Sebelum bekerja sebagai penolong teknikal di sini, saya pernah bekerja sebagai pencuci bersama ibu. Saya dapat lebih kurang RM900 sebulan.

Saya pernah mendapat pandangan negatif daripada kawan-kawan kerana bagi mereka saya tidak patut bekerja di sini.

Lebih-lebih lagi apabila saya baru saja memperolehi Diploma Sains Geomatik (Sistem Maklumat Geografi) dari UiTM Seri Iskandar, Perak.

Gambar: FB Humans of Kuala Lumpur
Gambar: FB Humans of Kuala Lumpur

Kemudian saya mendapat tawaran kerja di Damansara sebagai Penolong Teknikal di Acoustics. Saya berada di sana lebih kurang sebulan dan apabila saya mahu berhenti, majikan tidak mengizinkan saya pergi.

Majikan saya kata tarikh lahir saya sepadan dengan Feng Shui syarikat mereka dan saya turut ditawarkan kereta dan jumlah gaji yang saya mahu.

Sebenarnya tiada mentor untuk saya belajar tentang kerja di situ. Dan kita akan jadi tidak ikhlas bekerja apabila rasa tidak gembira dengan keadaan dan tuntutan pekerjaan.

Jadi, saya menolak kerja tersebut dan meneruskan kerja sebelum ini sebagai seorang pencuci di RapidKL.

Semua bos terkejut apabila seorang graduan universiti bekerja sebagai pencuci – menyapu lantai, mencuci tandas, dan mengutip sampah.

Anda lihatlah jika ibu saya boleh bekerja untuk memenuhi keperluan hidup, apakah yang membuatkan anda berfikir tidak boleh melakukannya?

Saya sekurang-kurangnya dapat merasai kehidupan pekerjaan ibu yang telah dilaluinya setiap hari bagi menampung pelajaran saya hingga ke universiti.

Pada satu hari ibu memberitahu kepada saya bahawa bos mahu saya bekerja di sini. Jadi, saya hadiri sesi temuduga dan saya rasa bertuah dan sangat bersyukur dapat menjadi Penolong Teknikal di sini.

Gambar: FB Humans of Kuala Lumpur
Gambar: FB Humans of Kuala Lumpur

Saya bekerja di bahagian pentadbiran bagi mengendalikan kerosakan berat dan ringan kereta api. Ia bidang yang berbeza dengan apa yang saya pelajari sebelum ini.

Dulu belajar tentang GPS dan satelit, kini belajar tentang break caliper, mesin, Passenger Communications Unit (PCU), EHU dan memegang spanar!

Saya ada kawan-kawan yang pernah mendapat anugerah dekan dan pelajar cemerlang tapi kesemua mereka masih belum mendapat pekerjaan. Mereka kerap bertanya kepada saya bagaimana saya mendapat pekerjaan ini.

Selain dari rahmat Tuhan, ia benar-benar bergantung kepada usaha dan kesanggupan untuk belajar. Anda perlu keluar dari zon selesa dan mencari. Anda perlu tahu mengadaptasi diri dengan situasi, persekitaran dan orang baru.

Temubual bersama Ain Farhana ini telah dilakukan oleh Human of Kuala Lumpur.