Jika anda selalu mengikuti tips travel di Vocket, pastinya anda akan perasan beberapa artikel yang kami telah kongsikan di mana bersama tips tersebut terselit gambar jam tangan berwarna hijau.

Secara peribadi adakala saya tersenyum membaca komen-komen nakal daripada pembaca Vocket berkenaan gambar jam tersebut. Buat pengetahuan, bagi pemilik jam tangan ini, itulah cara paling mudah untuk beliau rakamkan kenangan dan sebagai bukti bahawa beliau telah sampai ke satu-satu tempat. Ditambah lagi beliau mengembara secara solo di kebanyakan tempat yang dituju.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Mungkin kelihatan biasa, tapi bagi mereka yang mengikuti perjalanan pemuda ini ia bagaikan satu trademark beliau. Apatah lagi jam berwarna hijau tersebut bukanlah jam yang mahal. Hanya jam tangan biasa yang masih kekal setia menemani pemiliknya dari satu destinasi ke destinasi lain.

wan-jeroong-wia-3
Bukti dah sampai ke Milan katanya. Dah ingat jam hijau ni? Haha!

Mengikuti perkongsian perjalanan beliau, selalunya pemuda ini berkongsi tentang sejarah tempat yang beliau telah jejaki. Apa yang saya gemar tentang pemuda ini adalah beliau berkongsi tanpa berkira. Dan di waktu yang sama mereka yang membaca dan mengikuti beliau akan turut mendapat info dari apa yang telah dikongsikan, dari kacamata beliau sebagai seorang pengembara.

Adakala beliau hilang berhari-hari lamanya, senyap tanpa sebarang update dan khabar berita di Facebook. Namun setiap kali beliau muncul, ia pastinya bersama perkongsian dan catatan pengalaman yang telah dilalui.

Mari saya kenalkan anda dengan pemuda bernama Wan Irfayuim Azim Wan Ab Aziz, berusia 27 tahun dan telah setahun menjadi pengembara sepenuh masa. Pemuda berasal dari Kelantan ini merupakan anak sulung daripada 3 beradik.

Dari segi latar belakang pendidikan pula, pemuda yang lebih dikenali dengan nama Wan di kalangan rakan-rakan dan Jeroong Wia di kalangan netizen di Facebook ini merupakan graduan Diploma in Food Technology di Uitm Shah Alam. Wan juga banyak mengambil sijil-sijil berkaitan kejuruteraan di beberapa tempat.

Kita ikuti perkongsian Wan di bawah dan apa yang telah beliau lalui sepanjang menjadi pengembara sepenuh masa selama 1 tahun.

Nekad berhenti kerja

Pekerjaan terakhir saya buat adalah demolition building di Menara Dayabumi sebelum saya berhenti pada setahun yang lepas iaitu pada 31/08/2015 disebabkan niat untuk mengembara melihat bumi Tuhan. Cekalkan hati hantar surat resign.

Berapa lama?

Sebelum itu, sebaik saja habis belajar saya ke Australia pada hujung tahun 2012 selama beberapa bulan. Kemudian saya kembali ke Malaysia menjalani kehidupan normal tanpa melancong ke mana-mana. Itu merupakan pertama kali saya ke luar negara pada ketika itu.

Trip kali ini dimulakan pada 1/10/2015. Saya meninggalkan rumah di Kelantan dan 8/10/2015 saya keluar dari Malaysia memulakan perjalanan yang super panjang tanpa diduga ini. Jadi kiranya mungkin dah lebih dari setahun saya merantau kot.

wan-jeroong-wia-13

Sayu dalam hati meninggalkan Malaysia untuk mengembara mencari kehidupan yang lebih baik. Bukan dihalau, tetapi ditunjukkan jalan. Berpijakku di bumi Kangaroo, Perth buat kali pertama dalam hidup berbekalkan duit RM1500 bersamaan 500AUD.

Duit sebanyak ini hanya bertahan seminggu sebelum aku mengambil keputusan drastik menuju ke Melbourne berbaki wang 150AUD (tiket kapal terbang dari Perth – Melbourne 300AUD. Dulu pakai Nokia traffic light je tak ada internet, WhatsApp, Skyscanner)

Terkontang-kanting di bandar Melbourne keseorngan tanpa hala tuju, tanpa contact. Bermalam 4 hari di hostel membuatkan duit AUD aku makin susut tanpa sebarang pendapatan.

Bermalam pula di Masjid di luar kota Melbourne 3 malam sebelum diangkut oleh hamba Allah Pakistan ke rumahnya dan tinggal 3 hari di rumahnya sebelum aku dapatkan kerja di ladang broncolli selama 4 hari, sebelum aku melarikan diri kerana tak dibayar gaji.

Baca tips daripada Wan tentang 16 Langkah Asas Dan Persediaan Untuk Anda Yang Sedang Merancang Untuk Mengembara

wan-jeroong-wia-10
Menyambut hari raya Aidilfitri di Kazakhstan

Bagaimana atau apakah yang mendorong Wan untuk keluar mengembara

Perancangan asal saya bermula pada pertengahan tahun 2014 selepas terjumpa satu peta di dalam internet yang menyatakan tentang overland dari Malaysia ke England.

Selepas beberapa bulan saya membuat kajian terperinci, saya telah menetapkan tempoh perjalanan selama 45 – 60 hari dari Malaysia ke England dan bermodalkan sebanyak RM10 – RM15k.

Malangnya ketika itu banjir besar telah melanda bumi Kelantan. Ini memaksa saya menangguhkan segala perjalanan saya  hingga ke satu ketika yang saya sendiri tidak dapat jangka. Sehinggalah tiba ke satu saat iaitu di masa saya berhenti kerja.

Perjalanan yang telah saya lakukan ini akan bahagikan kepada 4 fasa besar.

Fasa pertama: Saya membuat overland dari Kuala Lumpur, Malaysia sehingga ke Vladiovostok, Russia melalui Thailand, Cambodia, Vietnam dan China.

Fasa kedua: Saya ke Korea Selatan dan Jepun dan menetap di sana beberapa bulan. Sebenarnya kedua-dua negara ini tiada dalam senarai asal saya.

Fasa ketiga: Perjalanan Trans-Siberian dan juga Trans-Monggolia bermula dari Harbin, China menuju ke St Petersburgh merentasi China, Monggolia dan juga Russia dengan keretapi.

Fasa keempat: Perjalanan di Eropah. Bermula dari Estonia hitch-hiking ke Latvia, berbasikal ke Lithuania dan juga Poland, car pooling ke German, menaiki bas ke Belgium, Perancis dan juga ke United Kingdom.

Menyewa kereta di Scotland, menaiki penerbangan 2 hala ke Ireland, dan kemudian menyambung perjalanan dengan menaiki bas ke Sepanyol, Itali, Austria, Czech Republic, Slovekia, Slovenia, Hungary, Croatia, Bosnia, Montenegro, Mecodonia dan berakhir di Turki.

Dari Turki saya mengambil penerbangan kembali ke Malaysia pada 3/11/2016. Kesemua fasa adalah berlarutan.

Jadi berapa total semua negara? Saya tak pernah kira sebab bagi fahaman saya sendiri tidak penting berapa banyak negara yang saya jejak, tetapi berapa dalam dapat saya kenal dan ketahui tentang sesebuah negara yang saya telah jejaki.

wan-jeroong-wia-17
Route yang bakal saya lalui

Penerimaan keluarga dengan keputusan Wan untuk mengembara

Alhamdulillah keluarga saya sangat terbuka dengan jalan yang saya pilih. Kalau ibubapa saya tidak merestui perjalanan ini, kemungkinan saya tidak akan meneruskan ataupun menghadapi pelbagai masalah sepanjang perjalanan.

Saya juga ada menghantar kiriman wang kepada keluarga ketika mengembara. Ada sedikit sebanyak duit lebihan ketika keuntungan dari hasil kerja atau jualan apa-apa sepanjang perjalanan akan saya hantar kepada keluarga.

Saya juga telah membawa keluarga saya – mama dan adik bongsu saya ke Korea pada awal tahun ini.

Selain daripada itu, di setiap perjalanan saya, akan saya maklumkan kepada keluarga. Dengan ini hati saya terasa lebih tenang, dan seolah-olah doa mereka sentiasa mengiringi perjalanan saya.

wan-jeroong-wia-12

Abah dan Mama,
Rindunya ko kerabu sare. Comeinya kawasan Mongolia ni. Sejuk sangat. InsyaAllah Abe tak lupa gapo sokmo hak mama pesan. Jaga diri jaga solat jaga hati. Terima kasih mama & abah bui restu untuk lihat dunia walaupun dalam segala kekurangan. Jangan bimbang. I can do it.

Pengalaman manis sepanjang kembara

Pengalaman manis. Kalau nak diceritakan tentang pengalaman manis terlampau banyak yang manis tu di sepanjang pengembaraan saya.

Salah satunya adalah ketika sambutan hari raya puasa di Moscow, Russia. Saya pergi beraya di kedutaan Moscow bersama warga Malaysia yang lain dan suasana sambutan di ketika itu agak happening seperti beraya bersama sanak saudara di kampung.

Sesungguhnya ketika itu saya amat rindukan keluarga di kampung halaman terutamanya di hari yang penting seperti sambutan hari raya. Biasanya di hari perayaan seperti ini semua sanak keluarga berkumpul dan saling merapatkan kembali silaturrahim.

Pengalaman manis yang lain-lain adalah bertemu dengan orang-orang yang baik-baik sahaja sepanjang perjalanan saya. Terasa amat bersyukur kerana perjalanan saya dipermudahkan olehNya.

Baca perkongsian Wan tentang 13 Tip Dan Persediaan Sebelum Travel Ke Gurun Gobi Di Mongolia

wan-jeroong-wia-15
Di antara sempadan benua Asia dan Eropah — in Yekaterinburg, Sverdlovskaya Oblast’, Russia.

Pengalaman ngeri yang pernah dilalui

Pengalaman ngeri mungkin ketika waktu perjalanan dari Latvia menuju ke Lithuania dengan berbasikal. Keadaan jalan raya yang amat sibuk dengan bas dan lori menyebabkan saya dua tiga kali terpaksa mengelak akibat dihon. Ngeri oi takut kena langgar.

Pengalaman ngeri yang lain adalah ketika berkhemah seorang diri di dalam hutan. Sebenarnya di celah-celah semak selepas seharian berbasikal. Seperti kebiasaan sebelum tidur kita akan berfikir panjang kan?

Sewaktu di dalam khemah seorang diri di dalam hutan begini saya selalu menikirkan tentang basikal saya di luar dan juga tentang binatang buas. Dan juga orang jahat.

Satu lagi kejadian yang agak menakutkan bagi saya adalah ketika mendaki kawasan pergunungan di Cappadocia, Turki seorang diri bagi melihat hot air balloons dengan lebih dekat.

Ketika menuruni bukit yang berbatu kapur, saya tergelincir jatuh ke bawah dan terperangkap di antara 2 gunung batu kapur yang besar. Nak didaki tiada alatan, nak terjun tingginya seperti 4 tingkat bangunan.

2 jam saya tersangkut seorang diri. Menjerit pun sudah tapi tiada yang datang membantu. Mungkin tiada siapa yang lalu di situ. Akhirnya say atiada pilhan tapi  membuat keputusan drastik untuk terjun ke bawah. Itu sahaja pilihan yang ada.

Ppap! Huh. Nasib baik. Alhamdulillah selamat mendarat ke bawah meski pun kaki sedikit terseliuh. Ini pengalaman pertama saya terjun setinggi ini.

wan-jeroong-wia-7
Scotland
wan-jeroong-wia-4
Aku dan Pisa

Mama saya tidak risau saya ditipu orang, cuma mama cukup risau jikalau saya menipu orang. Saya percaya keberkatan doa dan sembahyang hajat yang mama buat telah mempermudahkan perjalanan saya. Alhamdulillah. Terima kasih mama dan abah.

Pengalaman pahit

Pengalaman pahit yang saya rasakan amat dasyat ialah sewaktu disamun, dirompak dan diculik ketika di fasa pertama lagi. Tetapi buat masa sekarang saya tidak bersedia untuk berkongsi lagi. InsyaAllah saya akan tulis satu artikel khas tentang ini.

Saya tidak pernah ceritakan tentang ini kepada umum kecuali sahabat handai yang terdekat kerana saya meminta pertolongan dari segi kewangan daripada mereka ketika itu.

Dan juga sebab tak nak berita ini sampai ke telinga kedua-dua ibubapa saya. Buat masa sekarang saya ingin kembali ke Malaysia terlebih dahulu sebelum boleh bercerita tentang kejadian ini.

Pengalaman lucu yang tak dapat dilupakan

Pengalaman lucu adalah ketika berada di Jepun pada bulan April yang lepas. Ketika itu dalam perjalanan dari Tokyo ke Osaka menaiki keretapi tempatan dan seorang kawan saya menyertai saya ketika itu. Perjalanan dari Tokyo ke Osaka mengambil masa 2 hari.

Bukan itu sebenarnya yang ingin diceritakan. Ketika kami dalam perjalanan melintasi Shizouka Prefecture di Jepun, saya ternampak seakan perarakan dari luar keretapi sewaktu keretapi membuat perhentian di stesen Shizouka. Ia membuatkan saya berminat untuk mengetahui apakah yang berlaku.

Rupanya itu adalah festival Kanama Matsuri di mana patung kemaluan lelaki di usung dan diarak sepanjang jalan. Kami menyertai festival tersebut dengan turut sama berarak mengiringi replika menuju ke salah satu kuil besar.

Sepanjang jalan, ramai orang menjual pelbagai juadah dan juga cenderahati seperti lolipop berbentuk kemaluan lelaki, cermin mata dan hidung yang berbentuk kemaluan lelaki. Boleh dikatakan kebanyakan produk yang dijual adalah inspirasi dari kemaluan lelaki.

Kami ketawa tak berhenti di sepanjang perarakan. Peliknya bila tiba-tiba boleh sertai perarakan sebegini. Harap mama tak marah saya. Haha.

wan-jeroong-wia-11
Sewaktu di Gurun Gobi

wan-jeroong-wia-16

TRANS-SIBERIAN JOURNEY DONE!
Alhamdulillah berjaya juga menamatkan perjalanan TSR ini. Bermulanya di Harbin pada 1hb Jun yang lepas sehingga ke Moscow by overland. I’m done!
Terima kasih buat semua yang sentiasa memberi sokongan yang tak terhingga dari permulaan perjalanan sehingga sekarang.

Perubahan positif yang dirasai sejak mengembara

Pertama sekali adalah mungkin perubahan fizikal. Dari berambut panjang kepada botak dan kembali panjang dan sekarang sudah berjambang.

Berat badan. Orang selalu bagitau kenapa aku tengok engkau travel tak kurus-kurus? Makin naik berat badan ada la. Ini jawapan saya. Di negara asing makanan tidak sama seperti kita di mana kebanyakan makanan adalah halal dan boleh dihadam oleh perut.

Jadi, pilihan bagi makanan halal di negara orang terutama di Eropah adalah kebab. Di mana-mana jua ada kebab. Kalau dah hari-hari makan daging memang naiklah berat badan kan?

Perubahan positif dari segi mental. Sepanjang perjalanan saya ketika bulan puasa di Mongolia, ramai yang turut memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada saya bagi menyokong sedikit sebanyak perjalanan saya. Dan kebanyakan wang yang diberikan itu saya dermakan kepada masjid-masjid dan juga asnaf yang berada di sekitar masjid.

Saya merasakan pemberian orang menyebabkan saya lebih ringan tangan untuk menghulur kepada orang lain. Bersedekah ini betul-betul memurahkan rezeki.

Perpektif dan pandangan hidup sejak mengembara

Kalau nak diulas tentang pandangan dan perspektif saya tentang kehidupan selepas mengembara agak panjang. Saya akan ringkaskan.

Saya sebenarnya ingin mengubah persepsi orang ramai terhadap diri saya. Ramai yang beranggapan untuk merantau memerlukan wang yang banyak.

Bagi saya wang bukan ukuran. Yang paling penting sekali adalah berkat dan restu ibu bapa. Tanpa restu saya tak akan ke mana. Dan selepas itu kesihatan diri. Walau banyak mana pun wang yang saya ada, tetapi jika sakit dan badan tidak sihat tiada gunanya.

Saya bermula dari Malaysia bermodalkan dengan wang RM4000 sahaja. Sehinggalah saya bekerja di Korea dan Jepun seketika dan dapat kumpulkan wang sehingga RM6000.

Berbekalkan wang tersebut saya meneruskan perjalanan menuju ke Eropah melalui Trans Siberia dan kos pengangkutan sahaja dah RM3000 lebih kurang. Saya tahu selepas keluar dari Eropah memang saya tidak akan cukup wang.

Tapi alhamdulillah, walaupun hanya ada RM1000 – RM3000 dalam bank, wang saya sentiasa cukup. Sehinggalah saat saya pulang dengan wang sebanyak RM1000.

Dan sepanjang tempoh perjalanan saya, hanya sekali saya ditimpa sakit demam yang amat teruk ketika berada di Jepun hingga tersadai seminggu. Di situ saya merenung panjang sendirian melihat betapa kerdilnya diri ini di sisi pencipta.

Terlampau banyak persepsi tentang kehidupan jikalau nak diulas dengan detail.

wan-jeroong-wia-8
Inilah antara lokasi berkhemah saya sewaktu di Lithuania.
wan-jeroong-wia-9
Kayuh gerek lah pulak

wan-jeroong-wia-24

Cuci,jemur dan lipat kain. Saya berpeluang tinggal di sini beberapa minggu sambil melakukan kerja sambilan di sebuah guesthouse — at Prangli Island, Estonia.

Bagaimana dapatkan wang sampingan sewaktu dalam tempoh kembara

Benda ni mungkin ramai yang nak tahu kan? Di halaman sosial Facebook saya sendiri banyak saya menulis serba sedikit tentang ini. Secara ringkasnya, dah macam-macam benda buat untuk mendapatkan wang.

Dari berbusking di jalanan sehinggalah kepada tour guide dan kepada personal shopper. Asal nampak peluang yang boleh buat duit semua sapu. Saya juga banyak berkerja secara haram di banyak negara dan banyak juga membuat volunteer work atau job exchange di mana kita akan diberi tempat tinggal dan makanan percuma dan harus bekerja 3-4 jam sehari mengikut apa yang ditetapkan.

Dari satu bandar ke satu bandar, saya juga menjual poskad kepada rakan-rakan kenalan yang berada di Malaysia dan juga cenderahati apa-apa sahaja yang terlintas di benak pemikiran saya.

Tidak semua orang yang mampu mengembara dan melewati sesebuah negara seperti kita. Dengan dapatnya poskad atau apa-apa cenderahati dari negara yang kita lawati, sedikit sebanyak akan menaikkan semangat mereka bagi mengembara melihat ciptaan Illahi.

Saya juga menjual merchandise dari Hard Rock Cafe seperti tshirt, fridge magnet, pin, bag dan sebagainya. Seperti sedia maklum, Hard Rock Cafe merupakan restoran dari Amerika yang mempunyai rangkaian besar di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Jadi, ramai pengumpul barang Hard Rock Cafe ini. Jadi di situ saya nampak peluang untuk membuat duit dengan mengambil tempahan di setiap Hard Rock Cafe yang saya kunjungi. Untung tak ada lah besar sangat tapi alhamdulillah saya masih lagi boleh bernafas.

Saya juga ada membuat servis dengan mengambil gambar sign / name sesiapa sahaja di hadapan monument yang terkenal di seluruh dunia di mana-mana tempat yang saya lewati dengan harga yang paling minimun. Hanya bermodalkan marker dan kertas, saya jual servis ini sebanyak RM5 setiap satu.

Inilah serba sedikit bagaimana saya buat duit sewaktu di negara orang. Untuk lebih lengkap, anda boleh baca Bagaimana Saya Dapatkan Kerja Sambilan Sewaktu Travel Di Estonia

wan-jeroong-wia-22
Hard Rock Cafe Marseille

wan-jeroong-wia-18

Ada sesiapa yang inginkan poskad dari Cappadocia,Turkey berlatarkan gunung-ganang dan hot air balloon? Sila pm saya. Dengan bayaran sebanyak RM15 bagi sekeping poskad. Tarikh tutup adalah pada 2/11/2016 sebelum pukul 2 petang. Terima kasih.

wan-jeroong-wia-5
Nice, Côte d’Azur, France.

Perancangan terkini

Perancangan terkini saya adalah hendak balik jumpa ibubapa peluk cium mama, abah, adik dahulu dan duduk di kampung halaman bagi seketika mengatasi jet-lag yang lama. Nak makan makanan malaysia sepuas-puasnya. Makanan Malaysia yang paling best. Sumpah.

Selepas beberapa negara dilewati, saya bertemu dengan ramai orang Malaysia di sepanjang perjalanan dan InsyaAllah selepas ini saya akan bekerjasama dengan diorang dengan cara open trip kepada sesiapa yang ingin melancong ke luar negara dengan pakej yang berpatutan.

Pesanan buat mereka yang ingin travel long term

Nasihat saya kepada yang ingin buat long-term travel sila buat persiapan dahulu. Mesti tahu dan ada destinasi mana harus dituju dan apakah tujuan pengembaraan, apa yang dicari dan kemudian baru boleh pecahkan kepada persiapan ubat-ubatan, visa, makanan, pakaian dan sebagainya.

Selepas setahun mengharungi perjalanan seorang diri, bagi saya travel berdua lebih baik. Sekurang-kurangnya jatuh sakit ada orang tolong tengokkan, lambat ada orang boleh tegur dan sebagainya.

Apa-apa pun mental kena keras. Bersiap sedia menghadapi apa jua kemungkinan. Jangan mengharapkan tidur di atas katil empuk sahaja. Terima segala cabaran yang mendatang dan hadapi dengan bijak. Baca blog-blog dan penulisan orang lain untuk dijadikan pedoman.

Buat perancangan perjalanan dari segi destinasi dan bajet secara kasar. Dari mana nak ke mana. Berapa wang perlukan. Kenapa pilih tempat tersebut. Hidup ini kena ada tujuan. Kalau tanpa tujuan, apa gunanya hidup.

wan-jeroong-wia-23

Teman Baru
Setahun hampir tiba. Aku terus gah mencipta pertalian persaudaraan. Hari ini merupakan hari terakhir aku berada di London sepanjang 3 minggu lebih di sini. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang baru dikenali semua bersama-sama mencoret coretan manis di London.

Sepanjang tempoh tersebut, aku bekerja di sekitar London bersama-sama dengan mereka. Maaf. Lokasi dan tempat dirahsiakan di atas sebab-sebab tertentu.

Alhamdulillah dengan pendapatan hasil kerja yang tak seberapa aku akan meneruskan perjalanan aku ke chapter yang seterusnya. Nasib jugak dapat kerja kalau tak memang tak mampu nak berjalan lagi.

Terima kasih buat para ustaz-ustaz dari Mesir. InsyaAllah kalaulah aku terbitkan buku suatu hari nanti akan ku masukkan gambar ini sekali buat tatapan semua.

wan-jeroong-wia-21

wan-jeroong-wia-20
Bertemu Menk Mahawangsa di Macedonia

Ada perancangan nak keluarkan buku ke?

Perancangan tu ada tetapi saya tak tahu lagi dari mana saya harus bermula. Mungkin akan ambil masa sedikit insyaAllah. Jadi buat masa sekarang tentang keluarkan buku still no comment.

Pesanan buat pembaca Vocket

Sesat merupakan guru yang terbaik dalam pengembaraan. Sesat akan membuat kita mencari jalan untuk kembali ke pangkal jalan. Sesat menemukan kita dengan benda yang tidak disangka.

Mengembara di tempat orang yang suasananya dan budayanya amat asing bagi kita sudah pasti tidak mudah. Kebiasaannya kita akan sesat dan apabila terjadi ramai yang tidak menyukai keadaan ini. Walau sehebat mana pun perancangan dibuat sebelum mengembara, tentunya sama sekali amat berbeza dengan situasi sebenar.

Dan ketika itu, kemungkinannya adalah tinggi. Tersilap 1-2 langkah sahaja pun sudah cukup untuk sesat berjam-jam lamanya. Tersilap sedikit membuat keputusan pun sudah cukup untuk terlepas aktiviti yang mahu dijalankan pada waktu itu.

Dalam suasana sukar semasa sesat kita terpaksa membuat dan memutuskan keputusan yang betul walhal fikiran masih lagi bercelaru. Kalau keputusan yang dibuat tidak betul akibatnya kita mungkin tersesat lebih jauh sekaligus membazir masa, tenaga dan juga wang.

Maka ketika inilah perlunya mengerah keringat memikirkan caranya. Kita membuka peta, bertanya kepada orang sekeliling, mengira kos kerugian, menganggar masa, carian di internet dan semua ini membolehkan kita mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Walaupun masih ada kemungkinan gagal, kita sudah pun menempuhinya. Beberapa kali menghadapi situasi yang sama, kita akan lebih bersedia untuk menanganinya.

“Semakin banyak tempat dijejak, semakin tunduk.
Semakin banyak pengalaman dilalui, semakin rendah rasa diri.
Semakin banyak dipelajari, semakin bodoh dirasakan” – Jeroong Wia.

wan-jeroong-wia-25

Buat Wan, terima kasih atas perkongsian anda di Vocket di sepanjang tempoh kembara. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat kembali ke tanahair. Selamat berehat dan selamat menikmati enaknya makanan Malaysia.

Semoga apa yang telah dikongsikan kali ini turut memberi inspirasi kepada anda. Dunia ini luas, dan setiap daripada anda berhak meneroka, mengenali dan memperbaiki potensi diri. Gambatte!