Dari aspek surgical pula, terdapat beberapa hospital yang mula berjinak dengan Laparoscopic Surgery tetapi masih sedikit. Robotic surgery seperti di Eropah tidak ada di sini.

Kebanyakan kes pembedahan mereka masih menggunakan kaedah pembedahan klasik. Pembedahan kosmetik juga kini semakin mendapat perhatian. Permintaan bagi jenis pembedahan kosmetik ini lebih menjurus kepada memulihkan kesan daripada kecederaan perang kepada fizikal mereka.

Ketika pembedahan juga, ada sahaja ketika bekalan elektrik putus hingga membuatkan kami terpaksa mengendalikan pembedahan dengan bantuan lampu suluh dari telefon bimbit. Ia merupakan satu pengalaman baru yang tidak dapat saya lupakan.

Paling menarik perhatian saya adalah, di Afghanistan tiada pengurusan khas untuk pesakit kanser. Untuk surgical intervention, mereka memliki ramai pakar bedah tetapi tiada kemudahan rawatan seperti Chemotherapy dan Radiotherapy. Kemudahan rawatan terkini seperti PCI untuk rawatan coronary syndrome juga tiada di sini.

Secara amnya, kemudahan perubatan lebih mudah didapati di bandar-bandar besar seperti Kabul, Herat dan Mazar e Sharif. Tidak semua daerah memiliki hospital apatah lagi di pedalaman.

Bahkan masih ada kawasan yang tiada bekalan elektrik. Ketiadaan dan limitasi kemudahan perubatan di Afghanistan mendesak penduduk mereka untuk travel ke sempadan Pakistan atau terbang ke India bagimendapatkan rawatan lanjut.

Pengurusan masalah pesakit di sini pula lebih banyak bergantung kepada rawatan ubat- ubatan (pharmacotherapy) dan surgical intervention.

Dengan masalah dan limitasi di negara Afghanistan ini, saya merancang untuk menjalankan program usahasama antara hospital di Afghanistan dengan hospital di Malaysia. Namun masih terlalu awal untuk saya katakan kerana kertas cadangan pun masih dalam bentuk draf.

Masalah bahasa dan komunikasi

Di Afghanistan, terdapat 2 bahasa penting iaitu Dari (Farsi) dan Pashto. Di Kabul, lebih kurang 70% penduduk di sini menggunakan bahasa Dari dan selebihnya bahasa Pashto.

Rakan-rakan dari kalangan pelajar perubatan yang membuat praktikal banyak memberikan saya tunjuk ajar. Bahkan mereka juga membantu saya menterjemahkan soalan-soalan anamnesis (ambil sejarah kesihatan pesakit) dalam bahasa Dari dan Pashto.

Jadi, setiap hari saya praktis bercakap bahasa Dari dan Pashto serta cuba berbicara dengan pesakit. Namun, rakan-rakan doktor dan pelajarlah yang banyak memudahkan kerja saya sebagai House Job Doctor.

Seperti yang saya katakan di atas, mata sepet saya telah membuatkan ramai orang tempatan menyalah-anggap saya adalah kelahiran Afghanistan kerana perkaitan dengan kaum Hazara. Sepet-sepet cina.

Petah mereka berbicara Pashto dan Dari dengan saya kerana menyangka saya orang tempatan. Sebenarnya ini memberikan saya kelebihan kerana lebih mudah untuk saya mendekati pesakit wanita dan ahli keluarganya.

Kebanyakan doktor di hospital pula pandai berbahasa Inggeris. Dalam masa sebulan, boleh dikatakan saya sangat rapat dengan pekerja-pekerja hospital, tidak kira doktor, nurse, askar pengawal, bahkan juga pakcik kantin!

Kebanyakan mereka ingin berbicara bahasa Inggeris bersama saya dan apabila saya bertanyakan khabar dalam bahasa Dari atau Pashto, sungguh mereka gembira kerana saya boleh berbicara dalam bahasa mereka!

Perspektif dan pandangan hidup berubah

Kerja di hospital memungkinkan saya bertemu ramai rakyat tempatan. Namun dek kerana halangan bahasa, komunikasi menjadi agak terbatas. Untuk itu, saya cuba mendapatkan bantuan rakan-rakan untuk mentafsirkan apa yang diceritakan oleh pesakit. Pelbagai cerita pesakit dan juga kisah personal dari doktor di hospital saya cuba korek.

Sememangnya perjalanan hidup orang-orang Afghanistan bukan mudah. Kata pemimpin mereka, ini merupakan perjuangan agama. Namun, rakyatlah paling menderita. Hampir 40 tahun Afghanistan jatuh dalam kancah peperangan. Sayang sekali negara ini telah banyak menghabiskan masanya dengan perang.

Hak pendidikan dan pekerjaan untuk kaum wanita terhad. Hanya kini terlihat perubahan mula memihak kepada wanita yang tinggal di bandar. Sudah ada ahli politik wanita di parlimen.

Dan sejak 10 ke 15 tahun lalu, kaum wanita sudah mula berjinak-jinak menyambung pembelajaran dan diber ruang bekerja di sektor kerajaan. Namun, jumlahnya masih terlalu kecil.

Di pedalaman pula lain kisahnya. Kebanyakan keluarga tidak memberikan hak pendidikan kepada anak perempuan. Ada yang dikahwinkan pada usia muda dan fokus mereka hanyalah menjadi suri rumah.

Satu lagi perkara normal bagi kaum lelaki di sini, setiap seorang lelaki berkahwin dua,tiga dan empat. Anak lebih daripada 10 adalah biasa. Cuma paling sedih apabila anak-anak tersebut hanya dihantar menjadi askar kerana keluarag tiada duit untuk hantar mereka ke sekolah.

Permandangan pekan Paghman dihiasi dengan gunung ganang.

Perskripsi ubat anti-depress adalah antara yang tertinggi di kalangan wanita Afghanistan. Boleh kata setiap hari, dalam 10 pesakit wanita, 7 atau 8 daripadanya datang dengan simtom depressi.

Di jalanan, saya lihat begitu ramai pengemis tanpa mengira usia, lelaki mahupun wanita. Wanita yang mengemis itu semuanya memakai burqa. Lelaki muda bertempang, tidak sempurna anggota tubuh badannya. Mungkin inilah bukti peninggalan perang.

Apa yang saya ingin simpulkan di sini, saya terkesan melihat realiti kehidupan di sini. Pedih hati saya tiap kali saya mendengar kisah depresi kaum wanita Afghanistan. Apakah benar saya berada di negara yang bangga memperjuangkan agama Islam tetapi politiknya jelas penuh korupsi, rakyat menderita?

Membawa trip privat bersama keluarga Puan Mardiyah di Venice Ogos lalu

Jalankan bisnes sambilan untuk tampung kos travel

Ramai mempersoalkan bagaimana saya lepasan universiti ini mampu datang ke Afghanistan dan kebanyakannya ‘jump into conclusion’ bahawa saya adalah dari kalangan keluarga berada. Itu silap sama sekali.

Alhamdulillah saya kini menampung sepenuhnya perbelanjaan travel saya melalui bisnes travel agency dan clothing apparel.

Travel-agency yang saya tubuhkan iaitu AWESOME ADVENTURE telah dimulakan pada awal tahun ini bagi menampung kelas bahasa dan kehidupan di Jerman. Dan Alhamdulillah agensi ini telah membawa saya menjelajah hampir  ke seluruh Eropah, termasuk negara-negara Balkan.

Jika anda berminat untuk tahu dengan lebih lanjut, boleh lawati Facebook Page dan Instagram AWESOME ADVENTURE.

Tiada resepi yang istimewa untuk dapatkan dana travel. Lepasan universiti seperti saya tidak mempunyai aset besar seperti kereta atau rumah. Pastinya, jalan biasa seperti bekerja dua-tiga pekerjaan dan jimat segalanya adalah cara untuk saya mendapatkan dana untuk travel.

Di Jerman juga, saya mengumpul dana travel melalui kerja sambilan sebagai seorang pembantu tukang masak di restoran Melayu. Namun sekarang saya sudah berhenti.

Jika anda datang berkunjung ke Frankfurt, boleh singgah restoran Melayu yang baru beroperasi sejak bulan Ogos lalu iaitu, PANDAN – A TASTE OF MALAYSIA restaurant.

Oleh sebab nafsu terhadap travel yang mendalam, saya lebih gemar berpuasa shopping dan kurangkan perbelanjaan kepada makanan mahupun barang peribadi yang tidak perlu.

Bersama bos PANDAN – A Taste of Malaysia

Perancangan masa depan

Untuk projek akan datang, saya kini dalam perancangan untuk aturkan program usahasama antara hospital dari Afghanistan dengan hospital di Malaysia. Masih terlalu awal untuk saya katakan kerana proposal pun masih dalam draft.

Negara Malaysia dipandang tinggi di Afghanistan. Saya telah tunjukkan minat saya kepada pihak pengurusan hospital dan juga rakan-rakan doktor di sini (Afghanistan) dan mereka menyambut baik proposal ini.

Saya juga telah berinteraksi dengan beberapa wakil doktor dari institusi perubatan dari Malaysia dan mereka turut memberikan respon positif dengan program usahasama ini.

Jika ada mana-mana ndividu mahupun institusi yang berminat untuk terlibat dalam sesi pertukaran idea bagi membantu penambahbaikan institusi kesihatan di Afghanistan, anda boleh hubungi saya.

Target saya untuk projek ini adalah ingin membawa pakar-pakar doktor dari Malaysia (menjadi wakil institusi) datang ke Afghanistan dan lihat sendiri sistem kesihatan di sini, begitu juga sebaliknya – doktor dari Afghanistan melawat hospital-hospital di Malaysia.

Saya berharap hubungan 2 hala antara penggiat perubatan Afghanistan dan Malaysia akan membuahkan kesan positif kepada penambahbaikan sistem kesihatan di Afghanistan.

Pesanan buat para gadis yang ingin travel solo

1. Jangan takut untuk keluar mengembara.

Pada masa kini, sudah semakin ramai orang keluar mengembara dan maklumat sudah banyak di internet atau buku travel. Jika takut kerana tiada pengalaman, mulakan dengan travel secara berkumpulan bersama rakan-rakan atau keluarga. Percayalah, dunia ini tidaklah seseram yang anda sangkakan.

2. Keyakinan adalah kunci.

Ketika mengembara, jika sesat, jangan khuatir. Itu normal ketika mengembara. Walau bagaimanapun, solo traveler wanita yang sesat dan kelihatan keliru dengan arah jalan dsb seringkali akan menarik perhatian orang lain.

Jadi, cuba berjalan dengan penuh yakin secara natural. Jika rasa tidak yakin dengan arah anda, use your best judgement and seek help. Tiada siapa yang mula mengembara dengan penuh keyakinan.

3. Don’t let fear stop you.

Seperti yang saya katakan tadi, tiada siapa yang mula mengembara dengan keyakinan yang tinggi atau tiada rasa takut. Keyakinan akan datang selang masa dengan pengalaman mengembara. Lama kelamaan anda akan lebih berani dan yakin untuk mengembara. Tetapi, mulakan mencabar diri anda dari sekarang!

4. Traveling alone doesnt mean you’ll be alone. Solo travel doesn’t equal loneliness.

Point ini sangat penting. Mengembara seorang diri tidak semestinya anda akan sentiasa berseorangan atau membuatkan anda rasa keseorangan. Anda akan bertemu orang baru sepanjang perjalanan anda.

Banyak peluang untuk berkenalan rakan baru dan tempat terbaik untuk memulakannya adalah di hostel. Di hostel, anda akan bertemu dengan solo traveler lain.