Senaskhah nota tentang keberanian zaman di dalam beg selempang.

Semalam aku berjaya mengurangkan tidur apabila bangun pada jam 3.30 pagi. Menurut saintis Barat, kita harus tidur 8 jam sehari. Akan tetapi, Allah memerintahkan kepada orang yang berselimut (al-Muzzammil) supaya bangun malam kecuali sedikit. Maka, aku cuba tidur selama 4 jam sahaja sehari. Cuma hari ini aku terlewat tidur, dan bangun sekitar jam 6.00 pagi.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Pada siangnya, aku menyemak prestasi minisite dan iklan di Google AdWords. Nampaknya ada peningkatan klik – justru pertambahan kos – tetapi ke mana audiens itu pergi? Demikian aku bertanya diri. Apakah kerana copywriting? Apakah kerana call to action? Baiklah, mungkin perlu tukar ayat.

Tidak semena-mena, telefon aku berbunyi. Ada notifikasi komen di Facebook. Cepat-cepat aku melihatnya. Oh, daripada Cik Puan Fatin Zakaria! Beliau seorang terapis di Orked Spa, anak syarikat ABS Beauty. Komen beliau di gambar yang aku muat naik tentang UBS, “Tuan, UBS stands for?” Amboi, speaking English!

Komen yang comel daripada Puan Ainon Mohd, Pengerusi ABS.
Komen yang comel daripada Puan Ainon Mohd, Pengerusi ABS.

Aku jawab dengan Bahasa dan Budaya Melayu Tinggi (BBMT), “Cik Puan Fatin, terima kasih kerana bertanya. UBS ialah Usahawan Budak Sekolah Malaysia, membawakan pendidikan keusahawanan seawal usia sekolah.”

Kelihatan beliau berminat, aku lanjutkan, “Kami melakukan keberanian zaman.”

Istilah yang langka itu mencetuskan pertanyaan, “Apa itu keberanian zaman?”

Aku jawab, “Saya akan tulis sesuatu tentang tajuk ini.” Maka untuk Cik Puan Fatin dan saudara-saudara dalam kemanusiaan, inilah pemahaman aku tentang keberanian zaman.

Apa Itu Keberanian Zaman

Tuan Mohammad Khairullah Mohd Zainudin, Pengasas UBS memberikan pembayang. Menurut beliau, keberanian zaman ertinya The Initiator – orang yang memulakan suatu usaha yang belum pernah diusahakan.

Jelas sekali pembayang itu tidak cukup. Penjelasan yang lengkap tetapi ringkas diperlukan. Aku campak telefon Xiaomi Redmi 1S yang sudah terkopek catnya ke atas tilam. MacBook Air terpakai juga menjadi mangsa rebahan di atas tilam walaupun panas di bawahnya. Tidak apa-apa, sekejap sahaja. Demikian aku menyedapkan hati.

Aku keluarkan senaskhah nota daripada beg selempang. Ke mana pun aku pergi, jarang-jarang aku tinggalkan beg itu. Semenjak dua bulan yang lalu, nota ilmiah itu tersimpan di dalam beg sehingga koyak hujungnya. Nota itu bertajuk “Keberanian Zaman” ditulis oleh Tuan Ahmad Naim Jaafar, Pengasas Foresight Academy.

Pemimpin Perubahan

Pengasas UBS sentiasa memikirkan nasib generasi masa depan.
Pengasas UBS sentiasa memikirkan nasib generasi masa depan.

Kipas berpusing laju, tetapi aku masih berpeluh. Nota itu aku tatap dan selak. Teringat aku semasa melanjutkan pengajian sarjana dua tahun lalu. Membaca dan mengulas artikel adalah tugas wajib setiap minggu. Terutamanya dalam tajuk inovasi, aku melihat banyak inovasi pada zaman tertentu, dan keruntuhannya selepas beberapa lama.

Kitaran hayat organisasi adalah perkara biasa, tetapi tidak semestinya berlaku sedemikian. Ada organisasi yang hampir mati, dan tiba-tiba berinovasi menjadi sesuatu yang lain. Inovasi itu merupakan terjemahan keberanian zaman, menurut aku. Tanpa pemimpin perubahan yang berani pada zamannya, tentulah inovasi tidak berlaku.

Keberanian zaman bukan istilah baru. Buya Hamka (1908 – 1981) ada menyebut tentang keberanian zaman. Menurut beliau, anak muda yang membawakan perubahan adalah orang yang melalui keberanian zaman.

Dengan kata lain, mereka berani melakukan sesuatu yang benar, penting dan berwawasan besar sebelum mereka benar-benar dewasa. Mereka berani memulakan sesuatu yang baru (initiate something new) tanpa menunggu semua perkara menjadi sempurna. Merekalah pemberani pada zaman mereka.

Justru, apa syarat menjadi pemimpin perubahan? Apakah pengerasnya? Daripada nota itu, aku dapat senaraikan sekurang-kurangnya 10 ciri yang mesti ada di dalam diri seseorang yang berhasrat melakukan keberanian zaman.

1. Memeta masa hadapan sendiri.

Menurut penulis, membawa perubahan adalah fitrah anak muda. Oleh itu, anak muda yang selesa memeta masa hadapan mengikut versi realiti sendiri berpotensi melakukan keberanian zaman.

2. Mendepani gelombang perubahan.

Menurut penulis, anak muda perlu mendepani gelombang dasar laut (groundswell) dengan membawakan semangat zaman (zeitgeist) untuk generasinya dalam apa jua bidang kehidupan.

3. Memimpin dan membangun perubahan dengan budaya ilmu.

Menurut penulis, anak muda yang memperolehi ilmu perlu mengaplikasikannya supaya mereka bebas membina keupayaan diri secara mapan.

4. Membina potensi diri dengan bebas.

Menurut penulis, anak muda perlu bebas membina potensi tanpa keterikatan kepada faktor luaran, contohnya tekanan ekonomi. Kebebasan itu membolehkan anak muda mempertingkatkan ilmu bagi mencipta nilai untuk lebih ramai orang.

5. Mengutamakan impak, bukan pengiktirafan dan jawatan.

Menurut penulis, ramai anak muda yang mahu membuat perubahan jikalau mereka diiktiraf dengan anugerah ataupun dilantik memegang jawatan tinggi. Namun, impak perubahan tidak memerlukan input dan belanjawan besar, sebaliknya anak muda perlu jujur dalam usaha menyelesaikan masalah dengan perubahan yang dipimpinnya itu.

6. Dikenali kerana merit dirinya, bukan siapa di belakangnya.

Menurut penulis, anak muda perlu berusaha membina keupayaan diri pada tahap premium supaya dapat menyumbangkan penyelesaiannya dan diterima oleh orang lain walaupun tiada sokongan orang atasan.

7. Mahu persekitarannya berubah mengikut kepercayaannya.

Menurut penulis, ada dua jenis manusia iaitu reasonable dan unreasonable. Orang yang reasonable menyesuaikan diri dengan persekitaran dan dia selesa berubah di dalam persekitaran itu. Orang yang unreasonable pula mahu persekitarannya yang berubah mengikut apa yang dipercayainya dan akhirnya persekitarannya itu dapat diubah juga. Justru anak muda yang memimpin perubahan adalah unreasonable.

8. Membaca buku secara tegar.

Menurut penulis, cara melahirkan pencipta perubahan adalah dengan budaya membaca yang tegar. Hal ini kerana buku adalah pintu kepada dunia yang tidak dapat diimaginasikan dengan pandangan mata sahaja. Dengan membaca idea dan gagasan yang besar, seseorang anak muda dapat membina keyakinan bahawa dialah yang perlu membawakan perubahan untuk tanah airnya.

9. Mahir berfikir menggunakan Design Thinking.

Menurut penulis, sebelum ini banyak penyelesaian dicari menggunakan pemikiran kritis (critical thinking). Pun begitu, bagi mendapatkan sudut pandang baru yang unik dan disruptif, alat fikir Design Thinking perlu digunakan oleh anak muda yang memimpin perubahan.

10. Mengangkat diri sendiri bagi menyelesaikan masalah.

Menurut penulis, apabila seseorang anak muda berhadapan dengan tekanan dan kesusahan di depan mata, pada masa itu dia tiada pilihan selain menyelesaikan masalah itu dengan tangan sendiri. Itulah titik tolak yang membawa anak muda itu daripada iltizam kepada komitmen, seterusnya mengundang jiwa, rasa dan fikir orang lain yang mahu ikut serta dalam perjuangannya. Demikianlah tercetusnya karisma diri, sebagaimana ucapan Mahatma Gandhi:

“Apabila seseorang telah membuat keputusan tentang apa yang betul dan bermanfaat, orang-orang yang diperlukan beserta segala sumbernya akan hadir kepadanya, kerana mereka tertarik kepada perjuangan itu, bukan kepada orangnya.”

Kanvas Pemimpin Perubahan

Siti Munawwarah cemerlang dalam akademik, debat dan bisnes.
Siti Munawwarah cemerlang dalam akademik, debat dan bisnes.

Aku melipat kembali nota itu dan mengambil sehelai kertas kosong buat mencatat. Eh, rupa-rupanya tidak kosong! Ini kanvas pemimpin perubahan atau Changemaker Canvas. Tidak seperti Business Model Canvas (BMC), kanvas ciptaan Tuan Ahmad Naim Jaafar ini ada 12 petak merangkumi masalah, manifesto, orang dan pelaksanaan.

Dan kanvas ini tidak kosong, sebaliknya sudah diconteng oleh tim UBS semasa aku belum menyertai mereka. Barangsiapa yang dapat memenuhkan kanvas ini, maka dia dapat memulakan sebuah keberanian zaman. Tinggal lagi hipotesisnya diuji dan disahihkan.

Aku bertambah yakin bahawa UBS akan mencetuskan semangat zaman untuk generasi ini. Dan nota keberanian zaman itu aku simpan semula di dalam beg selempang. Minggu depan aku mahu bertapa di Foresight lagi.