January 7, 2017 2:31 AM

Di Malaysia, amat jarang kita dapat melihat campervan, mungkin ianya tidak begitu masyhur diperkenalkan di negara kita berbanding mereka yang tinggal di sebelah barat. Buat pengetahuan anda, campervan ini adalah sejenis kenderaan yang diistilahkan sebagai penginapan bergerak. Berbeza dengan Caravan, Caravan secara umumnya dikenali sebagai kenderaan yang menarik ‘rumah’ bergerak.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook bernama Kas Hariz telah berkongsi beberapa keping gambar campervan miliknya di group My Campervan Malaysia, dan ianya mendapat perhatian ramai pihak sehingga menjadi begitu viral dengan pantas.

Dibawah ini adalah kisah yang dikongsikan oleh Saudara Kas Hariz tentang pengembaraan keluarganya bersama campervan tersebut.

“Alhamdulillah, hujung tahun hari tu kami ke Teluk Senangin berkhemah dalam campervan kami yang kecil ni. Pertama kali ke sini. Cuaca pun baik dan suasana malam tahun baru yang tenang bertemankan bunyi ombak dan angin malam pantai yang mendamaikan.

Bukanlah rancangan menyambut tahun baru sebenarnya, cuma menghabiskan sisa cuti yang berbaki.

Ini adalah pengalaman pertama kami bersama van berusia 34tahun ini membuat perjalanan yang sedikit jauh. Alhamdulillah kami selamat sepanjang perjalanan walaupun diberi sedikit ujian ketika pergi dan pulang.

Supaya kami lebih mengenali hati budi van kami maka Allah uji kami sekeluarga sebagai tanda kasihNya. Kami bersyukur untuk ujian menghadapi permulaan tahun 2017 ini.

Selepas ini kemana ? Kami pun belum pasti.hehe.

Untuk ingatan semua, bersamalah kita menjaga kebersihan alam sekitar, kebersihan sebahagian dari iman. Sedih melihat sampah yang bertaburan di sana.”

Saya tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang ini. Apa yang bermain di minda saya ketika itu ialah, apa yang menginspirasikan beliau untuk mengubah suai van ini menjadi campervan. Jika diikutkan umur, van ini sudah lama dan mungkin memerlukan kos yang tinggi untuk diperbaiki.

Pastinya ia bukan semudah yang dilihat, apakah cabaran yang beliau lalui sepanjang bersama campervan ini? Perasaan ingin tahu mendorong saya bertindak menghubungi terus Kas Hariz untuk bertanya.

Kas Hariz atau nama sebenarnya Ahmad Hariz Bin Abd Hafiz merupakan seorang bekas pelajar di UniKL MIIT dalam jurusan Diploma in Multimedia. Berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Selangor.

Pada mulanya, beliau sangat meminati Volkswagen Kombi dan mengimpikannya kerana banyak konsep campervan dilakukan oleh pemilik Volkswagen Kombi di dalam mahupun di luar negara. Di situlah timbul idea untuk merealisasi impianya menjadi kenyataan. Namun, mengukur baju di badan sendiri beliau cuba merealisasikannya pada van pertama milik keluarganya.

“Asalnya saya mencari van lama yang berpotensi untuk diubahsuai. Terlihat gambar van Datsun C20 yang cantik di internet, dan saya cuba mendapatkan maklumat mengenainya. Di sini harganya sangat murah, dan masih digunapakai kebanyakan orang berniaga. Kerana minat terhadap barang- barang lama yang punya potensi untuk diberi seri kembali, saya nekad untuk membeli sebuah c20.

Keluarga kami masih sama-sama menimba pengalaman bersama van ini sebab kami baru saja memiliki van ini kurang dari satu tahun. Bagi kami, semua pengalaman bersama van ini adalah sesuatu yang manis dan bermakna. Kami merasakan tidak wajar jika kami tidak mensyukurinya kerana Allah yang merencana.” Kata beliau kepada saya.

Saya kagum dengan sikap Tuan Hariz ‘mengukur baju di badan sendiri’, berbelanja ikut kemampuan. Tiada penghalang untuk mencapai impian, asalkan bijak berbelanja dan membuat keputusan. Namun, hidup ini bukanlah dipenuhi dengan cerita indah sahaja, ada kala dihiasi dengan cabaran sebagai warnanya. Dan ini antara pengalaman Hariz dan keluarga sepanjang bersama campervan tersebut.

“Van kami tidak dilengkapi penghawa dingin, agak panas apabila cuaca panas tetapi kami tidak mengendahkan kerana kami masih dalam proses penambahbaikan van ini dan kami gunakan apa yang ada terlebih dahulu. Semasa perjalanan kami ke teluk senangin, nut pada sambungan ekzos tercabut dan hanya tergantung pada satu saja nut dari 3 nut. Saya ketatkan dan sambung perjalanan dan jumpa satu bengkel dan memasang nut.

Diawal pagi ketika bersiap untuk pulang, kami hidupkan enjin bagi memanaskan enjin, tiba-tiba enjin mati dan tidak boleh dihidupkan. Kami hanya mampu tersenyum sesama kami kerana tak tau apa nak dilakukan. Kerana rasa coil api kami sekali lagi membuat masalah walaupun baru diganti tidak sampai sebulan, kami termenung seketika memikirkan cara sambil memohon Allah menunjukkan jalan.

Alhamdulillah Allah datangkan seorang abang memberi idea untuk cuba menolak van bagi menghidupkannya.

Kebetulan tidak jauh dari van kami ada sekumpulan pemuda India juga bermalam disitu. Saya minta bantuan mereka untuk menolak van dan dengan izin Allah van dapat dihidupkan. Kami amat terhutang budi kepada mereka.

Namun sepanjang perjalanan kami dari teluk senangin ke serendah kediaman kami, van mati berpuluh kali secara tiba-tiba ketika memandu menyebabkan kami terus berserah pada Allah memandangkan cuti umum tiada bengkel yg buka.

Bila berkali-kali mencuba pada setiap kali van mati, kami teruskan perjalanan sampailah saya tergerak hati untuk menanggalkan coil api berkenaan dengan harapan apabila saya cuba alihkan pada posisi tertentu keajaiban akan berlaku. Alhamdulillah, akhirnya enjin dapat dihidupkan. Saya ikat coil tersebut dengan tuala good morning dan mengantungnya pada posisi yang buat dia bertahan.

Alhamdulillah, kami sampai juga kerumah.

kami yakin bahawa perancangan Allah adalah yang terbaik dan kita hanya berserah setelah berusaha.” Cerita beliau lagi.

Pesan beliau, “buatlah sesuatu dengan kemampuan kita, tidak perlu untuk kita beroleh semua perkara didunia, barulah kita mahu bersyukur dan menikmati bahagia. Berbahagialah dengan hidup kita dan teruslah mohon padaNya.

Jangan terlalu bergantung pada manusia sedangkan Allah jualah yang memegang hati manusia. Manusia boleh mengecewakan kita tetapi Allah boleh mengubah hati manusia untuk tidak mengecewakan kita dalam sekelip mata.

Saat kita ditimpa kesulitan dan ujian, janganlah lupa untuk beristigfar kepadaNya kerana kuasa memohon ampun kepadaNya sangat luar biasa.”

Buat anda yang berminat dengan campervan Kas Hariz, anda boleh mengikuti perkembangan beliau di Instagram @ourdatsunc20.

Artikel Berkaitan