Sejak mula-mula mengenali gadis ini kira-kira 2 tahun lepas di mana di ketika itu saya masih baru menjadi editor Vocket.

Bermula dengan salam perkenalan melalui PM di Facebook, persahabatan kami dirapatkan dengan pertemuan setahun kemudian sewaktu beliau kembali seketika ke Malaysia.

Dan kini selepas 2 tahun bergelar pengembara sepenuh masa, beliau kembali ke tanahair selepas menempuh perjalanan dan pengembaraan lasak di Amerika Selatan selama 6 bulan. Dan apa yang saya lihat sehingga  kini, beliau masih orang yang sama.

Antara kerja gila yang telah dilakukan beliau sepanjang 2 tahun menjadi pengembara sepenuh masa adalah menjelajah beberapa negara di Benua Afrika, berkhemah (wild camping) di pergunungan Amerika Selatan, hitch-hiking, menunggang motorsikal buatan China, meneroka safari, dan melihat kehidupan penduduk asli di Amazon serta melakukan terjunan bungee.

Semua ini dilakukan oleh gadis ini bersama teman baik beliau. Travel gaya bajet itulah rencah pengembaraan mereka. Mari saya kenalkan anda dengan gadis ini – Bijan M Baki. Ikuti temubual saya bersama beliau di bawah.

bijan-4
Sewaktu pengembaraan kami di Gurun Gobi
bijan-5
The West Bank, Mesir

Vocket: Hi Bijan. Boleh kenalkan diri?

Bijan: Nama saya Bijan dan travel partner in crime saya bernama Kim. Saya Melayu, dia Cina dan kami warga Malaysia.

Vocket: Sejak bila berhenti kerja dan dah berapa lama mengembara?

Bijan: Bulan Julai tahun 2014 ialah bulan terakhir kami bekerja. Sebulan kemudian, pada 8/8/2014 kami terbang ke Ulaan Bataar di Mongolia. Kami kembali menjejakkan kaki ke tempat di mana kami bermula pada 8/9/2016 , tepat-tepat 25 bulan kemudian.

Vocket: Negara manakah yang telah Bijan dan Kim jejaki selama 2 tahun ini?

Bijan: Kami bermula dari Mongolia, kemudian ke China, Tibet dan Nepal. Kemudian terbang ke Turki, Greece dan akhirnya berehat sebulan di London.

Kemudian kami teruskan perjalanan ke Sepanyol, tapi hanya menjelajah bahagian Andalusia sebelum terbang ke Mesir, negara pertama yang kami jejaki di Benua Afrika.

Perjalanan Trans-Afrika dari Cairo ke Cape Town membawa kami turun ke Sudan, Kenya, Tanzania, Malawi, Zambia, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan akhirnya South Africa.

Sebagai bonus kami berkesempatan melihat-lihat negara kecil yang terletak di tengah-tengah South Africa iaitu Lesotho. Dari South Africa kami sekali lagi berhenti di London dan berehat beberapa bulan.

Ketika di London, kami sempat explore beberapa negara sekitar — Ireland, Italy dan Switzerland. Kami juga sempat buat volunteer work sekejap di Calais, France.

Kemudian kami terbang ke Peru, negara pertama kami di Benua Amerika Selatan. Di benua ini kami memulakan pengembaraan cara baru dengan menaiki motosikal. Kami beli motosikal di Peru dan dari situ kami menunggang hingga ke Bolivia, Argentina dan Chile sebelum meneruskan perjalanan ke Amazon.

Pelayaran di Sungai Amazon bermula sekali lagi dari Peru, menuju ke sempadan Colombia dan akhirnya memasuki Brazil. Dari Brazil, kami terbang ke Frankfurt, Germany dan sempatlah cuba-cuba berbasikal di Netherlands dan Belgium sebelum kembali ke London. Sebulan di London, kami terbang ke Istanbul dan akhirnya kembali ke Malaysia.

Baca perkongsian Bijan tentang Bagaimana Beliau Menabung Untuk Travel

bijan-1
Sewaktu di Sudan
bijan-2
Serengeti National Park, Tanzania

Vocket: Apakah pengalaman paling manis sepanjang 2 tahun mengembara ini?

Bijan: Pengalaman manis memang banyak sangat. Hari-hari pun manis tahap diabetes. Paling manis kalau tiba-tiba dapat makan free. Masa jalan-jalan di Bo-Kaap, Cape Town bulan puasa tahun lepas, dengan hanya kasi salam saja terus disedekahkan makanan berbuka puasa. Happy 3 hari.

Kami tegur pun sebab nampak paras rupa macam orang Melayu, terus excited. Rupanya Melayu Cape, terus di ajak ke rumah untuk ambil makanan.

Malam pertama di Wadi Halfa, Sudan pun sekali lagi di jamu orang tempatan. Ingatkan setakat ajak berkongsi meja, rupanya siap bayarkan makanan kami sekali. Orang yang membayar setakat kerja sebagai pemandu bas.

Tak cukup itu, tiba-tiba datang seorang lelaki hulurkan kami minuman. Katanya sebagai tanda selamat datang untuk kami yang sudi datang ke Sudan. Hidup dalam kemiskinan di tengah gurun pun masih lagi memuliakan tetamu. Kalau tak tersentuh hati juga dapat layanan begini, tak tahulah nak cakap apa.

Baca Perkongsian Bijan Bagaimana Beliau dan Kim Tersekat Di Sudan Dan Gagal Dapatkan Visa

Paling tak boleh lupa, masa di Pokhara Nepal kami minta untuk datang beraya, menyambut Diwali dengan tuan kedai makan yang jadi tempat kami bersarapan setiap hari.

Selamba kata nak datang beraya, nak tengok macam mana Diwali disambut di Nepal. Di Nepal, Diwali di sambut selama seminggu dan hari terakhir ialah hari khas sambutan di kalangan ahli keluarga saja.

Selamba kami datang nak join sekali sambutan. Sama-samalah kami mencalit tikka di dahi dan bertukar-tukar hadiah. Esoknya kami datang bersarapan di kedai yang sama macam biasa. Tetap order makanan yang sama.

Tapi kali ini dapat makanan lebih banyak dari biasa. Bila habis, di tambah-tambah lagi makanan kami. Bukan saja makanan, kami juga di beri manisan.

Wah. Dah kenapa dapat layanan istimewa pula? Punyalah hairan. Rupa-rupanya kami dah dianggap sebagai adik-beradik dengan tuan kedai sebab kami dah dicalitkan tikka ketika sambutan Diwali.

Betul-betul macam dalam cerita Hindustan. Terus dapat keluarga angkat di Nepal. Terharu sungguh. Terus jatuh cinta tergolek-golek dengan Nepal. Sebelum itu, masa memanjat ABC dah terjatuh cinta dengan view Himalaya, bila dapat layanan begini terus seal hati, jatuh cinta teruk, rasa macam nak pindah duduk bermastautin di Nepal.

Bagaimanalah saya tak jatuh cinta berkali-kali dengan dunia ini. Saya diterima menjadi ahli keluarga di tempat-tempat asing, di kalangan orang-orang yang jauh berbeza dari saya.

Mula-mula, saya fikir saya travel untuk melihat keindahan dunia tapi selepas travel beberapa lama, yang paling best bagi saya ialah orang-orang yang saya jumpa sepanjang perjalanan saya.

Tak kiralah orang yang sedang travel atau orang-orang tempatan yang saya jumpa. Saya sedar yang persahabatan dan hubungan kekeluargaan sama sekali tidak bergantung dengan warna kulit, budaya dan agama yang saya anuti.

bijan-17
Ancient mud fortress of Shali. Egypt
bijan-3
Pokhara, Nepal

Vocket: Pernah lalui sebarang pengalaman ngeri sepanjang travel? Jika tak keberatan untuk Bijan kongsikan?

Bijan: Perjalanan pulang dari Machu Picchu ialah pengalaman paling mengerikan. Saya masih ingat lagi, saya berdiri di tepi tebing sambil melihat ke arah tebing gunung yang runtuh di depan saya.

Hujan lebat hari sebelumnya menyebabkan arus sungai bertambah deras dan akhirnya menyebabkan tanah runtuh yang merobohkan hampir separuh gunung dan menjahanamkan terus jambatan yang menghubungkan satu-satunya jalan yang ada ke Machu Picchu. Masa tu memang menyesal tak naik keretapi. Tapi tambang naik keretapi mahal sangat.

Memang kami tiada pilihan lain selain daripada cuba menyeberang sungai yang tengah menggila arusnya. Masa kami turun ke sungai yang airnya warna kelabu, jarak antara kami dan gigi air masih ada lebih kurang 2 kaki.

Tapi tak sampai 5 minit teragak-agak di tebing, air dah mula naik menghentam kaki kami dan dengan pantas juga air naik hingga ke betis. Ni kalau terjatuh dalam sungai, confirm tak jumpa mayat.

Tangan kiri memegang botol air dan tangan kanan memegang kamera yang sangat-sangat penting dan berharga sambil mata saya melilau melihat Kim.

Risau dan saya takut Kim hanyut dibawa arus dengan keadaan badannya yang kurus kering itu. Matilah macam mana nak selamatkan dia dengan arus yang deras macam tu dan pada masa yang sama nak selamatkan kamera?

Nasib baik kami sempat naik semula, kalau tak memang terperangkap di situ. Percubaan menyeberang kali kedua baru berjaya, selepas dibantu oleh beberapa penduduk tempatan. Sebaik saja sampai ke seberang, terus ambil selfie sebagai kenangan sebab berjaya harung sungai dan tanah runtuh.

Kesukaran tak berakhir setakat itu. Perjalanan pulang kami diteruskan dengan menunggang dalam kesejukan dan hujan lebat mendaki puncak gunung.

Suhu menjunam jatuh, jari-jemari rasa beku menahan sejuk. Rasa macam sikit lagilah nak kena reputan frost (frost bite). Rasa macam nak berhenti tepi jalan, tapi hujan sangat lebat.

Menggigil-gigil menahan kesejukan sampai badan terasa keras kejang. Sampai saja di kaki gunung dan dapat cahaya matahari pertama, terus berhenti dan terbaring di tepi jalan. Nikmat sungguh dapat rasa panas matahari. Haha.

bijan-6
Khartoum, Sudan
bijan-23
At Bloukrans Bridge – World’s Highest Bungee.

bijan-29

Vocket: Pengalaman pahit ada? Mungkin kes yang pelik atau berhantu. Haha!

Bijan: Nak kata pengalaman pahit pun bukan tapi lebih kepada pengalaman yang pelik. At least pada saya ia pelik.

Masa tu kami baru sampai di Kermah, Sudan. Kermah ialah sebuah kampung kecil di pinggir Sungai Nil. Kalau tengok kampung ni memang rasa hairanlah. Kenapa ada orang sanggup bersusah payah nak datang ke sini.

Kampung yang sepi tak ada orang, berdebu dan agak kotor juga. Kalau tengok gambar memang tak sudilah nak datang. Tapi tujuan kami ke sini semata-mata untuk melihat kesan tinggalan tamadun Kerma.

Kami diberitahu hanya ada satu sahaja lokandas (hostel) di kampung ini. Selepas mencari-cari akhirnya jumpa juga. Buruk memang buruk tapi memadailah walau kami hanya di beri pangkin saja untuk tidur.

Melihatkan suasana kampung yang seperti tak berpenghuni, kami cukup pasti kami akan hadapi kesukaran untuk keluar dari situ. Tapi, kata pekerja di lokandas yang kami tanya, ada satu bas sahaja yang menghubungkan Kermah dan Khartoum.

Kata mereka lagi, tunggu saja di simpang empat berdekatan dengan pejabat pos. Masalahnya, pejabat pos pun tak rupa pejabat pos dan tiada orang pun yang bekerja. Nak tanya kat siapa pun tak tahu. Entah ada atau tak bas yang dikatakan. Tapi kami tiada pilihan lain. Gamble je lah.

Jadi, keesokkan harinya, pukul 4 pagi dah keluar untuk tunggu bas. Berjalan dalam gelap pekat dengan lampu suluh sambil ditemani bulan dan bintang. Sunyi sepi tiada orang hanya kami 4 orang. Kami menuju ke tempat yang dikatakan untuk menunggu bas yang tak pasti wujud atau tidak.

Oh ya, lupa pula. Kami berempat di sini adalah saya, Kim, Sim (traveller dari Sarawak)  dan Michael warga Republic China. Kami bertemu dan berkenalan dengan Sim dan Micheal di Aswan, Mesir dan bersetuju untuk menjelajah Sudan bersama-sama. Ok, kembali ke cerita saya tadi.

Seperti yang dijangka, sampai saja di simpang, kosong. Tiada orang lain, tiada bas, tiada apa-apa. Tapi di tengah-tengah simpang empat ada beberapa kerusi di susun.

Okey. Itu aneh. Dari mana pula datang kerusi banyak-banyak letak tengah jalan. Walaupun rasa pelik, kami duduk dan tunggu sambil tengok bintang dan bet sesama sendiri.

Memang yakin habis takkan ada bas yang akan datang ke tempat yang maha sepi tiada orang ini. Secara logiknya, mungkinkah akan ada bas yang datang ke tempat yang kebiasaannya tiada penumpang? Kami orang asing yang datang tak dirancang. Lainlah kalau ada orang kampung menunggu dengan kami di situ.

Kami kemudiannya decide kami perlu ada plan B untuk keluar dari Kermah. Dalam keadaan teragak-agak sama ada mahu beredar atau terus menunggu, tiba-tiba kami nampak cahaya terang muncul dari jauh.

Semakin dekat semakin jelas. Dari duduk terus berdiri tegak, macam tak percaya yang bas muncul dan berhenti di depan kami. Magic sangat! Seriously, ada bas! Bas dengan langsir ropol-ropol lagi.

Sebaik pintu bas dibuka, turun seorang lelaki berjubah putih. Sebab tak reti cakap bahasa Arab, kami cuma cakap ‘Khartoum’ saja dan disuruh naik ke atas bas. Tak tahu tambang, tak tahu betul ke Khartoum, main naik je.

Bila kami naik, hanya kami berempat saja penumpang yang ada. Pelik sungguh. Tapi bantailah, janji ada bas tak perlu jalan kaki. Bas bergerak di celah pondok-pondok buruk dibuat daripada tanah dan berhenti beberapa kali di kampung-kampung yang sama sepi seperti Kermah.

Setiap kali bas berhenti mengambil penumpang baru, kami lihat penduduk kampung kesemuanya berjubah putih bersih yang di gosok rapi dan berserban.

Sangat kontras dengan keadaan kampung yang hampir kesemuanya berwarna coklat tanah, maklumlah Sudan itu letaknya di padang pasir. Ditambah lagi dengan cahaya suram di pagi hari, nampak pula orang-orang berjubah putih bersih, rasa macam kat dunia lain pun ada.

Sumpah saya rasa macam di perkampungan bunian, walaupun saya tak pernah tengok pun kampung bunian tu macam mana. Tapi memang rasa macam tu lah. Kalau ada asap-asap confirm bunian.

Kami empat orang hanya mampu pandang sesama sendiri sambil cuba untuk proses perkara-perkara pelik yang kami tengah alami sejak kami sampai di Kermah, atau mungkin sejak dari kami menyeberang ke Sudan dari Mesir.

Dalam hati, harap-harap betullah sampai Khartoum, jangan nanti tetiba sampai entah dunia mana sudah. Mesti korang tertanya-tanya sama ada kami sampai ke atau tidak ke Khartoum kan?

Ye, alhamdulillah kami selamat sampai. Dan paling best orang-orang berjubah ni semuanya baik hati. Siap bagi kami air dan biskut. Terasa macam nak ulang pergi ke sini semula sebab tak dapat ambil gambar mereka. Hanya mampu simpan dalam memori saja.

Pasti anda juga mahu tahu lebih lanjut tentang Kim bukan? Kim mempunyai Impian Untuk Menjelajah Dunia Dan Ini Apa Yang Dorong Beliau Untuk Tinggalkan Zon Selesa Dan Keluar Mengembara

bijan-28
Ronda, Spain
bijan-7
Ini di Sudan.
bijan-9
Serengeti National Park

bijan-32

Vocket: Bagaimana pula pengalaman lucu? Mesti ada kan?

Bijan: Masa saya travel, macam-macam kenderaan saya pernah tumpang. Cakap je, semua pernah. Pernah naik trailer, pernah naik kereta lawa, kereta tak lawa lagi banyak kali, pernah tumpang bas Tata patah drive-shaft dalam hutan Nepal, pernah tumpang lori bawa kambing di China dan banyak lagi.

Tapi dalam banyak-banyak kenderaan yang pernah saya tumpang, traktor adalah yang paling rare sekali. Traktor pun jadi.

Masa itu saya baru tiba di Kermah, Sudan dari Wadi Halfa di sempadan Mesir/Sudan. Saya dan kawan-kawan diturunkan di tepi jalan. Kiri kanan tak ada apa, memang ditinggalkan di tepi jalan di gurun pasir.

Kata pemandu van, setakat itu saja dia boleh hantar kami. Katanya lagi, kami kena berjalan kaki sejauh 2 kilometer untuk sampai di perkampungan terletak jauh di dalam. Katanya lah 2 kilometer, tapi saya rasa lepas kami sampai di Kermah jauhnya hampir 10 kilometer. Kalau jalan kaki memang rentunglah satu badan.

Tiada pilihan, kami mula berjalan kaki di jalan yang berpasir. Matahari terpacak atas kepala dan panasnya hanya Tuhan sajalah yang tahu. Rasa kering air dalam badan walau baru berjalan tak sampai 100 meter, tapi rasa macam dah jalan beribu batu. Menyeret kaki.

Tiba-tiba dari belakang kami muncul sebuah traktor di pandu seorang lelaki ditemani seorang kanak-kanak yang umurnya mungkin sekitar 7 tahun. Kami apa lagi, happy bukan main terus tahan dan minta ditumpangkan.

Tak fikir panjang terus panjat traktor. Bayangkan traktor dengan 6 orang penumpang. Kami duduk asal boleh saja di atas tayar besar di kiri kanan sambil peluk beg kuat-kuat, takut jatuh.

Tak kiralah apa jadi sekalipun, yang penting kami dah tak sanggup nak berjalan di tengah panas terik walaupun naik traktor pun sama saja panasnya. Sekurang-kurang tak perlu jalan kaki.

Tapi, rasanya kami jalan kaki lagi laju dari traktor itu. Bergeraklah traktor itu dengan perlahan-lahan hinggalah ada sebuah pick-up truck muncul dan tumpangkan kami sampai Kermah. Kalau tak, entah bilalah nak sampai.

Saya ingat lagi ketika saya di Likoma Island, Malawi. Saya, Kim dan Sim berjalan-jalan melihat kampung dan bermain-main dengan kanak-kanak tempatan yang jarang-jarang melihat orang asing.

Kemudian kami terdengar orang menyanyi. Kami cuba ikut dari arah mana bunyi orang menyanyi dan akhirnya kami ended up di sebuah gereja kecil. Melihatkan kami bertiga orang asing, berdiri di luar pintu gereja, paderi yang tengah bersyarah menjemput kami tampil ke depan untuk memperkenalkan diri.

Masa tu, saya berdoa agar saya tak perlu ke depan, biarlah Kim seorang aje yang pergi. Tapi terpaksa juga memberikan sepatah dua kata di depan orang ramai.

Saya dapat rasakan mereka tersenyum memandang seluar saya yang koyak, yang saya tampal dengan duck tape. Gila segan. Saya cuba sedaya upaya untuk elakkan eye contact dengan sesiapa pun.

Tapi duck tape penting okey. Sila bawa duck tape masa travel. Sangat berguna di masa kecemasan. Boleh tampal seluar, tampal beg koyak, tampal tayar pancit, tampal rack patah. Pelbagai guna.

Satu lagi masa saya di Junín, Peru saya dengan rela hati mengizinkan seorang perempuan Quechua untuk menggunting rambut saya sebab saya dah tak tahan menahan sakit kepala. Kemudian saya bayar dia 4 soles sebagai upah.

Masa tu saya baru tiba di Junín dari Huanuco. Junín letaknya di pergunungan Andes di ketinggian sekitar 4200 meter dari aras laut. Manakala Huanuco pula berada di ketinggian 1900 meter.

Mendaki lebih dari 2000 meter dalam masa kurang dari 5 jam adalah resepi terbaik untuk diserang AMS. Memang cari pasal lah. Terus sakit kepala, jantung berdegup laju, mengantuk, demam, mual, habis tunggang langgang sistem badan saya. Memang dapat complete package.

Perempuan Quechua itu mula-mula macam ragu-ragu nak gunting rambut saya bila dia sedar saya orang asing. Tapi saya dah nekad sangat sebab saya rasa rambut saya terlampau tebal menyebabkan kepala saya tambah sakit.

Memang saya yakin habis kalau gunting rambut, mesti sakit kepala hilang. Entah macam mana dia gunting tapi yang pasti, selepas itu saya kena balik ke hostel untuk mandi dan membersihkan rambut yang masih tertinggal atas kepala.

Dah potong tapi masih ada atas kepala. Pelik betul. Banyak pula tu. Saya rasa dia gunting dan letak semula di kepala saya. Paling sadis, sakit kepala masih ada dan rambut saya seperti orang tempatan hingga saya terpaksa memakai beanie selama sebulan.

Sekarang baru saya tahu kenapa saya terkandas di sempadan Peru/Bolivia, kerana saya  di sangka orang tempatan yang menggunakan pasport palsu.

Esoknya, dalam usaha untuk menghilangkan AMS, saya dan Kim ke pasar untuk mencari daun Coca yang katanya bagus untuk menyembuhkan AMS. Seorang peniaga mempelawa kami untuk minum jus yang direbus dari sejenis tumbuhan, tapi bila tengok tak macam daun Coca pun.

Kami cuba juga minum sebotol, manalah tahu boleh elok. Lepas diterangkan dengan susah payah oleh seorang pembeli lain, rupanya jus itu adalah untuk menguatkan badan ibu mengandung. Saya tengok Kim takde la gemuk sangat sampai disangka ibu mengandung. Hehehe.

Kesudahannya sakit kepala akibat dari AMS hanya hilang selepas saya turun dari Junín 2 hari kemudian. Potonglah rambut sampai botak, makan panadol 10 biji sekali pun namun penawarnya hanyalah satu — cepat-cepat turun ke tempat rendah.

Sebenarnya ada lagi satu kejadian paling kelakar selama perjalanan saya 2 tahun ini, paling-paling lawak sampaikan ketika ia berlaku saya jadi speechless tak mampu berkata-kata sebab saya tak boleh nak proses langsung perkara macam itu boleh terjadi.

Saya tak berani nak share nanti kena penyepak. Jadi biarlah ia jadi rahsia antara saya, Kim dan Thomas sahaja. Oh ya. Thomas adalah kawan ride yang kami temui secara tak sengaja sewaktu di Uyuni, Bolivia. Shitty road bring us together gitu. Seorang warga Belanda, muka boleh kira handsome la, dan selalu bajet macam model.

Ride kami bersama Thomas berlanjutan dari Uyuni, Bolivia hingga ke Atacama, Chile. Bila kami perlu masuk ke lokasi berbayar, Thomas selalu menjadi mangsa kami. Tugas beliau mengorat gadis tempatan di kaunter bayaran dan dapatkan harga diskaun. Hahaha.

bijan-10
A must do list when you are in South America, selfie with llama!
bijan-11
Salar De Uyuni
bijan-15
Abaikan gaya si Thomas yang bajet model tu. Haha!

Vocket: Apakah perubahan paling ketara ke atas diri yang dirasai selepas 2 tahun Bijan mengembara?

Bijan: Sejak dulu saya adalah seorang yang simple. Tapi saya tak sangka perjalanan 2 tahun boleh mengubah saya menjadi lebih-lebih simple lagi. Dulu, saya macam orang lain. Dapat gaji, simpan duit.

Kalau ada lebih dapat beli baju sehelai pun dah happy habis. Akhirnya dari sehelai sampai penuh satu almari. Macam- macam warna ada. Ada yang saya tak pernah pakai pun sampai sekarang. Balik-balik pakai baju yang sama.

Dulu, masa saya travel on and off, saya bawa baju bertimbun. Setiap hari tukar baju lain. Bila saya mula travel sepenuh masa, pun saya bawa terlebih barang hinggakan saya terpaksa kirim baju dan barang tak perlu pada kawan baru yang saya kenal di Nepal.

Masa tu bulan kedua sejak saya mula travel sepenuh masa. Sejak itu, saya mula belajar hidup dengan hanya 3 helai baju dan 2 helai seluar. Itulah yang saya pakai berulang-ulang. Pernah seluar saya koyak dan saya hanya tampal dengan duck tape dan pakai seperti biasa. Kalau dulu memang dah kena humbanlah seluar tu.

Bila saya balik ke Malaysia, saya rasa tak percaya saya ada baju penuh satu almari. Rasa macam, gila mewah sungguh aku ni. Walaupun baju penuh satu almari, saya tetap juga pakai baju yang sama juga berulang-ulang.

Kalau ada benda yang saya belajar masa saya travel, saya sedar saya tak perlu banyak perkara dalam hidup. Saya tak perlukan kereta mahal, cukuplah kenderaan kecil untuk bawa saya dari point A ke point B dengan selamat.

Saya tahu saya tak perlukan rumah besar penuh perabut mewah, sebab saya tahu saya tetap boleh tidur lena dalam khemah di mana-mana saja. Janji selesa sudah, confirm lelap. Campaklah saya ke mana pun. Saya boleh cari tempat untuk bermalam.

Dulu, saya seorang yang agak reserve. Tersangatlah susah nak bercakap dengan orang yang baru kenal dan paling-paling susah nak express perasaan saya dengan perbuatan dan kata-kata.

Saya tidak dididik untuk meluahkan perasaan saya dengan perbuatan. Sekarang, saya peluk semua sahabat saya setiap kali saya berjumpa mereka. Sampai orang terkejut juga dengan perubahan saya. Siap tanya saya dah kenapa. Tapi saya buat-buat macam tak faham je la dengan soalan mereka. Haha.

bijan-26

Atas awan
Bawah pun awan
Tengah tengah llama makan makan

Pantun tiga kerat ikut suka hati.

Ni on the way nak ke Uyuni, nampak pink flamingo tepi tasik. Bila dekat semua terbang lari. Yang tak lari, llama ni je. Buat derk je continue meragut.

bijan-12
Kim dan Sid (Ice Age). Sumpah aku rasa sloth tu macam Juon. Sangat menakutkan bila tengok dia merangkak.
bijan-14
Moray (baca : Morai) ni ancient Incan agricultural engineering mystery. Sebabnya setiap bulatan terrace tu berbeza suhu at least 5°C. How cool is that!

Vocket: Bagaimana pula perspektif dan pandangan Bijan kini tentang hidup. Adakah masih sama atau dah berubah. Jika ye boleh kongsikan yang dulu dan apa yang berubah kini?

Bijan: Berubah sama sekali. Saya tak kata saya menjadi orang lain sebab saya masih orang yang sama. Bila saya jumpa kawan-kawan lama, saya masih sama macam dulu. Yang berubah cuma perspektif saya, berubah menjadi lebih luas lagi.

Saya melihat kebebasan hidup dari sudut yang berbeza dengan orang lain. Dulu pun saya rasa bebas, bebas pergi mana saya nak dan buat apa saya suka. Saya boleh start kereta dan pergi ke mana-mana tanpa perlu minta izin orang lain.

Tapi ada sesetengah perkara yang terbatas kerana saya terikat dengan komitmen yang tak mengizinkan saya buat banyak perkara. Namun kini saya lihat kebebasan dari konteks yang berbeza.

Sekarang kalau saya mahu, saya boleh beli tiket dan terbang ke mana saja. Dan itu yang menjadikan hidup lebih bermakna. Iaitu kemampuan dan kebebasan untuk berbuat apa saja yang saya mahu pada bila-bila masa. Kalau tiba-tiba rasa nak pindah ke negara lain, beli tiket, pack baju dan pergi. That is freedom.

Sebelum saya keluar, setiap kali kawan-kawan bertanya apa yang saya nak buat lepas berhenti kerja, saya sentiasa jawab yang saya nak berehat, tekan butang pause dalam hidup dan travel sekejap.

Hakikatnya, bila saya keluar dari home base, lihat dan mengalami berbagai pengalaman, pace hidup saya menjadi lebih pantas. Saya bukan tekan butang pause rupanya, tapi butang fast forward.

bijan-27
At Siwa Oasis.
bijan-24
Wild camping sambil dihiburkan dengan dentuman glacier sepanjang malam. – Laguna 69, Cordillera Blanca, Peru
bijan-25
Route hiking kami

bijan-31

Vocket: Okey Bijan. Ada soalan cepu emas sikit. Adakah Bijan ada ambil travel insurance sepanjang 2 tahun mengembara ni? Jika ye boleh kongsikan sikit?

Bijan: Mestilah ada. Antara benda paling penting selain daripada passport ialah insurans. Malang tak berbau okey, karang tergolek sakit baru tahu pentingnya insurans.

Untuk tahun pertama, saya ambil insurans

antarabangsa dengan World Nomad. Sebabnya saya tak jumpa insurer di Malaysia yang boleh cover untuk setahun perjalanan non-stop. Kemudian, masa kat Mesir saya terjatuh sakit dan masuk hospital. Nasib baik ada insurans, kalau tak merasalah bayar USD2K untuk bil hospital.

Tahun kedua, saya tukar ambil Etiqa. Renew setiap 3 bulan. Hahaha. Bajet terhad so terpaksa tukar walau perjalanan tahun kedua agak merbahaya sebab merempit di Amerika Selatan dan berkali-kali turun naik gunung dan diserang AMS. Nasib baik tak jadi apa-apa.

Sebelum ambil mana-mana travel insurance, sila semak dan baca betul-betul polisi sebab hampir kesemua travel insurance di Malaysia tak cover sesetengah aktiviti ekstreme.

Masa kami di Andes, baru perasan yang insurans kami tak cover mountaineering, hiking and trekking in remote area without guide, aktiviti yang kami buat berkali-kali. Dan paling haru, insurans yang kami ambil juga tak cover motorcycling activity, padahal berbulan-bulan naik motor kot. Jadi jangan ulangi kesilapan saya ini ye.

Insya allah di masa depan saya akan lebih berhati-hati dengan perkara begini dan pastikan aktiviti yang bakal saya lakukan dilindungi oleh travel insurance.

bijan-20
Tu dia. Road less travelled katanya — in Rio Mantaro – Huancavelica.

bijan-21

bijan-16

bijan-36
Breathtakingly beautiful kan. On my way back from Moray ruins and I stopped to capture this view. — at Maras – Moray – Cuzco – Perú.

Vocket: Apa perancangan terkini Bijan lepas ni? Nak tulis buku?

Bijan: Tak tahu nak jawab macam macam mana. Ramai yang tanya apa perancangan selepas ini. Tapi saya selalu jawab, “Takde plan. No plan is good plan.”

Buku? Susah okey tulis buku. Hari-hari depressed sebab kena ingat balik memori daun pisang tergolek di Bolivia sambil tengok beribu gambar semata-mata untuk refreshed ingatan agar ingat semua kenangan. Tapi maybe Insha Allah. Saya cuba. Tak berani nak janji. Facebook pun malas update inikan pula keluar buku. Hahaha.

Vocket: Apakah pesanan  atau nasihatBijan kepada mereka yang mungkin nak travel long term macam Bijan dan Kim. Apa yang perlu disediakan dari segi mental dan fizikal.

Bijan: Okay lah. Kalau nak diikutkan saya sentiasa rasa tak layak untuk memberikan nasihat pada sesiapa sebab saya sentiasa ada pandangan bahawa, travel is personal affair.

Setiap orang mempunyai misi dan objektif yang berbeza dalam pengembaraan mereka. Jadi, mestilah persediaan pun berbeza, sesuai dengan keperluan masing-masing.

Tak kiralah berapa banyak anda baca info  travel atau pengalaman orang lain, tapi bila tiba masa untuk anda mengembara, that is your journey and yours alone. Jalan cerita takkan sama, so tak payahlah nak ikut orang sangat. Pilih jalan sendiri, ikut kehendak sendiri.

Tak kisahlah macam mana persediaan pun, ada duit paling banyak cukup untuk travel 10 tahun pun, yang paling penting ialah anda kena berani untuk keluar dari zon selesa.

Hati kena kental. Kena sedia keluar dari kepompong. Kena prepare mentally untuk buat drastic decision, sanggup dan bersedia untuk diri beradaptasi dalam persekitaran asing.

Tapi jangan risau, bila dah dah travel beberapa lama ke sana-sini, banyak negara anda dah pergi, jumpa pula berbagai-bagai ragam manusia berbilang bangsa, mesti anda tersedar yang semua orang di dunia ini sama saja.

Kita mungkin berbeza agama, warna kulit, bangsa dan budaya tapi disebalik itu semua anda tahu bahawa, we are not so different after all. Bila anda dah dapat kesedaran itu, tahulah anda yang kalau di campak ke mana pun, anda pasti boleh survive.

Baca catatan Bijan tentang Kembara Trans Afrika Dan Apa Yang Telah Beliau Lalui Dan Lihat Di Sana

bijan-19
Antara yang kami rakamkan sewaktu pengembaraan di Amazon, Amerika Selatan.
bijan-18
Sacred Valley of Incas Carnaval. Taking picture with the VIP guest.
bijan-30
Susah nak gambarkan perasaan bila dilayan dengan baik oleh orang asing begini – Cape Town, South Africa
bijan-33
Bostwana
bijan-34
Tetap comel. Kanak-kanak Bostwana

Vocket: Ada perkara lain lagi yang ingin Bijan katakan atau kongsikan?

Bijan: Diberikan peluang dan kebebasan untuk melihat dunia dari kacamata berbeza adalah pengalaman yang tak ternilai harganya.

Dan dengan dunia tanpa sempadan sekarang, kita tak dapat lari daripada menjadi perhatian masyarakat kerana apabila anda cuba buat sesuatu yang lain daripada mainstream lifestyle memang senang sangat jadi perhatian. Sebab anda sebenarnya unik dan berani. Walaupun sebenarnya, anda rasa diri anda biasa-biasa je.

Sekarang, bagaimana nak handle perhatian berlebihan ini yang paling penting. Anda bukan saja dapat orang yang kagum dengan keberanian anda keluar dari comfort zone, tapi juga haters yang tak hairan langsung dengan pencapaian anda.

Bertindaklah dengan bijak bila tiba masa anda kena handle situasi begini. Janganlah stoop low sama level dengan haters yang kutuk anda. You worth more than that kot.

Kadang-kadang anda kena puji, ada masa kena hentam. Itu normal. Setiap orang berhak mempunyai pendapat masing-masing. Kalau saya boleh minta sesuatu, teruskanlah jadi humble, after all, travel is a humbling experience kan!

bijan-35

Inilah sebahagian kecil di antara berpuluh pengalaman yang dilalui oleh Bijan dan rakan beliau Kim sepanjang 2 tahun mengembara. Saya yakin pastinya banyak lagi kisah dan pengalaman menarik yang telah mereka lalui sepanjang bersama di jalanan.

Sebahagian lagi catatan kembara Bijan dan Kim telah turut dikongsikan di Facebook Page Mencari Utopia – Bijan & Kim.

Harapan saya semoga kalian dapat segera menulis dan berkongsi pengalaman di dalam sebuah buku (atau mungkin 2 ke 3 buah buku). Tidak semua orang mampu melakukan sepertimana yang telah kalian lakukan.

Sekurang-kurangnya apa yang telah dikongsikan sedikit sebanyak turut membawa kami merasai pengalaman dan pengembaraan kalian.

Akhir kata, terima kasih kerana sudi berkongsi di Vocket. Saya menunggu buku kisah pengembaraan gila Bijan dan Kim!

Baca 10 Tip Daripada Bijan & Kim Setelah 5 Bulan Mengembara Di Amerika Selatan