Demi menghayati sendiri erti kemerdekaan tanah air, anak muda ini telah menjelajah ke serata Semenanjung dengan hanya berbasikal seorang diri.

Dalam pada negara sejak kebelakangan ini sering dihidangkan dengan berita-berita negatif tanah air, Azraei Muhamad, anak muda berusia 25 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang ini berasakan masih ada sinar harapan di sebalik semua ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Untuk menyahut seruan yang sering mengajak kita untuk menghayati erti sebenar kebebasan, beliau telah memutuskan untuk meneroka dan melihat sendiri keindahan yang ada di dalam negara.

kayuh-basikal-1

Flag-off perlepasan di Perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang, Kuantan.

kayuh-basikal-2

​Pantai Cherating, sebagai destinasi pertama kayuhan.

Di bawah tag #Merdekayuh, kayuhan ini telah berlepas dan dilancarkan di Perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang pada 31 Ogos 2015. Bermula dari Kuantan, Azraei melakukan singgahan pertamanya dengan bermalam di Cherating, Kuantan sebelum meneruskan kayuhan menghala ke Terengganu dan Kelantan.

Selepas 5 hari (satu tempoh yang agak panjang untuk para cyclist memandangkan ini merupakan kayuhan jarak jauh pertamanya), beliau tiba Kota Bharu dan menamatkan Fasa 1 kayuhan, meliputi Kuantan – Kota Bharu, sebelum menghala ke arah Barat Semenanjung merentasi Banjaran Titiwangsa melalui Jalan Jeli-Gerik.

kayuh-basikal-3

Melalui sempadan Malaysia-Thailand dan singgah di Pasar Besar Rantau Panjang.

kayuh-basikal-4

Menikmati pemandangan di Batu Melintang, Jeli sebelum pendakian Banjaran Titiwangsa bermula.

kayuh-basikal-5

2,100 meter dari aras laut, Puncak Titiwangsa menjadi kenangan yang paling manis.

kayuh-basikal-6

Bermalam di rumah atas air sambil menikmati keindahan Tasik Banding di Hutan Belum.

Dek amatur, beliau mengambil masa selama 3 hari hanya untuk menawan Banjaran ini. Pengalaman yang paling berharga apabila dapat merasai sendiri suasana bermalam di rumah atas air di Tasik Banding, Hutan Belum selain bermalam secara sendirian di tengah-tengah kesunyian malam di Jalan Gerik-Baling kerana tiada kampung berdekatan.

Selain kawasan pelancongan yang dipilih sebagai lokasi persinggahan, tempat-tempat bersejarah juga turut diterokai sebagai sebahagian daripada objektif kayuhan ini.

Antara yang menjadi pembuka mata adalah Tugu Memorial JKR di Jalan Jeli-Gerik yang mengimbau semula sejarah bagaimana pembinaan jalanraya ini dahulunya yang pernah diancam serangan komunis suatu ketika dahulu sehingga banyak nyawa terkorban.

Baca: Setelah Setahun Berbasikal, Anak Muda Ini Berkongsi Definisi Dan Makna Travel

kayuh-basikal-7

Berlatarbelakangkan Gunung Baling di Kedah.

kayuh-basikal-8

Memasuki sempadan Pulau Pinang.

Jalan Gerik-Baling pula menjadi antara yang tak dapat dilupakan kerana pemandangan berlatar belakangkan gunung dan berkabus pagi sememangnya sungguh mengasyikkan.

Pasca-Banjaran Titiwangsa, kayuhan diteruskan menuju ke daerah Baling sebelum berhenti berehat di Pulau Pinang dan melengkapkan Fasa 2 kayuhan (Kota Bharu – Pulau Pinang). Rehat selama satu hari digunakan sebaiknya untuk makan, makan, dan makan di Pulau Mutiara yang memang terkenal dengan pelbagai makanan menarik seperti char kuey tiau, nasi kandar (of course) dan juga makanan ala barat dari Big Bob Café, Pauh Jaya.

Terima kasih kepada owner Big Bob yang sudi menaja penginapan dan makan sepanjang berada di Pulau Pinang.

Dari Pulau Pinang, kayuhan Fasa 3 diteruskan menghala ke Selatan dengan Perak menjadi destinasi seterusnya. Namun, cabaran baharu muncul pada permulaan fasa ini apabila negara dilanda jerebu dengan teruknya.

Hari pertama Fasa 3 sedikit gagal apabila penulis hanya dapat berkayuh sejauh 70km sebelum terpaksa berhenti di Bagan Serai, 30km kurang daripada yang destinasi sepatutnya, Taiping.

kayuh-basikal-9

Sempat singgah di Kellie’s Castle walaupun agak terlewat.

Oleh itu, hari seterusnya kayuhan terpaksa dipanjangkan sejauh 140km untuk sampai ke Tapah, yang turut melalui Kellie’s Castle sebagai singgahan kawasan bersejarah. Mujurlah owner One One 08 Boutique Hotel sudi menaja penginapan dan makan malam semasa di Tapah.

Tanjung Malim menjadi destinasi seterusnya yang dituju. Selain kawasan bersejarah dan tempat-tempat makan yang sedap (ya, inilah keistimewaan Malaysia yang kita banggakan), penulis juga mencari university-universiti tempatan sebagai destinasi sepanjang laluan.

Ini kebetulan untuk mempromosi buku baharu beliau, Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima, sebuah buku kewangan bergenre santai. Buku ini menceritakan pengalaman penulis sendiri bagaimana menyimpan dan berbelanja duit dari zaman belajar sehingga memasuki alam pekerjaan sehingga mencecah enam angka. Jadi, destinasi univesiti dikira bersesuaian sebagai target market untuk menggalakkan generasi muda supaya lebih celik kewangan.

kayuh-basikal-10

​Bersama adik-adik di Perkampungan Orang Asli, Gombak.

kayuh-basikal-11

Disambut oleh pelajar-pelajar dan pensyarah Insurans, UiTM Bandaraya Melaka.

Selepas UNISZA di Gong Badak, Terengganu dan UiTM Permatang Pauh di Pulau Pinang, UPSI di Tanjung Malim pula dipilih sebelum kayuhan diteruskan menuju ke Gombak untuk singgahan di UIA. Fasa 3 berakhir dengan satu hari rehat di Shah Alam sebelum kayuhan Fasa 4 disambung menuju ke Selatan.

Hujan lebat dan masalah basikal dari Shah Alam ke Seremban membantutkan sedikit perjalanan sehingga jadual ke Melaka telah terlewat hamper satu hari. Mujurlah sambutan oleh pelajar bidang pengajian Insurans dari UiTM Kampus Bandaraya Melaka yang meriah sedikit sebanyak menjadi detik manis kemudiannya.

Dan sudah tentulah tak lengkap singgahan di Melaka kalau tak pekena asam pedas. Jelajah mencari makanan sedap diteruskan ke Muar untuk merasa mee bandung pula, dan Batu Pahat untuk beriani dan mee racun-nya.

Dari Batu Pahat, penulis bagaimanapun terpaksa mengubah haluan perjalanan untuk terus berkayuh menghala ke Mersing dan seterusnya ke Kuantan kerana mahu pulang berhari raya Aidiladha bersama keluarga.

Walaupun pada mulanya agak berat hati untuk membuat keputusan ini, hikmah di sebaliknya lebih besar kerana beberapa hari kemudian, keadaan jerebu di seluruh negara menjadi bertambah buruk. Seandainya kayuhan diteruskan, pasti lebih banyak masa akan terbantut.

kayuh-basikal-12

90km terakhir sebelum sampai ke destinasi penamat.

kayuh-basikal-13

​Tiba di kampung halaman tepat jam 12.30am, 10 Zulhijjah.

Dan cabaran paling besar datangnya pada hari terakhir kayuhan, iaitu sehari sebelum Aidiladha, apabila penulis secara spontan mengambil keputusan untuk menamatkan kayuhan dari Mersing terus ke Kuantan sejauh 200km dalam masa satu hari. Kayuhan selama 15 jam pada hari terakhir itu sememangnya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

2 kali airmata mengalir pada hari itu saja. Pertamanya apabila penulis hampir berputus asa di pertengahan jalan dek kerosakan basikal, dan keduanya apabila tiba di rumah pada jam 12.30 pagi dan disambut oleh kedua ibu bapa yang tidak mengetahui kepulangan penulis pada malam itu. Selepas 25 hari dan 1,800km, mungkin detik malam itu memang terasa sungguh syahdu.

kayuh-basikal-14

Menutup jelajah kayuhan dengan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Tetapi tanpa penaja utama, GCabxi Insurance Agency yang sudi menyokong Merdekayuh, di samping penaja-penaja lain seperti High5 Sports Nutrition, Koya Clothing, Pejabat Kementerian Pelancongan Pahang, Takaful Ikhlas, Nur Cocoa, Damai Tioman Resort dan UiTM Insurance Syndicate, Merdekayuh ini tidak akan terjadi.

Sesungguhnya keseluruhan kayuhan telah memberi perspektif baharu kepada penulis dalam melihat sendiri negara tercinta dari sudut sejarah dan warna yang sememangnya menjadi karakter kepada kita.

Menurut penulis, kesan positif yang dirasai selepas pengembaraan ini adalah beliau lebih menghargai kehidupan dan segala suka duka yang berlaku selain melihat betapa indahnya negara kita dan rakyatnya.

Bagi mereka yang ingin melakukan kayuhan seperti beliau,  pesan penulis apa yang paling penting adalah keinginan diri yang mengatasi segalanya. Jika mengharapkan persediaan secara fizikal, mental, atau kelengkapan yang 100% lengkap, kita akan sentiasa rasa tidak bersedia. Hanya keinginan yang kuat akan membuatkan kita rasa jalan sentiasa terbuka.

Untuk travelog yang lebih terperinci, bolehlah cari kata kunci #Merdekayuh di Twitter dan Instagram, atau Google saja Kayuh: Kembara Jelajah Semenanjung.

Baca lagi: Berbasikal Dari London Ke Malaysia, 3 Pemuda Ini Bertemu Anjing Yang Mengajar Erti Sahabat Sejati

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram