Brother Isma, can you send me to Sendai Eki (Station Sendai)“, kata Dr. Sharwani seusai solat Jumaat yang lalu.

Walaupun saya tidak berhasrat untuk ke bandar pada hari itu dan mahu pulang segera setelah solat Jumaat, namun permintaan lelaki tua berumur sekitar 60-an ini tidak berupaya untuk saya tolak.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →
Perjalanan dan perbualan bermula dari Masjid Sendai.

Simpati dan empati juga dengan nasib yang menimpa Dr. Sharwani. Kini, beliau memilih hidup sendiri setelah mengalami tekanan perasaan kerana kejatuhan dalam bisnes yang dibina.

Sepanjang perjalanan ke Sendai Eki, kami berdua berbual mengenai kehidupannya sekarang. Rancak perbualan kami dari Masjid Sendai ke Eki sehinggakan dengan sengaja saya mengambil jalan jauh untuk mendengar kisahnya.

Beliau sekeluarga merupakan warga India yang kini mendapat ‘Permanent Residence’ (PR) di Jepun. Mana tidaknya beliau telah menetap di Jepun lebih 20 tahun dan pernah berkhidmat di universiti di sini sebagai sensei.

Masih teringat kata-katanya, “I want to live and die at here and Japan now is my place.” Beliau tidak berhasrat untuk pulang ke negaranya dan ingin meninggal dunia di sini.

Kami menuju ke Sendai Eki (Station Sendai). Perjalanan dari Masjid Sendai ke Eki hampir 30 minit dengan pemanduan tidak lebih 60km/sejam.

Bagi beliau, Jepun telah sebati dalam hidupnya. Mana tidaknya, pengajian beliau bermula daripada Ijazah sehinggakan ke peringkat PhD di sini. Sepasang anak beliau juga turut dibesarkan di Jepun.

Antara pesanan dan iktibar daripada kisah beliau yang dapat dikutip sepanjang pemanduan saya tidak lebih 60km/jam.

1. Mulakan bisnes dari usia muda

Beliau seakan agak kesal kerana memulakan perniagaan pada usia yang agak lewat. Setelah pencen dan sebagai langkah meneruskan kelangsungan hidup di Jepun, beliau telah membuka kedai runcit dan restoran halal di sini.

Masih teringat nostalgia dulu sewaktu mula-mula saya ke sini sendirian. Kedai runcit dan restoran beliau menjadi ‘port’ saya singgah di kala keseorangan. Orangnya ramah dan tidak lokek untuk berkongsi cerita.

Namun, “diharapkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari”. Tak sampai setahun, bisnes beliau terpaksa ditutup.

Oleh kerana usia sudah meningkat, kejatuhan bisnes ini menjadi ujian yang paling berat dalam hidupnya. Sehinggakan beliau mengalami tekanan perasaan bertahun lamanya.

Atas sebab itu, beliau mengalakkan untuk sesiapa yang ingin berbisnes mulakan dari awal usia. Jangan dibazirkan usia muda dengan perkara yang sia-sia.

Gambar kedai runcit dan restoran halal milik Dr Sharwani sewaktu dibuka. Kini hanya tinggal gambar dan kenangan.

2. Sediakan dana kecemasan

Beliau turut mengakui kesilapan dan berasa kesal kerana menggunakan hampir kesemua duit pencen yang diperolehi untuk memulakan bisnes. Katanya hampir 10 juta yen (RM386,671) telah dihabiskan untuk kerja-kerja ‘set-up’ bisnes yang hanya mampu bertahan tak sampai 1 tahun itu.

Lebih parah dan tertekan, tiada langsung simpanan dana kecemasan yang ditinggalkan. Hampir habis digunakan untuk bisnes tersebut. Sekejap sahaja duit pencen yang diperolehi, lebur hampir sekelip mata.

Mujurlah beliau masih ada wang pencen bulanan sebanyak 100,000 yen sebulan bagi meneruskan sisa-sisa hidup beliau di sini.

Sekadar ingatan buat diri sendiri, wang ratusan mahupun jutaan ringgit boleh habis dalam sekelip mata jika tidak beringat atau salah urus. Atas sebab itu, selalu saya ingat pesanan guru saya perlu ada sekurang-kurang 6 bulan dana kecemasan yang tidak diusik.

Hanya digunakan di kala perlu atau benar-benar kecemasan. Bagi mereka yang berusia seperti saya, barangkali lebih banyak lagi diperlukan. Jika baru mula berniaga, mulakan dari kecil sebelum besar macam ‘naga’.

3. PhD tak jamin sukses berbisnes

Beliau juga menyebut:

The way of businessman thinking is different (cara fikir orang bisnes berbeza)”. Katanya, nak jadi orang berjaya dalam bisnes perlu berfikir cara lain dan berbeza daripada orang lain.

Beliau menyebut nama-nama seperti Brother Nawas dan Brother Zulfekar yang boleh dikategorikan usahawan Muslim berjaya di Sendai. Saya pernah kongsikan kisah Brother Zulfekar dan juga Brother Nawas dalam kisah ‘Kaya Itu Mulia’ dan ‘Dunia Ditangan, Bukan Dihati’ sebelum ini.

Baca: ‘Kaya Itu Mulia’, Apa Saya Belajar Daripada Usahawan Pakistan Di Negara Matahari Terbit

Atas sebab itu, saya percaya bahawa ijazah dan tahap pendidikan bukanlah tiket, lesen mahupun indikator penentu sama ada seseorang itu berjaya dalam bisnes ataupun tidak.

Saya sendiri walaupun memiliki Master Business Administration (MBA) belum tentu 100% boleh berjaya apabila memulakan perniagaan. Bisnes itu bagi saya merupakan pengalaman, perjalanan dan cubaan tanpa kenal erti putus asa.

Kedai runcit dan restoran Dr. Sharwani telah diambil alih. Dulu ‘halal’ kini tidak lagi.

4. Bersedia di kala tidak bersedia

Satu lagi beliau ingatkan yang orang bisnes perlu bersedia di kala tidak bersedia. Sekarang ini bagi beliau bisnes semakin mencabar. Sebagai contoh, ledakan bisnes online boleh menjadi ‘batu halangan’ mahupun ‘batu loncatan’ buat mereka yang bergelar usahawan.

Bagi beliau, hanya mereka yang berupaya melihat ‘batu halangan’ sebagai ‘batu loncatan’ sahaja yang boleh berjaya dalam kehidupan dan bisnes.

Perjalanan hampir 30 minit ke Sendai Eki sudah hampir sampai ke destinasinya. “Brother can you stop me at AEON building (boleh berhentikan saya di bangunan AEON)”, pintanya.

Dulu bangunan ini dikenali sebagai Sakurano, kini bertukar menjadi AEON. Disinilah saya berhentikan Dr. Sharwani.

Tanpa memanjangkan bicara saya menurut kehendaknya lalu berhenti di bahu jalan dan meninggalkan beliau di situ. Dari cermin belakang dan kejauhan kelihatan beliau melambai. Senyum dalam sugul dan kesunyiaan di raut wajah lelaki berusia 60-an itu.

Hati saya terdetik, semoga Dr. Sharwani tabah dalam menghadapi ujian hidup ini. Didoakan juga semoga usahawan-usahawan yang pernah jatuh seperti Dr. Sharwani ini akan bangun semula suatu hari nanti. Harapannya jangan sampai jatuh tak bangun-bangun. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sekadar perkongsian dari kejauhan. Sayonara! Sampai berjumpa lagi.

Baca lagi: Apa Saya Nampak Daripada Usahawan Yang ‘Letakkan Dunia Di Tangan, Bukan Di Hati’ Ini