Pencerahan Persepsi Netizen Terhadap Zakat Kedah

Merujuk kepada persoalan yang dibangkit sejak akhir-akhir ini berkaitan dengan institusi Zakat di Malaysia, timbul pelbagai persepsi sama ada bersifat positif mahu pun negatif terhadap institusi zakat.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Apabila diikuti dengan lebih dekat, ternyata komen-komen bersifat negatif lebih banyak daripada komen bersifat positif.

Tanpa menafikannya, pelbagai persepsi ini timbul disebabkan kurangnya informasi daripada agensi zakat berkaitan dengan kutipan dan agihan zakat kepada masyarakat daripada institusi zakat seluruh negeri di Malaysia melainkan hanya beberapa negeri sahaja yang aktif membuat sebaran.

Hasil daripada komen negatif yang turut tempiasnya terkena kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah, menyebabkan diri ini terpanggil untuk memberi respon pencerahan berkaitan dengan persepsi yang timbul.

Pelbagai persepsi timbul kerana pengurusan zakat adalah di bawah negeri-negeri dan setiap negeri mempunyai kaedah pengurusan zakat yang berbeza.

Ada negeri, pengurusan zakat mereka dibawah tata kelola Majlis Agama Islam. Manakala ada negeri urusan kutipan zakat dibuat oleh Pusat Urus Zakat dan di agihkan oleh Baitulmal dan pelbagai lagi sistem kutipan dan agihan yang berbeza.

Perbezaan yang ketara ni menyukarkan masyarakat awam untuk memahami sistem pengurusan zakat negeri-negeri itu.

Kepelbagaian sistem pengurusan zakat dalam 14 negeri yang berbeza ini menyebabkan institusi zakat ditohmah secara pukul rata dengan pelbagai tuduhan negatif daripada netizen.

Di sini, saya sendiri tidak mahu membahaskan hal ehwal pentadbiran zakat di negeri lain memandangkan saya tidak arif dengan mendalam tentang proses pengurusan dalaman mereka.

Pencerahan ini memfokuskan kepada hal ehwal pentadbiran dan operasi Zakat Kedah sahaja.

Dalam konteks negeri Kedah, zakat diuruskan oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah iaitu sebuah badan yang bernaung dibawah Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang merupakan Ketua Agama bagi rakyat jelata Negeri Kedah Darul Aman.

Baginda selaku ulul amri di dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam di Negeri Kedah telah menitahkan dan memisahkan urusan berkaitan dengan pentadbiran zakat daripada campur tangan politik dan pengurusan zakat bernaung terus di bawah Baginda.

Oleh itu, segala hal berkaitan urus tadbir zakat dipantau oleh sebuah Lembaga yang dilantik oleh KDYYM Sultan Kedah yang sebahagian besarnya adalah terdiri dalam kalangan ulama terkemuka di Negeri Kedah Darul Aman bagi memastikan hal ehwal zakat diurus dengan betul selari dengan tuntutan syarak.

Sistem yang dipraktiskan ini adalah sejak ianya mula ditubuhkan sehingga kini dimana hal ehwal zakat di Negeri Kedah adalah dibawah kuasa mutlak KDYYM Sultan Kedah.

Sehinggakan minit mesyuarat Ahli Jawatankuasa / Lembaga Zakat akan disemak oleh Baginda Tuanku Sultan. Sekiranya ada sebarang kemusykilan berkaitan dengan hal yang diputuskan, maka ahli Lembaga perlu memberikan jawapan kepada Baginda.

Selepas berpuas hati barulah Baginda akan menandatangani dan mengesahkan minit mesyuarat tersebut.

Baca: Tidak Perlu Pengesahan Ketua Kampung, Permohonan Bantuan Zakat MAIWP Kini Lebih Mudah

pusat-zakat-kedah-3

1. KE MANA DUIT ZAKAT KEDAH 1 BILLION?

Seringkali menjadi tohmahan, kutipan zakat berbillion-billion tetapi tak sampai kepada asnaf. Kakitangan zakat makan gaji buta dan duit haram.

Secara realitinya, negeri yang mencatatkan kutipan zakat paling tinggi adalah Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan dimana angka kutipan melebihi 500 juta.

Data agihan juga menunjukkan kedua-dua negeri tersebut membuat sejumlah agihan yang banyak. Tahniah juga buat mereka!

Bagi negeri Kedah, kutipan zakat tahunan adalah sekitar 100 juta sahaja. Sehingga tahun 2016 jumlah kutipan adalah sebanyak 134,556,613.46 juta.

Manakala jumlah agihan wang zakat adalah melebihi jumlah kutipan iaitu sebanyak 144,955,284.85 juta. Berlakunya lebihan agihan berbandung kutipan adalah kerana wang zakat yang dikutip pada bulan Disember diagihkan pada tahun berikutnya.

Menjawab viral netizen iaitu, “Mengapa tidak diagih sebanyak 1 Billion?” Ini kerana hasil kutipan wang di Zakat Kedah hanya 100 juta sahaja, jadi jumlah yang boleh diagihkan hanyalah 100 juta sahaja. Tidak lebih dari itu.

pusat-zakat-kedah-1

2. PEGAWAI ZAKAT KEDAH DUDUK SAJA?

Selain daripada tuduhan wang zakat disimpan dan tidak diagihkan, timbul juga persepsi bahawa kakitangan Zakat duduk saja di dalam aircond tanpa turun padang mencari asnaf. Tanggapan tersebut adalah salah.

Hal demikian kerana, setiap orang kakitangan diperingkat cawangan secara puratanya membuat siasatan sebulan sekitar 70 – 100 kes sebulan.

Usaha mencari asnaf dioptimumkan di mana pegawai akan keluar sekitar jam 8.30 pagi dan balik lewat petang mencari asnaf yang kadang-kadang mencecah ratusan kilometer terutamanya di daerah besar.

Hasil permohonan akan diteliti dan dipertimbangkan bantuan dengan melihat peruntukan bajet semasa dan tahap keseriusan masalah tersebut.

Ada sebahagian teman yang mengkritik, pihak Zakat Kedah lambat dalam membuat agihan dan memberikan wang zakat. Hal ini timbul kerana agihan wang zakat adalah semata-mata bergantung kepada kutipan semasa.

Misalnya sehingga hari ini 25 Jun 2016, jumlah agihan wang zakat adalah sekitar RM 90 juta, manakala jumlah kutipan sekitar RM 50 juta.

Selepas sesuatu kes disiasat dan diluluskan, ianya memakan masa bagi tujuan pembayaran ataupun pemberian samaada dalam bentu membaiki rumah atau membina rumah.

3. KAKITANGAN ZAKAT GAJI MEWAH!

Timbul juga tohmahan bahawa kakitangan zakat selalunya bergaji besar dan berkereta mewah.

Tidak malu untuk saya katakan bahawa terdapat juga kakitangan zakat yang boleh dikategorikan sebagai asnaf miskin sekiranya dihitung daripada jumlah pendapatan isi rumah. 80 peratus kakitangan Zakat Kedah adalah penerima BRIM dan merupakan kakitangan di peringkat kumpulan sokongan.

Jika dihitung jumlah belanja mengurus untuk membayar gaji guru di sebuah sekolah gred A di Negeri Kedah dibandingkan dengan gaji seluruh kakitangan Zakat Kedah, ternyata jumlah emolumen guru-guru sekolah lebih besar daripada gaji kakitangan zakat.

Ini kerana, ke semua guru-guru tersebut merupakan kumpulan profesional gred 41 dan ke atas.

Walaupun bergaji kecil dan ditohmah memakan gaji buta oleh sesetengah netizen, hal ini tidak melunturkan semangat kakitangan untuk terus berkhidmat dan membuat yang terbaik bagi membantu golongan yang memerlukan.

Hal demikian kerana sememangnya janji Nabi bahawa golongan amil yang menguruskan zakat akan sentiasa berhadapan dengan cercaan daripada sesetengah golongan masyarakat.

pusat-zakat-kedah-2

4. ZAKAT KEDAH PENGURUSAN TERCOROT?

Timbul juga pertanyaan berkaitan dengan kutipan dan agihan di Zakat Kedah. Bahkan pernah seorang selebriti agama mengkritik Zakat Kedah secara terbuka dengan mengatakan Zakat Kedah adalah agensi zakat paling teruk di Malaysia.

Beliau berhujah dengan mengemukakan data ‘out of date’ yang diperolehi daripada bukan kakitangan Zakat Kedah tanpa mengambil maklumat terkini berkaitan operasi di Zakat Kedah.

Ternyata terjahannya meleset kerana dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, pelbagai perubahan drastik berlaku di Zakat kedah.

Hasil kecekapan dan ketelusan urus tadbir kakitangan dan pihak pengurusan Zakat Kedah, pada tahun 2015 hasil pengauditan Jabatan Audit Negara telah menganugerahkan 5 bintang bagi Audit Tahap Pengurusan Kewangan dan Indeks Akauntabiliti.

Dengan wajaran markah 96.5, Zakat Kedah berada ditempat pertama bagi seluruh agensi di Negeri Kedah dan juga antara institusi zakat lain di seluruh negara.

Bagi keseluruhan dengan pelbagai agensi diperingkat kebangsaan, Zakat Kedah berada dalam kelompok 20 terbaik antara semua agensi negeri dan persekutuan di seluruh Malaysia.

Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa pengurusan di Zakat Kedah bukan bertaraf kampung, tetapi diiktiraf diperingkat nasional dan mempunyai ketelusan dalam menguruskan wang awam.

pusat-zakat-kedah-6

5. ZAKAT KEDAH TIDAK RESPONSIF?

Tidak dinafikan media memainkan peranan yang cukup penting. Sehubungan dengan itu, medium Facebook Zakat Kedah begitu aktif menyebarkan aktiviti hal berkaitan dengan agihan wang zakat.

Maklumat berkaitan juga disebarkan melalui akhbar Sinar Harian edisi utara dan laman web www.zakatkedah.com.

Pihak Zakat Kedah turut mengambil tindakan berat sekiranya terdapat aduan berkaitan dengan asnaf melalui telefon atau mesej di inbox facebook. Tindakan segera akan diambil bagi menyelesaikan aduan yang diberikan.

Selain daripada bantuan para amil, imam kariah dan ahli jawatankuasa masjid untuk melaporkan maklumat berkaitan dengan asnaf.

Pihak Zakat Kedah juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat asnaf di Negeri Kedah kepada pihak kami.

Melalui talian hotline 1-800-88-1740 ianya khusus bagi memudahkan pihak Zakat Kedah menerima laporan berkaitan keberadaan asnaf di Negeri Kedah Darul Aman.

Responsif yang ditunjukkan oleh kumpulan media Jabatan Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Kedah turut dimasukkan ke dalam laporan Audit Negara 2015 (rujuk laporan audit negara bagi negeri Kedah di sini).

pusat-zakat-kedah-4

6. AGIH DUIT ZAKAT SEORANG 1 JUTA?

Timbul viral berkenaan dengan kutipan zakat fitrah 10 juta dan di agih seorang sejuta maka akan lahir setahun seorang jutawan.

Pertamanya, pengagihan wang zakat di Negeri Kedah bukannya boleh diagih secara sekaligus kepada seorang asnaf dalam jumlah yang banyak.

Ini kerana, bantuan kepada asnaf ada hadnya dan ianya sekadar untuk membantu seseorang menampung sara hidup dan dalam pada masa yang sama penerima perlu berkerja untuk menambah pendapatan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pernah ditanya kepada Nabi S.A.W setakat mana seseorang perlu diberikan zakat, jawab Nabi SAW “Sehingga dia mencapai keperluan asas hidup” (Mafhum Hadis Sahih Muslim).

Berdasarkan pendapat Dr Yusof Al Qardhawi, sekiranya zakat diberikan kepada golongan miskin yang tidak mempunyai apa-apa kemahiran, sama ada pertukangan, perniagaan mahupun pertanian maka had maksimum yang boleh diberikan adalah tidak melebihi had perbelanjaan wajib seperti makan dan minum di negara tersebut.

Sekiranya diberikan 1 juta, ianya telah melebihi had yang ditetapkan oleh syarak.

Keduanya, sekiranya diagihkan seorang 1 juta bagaimana nasib ribuan fakir, miskin dan penerima bantuan yang lain?

Setiap bulan pihak zakat membantu ribuan asnaf samaada dalam bentuk wang, makanan, pendidikan, dialsis, perubatan dan sebagainya yang melibatkan jumlah puluhan juta hasil daripada kutipan dan agihan wang zakat.

Wang zakat untuk ramai orang, bukannya untuk seorang sahaja.

7. PENAMBAHBAIKAN BERTERUSAN

Tanpa menafikan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, selepas penjenamaan semula daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah kepada Lembaga Zakat Negeri kedah, pihak Zakat Kedah sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya berkaitan agihan wang zakat.

Hal demikian kerana, amanah yang diberikan oleh umat Islam di Negeri Kedah Darul Aman digunakan sebaiknya untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan sosio ekonomi umat Islam.

Mungkin ada sebahagian institusi zakat yang boleh dipertikaikan ketelusan oleh netizen kerana tidak mempamerkan laporan operasi institusi tersebut, tetapi di Lembaga Zakat Negeri Kedah kami cuba untuk menjelaskan perkara tersebut bagi mengurangkan salah tanggap negatif terhadap Zakat Kedah.

Nota: Tulisan ini adalah catatan penulis semata-mata bukannya suara rasmi Lembaga Zakat Negeri Kedah. Artikel ini ditulis atas permintaan seorang rakan bagi menjawab dan mengubah persepsi masyarakat berkaitan dengan urus tadbir zakat khususnya di Negeri Kedah Darul Aman.

Oleh : Mohd Faisal Mustaffa
Lembaga Zakat Negeri Kedah

Baca lagi: Ke Mana Perginya Wang Zakat, Perkongsian Seorang Doktor